Ahad, November 02, 2008

Rombakan EXCO Terengganu?


YAB Menteri Besar menyatakan beliau akan membuat rombakan barisan Exco kerajaan negeri pada pertengahan bulan depan selepas selesai Kejohanan Kuda Lasak Dunia (WEC) FEI 2008 di Lembah Bidong, Setiu dari 6 hingga 9 November ini.

Rombakan ini perlu dilakukan bagi memenuhi janjinya untuk menggugur mana-mana ahli EXCO yang tidak mau mendengar katanya bertanding merebut jawatan utama diperingkat bahagian kecuali EXCO itu adalah Ketua Bahagian.

Sabtu, November 01, 2008

YB. Alias Tanya YB Rozi Camana?


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alur Limbat, Alias Abdullah, berkata tindakan Ahmad Said itu jelas menghalang amalan demokrasi dalam Umno dan menafikan hak serta kehendak ahli akar umbi.

Alias turut mempersoalkan tindakan Ahmad yang tidak menghalang dan mempertikaikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat yang bertanding jawatan timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu menentang Datuk Rosol Wahid.

Perdana Menteri tegur tindakan MB Terengganu

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said tidak boleh mengeluarkan arahan ke atas mana-mana calon, termasuk yang memegang jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) daripada merebut jawatan ketua bahagian Umno sekiranya mereka layak.

“Ahli-ahli Umno tidak boleh dihalang daripada bertanding jika mereka layak,” kata Perdana Menteri mengulas kenyataan Ahmad yang mahu menggugurkan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Terengganu, Yahya Khatib Mohamad, dan dua lagi Ahli Exco dalam rombakan Exco kerana mengingkari nasihatnya supaya tidak bertanding merebut jawatan utama pada pemilihan Umno bahagian.

Sambil mahu Yahya meletak jawatan, Ahmad kelmarin menegaskan Ahli Exco itu ‘degil’ kerana tidak mendengar nasihatnya sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri dan akan digugurkan daripada jawatan itu pada pertengahan bulan depan.

Abdullah yang juga Presiden Umno berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Ibu pejabat Umno di sini, semalam.

Yahya Di Gugur Dari EXCO?

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mempertahankan keputusannya mahu menggugurkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahya Khatib Mohamad daripada barisan Exco atas alasan anak buahnya itu mengingkari arahannya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu berkata, beliau berhak menggugurkan Ahli Exco terbabit kerana ia terletak di bawah bidang kuasanya walaupun tindakan Yahya bertanding jawatan Ketua Umno bahagian Marang menewaskan penyandang, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar pada pemilihan 25 Oktober lalu tidak melanggar disiplin parti.

"Saya kira apa (kehendak peringkat akar umbi)? Kehendak saya dia kena ikut juga. Saya menteri besar dan ada hak terhadap Exco saya...saya yang lantik. Hak bahagian melantik ketua bahagian, hak saya melantik Exco.

“Dua keadaan berbeza. Dia tak langgar disiplin parti, tapi langgar arahan saya," katanya selepas Pertunjukan Kuda Kebangsaan di sini, semalam.

"Saya mengarahkan semua Exco supaya tidak terbabit dalam pertandingan jawatan utama peringkat bahagian sebelum pertandingan peringkat cawangan lagi kerana saya minta mereka beri tumpuan kepada jawatan dalam kerajaan dan biar orang lain pegang jawatan ketua bahagian, kecuali jika dia memang dah ketua bahagian. Itu arahan saya jelas," katanya selepas Pertunjukan Kuda Kebangsaan di sini, semalam.

Khamis, Oktober 30, 2008

Bas Bandar Percuma

Penduduk di bandar raya ini, termasuk pelancong akan terus menikmati pengangkutan bas percuma sehingga kerajaan negeri memutuskan sama ada perkhidmatan bas bandar yang disediakan sejak tahun lalu dihenti atau diteruskan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahya Khatib Mohamad, berkata keputusan muktamad mengenai perkhidmatan bas bandar termasuk bas henti-henti daerah akan dibincangkan pada mesyuarat Exco, bulan depan.

Katanya, walaupun isu perkhidmatan bas bandar yang beroperasi sejak tahun lalu dan bas henti-henti daerah belum dibincangkan, tetapi kerajaan memberi jaminan keselesaan rakyat akan diutamakan. "Mesyuarat mengenai isu perkhidmatan bas bandar yang beroperasi tanpa permit dan bas henti-henti daerah atau lebih dikenali bas Cas Legas akan dibincangkan bulan depan.

