Rabu, Oktober 28, 2009

Hi Jang Sikit Sangat Bekalan !

HASRAT Negeri Sembilan untuk membawa bekalan selesa ke aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia tidak kesampaian apabila sekadar menang 1-0 ke atas Terengganu di Stadium Paroi, malam tadi.

Pelawat yang dibimbing Ken Worden yang masih meraikan kejayaan menewaskan juara Liga Super, Selangor menerusi sepakan penalti minggu lalu, nyata kental bertahan di benteng dan mengekang jentera serangan anak buah Wan Jamak Wan Hassan.

Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak hampir meletakkan tuan rumah di depan seawal minit kelapan, namun tolakkannya selepas menerima hantaran Shahurain Abu Samah dinafikan tiang kiri gawang ketika penjaga gol Terengganu, Md Sharbinee Alawee sudah pun tertewas.

Saingan separuh masa jelas dikuasai tuan rumah sehingga pelawat dikerah berkampung di kawasan sendiri dengan meletakkan enam pemain di benteng dan hanya sesekali cuba mengacah Negeri Sembilan menerusi serangan balas kilat.

Keadaan itu menyukarkan barisan depan skuad Hoben Jang Hoben untuk merobek gawang pelawat yang menyaksikan separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.

Selepas gagal menembusi gawang pelawat walaupun bertali arus menyerang pada separuh masa, akhirnya pemain pertahanan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak meletakkan Negeri Sembilan mendahului 1-0 selepas menanduk masuk tendangan sudut S Kunalan pada minit ke-50.

Mohd Zaquan hampir menggandakan jaringan dengan menanduk deras bola lambungan kapten pasukan, Mohd Rezal Zambery Yahya tetapi Md Sharbinee sempat melayangkan badan menepis bola keluar pada minit ke-67.

Pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Hariri Mohd Safie diperintah keluar padang oleh pengadil, R Krishnan kerana mendapat kad kuning kedua sesudah mengasari Hairuddin Omar ketika saingan berbaki 10 minit.

'Itulah hebatnya saya...'

"Itulah hebatnya (saya) barangkali."

Begitulah reaksi spontan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali sewaktu ditanya perasaan beliau selepas disenaraikan oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai salah seorang pemimpin yang perlu 'dibersihkan' daripada Pas.

Malah Mustafa turut menyifatkan dirinya paling tenang hari ini.

"Secara jujurnya saya tak rasa apa-apa pun berbanding yang lepas-lepas, Tok Guru (Nik Abdul Aziz) sebut nama begitu tak ada apa-apa, saya tak ada terluka.

"(Dulu) orang pernah kata saya macam-macam, tak jadi apa," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Agung Pas, di sini hari ini.

Pada sidang akhbar, Mustafa menangkis pelbagai soalan sensitif daripada wartawan dengan memberi jawapan bersahaja sambil ketawa kecil.

Politik dalaman Pas sekali lagi mencuri tumpuan nasional apabila Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas melalui blognya www.blogtokguru.com Jumaat lalu mencadangkan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi menyingkirkan beberapa pemimpin bermasalah.

Tiga pemimpin yang dinamakan beliau ialah Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, Mustafa dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

Dalam perkembangan berkaitan, Mustafa yang ditanya adakah beliau terkejut dengan tindakan Nik Abdul Aziz berkata:

"Secara tiba-tiba memang saya pun begitu juga...tapi awak tak usah masuk (tulis) saya terkejut nanti benda itu nampak parah sangat, saya tak terkejut."

Ditanya kenapa Nik Abdul Aziz mencadangkan EGM dan menamakan pemimpin yang perlu dibersihkan, Mustafa meminta wartawan bertanya kepada Nik Abdul Aziz sendiri.

"Awak tanya dia, jangan tanya saya, kalau tanya saya tiada masalah. Kalau awak tanya dia (Nik Abdul Aziz) mungkin ada (masalah).

"Tak boleh tanya saya benda yang saya tak kata, saya pun tak faham juga, saya tak boleh buat andaian apa sebab, saya tak tahu," tegasnya.

Menjawab soalan adakah berlaku konflik dalaman dalam Pas, Mustafa menafikan perkara itu kerana tiada pihak yang membangkitkannya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat pada 18 Oktober lalu.

Bantulah Hero Kita

KERAJAAN Negeri Terengganu akan membiayai segala perbelanjaan rawatan bekas pemain bola sepak negeri dan kebangsaan, Yahya Jusoh yang sedang menderita akibat penyakit lumpuh.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Rahin Mohd. Said berkata, kerajaan negeri akan berbincang dengan Yayasan Kebajikan Atlet untuk menanggung kos rawatan yang ditanggung Yahya nanti.

"Tindakan kerajaan itu sejajar dengan khidmat bakti dan sumbangan Yahya dalam sukan bola sepak baik pada peringkat negeri mahupun kebangsaan," katanya selepas melawat Yahya di Permin Jaya, Kuala Tereng- ganu semalam.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Kebajikan Atlet, Datuk Paduka Dr. Mumtaz Jaafar dan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Soh Chin Aun turut mengunjungi Yahya semalam.

Yahya, 57, merupakan pemain seangkatan Chin Aun dan Allahyarham Mokhtar Dahari, diserang penyakit lumpuh berikutan sakit tulang leher sejak dua minggu lepas.
Rahin berkata, kerajaan negeri memberi pengiktirafan sewajarnya kepada Yahya termasuk membantu empat orang anaknya jika perlu.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga bersetuju memberi sumba- ngan RM10,000 kepada Yahya, yang akan disampaikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dengan segera.

Sementara itu, Mumtaz berkata, Yayasan Kebajikan Atlet akan membawa Yahya ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat untuk menjalani pemeriksaan pakar mengenai penyakit yang dihidapinya.

Beliau berkata, semua kos untuk rawatan Yahya nanti akan ditanggung sepenuhnya oleh yayasan.

"Kami dapat tahu Yahya dalam keadaan tidak sihat, dan hari ini (semalam) kami datang untuk melihat dan memberi sokongan semangat kepada beliau," katanya.

Ketika zaman kegemilangannya pada era 70-an dulu, Yahya yang bermain pada posisi bek kanan, dianggap sebagai 'kereta kebal' skuad kebangsaan.

Dia memiliki keistimewaan melakukan 'overlapping' untuk membantu jentera serangan.

Selasa, Oktober 27, 2009

Jang Kita Jumpa Lagi...

GANDINGAN tiga serangkai - Ashaari Shamsuddin, Manaf Mamat dan Khairul Izwan Khalid - terus menjadi sandaran Terengganu untuk menjinakkan Negeri Sembilan di gelanggang lawan di separuh akhir pertama Piala Malaysia, malam ini.

Pada masa sama, pakar sepakan percuma, Zairo Anuar Zalani, turut diharap mampu merobek gawang tuan rumah bagi mencari kelebihan dibawa pulang untuk pertemuan kedua di Kuala Terengganu, Sabtu ini.

Pengurus pasukan Terengganu, Sheikh Ahmad Tajuddin Sheikh Yusof berkata, tidak mustahil untuk pemainnya menumbangkan Negeri Sembilan di depan penyokong lawan seandainya semua pemain mampu memberi sumbangan yang diharapkan.

"Saya yakin ketiga-tiga penyerang kami mampu memenuhi tugas mereka dalam memastikan kami pulang dengan bekalan selesa sebelum pertemuan kedua.

"Zairo juga menjadi harapan kami untuk membuahkan sesuatu seperti yang dilakukannya ketika menentang Selangor pada perlawanan suku akhir pertama," katanya.

Namun, Sheikh Ahmad Tajuddin juga mahukan benteng pertahanan yang diterajui Marzuki Yusof bersama Mohd Muhaimin Omar, Sharizam Mohd dan Md Shahrul Ezrain, mengekang barisan serangan lawan daripada melakukan percubaan bahaya ke arah gawang gol.

Haji Hadi Di Label Pemimpin Bermasalah?

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak terguris dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang melabel beliau dan tiga lagi pemimpin kanan parti itu sebagai ‘bermasalah.’

Sambil menganggap ia perkara kecil, Abdul Hadi menegaskan, kenyataan Nik Aziz itu tidak menjejaskan kewibawaannya sebagai Presiden parti.

"Tidak timbul langsung. Saya tidak rasa terguris. Ia perkara kecil," katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen, semalam.

Sabtu lalu, Nik Aziz mahu Pas mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi menyelesaikan masalah dalaman parti itu, termasuk menukarkan pemimpin utamanya.

Nik Aziz tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno yang dikatakan disokong Abdul Hadi, Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

Ketika diminta mengulas harapan beliau terhadap mesyuarat khas Jawatankuasa Pas Pusat esok, Abdul Hadi hanya berkata, insya-Allah berulang kali tanpa menjawab soalan pemberita dan meminta pemberita yang bertalu-talu bertanya mengenai kemelut Pas membaca kenyataannya yang disiarkan menerusi Harakahdaily.

Sementara itu, Mustafa juga menganggap tindakan Nik Aziz menamakan beliau antara tiga pemimpin bermasalah tidak menjejaskan kredibilitinya sebagai pemimpin parti dan tidak memberi kesan kepadanya walaupun isu itu menimbulkan pelbagai reaksi kepemimpinan parti dan peringkat akar umbi.

