![]() |
Ahmad Said (kanan) menyampaikan replika cek bernilai RM10,000 kepada Anuar Manan sambil diperhatikan oleh ibu bapanya, Azizah Ariffin (kiri) dan Manan Muda pada majlis penyerahan cek dan geran tanah di Wisma Darul Iman, Terengganu, semalam. |
Pelumba berumur 24 tahun itu turut menerima cek bernilai RM10,000 daripada kerajaan negeri yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said pada majlis penyerahan geran tanah itu di Wisma Darul Iman di sini, semalam.
Majlis penyerahan itu turut disaksikan oleh kedua-dua ibu bapa Anuar, Manan Muda dan Azizah Arifin.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said.
Pada majlis itu, Ahmad berkata, tanah lot banglo seluas 449 meter persegi yang terletak di Kampung Tok Adis, Kuala Ibai dekat sini itu sebagai tanda pengiktirafan kerajaan negeri atas kecemerlangan Anuar dalam sukan lumba basikal sekali gus melonjakkan nama Terengganu.
"Kita ucapkan tahniah dan syabas kepada Anuar yang telah berjaya menjadi raja pecut dalam kejohanan lumba basikal Le Tour De Langkawi tempoh hari," katanya kepada pemberita pada majlis tersebut.
Ahmad berkata, kerajaan negeri juga akan mengiktiraf mana-mana anak Terengganu yang berjaya dalam semua bidang termasuk sukan dan pendidikan sebagai suntikan semangat kepada mereka untuk terus melakar kejayaan ke peringkat lebih gemilang.
Beliau turut menarik perhatian bahawa kerajaan negeri sedang dalam proses menubuhkan pasukan Terengganu yang akan menyertai Le Tour De Langkawi pada masa akan datang memandangkan kebanyakan pelumba basikal negara adalah berasal dari negeri ini, termasuk Anuar.
"Untuk tubuhkan pasukan ini, kita memerlukan kos antara RM1.5 hingga RM2 juta termasuk menghantar mereka menjalani latihan di luar negara selain kos elaun yang mencukupi," ujarnya.
Sementara itu, Anuar ketika ditemui berkata, beliau bersyukur dan mengucapkan setinggi terima kasih kepada kerajaan negeri atas ganjaran yang diterimanya itu.
Menurutnya, beliau bercadang untuk mendirikan rumah di atas tanah tersebut bagi keperluan keluarganya.
"Saya nak bantu keluarga saya, kami dari keluarga yang sederhana saja. Kami akan bina rumah untuk dijadikan kediaman kami sekeluarga," ujarnya sambil menambah bahawa beliau tidak akan lupa pesanan ibunya, Azizah agar jangan mudah lupa diri walaupun sudah berjaya.