"Walaupun keputusan belum ditetapkan, tetapi secara peribadi dan berdasarkan gambaran awal kita nyatakan keselesaan akan disediakan untuk kemudahan rakyat terutama penduduk yang tinggal di pedalaman," katanya ketika diminta mengulas cadangan kerajaan negeri untuk menghentikan perkhidmatan bas bandar kerana beroperasi tanpa permit menyebabkan tambang tidak boleh dikenakan kepada penumpang.

Khamis lalu, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh menawarkan diri untuk membantu kerajaan negeri mendapatkan permit bas bandar dan bas henti-henti daerah daripada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Idris yang juga Pengerusi Mara dilaporkan berkata, perbincangan awal mengenai kelulusan permit sudah dilakukan dan kerajaan negeri dijangka tidak menghadapi kesukaran untuk memenuhi syarat ditetapkan oleh dua agensi terbabit.

Yahya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkalan Berangan berkata, kerajaan menyambut baik langkah Idris untuk sama-sama membantu menyelesaikan masalah itu.

Rabu, Oktober 29, 2008

Penglibatan aktiviti pelancongan sukarela

Kerajaan negeri akan mengurangkan perbelanjaan untuk menampung peserta tempatan dan luar negara yang dijangka menyertai aktiviti pelancongan tahun depan.Langkah itu diambil selepas kajian mendapati kerajaan mengeluarkan perbelanjaan yang agak besar bagi membolehkan peserta menyertai beberapa acara sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) yang berakhir Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib, berkata kerajaan akan memastikan peserta terutama dari luar negara ini yang bercadang menyertai aktiviti tahun depan dilakukan secara sukarela.

Katanya, kerajaan negeri mendapati ada antara peserta yang menyertai aktiviti diadakan sempena TMT terpaksa dibayar, termasuk perbelanjaan makan minum, penginapan dan pengangkutan, selain memperoleh hadiah wang tunai sepenuhnya jika mereka memenangi pertandingan dianjurkan.

"Kita akan memastikan peserta yang bercadang menyertai pertandingan dianjurkan kerajaan negeri tahun depan tidak dibayar," katanya selepas majlis makan malam meraikan 180 peserta Konvoi Malaysia Jalur Gemilang keempat, di sini, semalam.

Hadir sama Presiden Persatuan Permotoran negeri, Tengku Sri Temenggong Raja, Tengku Baharuddin; Setiausaha Kelab Gabungan Motosikal Kuasa Besar Malaysia (SAM), Muhamad Abdul Rahman dan Pengarah Tourism Malaysia negeri, Suhaimi Abu Bakar.

Konvoi Malaysia Jalur Gemilang yang turut disertai peserta dari Thailand, Indonesia dan Singapura tiba di negeri ini dan berlepas ke Kuantan, semalam.

Za'abar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau Abang berkata, kerajaan akan meneruskan usaha untuk menganjurkan aktiviti sampingan sebagai nilai tambah bagi menarik pelancong dari dalam dan luar negara walaupun aktiviti itu tidak tersenarai dalam kalendar pelancongan.

Katanya, aktiviti sampingan yang menampilkan kepelbagaian produk pelancongan sempena TMT dikenal pasti punca utama jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini meningkat.

Ahad, Oktober 26, 2008

Yang Menang - Ketua Bahagian

BAHAGIAN DUNGUN

Dato (Dr) Haji Rosli Mat Hassan berjaya mengekal jawatan Ketua Bahagian dengan mengalah YB Dato Din Adam, ADUN Bukit Besi.


YB Dato Zaabar Adib, ADUN Rantau Abang (EXCO Perlancongan) menang jawatan Timbalan Ketua Bahagian dengan mengalah YB Zakaria Abdullah ADUN Paka ( penyadang).


YB Matulidi Ahli Parlimen Dungun menang Naib Ketua Bahagian tanpa bertanding.


BAHAGIAN HULU TERENGGANU


YB Tengku Putera Tg Awang Speaker DUN berjaya mengekal jawatan Ketua Bahagian dengan mengalah Ahli Parlimen Hulu Terengganu.


YB Rozi Mamat ADUN Telemong berjaya mengalah YB Dato Rosol Wahid ADUN Ajil (penyadang) bagi jawatan Timbalan Ketua.

BAHAGIAN SETIU


YB Dato’ Haji Mohd Jidin bin Shafee Ahli Parlimen Setiu berjaya mempertahan jawatan Ketua Bahagian apabila menewas YB Ramlan Ali, ADUN Jabi.