Ditanya sama ada beliau tidak terasa dengan teguran pemimpin tinggi parti, Mustafa berkata, beliau pernah dikecam pelbagai tuduhan tetapi ia tidak memberi kesan kepadanya.

“Secara jujur saya tidak rasa apa-apapun berbanding yang lepas. Ini tak ada apa sebenarnya, walaupun Tok Guru (Nik Aziz) sebut nama macam tu, tak ada apa-apa, saya tak terluka langsung,” katanya.

Moral : Jangan kata pada orang ( jangan cara hal orang) akhirnya terkena batang hidung sendiri.

Isnin, Oktober 26, 2009

Selangor Menangis Akibat Cakap Besar

K. Devan seperti bercakap besar Selasa lalu dengan mengatakan Selangor tetap akan layak ke perlawanan akhir tetapi takdir telah menetapkan bahawa Selangor terkandas di tangan Terengganu pada suku akhir kedua bola sepak Piala Malaysia, kelmarin.

Jurulatih Gergasi Merah ini juga akur untuk menelan semula cakapnya setelah Sharbinee Allawee menyekat sepakan penalti penentuan Nasriq Baharum sebelum penjaga gol Terengganu itu memastikan tuan rumah mara ke separuh akhir dengan 5-4, menewaskan Hamsani Ahmad.

Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu menyaksikan pertarungan dramatik yang jelas dikuasai Merah Kuning biarpun kedua-dua pasukan terikat 1-1 atau secara agregatnya, 2-2 termasuk sehingga 30 minit masa tambahan.

“Kami bermain lebih baik, mencipta peluang dan menguasai perlawanan berbanding lawan tetapi hanya penyudah yang tidak menjadi,” katanya yang terlepas untuk mencipta sejarah sebagai jurulatih pemenang empat gelaran selepas merangkul Piala Sultan Ahmad Shah, Piala FA dan Liga Super, musim ini.

“Aksi itu sudah membuktikan bermain di gelanggang sendiri mahupun lawan tidak mengubah persembahan Selangor (sejak suku akhir pertama, Selasa lalu),” katanya yang tetap menurunkan Safee Sali sebagai penyerang tunggal dan merehatkan gandingannya, Rudie Ramli dalam kesebelasan utama.

Namun petanda awal kejatuhan Selangor sudah tiba pada minit ke-12 lagi menerusi sungkitan cantik Abdul Manaf Mamat dari sebelah kiri sebelum R. Surendren melegakan pelawat dengan tolakan penyamaan yang menembusi Sharbinee, hampir sejam kemudian.

Kemaraan Terengganu kini membawanya menghampiri sejarah menjulang trofi teragung bola sepak negara itu pada 2001 tetapi menantinya pada separuh akhir ialah Negeri Sembilan - pasukan yang belum kalah sejak peringkat kumpulan lagi.

Terengganu yang juga naib juara Piala Malaysia 1973, 1982 dan 1998, kalah kedua-dua perlawanan peringkat Kumpulan B kepada anak buah Wan Jamak Wan Hassan itu di Seremban dan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, musim ini, 1-0 dan 2-0.

Namun skuad bimbingan Ken Worden itu mempunyai alasan mengapa mereka kalah - terpaksa bermain dengan 10 orang kerana kad merah di Stadium Tuanku Abdul Rahman pada 3 Oktober malah cuma menurunkan barisan simpanan di Kuala Terengganu, 10 hari kemudian.

Ahad, Oktober 25, 2009

Bersatu


Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, yakin Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus kekal memerintah Terengganu selepas pilihan raya umum akan datang, berdasarkan senario terbaru politik di negeri ini yang menyaksikan perpaduan lebih kukuh di kalangan pemimpin Umno yang menjadi tunggak BN.

Beliau berkata, jika keadaan ini berkekalan, tidak ada ruang bagi pihak pembangkang untuk berkuasa semula di negeri ini, apatah lagi rekod lalu jelas menunjukkan ia gagal mentadbir negeri ini selepas diberi peluang memerintah negeri ini pada 1999 hingga 2004.

“Saya boleh katakan Umno akan memenangi semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Kemaman, Besut dan Setiu. Kita juga boleh menang dengan selesa di bahagian-bahagian lain dan seterusnya membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.



Beliau berkata demikian sebagai reaksi spontan berikutan ikrar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Haji Ramlan Ali, yang berikrar untuk taat setia kepada Menteri Besar dan saf kepimpinan Umno negeri selaras dengan gesaan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, supaya pemimpin dan ahli Umno bersatu bagi menguatkan parti.

Terdahulu Haji Ramlan memohon maaf secara terbuka kepada Dato’ Ahmad dan Ketua Umno Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee, kerana tindak tanduknya sebelum ini menunjukkan sikap kurang hormat kepada pemimpin tersebut.

Dalam ucapan sempena sambutan Aidilfitri peringkat DUN Jabi, Ramlan melahirkan kekesalannya kerana membelakangi saf kepimpinan bahagian dan negeri dan berjanji ia tidak akan berulang.


Penduduk dalam kawasan Parlimen Setiu menyambut baik kedatangan Menteri Besar Terengganu ke kawasan mereka bagi mengukuhkan silaturrahim.

Sebaliknya, Ramlan yang turut dikaitkan dengan peristiwa memboikot Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lama dulu sebagai protes kepada kepimpinan Dato’ Ahmad, memberi jaminan akan membantu menguatkan Umno di semua peringkat.

Menteri Besar berkata, kesediaan Adun berkenaan memberi kerjasama penuh kepada kepimpinan kerajaan sekarang ini akan memantapkan lagi pentadbiran negeri.

Beliau menyifatkan langkah tersebut juga sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan Umno, selaras dengan kehendak Datuk Seri Mohd Najib dan membantu kepimpinan negeri menguatkan kedudukan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Penjaga Gol Terengganu Menjaring Gol Kemenangan

Dia yang menyelamatkan gol dan dia yang menjaring gol kemenangan.

PENJAGA gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee menghancurkan impian Selangor menyapu bersih empat gelaran domestik, musim ini apabila menyempurnakan penentuan sepakan penalti, malam tadi untuk menjulang pasukan mara gah ke separuh akhir Piala Malaysia, musim ini dengan keputusan 5-4 selepas terikat agregat 2-2.

Turut layak ke kelompok empat terakhir adalah Negeri Sembilan, Kelantan dan Perlis yang masing-masing merakamkan kemenangan selasa.

Sharbinee, sebelum itu menyelamatkan sepakan Nasriq Baharom tampil untuk mengambil sepakan terakhir yang diarahkan ke bucu kanan Hamsani Ahmad - sekali gus menggamatkan penyokong yang membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Terdahulu perlawanan terikat 1-1 sehingga masa tambahan dengan tuan rumah mendahului menerusi Abdul Manaf Mamat minit ke-12 sebelum Selangor menyamakan kedudukan menerusi R Surendran minit ke-62.

Terengganu akan bertemu Negeri Sembilan pada separuh akhir pertama, Selasa ini. Negeri Sembilan menjaringkan tiga gol pada babak pertama permainan bagi memastikan slot separuh akhir milik mutlak mereka dengan kemaraan agregat 5-0 mengatasi Kuala Muda Naza di Alor Setar.

Untuk Selangor Balik Berlatih Bersungguh-sungguh.

Sabtu, Oktober 24, 2009

Stadium Dijangka Penuh Sesak Malam Ini

Di jangka rakyat Terengganu dari Besut & Dari Kemaman sedang menuju ke Bandaraya Kuala Terengganu untuk meyaksi perlawanan bolak sepak terhebat pada malam ini. Rakyat Terengganu di pahang, di Kelantan & di Kuala Lumpur turut pulang untuk memberi sokongan pasukan Terengganu. Orang ramai sedang berebut-rebut untuk membeli tiket.

Walaupun Selangor dilihat menjadi pilihan, Terengganu mempunyai keyakinan untuk mencipta kemenangan pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), di sini malam ini.

Skuad Red Giants memiliki kelebihan berbanding Terengganu meskipun kedua-dua pasukan terikat dengan kedudukan 1-1 pada pertemuan pertama di Shah Alam, Selangor Selasa lalu.

Selangor juga sedang memburu gelaran ketiga musim ini selepas Piala FA dan Liga Super selain mempunyai rekod sebagai juara Piala Malaysia sebanyak 32 kali.

Terengganu pula hanya pernah sekali menggondol gelaran juara Piala Malaysia iaitu pada tahun 2001 sejak piala itu diperkenalkan pada tahun 1921 lalu.

Pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super musim ini menyaksikan Terengganu tewas 1-3 di Shah Alam tetapi menang 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Namun begitu, pengurus Terengganu, Sheikh Ahmad Tajuddin Yusoff berkeyakinan untuk menang dalam perlawanan kedua mereka.Dia berkata, keyakinan itu berdasarkan kemampuan yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya."Selepas seri 1-1 di tempat lawan, saya melihat kelebihan memihak kepada pasukan kami.

"Selain bermain di gelanggang sendiri yang bakal disaksikan penyokong setia, kami juga memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan," katanya.