YB Ashaari Idris. ADUN Langkap (EXCO Pertanian ) memenangi jawatan Timbalan Ketua Bahagian dengan mengalah percabarnya.


YB Halim Jusoh ADUN Permaisuri menang tanpa bertanding untuk jawatan Naib Ketua.

Yang Baru & Yang Kekal Ketua Bahagian

KETUA BAHAGIAN MARANG

YB Yahya Khatib ADUN Pengakalan Berangan (EXCO Kerjaraya) berjaya mengalah Datok Rahman Bakar ( Penyandang)


YB Alias Abdullah, ADUN Alor Limbat berjaya mengekal jawatan Timbalan Ketua Bahagian dengan mengalah Bendahari Bahagian.

BAHAGIAN KUALA TERENGGANU
YB Senator Dato Wan Ahmad Farid mengekalkan Ketua Bahagian tanpa bertanding


Mohd Sabri Alwi Menang jawatan Timbalan Ketua Bahagian dengan mengalah Dato Hj. Che Mat Jusoh (penyandang)

Sabtu, Oktober 25, 2008

Piala Monsun promosi produk PKS

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan memastikan produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dihasilkan usahawan tempatan akan dijual dan dipromosi ketika Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun, Disember depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera, berkata produk yang dihasilkan PKS akan diletakkan di hotel yang menjadi lokasi penginapan peserta.

"Selain produk makanan dan kraf PKS, produk yang cukup sinonim dengan Terengganu terutama air nira yang dibotolkan, keropok lekor, otak-otak, sata dan nasi dagang akan turut diketengahkan bagi memastikan produk tempatan dapat ditonjolkan kepada masyarakat luar dengan lebih berkesan," katanya.

Mohamed berkata, penganjuran Piala Monsun kali ini berbeza sedikit berbanding tahun lalu kerana keutamaan lebih diberikan kepada usahawan tempatan untuk mengetengahkan produk sepanjang berlangsung kejohanan itu.

Jumaat, Oktober 24, 2008

Baka Arab pilihan penunggang

KUDA daripada baka Arab serta kuda kacukan Arab dengan baka lain atau dinamakan Englo yang berumur antara enam dan 12 tahun menjadi pilihan kebanyakan penunggang yang menyertai Kejohanan Endurance Dunia (WEC) yang akan berlangsung di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong, Terengganu pada 6 hingga 9 November ini.

Pengurus projek penyertaan atlet Malaysia WEC 2008, Mohd. Din Mat berkata bukan semua jenis kuda berkemampuan atau memiliki daya ketahanan yang tinggi untuk merentasi jarak perlumbaan sejauh 160km itu.

"Kejohanan ini adalah acara yang paling sukar kerana ia menguji daya ketahanan kuda dan penunggangnya kerana kejayaan bergantung kepada gandingan fizikal serta mental penunggang dan kuda menghabiskan perlumbaan dalam jarak yang ditetapkan," katanya.
Mohd. Din berkata pemilihan kuda dari baka Arab dan Englo dibuat kerana ia mempunyai daya ketahanan yang tinggi berbanding kuda daripada baka lain.

Katanya pasukan negara turut mengunakan kuda dari baka Arab dan Englo bagi memastikan kuda itu mampu untuk menamatkan perlumbaan."Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang menyertai kejohanan itu turut menunggang kuda dari baka Arab yang diberikan nama Taljari Moon Pharoah dan Ibrahim Pascha Larzac," katanya.

Menurutnya selain dari aspek fizikal dan baka, kuda itu juga perlu mendapat Sijil Kelayakan Penyertaan (COC) daripada Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa untuk layak menyertai kejohanan dwi-tahunan itu.Mohd. Din berkata bagi menjaga keseimbangan kuda, makanan khas diperlukan untuk menjaga prestasi setiap kuda.

"Jenis makanan khas yang biasanya diberikan ialah Cuibes, Haven, Chaff dan banyak jenis lagi bergantung kepada pemilihan yang dibuat pasukan," katanya.

Khamis, Oktober 23, 2008

Terengganu martabatkan kembali kain limar

Kerajaan negeri sedang berusaha memartabatkan kembali limar iaitu kain tenun pilihan golongan bangsawan pada zaman dahulu termasuk mengkomersialkan kain itu sebagai pendedahan kepada masyarakat masa kini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohd. Adib berkata, tujuannya bagi memastikan kain limar turut dikenali seperti songket dan batik yang kini menjadi fabrik pilihan orang ramai. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pameran Keunikan dan Keanggunan Limar di Kompleks Muzium Negeri Terengganu di sini hari ini.

Sehubungan itu jelasnya, Sutera Semai Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat kerajaan negeri sudah memulakan usaha menghasilkan kain limar bagi tujuan dikomersialkan walaupun terpaksa melalui proses yang rumit.Beliau akui masyarakat sekarang kurang mengetahui mengenai kain limar kerana ia jarang digunakan pada masa ini berbanding pemakaian kain songket dan batik.''Kain limar dihasilkan melalui proses tenunan yang halus dan ia digunakan dalam abad ke-16 oleh golongan bangsawan sebagai pakaian istiadat.

''Bagaimanapun pada masa ini kain tersebut sudah tidak digunakan lagi dan hanya dijadikan sebagai bahan pameran sahaja kerana proses menghasilkannya agak rumit berbanding songket,'' ujarnya.Za'abar berharap pameran kain limar yang julung kali diadakan itu dapat memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai tahap keupayaan serta kehebatan masyarakat silam.

Selain itu katanya, ia juga bertujuan mendidik masyarakat menghargai seni warisan bangsa di samping menghidupkan kembali warisan yang semakin pupus dan dilupai masyarakat masa kini. Menurutnya, melalui pameran seumpama itu dapat membantu kerajaan negeri menarik pelancong untuk melihat kehebatan masyarakat zaman dahulu dalam menghasilkan fabrik yang bermutu tinggi.

Pameran yang diadakan secara percuma itu berlangsung sehingga 31 Disember ini dan sebanyak 50 helai kain limar dari seluruh negara termasuk dari Indonesia dipamerkan dan sebahagian daripada fabrik itu telah berusia lebih 100 tahun.

Ashaari Tunjuk Taring

PERTEMUAN terakhir Kumpulan A berdepan Afghanistan di Pestabola Merdeka kelmarin pasti menjadi kenangan indah buat pemain negara, Ashaari Samsuddin yang menjaringkan dua gol pertamanya buat skuad kebangsaan.

Pemain berusia 23 tahun dari Bukit Payung, Terengganu itu mengakui sedikit gementar apabila diturunkan dalam kesebelasan utama buat kali pertama, namun sokongan rakan sepasukan yang lebih senior membolehkannya beraksi tanpa tekanan.

"Sebelum perlawanan bermula memang saya berasa sedikit risau kerana ini adalah perlawanan pertama saya dalam kesebelasan utama. Tetapi saya sedar saya tidak boleh menghampakan kepercayaan yang diberi jurulatih (B Sathianathan).

"Mujur, beberapa pemain senior terus memberi galakan kepada saya untuk bermain seperti biasa dan selepas berjaya melakukan jaringan pertama, ia membantu saya untuk beraksi dengan lebih tenang.

"Saya gembira dapat membantu pasukan mencatat kemenangan pada malam ini (kelmarin) dan berharap dua gol itu hanya permulaan untuk lebih banyak lagi jaringan bagi skuad kebangsaan," kata Ashaari.

Pemain sayap itu turut berharap dapat diturunkan pada perlawanan separuh akhir berdepan Myanmar esok, serta terus mengukuhkan tempatnya dalam skuad kebangsaan yang bakal beraksi di Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Suzuki Disember ini.

Rabu, Oktober 22, 2008

Pok Li Utamakan Perpaduan

Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Dungun diminta melupakan sengketa selepas pemilihan pucuk pimpinan parti dan perlu berganding bahu demi memperkuatkan jentera Barisan Nasional (BN).

Ketua Umno Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan, berkata berganding bahu serta bersatu di kalangan ahli Umno sangat penting terutama dalam keadaan rakyat sudah kurang 'mesra' dengan parti itu.
Beliau berkata, pada pilihan raya umum ke-12, meskipun Terengganu memenangi dua pertiga dan BN berjaya memerintah tetapi ada beberapa kawasan masih lemah dan mengalami kekalahan.

Kita tahu semua ahli Umno dan BN memainkan peranan setimpal ketika pilihan raya umum lalu, tetapi ada beberapa kawasan di negeri ini seperti Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura nampak lemah dan kalah kepada calon Pas.

“Oleh itu saya menyeru semua ahli terutama pucuk pimpinan yang dipilih pada persidangan perwakilan memainkan peranan yang utuh dan melupakan sengketa demi melihat Umno terus megah pada mata rakyat,” katanya.