Kata Sheikh Ahmad Tajuddin, prestasi skuad kendalian Ken Worden itu juga berada pada tahap terbaik dan kesihatan semua pemain disahkan cergas.Katanya, berdasarkan pada persembahan di Stadium Shah Alam itu, dia yakin anak-anak buahnya mampu mencatat keputusan yang baik.

"Saya harap pemain-pemain akan lebih bersemangat bermain di stadium lama (Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah) dan di hadapan penyokong sendiri," katanya.

Jumaat, Oktober 23, 2009

Cerai Kerana Ikan Singgang

“Ada kes cerai membabitkan pasangan Islam di negeri ini hanya berpunca daripada lauk ikan singgang, ketika mula berkahwin dulu, hidangan itu menjadi penambat kasih, tetapi selepas beberapa tahun ia dijadikan alasan untuk bercerai,” kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh yang kesal dengan peningkatan kes perceraian di negeri ini.

Menurutnya, kebanyakan pasangan terbabit memberikan alasan pelik dan tidak masuk akal untuk bercerai sedangkan jika dirujuk kepada kaunselor, masalah berkenaan akan dapat ditangani.
Katanya, sepanjang Januari hingga Mei saja, sebanyak 597 kes perceraian dilaporkan Terengganu dan meningkat sebanyak 3.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Sebahagian besar daripada pasangan bercerai itu sebenarnya sudah tidak mempunyai persefahaman dan mengabaikan tanggungjawab terhadap rumah tangga.


“Pasangan diselubungi kebosanan sentiasa menggunakan pelbagai alasan untuk menyalahkan pasangan dan selepas itu berlaku adegan ungkit-mengungkit sebelum disusuli pertengkaran yang diakhiri dengan lafaz cerai,’’ katanya

Khamis, Oktober 22, 2009

Gol Selangor Terkena Tangan?

Namun, jurulatih Selangor, K. Devan masih berani menyatakan: "Kami akan ke perlawanan akhir. Anda peganglah kata-kata saya ini.

"Jika lawan boleh menjaringkan gol di sini, mengapa tidak kami pula melakukannya (apabila ke Kuala Terengganu, Sabtu ini) malah dengan kualiti pemain dan pasukan yang Selangor miliki.''

Naib juara 2008 di ambang tersingkir apatah lagi skuad Penyu lebih selesa kerana hanya perlu seri tanpa jaringan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah nanti untuk mara ke separuh akhir berdasarkan peraturan gol di tempat lawan jika terikat secara agregat.

Malah, jika gol pendahuluan menerusi Amri Yahyah pada minit ke-21 yang seolah-olah terkena tangannya terlebih dulu dibatalkan pengadil, Selangor mungkin terpaksa berputih mata dalam perlawanan yang disaksikan hampir 10,000 penonton itu.

Rekod pertemuan terakhir mereka di Kuala Terengganu dalam Liga Super lalu menyebelahi tuan rumah 2-1 sekali gus menuntut Devan dan anak-anak buah memanfaatkan rehat tiga hari menjelang suku akhir kedua dengan sesi latihan yang lebih keras.

Jurulatih Terengganu, Ken Worden sendiri tidak percaya anak buahnya mampu mengekang kegarangan Selangor 1-1 apatah lagi tanpa membuat sebarang pertukaran pemain dalam suku akhir pertama bola sepak Piala Malaysia, kelmarin.

"Ia satu keputusan menakjubkan. Saya pun tidak percaya yang kami mampu bertahan dengan Selangor walaupun dalam beberapa segi, saya juga sedih (dengan bekas pasukan bimbingannya).

"Namun ia tidak membawa sesuatu makna yang istimewa kerana dapat menewaskan bekas pasukan saya cuma ia lebih bererti kerana beroleh keputusan yang positif buat Terengganu," katanya, semalam yang turut mengakui lega dapat menurunkan tiga pemainnya baru pulih daripada kecederaan urat pelipat lutut.

Gol penyamaan cantik pemain tengah, Zairo Anuar Zalani menerusi sepakan bebas sejauh 40 meter yang tidak dapat ditangkis Hamsani Ahmad, ternyata menyelamatkan Terengganu untuk mengharungi 90 minit lagi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dengan sedikit selesa.

Terengganu Negeri Selamat

Polis Kontinjen Terengganu berjaya menurunkan indeks jenayah sebanyak 12 peratus dan menyelesaikan 60 peratus kes sepanjang 10 bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jumlah itu bukan saja melebihi sasaran awal penurunan sebanyak 10 peratus daripada 4,741 kes tahun lalu kepada 4,276 kes tahun ini, malah membanggakan warga kerjanya dan orang awam sekali gus menjadikan Terengganu sebagai negeri selamat.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata pencapaian memberangsangkan itu diperoleh hasil kerjasama padu semua lapisan masyarakat termasuk pembabitan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung; Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dalam membantu tugas polis membanteras dan membendung jenayah.

"Kita akan teruskan pendekatan polis dan masyarakat bersama mencegah jenayah menerusi pelbagai program dan kempen membabitkan pihak lain seperti bank, pelajar dan agensi kerajaan serta swasta.

"Mulai bulan depan, kita akan turun ke sekolah dan mengaktifkan semula Pegawai Perhubungan Sekolah untuk mengendalikan program seperti ceramah dan kempen di kalangan pelajar," katanya pada majlis sambutan Aidilfitri Polis Kontinjen Terengganu di sini, semalam.

Begitupun katanya, jumlah kes jenayah membabitkan remaja berusia antara 15 hingga 25 tahun masih lagi tinggi dan merangkumi 60 peratus daripada keseluruhan kes tahun ini.

Katanya, antara kes yang sering dikaitkan dengan golongan terbabit seperti samseng jalanan, dadah, curi dan rogol.

"Kebanyakan kes ini membabitkan remaja luar bandar dan ia berpunca kerana kurangnya pengawasan daripada ibu bapa.

"Ada kes samseng jalanan menunjukkan keluarga tidak ambil kisah dan tidak tahu ke mana anak mereka keluar pada waktu malam, jadi disebabkan tiada pengawasan inilah remaja bebas bergaul dan terpengaruh dengan rakan melakukan aktiviti tidak sihat," katanya.

Rabu, Oktober 21, 2009

Selangor Merana

SELANGOR seakan-akan sengaja memilih jalan sukar untuk mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas sekadar seri 1-1 dengan Terengganu pada aksi suku akhir pertama di Stadium Shah Alam malam tadi.

Selangor terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-20 selepas ketua pasukan, Amri Yahyah pantas menolak masuk bola hantaran P. Gunalan dari sebelah kiri untuk mene- waskan penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee.

Terengganu bagaimanapun hanya memerlukan tiga minit untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma cantik Zairo Anuar Zalani dari jarak 35 meter yang gagal ditepis keluar penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.

Skuad Gergasi Merah nyaris memperoleh gol kedua pada minit ke-42 tetapi sepa- kan lambung R. Surendren sempat ditepis keluar Shar- binee.

Babak kedua bermula, Terengganu pula dilihat garang memburu gol dan usaha itu hampir berjaya pada minit ke-50 tetapi rembatan Asha- ari Shamsuddin ditepis keluar oleh Hamsani.

Terdesak mencari gol tambahan, jurulatih Selangor, K. Devan memasukkan Rudie Ramli pada minit ke-72 dan D. Surendran dua minit kemudian.

Jurulatih Terengganu, Ken Worden pula terus yakin dengan kesebelasan utama yang diturunkannya tanpa sebarang pertukaran dan kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Sabtu, Oktober 17, 2009

Terengganu Sekali Lagi Mendahului

Terengganu sekali lagi mendahului dalam bidang pendidikan apabila memperkenalkan kaedah pembelajaran al-Quran secara elektronik dengan menggunakan I-Iqraq untuk pelajar negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata alat elektronik yang menyamai komputer riba itu mengandungi 30 juzuk Al-Quran di samping surah lazim untuk memudahkan kanak-kanak mahupun orang dewasa mempelajari tajwid dan hukum secara tepat.

"Sebagai permulaan, Yayasan Islam Terengganu (YIT) telah memperkenalkan I-Iqraq ini kepada murid-murid kelas bimbingan, kanak-kanak (Tadika) YIT di negeri itu sejak tiga bulan lalu.

"Setiap kelas dibekalkan dengan seunit alat ini dan melalui kaedah itu pembelajaran al-Quran akan lebih mudah untuk dipelajari kerana ia turut dilengkapi suara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Khatam Program Pintar Al-Quran kanak-kanak Tadika peringkat negeri Terengganu 2009, di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.

Seramai 4,622 kanak-kanak Tadika berusia lima dan enam tahun yang berjaya khatam Al-Quran tahun ini diraikan pada majlis itu.

Ini adalah tahun keempat YIT menganjurkan majlis sedemikian dan jumlah kanak-kanak yang berjaya menghabiskan bacaan 30 juzuk al-Quran pada tahun ini meningkat sekali ganda berbanding 2,066 pada tahun lalu.