Rosli yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri berkata, kekalahan calon BN Kawasan Sura bukan didorong faktor kekuatan Pas, tetapi ada segelintir penyokong BN memberi undi kepada calon Pas.
Bagaimanapun, beliau memuji ahli Wanita, Pemuda dan Puteri Umno termasuk MCA dan Gerakan yang bekerja keras menjalankan kempen bagi memastikan calon Parlimen BN, Rantau Abang serta Paka menang pada pilihan raya umum lalu.

Kerana Elektrik ... Mamat Sengsara

Jika ditakdirkan perlu mengosongkan rumah, Mamat Abdullah, 61, sanggup berbuat demikian tetapi meletakkan beberapa 'syarat' yang perlu dipenuhi iaitu status permohonan tanahnya benar-benar telah diluluskan.

Katanya, sehingga kini beliau tidak dimaklumkan mengenai status permohonan tanah di Gemuruh dekat sini seperti dilaporkan sebelum ini.Malah, jika benar tanah itu telah diberikan kepadanya, beliau sanggup berpindah ke tempat baru itu asalkan mendapat bekalan elektrik dan beberapa syarat lain.

"Saya sanggup pindah kalau kena dengan tempatnya," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.Jelas Mamat, sebelum berbuat demikian, beliau juga perlu melihat dahulu tanah yang didakwa miliknya dan jika ia bersesuaian, perkara tersebut boleh dirunding.

Beliau juga memikirkan sekiranya perlu berpindah, bagaimana mahu membina rumah barunya itu sedangkan beliau tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi."Paling kurang kalau hendak pindah dan buat rumah baru kena ada RM5,000 tetapi jika saya diberikan bantuan rumah, lainlah mungkin boleh pindah terus," ujarnya.

Kosmo! semalam melaporkan rumah Mamat boleh diroboh memandangkan beliau mendirikannya di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran dan ia menyebabkannya tidak mendapat bekalan elektrik.
Namun bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Muhamad Ramli Nuh, pihaknya tidak akan berbuat demikian dan sebaliknya mahu mencari jalan penyelesaian terbaik.

Dalam pada itu Mamat berkata, pada Selasa minggu hadapan satu majlis pertunangan dijangka berlangsung melibatkan cucunya yang dijangka berkahwin Mac nanti.

Selasa, Oktober 21, 2008

Pengantin 'lilin' 2009

Biarpun terpaksa bergelap kerana tiada bekalan elektrik, Mamat Abdullah, 61, nekad untuk meneruskan majlis persandingan anak dan cucu di rumahnya di Kampung Banggol Nyamuk, Kuala Nerus di sini, Mac tahun depan.

Katanya, ia bukan permintaan beliau tetapi kehendak anak dan cucunya sendiri bagi mengadakan majlis di rumah sendiri dan bukan menumpang di rumah sanak-saudara yang lain."Biarpun saya terpaksa menggunakan lilin pada sebelah malam pada hari perkahwinan itu nanti untuk menerangi rumah, ia tetap akan dilangsungkan.

"Mahu tidak mahu majlis tetap jalan, soal ada atau tidak elektrik itu perkara lain," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.Katanya, mereka tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menyalakan lilin bagi menerangi rumah untuk kemudahan bakal pengantin nanti.

"Kalau tiada juga bekalan pada masa itu nanti, terpaksalah guna lilin berkotak-kotak," katanya yang terpaksa menggunakan kira-kira 36 batang lilin pada malam sebelum pertunangan anaknya kelmarin.

Semalam Kosmo! melaporkan, rombongan meminang anaknya Azapah, 31, terpaksa berpeluh dan berpanas gara-gara rumah Mamat tiada bekalan elektrik.Malah, rombongan yang datang dari Negeri Sembilan juga terpaksa makan di luar rumah di atas beranda kerana ruang tamu di dalam rumah gelap dan panas.

Bollywood Pilih Terengganu

Terengganu dijangka dipromosi ke seluruh dunia apabila sebuah syarikat Bollywood berhasrat membuat penggambaran filem di negeri itu, Mac tahun depan.Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, penerbit dan pengarah syarikat filem berkenaan berkunjung ke Terengganu baru-baru ini untuk meninjau lokasi menarik seperti Tasik Kenyir, Tanjung Jara, Pulau Redang, Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dan Pulau Duyong.

"Syarikat filem berkenaan ingin mendapat kerjasama daripada kerajaan Terengganu bagi membuat penggambaran di tempat-tempat menarik di negeri ini."Kita harap filem yang akan dibuat antara 200 hingga 400 salinan itu apabila ditayangkan kelak, dapat memperkenalkan Terengganu di seluruh dunia," katanya selepas merasmikan resort lima bintang, Ri-Yaz Heritage Resort and Spa di Pulau Duyong di sini hari ini.

Resort yang mempunyai 97 buah bilik dan 13 calet itu adalah milik kerajaan Terengganu dan diuruskan oleh Ri-Yaz iaitu anak syarikat kumpulan Ri-Yaz Hotels & Resort, mulai 1 Ogos lepas.

Ahmad berkata, filem yang masih belum mempunyai judul dan memakan masa penggambaran antara 40 dan 60 hari itu, mengisahkan mengenai pasangan kekasih yang berbulan madu di Terengganu dan dilakonkan oleh Rani Mukarjee manakala heronya masih belum diputuskan.

Tahun lepas, sebuah syarikat filem dari China turut membuat penggambaran siri drama di Pulau Perhentian, yang merupakan antara pulau yang terindah di dunia.

Isnin, Oktober 20, 2008

Kompleks Haji Di Bina

Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dijangka menjadi hab penerbangan haji Pantai Timur sepenuhnya mulai tahun hadapan apabila semua jemaah haji dari Terengganu, Kelantan dan sebahagian daripada jemaah haji Pahang akan menaiki penerbangan haji terus ke Jeddah, Arab Saudi melalui LTSM sepenuhnya.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata bagi penerbangan haji musim ini hanya jemaah haji Terengganu dan sebilangan kecil jemaah dari Kelantan akan menaiki penerbangan terus ke Jeddah bermula 13 hingga 25 November ini membabitkan sembilan penerbangan menggunakan pesawat Boeing 747-400 milik Penerbangan Malaysia (MAS).

"Mulai tahun depan Tabung Haji akan memulakan pembinaan hotel dan Kompleks Haji di kawasan seluas 2.8 hektar berhampiran Kompleks Sukan Negeri yang akan menampung keperluan jemaah haji dari seluruh pantai timur.

"Ketika ini tabung Haji sedang dalam proses mereka bentuk dan kerja pembinaan difahamkan akan bermula pada tahun hadapan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Haji Perdana Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, di sini semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar Penyelidikan Tabung Haji, Shaharuddin Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri; Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat.

Seramai 2,398 bakal jemaah haji mengikuti Kursus Haji Perdana selama dua hari di Kompleks Sukan Negeri yang menjadi kursus pelengkap sebelum berlepas ke Tanah Suci bermula 13 November ini.

Ahmad berkata, bagi memudahkan jemaah berurusan sepanjang musim haji, kerajaan negeri menyediakan pengangkutan untuk menghantar jemaah dari Kompleks Sukan Negeri yang menjadi kompleks haji sementara terus ke LTSM.

Sementara itu, Shaharuddin berkata, jemaah Terengganu sangat bertuah kerana mulai tahun ini, LTSM menyediakan penerbangan terus haji ke Jeddah tanpa perlu mendaftar di Kompleks Haji Kelana Jaya seperti tahun sebelumnya.

Katanya, apabila siap sepenuhnya hotel dan kompleks haji di Terengganu yang dijangka memulakan pembinaan tahun hadapan, lebih ramai jemaah haji terutama dari negeri Kelantan dan Terengganu turut mendapat manfaat dan memudahkan perjalanan tanpa perlu mengikuti penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Penglibatan Rakyat Dalam Monsun Cup Di Utamakan

Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun yang sebelum ini diadakan pada akhir November di Pulau Duyong, di sini akan diadakan pada 3 hingga 7 Disember depan selepas kerajaan negeri menerima peruntukan Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata kerajaan negeri melalui T-Best Event Management Sdn Bhd selaku penganjur menerima peruntukan RM22.6 juta untuk menganjurkan kejohanan berprestij itu.

Beliau berkata, penganjuran Kejohanan Perahu Layar Piala Monsun kali ini juga akan dilaksanakan dengan penambahan beberapa acara selingan, termasuk pembabitan rakyat tempatan dalam acara sukan rakyat.

Beliau berkata, penganjuran Kejohanan Perahu Layar Piala Monsun kali ini juga akan dilaksanakan dengan penambahan beberapa acara selingan, termasuk pembabitan rakyat tempatan dalam acara sukan rakyat."Kita berharap kejohanan tahun ini akan menarik penyertaan lebih ramai penduduk tempatan dengan acara selingan seperti sukan rakyat.