Ahmad berkata, I-Iqraq akan dijual kepada orang ramai tidak lama lagi menerusi syarikat yang dilantik kerajaan negeri dengan harga RM1,988 seunit dan akan diperluaskan ke seluruh negara pada masa akan datang

Terengganu Yakin Atasi Selangor

SELANGOR mungkin pasukan terhandal di negara buat masa ini, namun juara Liga Super dan Piala FA itu tidak digeruni Terengganu.

Malah, pengurus pasukan Pantai Timur itu, Shaikh Ahmad Tajuddin Shaikh Yusoff, berkata Terengganu dengan rela hati berjumpa Selangor di peringkat suku akhir Piala Malaysia, Selasa depan.

Katanya, jika tidak, masakan jurulatih, Ken Worden, membuat keputusan untuk menurunkan tenaga simpanan untuk membantu lima pemain utama dalam perlawanan Kumpulan B menentang Negeri Sembilan yang berkesudahan dengan Terengganu tewas 0-2.

“Walhal, kami sudah sedia maklum yang Terengganu berupaya menjuarai Kumpulan B sekiranya menang ke atas Negeri Sembilan dan dapat mengelakkan diri daripada bertemu Selangor di pusingan suku akhir.

“Memang bukan niat kami untuk sengaja tumpas tapi kami memilih untuk tidak menurunkan skuad terkuat untuk memberi peluang kepada pemain simpanan mendapat pengalaman bermain daripada wisel permulaan hinggalah ke penamat,” katanya.

Kata Shaikh Ahmad lagi, jadual pertandingan Piala Malaysia yang amat ketat memaksa jurulatih merehatkan beberapa pemain utama kerana ada di antara mereka yang sudah terlalu keletihan dan tertekan.

“Beberapa pemain yang sudah menerima dua kad kuning terpaksa direhatkan untuk tidak menghadapi risiko digantung perlawanan dan ada juga pemain yang kami tidak turunkan supaya mereka tidak mendapat kecederaan.

“Apa yang penting, pasukan kami kini bersedia untuk bertandang ke Stadium Shah Alam dan kami semua tidak akan melepaskan peluang untuk mengakhiri pembabitan Selangor dalam pertandingan yang pernah mereka juarai sebanyak 32 kali,” katanya.

Khamis, Oktober 15, 2009

TAX 1

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu akan membuka tawaran tender nombor pendaftaran kenderaan TAX 1 hingga TAX 999 bermula hari ini sehingga 3 November depan.

Pengarahnya, Abdul Rahman Embong berkata, orang ramai yang berminat untuk mendaftarkan nombor pendaftaran TAX boleh mendapatkan borang tender tersebut melalui JPJ negeri dan cawangan serta melalui laman web JPJ.

Katanya, setiap penender perlu meletakkan nilai bidaan dan deposit sebanyak 30 peratus (akan dipulangkan jika tidak berjaya) akan dikenakan daripada nilai tawaran tender serta caj perkhidmatan yang dikenakan sebanyak RM10.

Katanya, nombor pendaftaran TAX dijangka mendapat sambutan menggalakkan terutama kepada mereka yang meminati nombor-nombor tertentu untuk kenderaan masing-masing.

Beliau berkata, pada masa ini nombor pendaftaran TAN 1 merupakan tawaran bidaan tertinggi di negeri ini, malah turut mencatatkan harga paling tinggi ditawarkan di negara ini yang bernilai RM200,090.00.

''Nombor plat tersebut dibeli oleh individu dari Johor Bahru,'' katanya ketika ditemui di ibu pejabat JPJ di sini hari ini.

Mengenai kutipan pelbagai hasil, beliau berkata, sejak Januari hingga September lalu, sebanyak RM42.454 juta berjaya dikutip .

Katanya, hasil kutipan tertinggi dikutip ialah lesen kenderaan bermotor yang berjumlah RM27.165 juta diikuti lesen memandu kenderaan RM4.947 juta.

Abdul Rahman berkata, jumlah kutipan tersebut dijangka terus meningkat kepada lebih RM54 juta sehingga akhir tahun ini.

Rabu, Oktober 14, 2009

Siswa Asmara


Memalukan. Pasangan kekasih gelap di bandar raya ini menjadikan tempat letak kereta Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) yang ditutup sementara berikutan sebahagian bumbung runtuh sejak Jun lalu, sebagai lokasi melepaskan nafsu dan melakukan perbuatan tidak bermoral.

Perbuatan pasangan kekasih yang majoritinya adalah penuntut beberapa institusi pengajian tinggi sekitar bandar raya Kuala Terengganu dilakukan tidak mengira masa baik ketika waktu pagi, tengah hari dan petang. Aksi panas menjadi lebih hangat ketika malam dengan memanfaatkan persekitaran sunyi sepi.

Dalam operasi terbaru Jabatan Hal Ehwal Terengganu (JHEAT) minggu lalu, mereka menahan seorang pemandu kereta dan pasangannya sedang melakukan kegiatan `ringan-ringan’ berada dalam keadaan mengaibkan.

Seperti dijangka, seorang daripada yang ditahan adalah remaja perempuan berusia 19 tahun yang juga penuntut sebuah IPT swasta, manakala pasangannya seorang lelaki sudah berkahwin berusia 30-an.

Penyelia kebersihan di kompleks sukan berkenaan, Bibi Zarina Hashim, 39, berkata kawasan itu kini menjadi tumpuan selepas beberapa kawasan di sekitar pantai berdekatan yang sebelum ini menjadi `port' muda muda bercumbu diserbu pihak berkuasa.

Selasa, Oktober 13, 2009

Terengganu Tawar Bulan Madu Kedua

Kerajaan Terengganu memperkenalkan Program Bulan Madu Kedua kepada pasangan bermasalah yang berkahwin antara tempoh satu hingga lima tahun supaya menjadi platform terbaik kepada mereka untuk memperkukuhkan kembali keharmonian rumah tangga.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Ashaari Idris, berkata program percuma dikendalikan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) itu diadakan khusus untuk pasangan suami isteri di negeri ini yang menghadapi masalah rumah tangga.

Katanya, projek perintis program itu sudah sudah diadakan di Pulau Kapas, Marang selama dua hari tiga malam membabitkan 25 pasangan dua bulan lalu bukanlah berkonsepkan ceramah dan memberi kaunseling semata-mata, tetapi turut merangkumi modul pengukuhan perhubungan suami isteri.

"Program ini bukan diadakan disebabkan kes perceraian yang tinggi di Terengganu tetapi disandarkan kepada kesedaran bahawa dalam tempoh lima tahun pertama perkahwinan, waktu ini dianggap masih kritikal dan peringkat awal cabaran hidup berumah tangga serta pelbagai kemungkinan berlaku.

"Justeru kita adakan semula orientasi dan menetapkan matlamat perkahwinan kepada mereka dengan keutamaan memperkukuhkan institusi rumah tangga dan mengekalkan keharmonian," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, sepanjang program terbabit, peserta didedahkan dengan pelbagai maklumat mengenai kehidupan berumahtangga, pengurusan kewangan, psikologi dan kerohanian menerusi pendekatan dua hal dan bukan ceramah sehala.

Bagaimanapun katanya, program berkenaan masih belum dilancarkan secara rasmi dan bergantung kepada penilaian semula dengan menambah baik beberapa modul pelancaran.

"Namun daripada maklum balas diterima, pasangan terbabit memberitahu program berkenaan amat menarik dan mencapai matlamat ditetapkan, malah mereka mengharapkan program susulan kerana menerusi program sebegini dapat mengeratkan hubungan suami isteri dalam memahami kehidupan berumahtangga," katanya tanpa menyatakan bilangan perkahwinan yang dapat diselamatkan daripada program itu setakat ini.

Yusof Nor, Pengerusi TV Al Hijrah

Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dilantik Pengerusi Alhijrah Media Corporation, peneraju operasi TV Islam pertama negara, TV Alhijrah yang dijangka memulakan siarannya awal tahun depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata Perdana Menteri bersetuju memilih Mohd Yusof kerana pengetahuan serta pengalaman luasnya dalam bidang agama.

Beliau yang juga Penasihat AlHijrah Media Corporation berkata, saluran TV Alhijrah yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Disember nanti memberi perspektif baru dalam dunia penyiaran negara selain menunjukkan komit men kerajaan mengangkat kedudukan program Islam.

“Selain menyiarkan program yang memenuhi aspirasi rakyat, TV Alhijrah juga menjadi landasan untuk menyebarkan syiar Islam kepada penonton, termasuk melalui hiburan yang berlandaskan syariat agama,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Saluran televisyen baru yang dikhaskan untuk televisyen Islam diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, yang juga penaung Alhijrah Media Corp, 11 Jun lalu.

Ia idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu saluran televisyen Islam milik kerajaan diwujudkan sebagai wadah menjelaskan perkara berkaitan agama di negara ini dengan lebih berkesan.

Sementara itu, Mohd Yusof berkata, pelantikannya sebagai Pengerusi Alhijrah Media Corporation adalah kewajipan yang perlu untuk memenuhi harapan masyarakat terhadap televisyen Islam pertama negara.

Isnin, Oktober 12, 2009

Betul Ke Din Adam Diberi Jawatan Sebagai Balas Budi?