"Setakat ini 12 pasukan dari Australia, Perancis, New Zealand dan United Kingdom sudah mengesahkan penyertaan," katanya pada sidang media selepas mengadakan perbincangan jaguh kapal layar dunia, Datuk Peter Gilmour dan Pengerusi T-Best.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib; Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Belia negeri, Datuk Abd Rahin Mohd Said; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Terengganu (MTPNT), Ahmad Fathil Abd Ghani.

Bagi memeriahkan kejohanan Piala Monsun, T-Best menganjurkan kejohanan peringkat kebangsaan selama empat hari bermula 24 November, manakala peringkat Asia dari 28 hingga 30 November dengan penyertaan peserta dari beberapa negara termasuk Jepun, Korea, Hong Kong dan China.

Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata, kejohanan Piala Monsun mungkin tidak dianjurkan berikutan tiada perbincangan mengenainya antara pihak penganjur.Kejohanan yang mula dianjurkan sejak 2006 menarik lebih 1.2 bilion penonton menerusi siaran media tempatan dan antarabangsa.

Ahad, Oktober 19, 2008

Kes Nyanye - Tak dapat-dapat Elektrik

"Maaf kerana terpaksa berpanas sikit."
Itulah yang diucapkan berkali-kali Mamat Abdullah, 61, bagi menjelaskan keadaan rumahnya yang tidak mempunyai bekalan elektrik ketika menerima rombongan meminang ke atas anaknya di rumahnya Kampung Banggol Nyamuk, Sungai Ikan, Kuala Nerus dekat sini semalam.

Apa tidaknya kira-kira 50 orang tetamu yang hadir terpaksa berpeluh di dalam rumah mengundang rasa tidak selesa tambahan pula bagi pihak rombongan meminang datang jauh dari Negeri Sembilan.

"Saya kecewa dan sedih buat kali pertama majlis pertunangan anak saya dijalankan di rumah ini dalam keadaan tidak selesa dan panas," katanya kepada Kosmo! Ahad yang sudah enam tahun mendiami rumahnya itu di sini semalam.

Mamat yang menerima rombongan meminang kira-kira pukul 2.30 petang itu kelihatan gelisah memikirkan majlis yang sepatutnya berlangsung dalam keadaan lebih selesa terpaksa dilakukan dalam serba kekurangan.

Namun Mamat berkata, meskipun begitu, urusan pertunangan anaknya, Azapah, 31, tetap diteruskan walaupun tetamu mula mengipas untuk menyejukkan badan masing-masing.

"Kasihan juga bila melihat semua orang mula mengipas, tambahan pihak rombongan lelaki," ujarnya.

Wartawan Kosmo! Ahad yang turut berada di situ melihat majlis terpaksa dijalan di dalam keadaan gelap dan hanya diterangi cahaya luar dari tingkap yang dibuka.

Kuda Yang Di Pertuan Agong Sampai

KELOMPOK pertama 15 kuda yang dijadual menyertai Kejohanan Kuda Lasak Dunia (WEC) FEI bulan depan, termasuk yang akan ditunggang Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, selamat tiba di Kuala Terengganu, semalam.

Kuda berkenaan, empat dari Oman, enam dari Australia dan seekor dari New Zealand serta empat dari Malaysia sendiri, tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu dengan pesawat Airbus A300 dari Sydney dan Dubai menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tumpuan terarah kepada kuda baka Arab yang diberi nama Taljari Moon Pharoah yang akan ditunggang Tuanku Mizan. Zainal Abidin. Kuda itu tiba dari Sydney bersama seekor lagi kuda milik Tuanku Mizan, Ibrahim Pascha Larzac. Tuanku Mizan adalah antara 12 penunggang Malaysia yang layak menyertai perlumbaan sejauh 160km itu.

Kelompok kuda itu dipindahkan dari ruang yang dikhaskan dalam pesawat ke trak kuda bagi dibawa ke kandang masing-masing di Taman Endurance Antrabangsa Terengganu (TIEP).
WEC FEI akan diadakan di TIEP di Lembah Bidong yang terletak berdekatan persisiran pantai kira-kira 30km dari Kuala Terengganu.

TIEP disifatkan sebagai satu daripada tiga taman endurance terhebat di dunia, dengan bakinya terletak di Timur Tengah. Gelanggang itu sudah mengharungi pelbagai ujian, termasuk menjayakan acara ujian WEC FEI (Cabaran Endurance Piala Sultan Terengganu 2007).

Kelompok kedua tiba menerusi pesawat C130 pada sebelah petangnya. Hari ini, dua lagi kelompok kuda dijadual mendarat di lapangan terbang sama, dengan 30 kuda dibawa dengan pesawat B747.