Di Bagan Pinang, ketika kempen sedang rancak berjalan, nama ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam tetap menjadi sebutan.

Kali ini, kedengaran cerita mengatakan Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan bermurah hati untuk melantik Din, yang pernah menetang Rosli merebut jawatan ketua Umno bahagian akan diberikan (dilantik) jawatan Ketua Penerangan Umno bahagian.

Sejauh mana kebenaran cerita ini, tidak dapat dipastikan kerana Datuk Rosli yang dikatakan mengetuai jentera Umno Negeri Terengganu di Bagan Pinang tidak sempat ditemui untuk ditanya kesahihan cerita ini.

Dari senarai Jawatankuasa Umno bahagian, jawatan Ketua Penerangan disandang Saudara Mahasin Taib. Jika benar Rosli mahu melantik Din, apakah jawatan baru yang bakal diberikan kepada penyandang?

Dari segi implikasi perlantikan, ada dua. Pertama, ia membuktikan sikap Rosli yang lebih mementingkan perpaduan daripada pertelingkahan yang berpanjangan. Rosli mungkin tergugat tetapi tentunya Rosli memberi alasan kepentingan dan kekuatan Umno mengatasi dari kepentingan dan kekuatan peribadi Rosli sebagai ketua bahagian.

Kedua, ramai yang melihat, dalam Umno, jika mahukan jawatan, jadilah penentang. Biasanya orang yang menentang dan kaki buat kecoh dilayan lebih dari seorang ahli yang setia. Penyokong parti di peringkat bawah akan berfikiran, pemimpin mereka tidak perlu risau dengan mereka kerana rata-rata penyokong setia, tetapi kaki kecoh mesti dijaga supaya mereka tidak terus membuat kecoh.

Dalam perkembangan serupa, ahli Umno melihat bagaimana Datuk Ahmad Shaberry Chik yang pernah berada di dalam Parti Melayu Semangat 46 (S 46) dan menentang calon BN (Umno) dalam pilihan raya kecil DUN Kijal kini sudah menjadi Menteri Belia dan Sukan.

Begitu juga, ramai yang mengetahui sejarah Datuk Seri Dr. Rais Yatim pernah menjadi Timbalan Presiden S-46 dan berkali-kali bertanding kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri menentang BN di Negeri Sembilan, kini masih boleh kekal sebagai menteri kabinet, walau pemikirannya sudah tidak relevan lagi.

Dua contoh di atas, mungkin membuatkan penyokong Umno di Dungun tersentak dengan desas-desus ini, jika benar Datuk Rosli yang ditentang hebat oleh Din dalam pemilihan Umno bahagian tahun lalu, mahu memberi tempat kepada Din.

Sebagai ketua, Datuk Rosli mestilah mempunyai pertimbangan sendiri mengapa beliau perlu melantik seorang yang mempunyai rekod hitam dalam sejarah ‘memboikot sidang DUN Terengganu’ menjadi Ketua Penerangan Umno Bahagian Dungun, tetapi dalam masa yang sama, Rosli kenalah berfikir semasak-masaknya sebelum membuat sesuatu keputusan besar sebegini.

Ingat! Sebijak-bijak pelanduk, pelanduk sering melupakan jerat tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk. Kata orang, luka yang sembuh tetapi parut tetap ada. Tindak-tanduk Din yang pernah dilantik menjadi Exco Belia dan Sukan sebenarnya melukakan ramai orang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein khabarnya telah melantik Din menjadi Pegawai Khas kepadanya di Kementerian Dalam Negeri. Mustahak betul rupanya Din dalam senerio politik Malaysia dan politik Terengganu.

Jika Din tidak menjadi anggota Geng 10, khabarnya tiada siapa yang mahu mengenali Din. Malahan, ramai penduduk dalam DUN Bukit Besi sudah mula bersungut dengan Din yang dikatakan jarang berada di kawasan sendiri kerana mendiami banglo di Kuala Terengganu.
Malahan, Din pernah didakwa bersikap biadap dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said apabila dia dipelawa menjadi Exco di bawah kepimmpinan baru – menolaknya melalui orang lain.

Din juga dikatakan antara ADUN dari Terengganu yang bercakap lepas dan celupar di depan Menteri Dalam Negeri ketika pertemuan semua ADUN dengan Hishammuddin dibuat di Kementerian Dalam Negeri.

Ketika Geng 10 dilihat sudah berpecah, mereka yang setia kepada Umno di Terengganu sudah mula bercakap, kenapa terlalu banyak jawatan mahu diberikan kepada Din apabila dia mengangkat ‘bendera putih’ dan mengaku taat setia kepada Sultan Terengganu?

Adakah ini merupakan upah kepadanya untuk dia menutup mulut atau ada orang yang takut dengan pengaruh Din Adam di Dungun dan di Terengganu?

Bekas ‘Setiausaha Politik’ Din ketika dia menjadi Exco Kerajaan Negeri Terengganu dahulu, Abdul Mubin Ismail yang mengelolakan blognya http://jaranganakmelayu.blogspot.com khabarnya meloncat-loncat marah dengan tindak-tanduk Din yang dianggapnya ‘orang pendek ni memang tidak boleh dipercayai’.

Seorang kenalan dari Terengganu memberitahu, Abdul Mubin menangis tidak berhenti-henti mendengar khabar yang Din mahu meninggalkan Geng 10. Maklumlah, selama ini, penulisan Abdul Mubin dalam blognya memberi gambaran bahawa Geng 10 ini membawa obor perjuangan istimewa manakala Datuk Ahmad Said pula merupakan seorang Menteri Besar yang terlalu bermasalah.

Tidak pula ada sesiapa yang memberitahu, apakah selera makan Abdul Mubin makin berkurangan sekarang apabila Din ‘meninggalkan Geng 10’ dan bolehkah Abdul Mubin lena seperti lena orang-orang sihat sejak dua menjak ini.

Kesihan juga Abdul Mubin jika selera makannya berkurangan, lenanya terganggu akibat tingkah laku Din ini kerana jika kesihatannya terganggu akibat tidak ada selera makan dan tidak lena tidur, akan menyebabkan dia tidak mampu menulis dan update blognya yang dikatakan sudah semakin popular kebelakangan ini.

Dalam tulisan-tulisannya, jika ada bumbung stadium runtuh, itu adalah bala dari Tuhan kerana kepimpinan Datuk Ahmad Said tidak diberkati.

Abdul Mubin tidak pula menulis mengapa bumbung stadium runtuh walaupun baru setahun digunakan dan pembinaannya dimulakan dalam zaman pemerintahan Datuk Seri Idris Jusoh.

Abdul Mubin menulis kononnya Datuk Ahmad Said tidak pandai berbahasa Inggeris tetapi tidak pula dia menulis apakah dia pernah mendengar Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bercakap dalam bahasa Inggeris.

Abdul Mubin juga mendakwa Datuk Ahmad pernah mengajak seorang wakil rakyat Pas bertumbuk di luar Dewan Undangan Negeri tetapi dia tidak menulis mengapa Datuk Ahmad yang ketika itu Exco Kerajaan Negeri di bawah Idris – mencabar wakil rakyat Pas itu berjumpa di luar kerana mempertahankan kerajaan negeri di bawah Idris yang dianggap oleh ADUN Pas itu sebagai lebih zalim dari Yahudi.

Hari ini, jika benar Din Adam dilantik menjadi Ketua Penerangan Umno Bahagian Dungun, mudah-mudahan dia akan bergerak dari satu DUN ke satu DUN di bawah Parlimen Dungun untuk memberi penerangan mengapa dia terlibat dengan Geng 10 hingga menimbulkan desas-desus mengatakan dia menderhaka kepada Sultan Terengganu dan bersikap biadap dengan kepimpinan di peringkat bahagian dan negeri.

Jika desas-desus ini tidak benar, cerita Datuk Rosli Mat Hassan menghadirkan diri di Jamuan Hari Raya anjuran ADUN Bukit Besi serta bermaaf-maafan dan berpeluk-pelukan juga tidak benar, saya yang mendengar cerita dari mulut ke mulut ini mahu memohon maaf kepada semua pembaca yang sering melayari blog ini.

Mudah-mudahan, ada pembaca yang mengetahui kisah sebenar menulis kepada blog ini untuk menjelaskan cerita sebenarnya supaya pembaca dan rakyat tidak terkeliru dengan cerita betul atau cerita separuh betul.

Yang penting, kepimpinan Umno harus juga memberi pertimbangan dan keadilan kepada ahli-ahli yang setia walaupun dalam masa yang sama mereka mahu mengajak ‘mereka yang tersesat di hujung jalan supaya balik ke pangkal jalan’.

(Daripada www. citra-bangsa.blogspot.com - tajuk asal ialah Din Adam…dapat banyak ‘jawatan’ sekarang)

Hati-hati Bila Beli Tanah

Sekumpulan lelaki dipercayai cuba mengaut keuntungan mudah dengan memalsukan geran tanah dan menawarkan iklan palsu melalui Internet konon mahu menjual lot tanah kepada individu tertentu terutama anak jati Kelantan yang ingin memiliki aset di negeri itu.

Sindiket berkenaan dipercayai mempunyai rangkaian terancang dan mensasarkan anak kelahiran negeri itu kerana maklumat berhubung tanah hendak dijual terutama berkaitan lokasi dan status tanah berkenaan memang wujud menyebabkan bakal pembeli mudah terpedaya walaupun hanya mengiklan melalui Internet.

Bagaimanapun, aktiviti jahat kumpulan itu terbantut apabila sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu diketuai Superintendan Azmi Adam terlebih dulu mengesan perbuatan mereka menyebabkan seorang daripada anggota kumpulan itu diberkas manakala bakinya menunggu masa untuk ditahan.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner II Hamzah Md Jamil berkata, kepantasan pihak berkuasa bertindak sebaik menerima maklumat membolehkan kegiatan penipuan itu disekat sekali gus mengelak lebih ramai mangsa kerugian besar.

Menurutnya, kejadian membabitkan kumpulan itu dilaporkan Khamis lalu apabila seorang pekerja sebuah syarikat minyak mendapati geran tanah diserahkan kepadanya dokumen palsu selepas menjalankan pemeriksaan di pejabat tanah untuk urusan pertukaran nama pemilik.

“Mangsa mulanya tertarik dengan iklan Internet itu pertengahan September lalu ketika dia yang berusia 39 tahun melayari Internet dan melihat iklan penjualan tanah di Bachok, Kelantan sebelum menghubungi nombor diberi untuk berbincang mengenai urusan harga.

“Tanah seluas satu lot itu ingin dijual pada harga RM20,000 tetapi selepas berbincang suspek bersetuju menjualnya pada harga RM15,000, malah hasil risikan mangsa untuk mendapatkan maklumat mengenai tanah itu turut dimaklumkan penduduk di lokasi dimaksudkan yang tanah berkenaan memang mahu dijual menyebabkan mangsa tidak sangsi,” katanya.
Katanya, maklumat mengenai tanah itu memang benar tetapi sindiket berkenaan mengambil kesempatan untuk memperoleh wang mudah dengan mengiklankannya melalui Internet selain memalsukan dokumen.

“Tindakan pantas mangsa membuat laporan patut dipuji kerana dapat menyelamatkan lebih ramai pihak menjadi mangsa, malah hasil maklumat diperoleh, kita menahan seorang lelaki berusia 58 tahun bagi membantu siasatan selain merampas wang tunai sebanyak RM4,900,” katanya.

difahamkan, mangsa membuat pertemuan dengan seorang ahli sindiket berkenaan sebelumDmenyerahkan RM15,000 di satu lokasi di bandar raya ini Khamis lalu sebelum diberikan geran tanah kemudian disahkan palsu.

Ahad, Oktober 11, 2009

RiyaPadu Saman RM1b Kerajaan Terengganu

Perbicaraan kes saman sebuah syarikat pembalakan Bumiputera terhadap kerajaan negeri Terengganu berjumlah RM1 bilion berhubung penamatan konsesi balak secara tidak sah yang sepatutnya bermula di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, ditangguh ke 17 Januari depan.

Penangguhan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Ahmad Zaidi Ibrahim di dalam kamar.

Syarikat Riyapadu Sdn Bhd (Riyapadu) diwakili peguam R Sukhdev Singh dan Mohamad Fariz Mohd Ali manakala kerajaan negeri Terengganu diwakili Penasihat Undang-undang Negeri, NoorBahri Baharuddin.

Dalam writ saman yang difailkan pada Disember 2007, syarikat itu berkata pada 3 April 2003, ia menandatangani perjanjian konsesi melalui tender terbuka mengambil hasil hutan di kawasan seluas 16,587 hektar di Mukin Tembat dan Petuang, Hulu Terengganu.

Melalui perjanjian dengan kerajaan negeri yang ketika itu diperintah Pas, Riyapadu diberi kebenaran mengambil kayu balak dan hasil hutan di kawasan itu dan bersetuju membayar kerajaan negeri RM25 juta sebagai premium pembalakan.

Syarikat itu mendakwa telah menjelaskan bayaran premium RM20 juta pada 9 April 2003 dan RM5 juta pada 5 Julai tahun yang sama dan bersedia menjelaskan bayaran premium selanjutnya melalui bank.

Namun apabila bank pembiaya Riyapadu memohon pengesahan bertulis kerajaan negeri pada masa itu, kerajaan negeri enggan memberi sebarang kerjasama dan menamatkan konsesi balak berkenaan.

Setelah menamatkan konsesi tersebut, kerajaan Pas negeri didakwa bertindak merampas kayu-kayu balak yang telah ditebang dan dilelong kepada pihak lain tanpa persetujuan syarikat.

Riyapadu mendakwa lelongan itu membolehkan kerajaan negeri memperolehi hasil hampir RM10 juta, selain mendapat hampir RM20 juta lagi hasil lelongan di kawasan konsesi lain yang infrastruktur jalan di kawasan terlibat telah diusahakan oleh Riyapadu.

Berikutan pelanggaran perjanjian itu, Riyapadu mendakwa dibebani hutang melebihi RM8 juta dengan kontraktor dan pembeli balak selain kerugian bayaran premium RM25 juta yang telah dijelaskan selain berdepan tindakan undang-undang oleh kontraktor dan pembeli balak terlibat.

Riyapadu mengemukakan saman itu bagi mendapatkan semula bayaran premium RM25 juta, kos kewangan dan kehilangan keuntungan dijangka hampir RM1 bilion

Empangan Baru Di Terengganu

Tenaga Nasional Berhad (TNB) merancang membina dua empangan hidroelektrik baru, masing-masing satu di Hulu Terengganu, Terengganu dan Hulu Jelai di Pahang.

Naib Presiden (Sumber Manusia) TNB, Muhammad Razif Abdul Rahman, berkata empangan hidroelektrik yang akan dibina di Hulu Terengganu itu terletak di kawasan Sungai Tembat dan Sungai Puah dengan kapasiti 250 megawatt manakala empangan yang akan dibina di Hulu Jelai pula berkapasiti 372 megawatt.

Bagaimanapun, katanya, masih terlalu awal untuk mendedahkan anggaran kos dan keluasan kedua-dua empangan tetapi menjelaskan projek itu akan dimulakan dalam masa terdekat.

"Kedua-dua empangan hidroelektrik itu akan dibina serentak dan dijangka siap pada tahun 2014," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya TNB Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengurus Besar Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud, Kenyir dan Pengurus Besar TNB Terengganu, Ir Mohd Yuslan Mohd Yusof.

Muhammad Razif berkata, proses mengeluarkan tender kini diadakan.

Katanya, empangan yang akan dibina di Sungai Tembat dan Sungai Puah itu adalah empangan ketiga di Terengganu dan lebih kecil daripada empangan pertama iaitu Stesen Janaelektrik Sultan Ismail di Paka yang mengeluarkan tenaga dengan kapasiti 1,200 megawatt dan Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud, di Tasik Kenyir dengan kemampuan 400 megawatt.

Beliau berkata, pihaknya kini telah menerima kelulusan daripada Pejabat Hutan Terengganu untuk memulakan kerja-kerja pembersihan kawasan projek.

"Keperluan tenaga elektrik di Terengganu tidak banyak, mungkin dalam 300 megawatt sahaja. Jadi kita ada Stesen di Paka yang mampu mengeluarkan 1,200 megawatt dan Kenyir 400 megawatt. Kedua-duanya kita sambungkan kepada gred nasional untuk memberi bekalan tenaga ke seluruh negara," katanya.

Muhammad Razif berkata, pembinaan empangan hidroelektrik baru itu penting kerana matlamat kerajaan ialah untuk mempelbagaikan sumber tenaga di negara ini.

"Kita jangka dalam beberapa tahun akan datang, bukan sahaja kos bahan api terus meningkat, tetapi dari segi kesediaannya. Ada atau tidak, itu belum terjamin. Maka kerajaan menggalakkan kita melihat kepada sumber-sumber yang boleh diganti semula.

"Contohnya projek kincir angin dan kuasa solar hibrid yang menjadi salah satu sumber yang kita kenali sebagai sumber tenaga yang boleh diperbaharui dimulakan di Pulau Perhentian," katanya.

Terengganu ke Suku Akhir

Empat lagi bergelut cari dua slot terakhir ke suku akhir

LIMA pasukan - KL Plus, Negeri Sembilan, Terengganu, Johor FC dan Selangor mengiringi Kelantan layak ke suku akhir kejohanan bola sepak Piala Malaysia, malam tadi manakala identiti dua pasukan lagi bakal ditentukan, Selasa ini dengan empat pasukan mengintai slot berkenaan iaitu Perlis, Perak, Kuala Muda Naza dan Kedah.

Namun, kelebihan berpihak kepada Perlis, Perak dengan KM Naza dan juara bertahan, Kedah mengharapkan keajaiban dengan kelayakan mereka bergantung kepada tiga pasukan berkenaan kalah besar sambil memerlukan kejayaan dengan jurang tinggi ke atas Pulau Pinang.