Sabtu, Oktober 18, 2008

Wanita, Pemuda & Puteri


Wanita Kemaman calonkan Shahrizat, Kamilia


KEMAMAN 17 Okt. - Pergerakan Wanita UMNO Kemaman mencalonkan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk bertanding jawatan Ketua Wanita dan Datuk Kamalia Ibrahim sebagai naibnya

UMNO Kuala Terengganu calonkan Rafidah, Shahrizat


KUALA TERENGGANU 17 Okt. - Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kuala Terengganu mencalonkan Tan Sri Rafidah Aziz sebagai ketua wanita dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai naibnya.


Puteri UMNO Marang calonkan Shahaniza, Nordiana


KUALA TERENGGANU 17 Okt. - Pergerakan Puteri UMNO Marang malam ini mencalonkan Datuk Shahaniza Shamsuddin untuk bertanding jawatan Ketua Puteri dan Senator Nordiana Shafie sebagai naibnya. - Utusan

Puteri UMNO Kemaman calonkan Rosnah, Nordiana


KEMAMAN 17 Okt. - Pergerakan Puteri UMNO Kemaman mencalonkan Rosnah Abdul Rashid Shirlin bagi bertanding jawatan ketua puteri dan Senator Nordiana Shafie sebagai naib.


Pemuda UMNO Kemaman calonkan Khir Toyo, Reezal Merican


KEMAMAN 17 Okt. - Pergerakan Pemuda UMNO Kemaman mencalonkan Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda dan Datuk Reezal Merican Naina Merican sebagai naib ketua bagi pemilihan parti Mac depan

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH
Terengganu juara Sukma: KONTINJEN Terengganu bersorak riang selepas muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XII yang berakhir di Kuala Terengganu, malam tadi. Tuan rumah mencipta sejarah mengutip emas terbanyak dalam penyertaan Sukma selepas meraih 61 pingat emas 39 perak dan 47 gangsa meninggalkan Selangor yang muncul naib juara dengan 54-47-52 manakala Sarawak tempat ketiga, (52-52-42). Upacara penutup temasya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

MENAKJUBKAN

MENAKJUBKAN
TERENGGANU juara SUKMA, Juara Bola Sepak, Raja Pecut, Raja Ragbi, Raja Kenu, Raja Kayuh. Kemenangan Terengganu kebanyakkan diperolehi melalui sukan objektif seperti olahraga, basikal, kenu berbanding dari sukan subjektif.

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG
Skretariat SUKMA Terengganu mendapat pujian daripada Kontingen-kontingen negeri, Media massa, pegawai sukan & orang ramai tentang kecermlangan pengurusan & pentadbiran SUKMA. SUKMA di Terengganu di iktiraf sebagai pengurusan SUKMA terbaik, pengadilan yang paling bersih,penyertaan penonton paling ramai, kemudahan paling lengkap, rekod baru paling banyak dicipta & tanpa kontraversi. Paling hairan Jawatakuasa rayuan tidak mnerima apa-apa rayuan dari kontingen yang bertanding. TAHNIAH.

INDUSTRI TERNAK KAMBING

INDUSTRI TERNAK KAMBING
Cosmopal Sdn Bhd, anak syarikat Arus Zaman Sdn Bhd, melabur sebanyak RM2 juta dalam penternakan kambing di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Serating, dekat sini dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai pengeluar terbesar ternakan itu di negara ini pada masa depan. Pengarahnya, Zainudin Zakaria berkata setakat ini, syarikat mempunyai sebanyak 1,400 kambing baka Jamnapari, bernilai antara RM750 dan RM850 seekor, di ladang seluas kira-kira 30 hektar itu.

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN
DAS berkata kerajaan banyak menyediakan kemudahan untuk pelajar melonjakkan diri untuk mencapai kejayaan cemerlang. Kerajaan sanggup menyediakan peruntukkan besar untuk sektor pendidikan bagi menjadikan negeri terulung melahirkan pelajar yang cemerlang.

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI
DAS mengucap tahniah kepada Wan Ahmad Nizam, Ketua Kontingen SUKMA Terengganu kerana berjaya menjadi juara SUKMA ke 12. Di atas kemenangan itu, DAS memberi cuti kepada rakyat Terengganu.

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU
PM bersetuju untuk melulus pembinaan sekolah sukan seperti sekolah sukan di Bukit Jalil & Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor di Terengganu. Sekolah ini akan dibina di sebelah kompleks sukan negeri, Gong Badak.