Kumpulan B menyaksikan Negeri Sembilan mengesahkan kemaraan apabila meraih kemenangan 1-0 ke atas pasukan bermasalah, Sarawak di tempat lawan manakala Terengganu menang 4-2 ke atas Johor dengan hatrik jaringan Md Ashaari Shamsudin minit ke-45, 74 dan 85 serta satu jaringan Abd Manaf Mamat minit ke-78 untuk turut mengiringi Negeri Sembilan.

Sabtu, Oktober 10, 2009

Kerana Tidak Mengikut Prosedur


NORHAYATI melakonkan semula bagaimana dia melahirkan anak di dalam kereta yang disambut suaminya di Kuala Terengganu kelmarin.

Gara-gara permintaan untuk bersalin di sebuah klinik ditolak jururawat kerana tidak mengikut prosedur, seorang wanita, Norhayati Hambadley, 29, terpaksa melahirkan anaknya di dalam kawasan letak kereta klinik swasta tersebut di sini kelmarin.

Dalam keadaan yang mencemaskan itu, suaminya, Amrun Mamat, 58, terpaksa menjadi bidan untuk menyambut anak perempuan mereka sambil disaksikan jururawat klinik itu yang tidak memberi sebarang bantuan.

Menurut Norhayati, ketika kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu, dia dan suami serta tiga anaknya yang masih kecil datang ke klinik tersebut kerana saat kelahiran dirasakan terlalu hampir.


NORHAYATI menunjukkan anak bongsunya yang dilahirkan di dalam kereta kelmarin.


Namun jururawat klinik berkenaan menegaskan doktor bertugas tiada ketika itu dan mereka harus mengikut prosedur yang ditetapkan dan tidak boleh menerima pesakit sepertinya.

Lebih teruk lagi, jururawat itu juga tergamak membiarkan pasangan itu bersama tiga lagi anak mereka berusia antara tujuh hingga dua tahun terkial-kial menyambut kelahiran bayi seberat 3.1 kilogram itu kerana kepala bayi itu sudah terkeluar dari rahim Norhayati.

Rabu, Oktober 07, 2009

Terengganu Ratah Sarawak

MALAM berpesta jaringan.

Itu yang berlaku pada saingan Piala Malaysia yang sudah memasuki perlawanan pusingan kedua peringkat kumpulan malam tadi.

Pastinya kehebatan Terengganu menjadi tumpuan apabila pasukan dari Pantai Timur itu membelasah Sarawak 7-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Tuan rumah mendapat dua gol pertama pada minit ke-12 dan 37 menerusi Manaf Mamat.Gol ketiga Terengganu diperoleh menerusi Mohd Shazlan Alias Izwan minit ke-39 dan Manaf melakukan hatrik pada minit ke-50 untuk gol keempat sebelum Mohd Shazlan menambah koleksi jaringan pada minit ke-56 dan Ashaari Shamsuddin minit ke-82 dan 89.

Kemenangan itu terus mengukuhkan kedudukan mereka untuk memburu tempat ke pusingan suku akhir meskipun menghuni tangga kedua Kumpulan B di belakang Negeri Sembilan.


Selepas aksi semalam, Terengganu kini mengumpul sembilan mata, sementara Negeri Sembilan sudah meraih 12 mata selepas kemenangan 1-0 ke atas Johor.

Isnin, Oktober 05, 2009

Bila Pengadil Tak Adil

"KAMI tak marah pemain tetapi kami marah dengan pengadil."

Demikian luahan penyokong Terengganu yang kecewa apabila pasukan mereka tewas 0-1 kepada Negeri Sembilan pada saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Mereka mendakwa, kekalahan itu bukan disebabkan oleh pemain tetapi berpunca daripada pengadil, Mohd. Rahmat Jantan yang gagal mengawal permainan dengan bijak.

Ekoran daripada itu, suasana tegang berlaku hampir satu jam sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan.

Sebahagian daripada penyokong yang tidak berpuas hati meluru masuk ke kawa- san padang dan cuba menyerang pengadil ketika mereka berjalan ke bilik persalinan.

Tidak cukup dengan itu, penyokong setia skuad Penyu ini turut berkumpul di luar stadium sambil meluahkan rasa tidak puas hati mereka.

Malah, sepanjang perlawanan terutama pada babak kedua, beberapa letupan kuat berlaku apabila penyokong melemparkan mercun ke tengah padang.

Bagaimanapun, tindakan pantas pihak polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berjaya mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata, sebahagian daripada penyokong setia Terengganu tidak dapat menerima keputusan yang dibuat pengadil.

"Perlawanan Piala Malaysia adalah kemuncak dan dinanti-nanti oleh semua peminat bola sepak di tanah air kita.

"Apa yang berlaku hari ini (kelmarin) adalah disebabkan oleh tindakan sebahagian daripada peminat setia Terengganu yang tidak dapat mene- rima beberapa keputusan yang dibuat pengadil.

"Tetapi itu adalah hak pengadil untuk menentukan keputusan kerana mereka lebih tahu apa yang ingin dilakukan," katanya kepada pemberita kelmarin.

Che Mat memberitahu, meskipun penyokong tidak berpuas hati, mereka perlu menerima keputusan ini dan kekecewaan itu tidak perlu ditonjolkan dengan kekerasan.

Bagaimanapun katanya, pihak-pihak berkaitan terutamanya jawatankuasa pengadilan perlu meneliti keadaan ini.

Jelasnya, sama ada apa tindakan penyokong ini merupakan suatu tindakan yang tidak seharusnya dibuat atau ada kelemahan-kelemahan lain yang harus diperbaiki.

Sementara itu, jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, beliau tidak mahu menyentuh mengenai mutu pengadilan, sebaliknya memuji persembahan anak-anak buahnya.

Katanya, apa yang lebih penting adalah kemenangan dan membawa pulang tiga mata penuh.

"Sebagai pasukan pelawat, kami akan membuat laporan biasa kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terutamanya apabila terlalu banyak mercun yang dilemparkan ke tengah padang," kata- nya.

Anak Terengganu Gegarkan Dunia

Pelumba sensasi negara, Azizulhasni Awang menggegar persada basikal trek antarabangsa dengan menjuarai acara pecut pada satu kejohanan undangan yang disertai jaguh-jaguh dunia di Colombia, kelmarin.

Lebih manis kejayaan di Gran Caracol de Pista Medellin (Grand Prix Medellin) itu dicipta dengan menewaskan pelumba Perancis yang juga juara dunia, Gregory Bauge pada perlumbaan akhir.

Bauge adalah pelumba yang menewaskan Azizulhasni pada perlumbaan akhir acara sama dalam Kejohanan Trek Dunia dekat Pruzskow, Poland, Mac lalu.

"Saya puas dan gembira kerana berjaya membalas dendam ke atas Bauge apatah lagi dalam keadaan saya sedang belajar ketika ini.

"Malah, berbaloi rasanya saya datang bertanding terutama selepas melalui perjalanan selama 31 jam dan transit selama 26 jam sebelum dapat sampai di sini," katanya.

Terdahulu pada pusingan kelayakan bagi menentukan undian saringan, Azizulhasni turut cemerlang apabila muncul pelumba paling pantas dengan mencatat masa 10.352 saat.

Pelumba kelahiran Terengganu itu mengatasi pelumba Belanda, Teun Mulder (10.393s) yang kedua terpantas diikuti Bauge (10.445s) ketiga.

Ini membolehkan Azizulhasni bertemu pelumba di kedudukan tercorot, Juan Sivira dari Venezuela pada pusingan pertama dan menang mudah.

Sepanjang laluannya ke akhir, Azizulhasni turut menewaskan beberapa pelumba lain sebelum menempah pertemuan dengan Bauge.

"Ia satu pencapaian yang melegakan saya terutama menjelang pusingan pertama Piala Dunia Klasik di Manchester, England dari 30 Oktober-1 November ini," tegas Azizulhasni yang bimbang tentang status pelumba-pelajarnya.

Selain Manchester, Azizulhasni akan turut bertanding pada Piala Dunia II di Melbourne, Australia (19-21 November ini), Piala Dunia III di Cali, Colombia (10-12 Disember) dan Piala Dunia IV di Beijing, China (22-24 Januari 2010).

Terengganu Pengeluar Utama Udang

Terengganu bakal menjadi antara pengeksport udang harimau dan udang putih utama negara apabila Projek Integrasi Taman Akuakultur Udang (I-Sharp) bernilai RM200 juta dilaksanakan di Setiu bermula tahun 2011.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industrri Asas Tani negeri, Rozi Mamat berkata, kerajaan negeri meluluskan tanah seluas 1,200 hektar untuk melaksanakan projek itu.

Katanya, projek tersebut di bawah penyeliaan syarikat milik kerajaan (GLC), Blue Archipelago Berhad yang menyelia projek ternakan undang Kerpan di Kedah.

Menurut beliau, fasa pertama melibatkan penggunaan 400 hektar tanah itu dan pembinaan 500 kolam ternakan udang dijangka beroperasi bermula akhir tahun depan.

''Ketika ini, kerja-kerja pembersihan dan pecah tanah sedang dijalankan dalam memulakan pembinaan infrastruktur untuk pelaksanaan projek tersebut,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Sambutan Aidilfitri dan pelancaran pembangunan I-Sharp di Sekolah Kebangsaan Penarek di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Blue Archipelago Berhad, Dr. Shahridan Faiez.

Katanya, projek di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu akan menyediakan pekerjaan dan pendapatan tambahan untuk kira-kira 1,300 penduduk.

Rozi berkata, selain kolam ternakan, kilang memproses udang, pusat penetasan udang, sebuah makmal, tempat penginapan dan bangunan pentadbiran akan turut dibina dalam projek itu.

''Sebanyak RM200 juta diperuntukan untuk melaksanakan projek I-Sharp tersebut," ujarnya.

Shahridan pula memberitahu, apabila fasa pertama projek tersebut mula beroperasi, ia akan mampu mengeluarkan antara 10,000 hingga 12,000 tan udang putih dan 5,000 tan udang harimau.

''Udang-udang berkenaan akan dieksport di pasaran premium antarabangsa terutama Kesatuan Eropah (EU), Jepun dan Amerika Syarikat (AS)," katanya.

Ahad, Oktober 04, 2009

Bumbung Masjid Runtuh

Penduduk Kampung Batu Putih, Kerteh di sini, gempar apabila sebahagian besar bumbung masjid kampung berkenaan yang tidak sampai setahun digunakan runtuh dan ranap dalam beberapa saat, kira-kira jam 9 pagi semalam.

Akibat runtuhan bumbung masjid bernilai RM2.1 juta mula digunakan sepenuhnya akhir tahun lalu, satu majlis akad nikah yang dirancang diadakan di masjid itu kira-kira jam 11 pagi semalam, terpaksa dipindahkan ke sebuah masjid lain yang jaraknya kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian.

Seorang saksi, Mohd Hafiz Mat Piah, 19, berkata ketika kejadian dia sedang membuka kedai makannya yang terletak kira-kira 50 meter dari Masjid Kampung Batu Putih itu untuk memulakan perniagaan dan terkejut mendengar bunyi kuat seperti tanah runtuh.

Katanya, dia tergamam sebaik melihat bumbung masjid yang boleh menampung lebih 500 jemaah terletak di depan kedainya itu runtuh dan ranap sekelip mata, manakala tiga pekerja warga Indonesia yang sedang membaik pulih masjid menjerit dan terjatuh bersama runtuhan atap genting dan struktur keluli.
"Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati seorang daripada pekerja berkenaan cedera parah lalu meminta bantuan beberapa orang awam untuk membawa mereka ke Klinik Kesihatan Kerteh. Bagaimanapun, dua lagi pekerja berkenaan hanya cedera ringan," katanya ketika ditemui.

Kejadian bumbung masjid runtuh itu adalah yang kedua seumpamanya selepas sebahagian besar bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak di sini, runtuh pada 2 Jun lalu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Batu Putih, Aziz Idris, 54, berkata bumbung masjid terbabit dikesan mengalami kebocoran sejak tiga bulan lalu dan laporan sudah dibuat kepada Jabatan Kerja Raya negeri.
"Susulan aduan itu, beberapa pekerja Indonesia dihantar untuk menjalankan kerja pembaikan dan penggantian bumbung baru oleh kontraktor yang bertanggungjawab ini dan tidak menyangka kejadian seumpama ini boleh berlaku hari ini (semalam).

"Sebelum ini pengurusan masjid ada menerima beberapa aduan daripada jemaah yang mengatakan struktur bumbung itu tidak selamat dan mengesan beberapa keretakan pada bahagian bumbung serta siling masjid," katanya.

Jurutera Daerah Kemaman, Rosli Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi membabitkan sebahagian besar bumbung di bahagian depan masjid itu.

"Kita akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar dan mengambil tindakan susulan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berulang," katanya.

Sabtu, Oktober 03, 2009

Kaji Penghantaran Pelajar Ke Indonesia

Kerajaan Terengganu akan mengkaji semula penghantaran pelajar jurusan perubatan ke Indonesia atas faktor keselamatan berikutan gempa bumi yang sering berlaku di negara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata kerajaan negeri sedang mempertimbangkan kemungkinan menghantar pelajar bidang perubatan ke Poland atau Hungary.

"Apa pun keputusan yang bakal diambil nanti, ia adalah yang terbaik untuk pelajar-pelajar kita," katanya kepada pemberita pada Program Semarak Bestari 1Malaysia di Kampung Baru Seberang Takir, di sini, hari ini..

Razif berkata, buat masa ini terdapat seramai 65 pelajar Terengganu sedang menuntut dalam bidang perubatan di 10 buah universiti di Indonesia.

Seorang daripada pelajar berkenaan menuntut di Universitas Andalas di Padang yang mengalami gempa bumi dua hari lepas. Bagaimanapun, pelajar itu terselamat dalam kejadian itu.

Razif berkata, kerajaan negeri akan menghantar rombongan pegawai Yayasan Terengganu ke Indonesia minggu depan untuk melihat aspek keselamatan pelajar di sana.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan negeri akan meneruskan penghantaran masing-masing 50 pelajar ke Mesir dan ke Rusia untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan tahun ini.

Perlawanan Hebat Malam Ini

SEMANGAT daripada kenduri gol 8-0 ke atas Sarawak, Selasa lalu, mahu digunakan Negeri Sembilan untuk menjinakkan Terengganu dalam saingan Kumpulan B Piala Malaysia, di gelanggang lawan, malam ini.
Jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan, berkata misi pasukannya tetap mencari tiga mata dan yakin pemainnya mampu melaksanakannya menerusi persefahaman serta semangat berpasukan yang tinggi ketika ini.

“Sebelum ini Zaquan hanya berseorangan di barisan depan tetapi dengan kehadiran Hairuddin, diharapkan persembahan penyerang kebangsaan itu lebih baik dan lancar dalam merobek gawang lawan.

“Lebih-lebih lagi Zaquan sering bertanding di peringkat antarabangsa dan sudah tentu pengalaman serta sentuhannya amat ditagih untuk membantu Negeri Sembilan mengecapi kejayaan musim ini,” katanya.


Beliau bagaimanapun tetap menghormati Terengganu yang turut menampilkan barisan berwibawa lebih-lebih lagi selepas menewaskan Johor, 2-0, Selasa lalu.

"Pemain saya perlu mengekalkan fokus kerana saya menjangkakan tugas memburu kemenangan malam esok (ini) bukan mudah kerana Terengganu sudah pasti akan memberikan tentangan sengit untuk mempertahankan kelebihan yang mereka miliki," katanya.

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH
Terengganu juara Sukma: KONTINJEN Terengganu bersorak riang selepas muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XII yang berakhir di Kuala Terengganu, malam tadi. Tuan rumah mencipta sejarah mengutip emas terbanyak dalam penyertaan Sukma selepas meraih 61 pingat emas 39 perak dan 47 gangsa meninggalkan Selangor yang muncul naib juara dengan 54-47-52 manakala Sarawak tempat ketiga, (52-52-42). Upacara penutup temasya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

MENAKJUBKAN

MENAKJUBKAN
TERENGGANU juara SUKMA, Juara Bola Sepak, Raja Pecut, Raja Ragbi, Raja Kenu, Raja Kayuh. Kemenangan Terengganu kebanyakkan diperolehi melalui sukan objektif seperti olahraga, basikal, kenu berbanding dari sukan subjektif.

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG
Skretariat SUKMA Terengganu mendapat pujian daripada Kontingen-kontingen negeri, Media massa, pegawai sukan & orang ramai tentang kecermlangan pengurusan & pentadbiran SUKMA. SUKMA di Terengganu di iktiraf sebagai pengurusan SUKMA terbaik, pengadilan yang paling bersih,penyertaan penonton paling ramai, kemudahan paling lengkap, rekod baru paling banyak dicipta & tanpa kontraversi. Paling hairan Jawatakuasa rayuan tidak mnerima apa-apa rayuan dari kontingen yang bertanding. TAHNIAH.

INDUSTRI TERNAK KAMBING

INDUSTRI TERNAK KAMBING
Cosmopal Sdn Bhd, anak syarikat Arus Zaman Sdn Bhd, melabur sebanyak RM2 juta dalam penternakan kambing di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Serating, dekat sini dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai pengeluar terbesar ternakan itu di negara ini pada masa depan. Pengarahnya, Zainudin Zakaria berkata setakat ini, syarikat mempunyai sebanyak 1,400 kambing baka Jamnapari, bernilai antara RM750 dan RM850 seekor, di ladang seluas kira-kira 30 hektar itu.

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN
DAS berkata kerajaan banyak menyediakan kemudahan untuk pelajar melonjakkan diri untuk mencapai kejayaan cemerlang. Kerajaan sanggup menyediakan peruntukkan besar untuk sektor pendidikan bagi menjadikan negeri terulung melahirkan pelajar yang cemerlang.

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI
DAS mengucap tahniah kepada Wan Ahmad Nizam, Ketua Kontingen SUKMA Terengganu kerana berjaya menjadi juara SUKMA ke 12. Di atas kemenangan itu, DAS memberi cuti kepada rakyat Terengganu.

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU
PM bersetuju untuk melulus pembinaan sekolah sukan seperti sekolah sukan di Bukit Jalil & Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor di Terengganu. Sekolah ini akan dibina di sebelah kompleks sukan negeri, Gong Badak.