Ahad, September 14, 2008

Isu Servis PROTON V6 Mahal Dibicara

Dua pemilik bengkel kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini, atas lima tuduhan membuat tuntutan palsu kepada kerajaan Terengganu berhubung pembekalan kotak gear Proton Perdana V6 Executive yang digunakan oleh Exco.

Tor Kok Siong, 52, dan Choong Yuen Sang, 48, dituduh membuat tuntutan tersebut kesemuanya bernilai RM91,350.64 bagi tujuan penggantian kotak gear lima buah Perdana V6 antara November 2006 hingga Jun lalu, sedangkan kotak gear itu adalah yang asal dan tiada penggantian dilakukan.

Kok Siong, pemilik bengkel kereta di Jalan Bukit Kechil di sini menghadapi empat tuduhan membuat tuntutan palsu bernilai RM72,230.73 dan meminta dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim M. Bakri Abd. Majid.

Dalam mahkamah berasingan, Choong Yuen Sang, 48, pemilik bengkel kereta di Chendering pula menghadapi satu tuduhan serupa bernilai RM19,119.91 dan membuat permohonan untuk dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab. Karim.

Mengikut fakta kes, Kok Siong dituduh memberikan invois CI No. 77456 mengandungi butir palsu mengenai pembekalan sebuah pc Auto Transmission V6 berjumlah RM18,057.68 untuk kenderaan bernombor pendaftaran TAG 7979 kepada Pegawai Eksekutif Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Terengganu, Hashim Abdul Rahman pada Ogos 2007.

Dia juga dituduh menyerahkan invois CI No. 78528 mengandungi butir palsu mengenai pembekalan sebuah Auto Transmission V6 MD 9739975 berjumlah RM18,057.68 bagi Perdana V6 TT 3 kepada Pegawai Tadbir Pejabat SUK, A. Rahim Jusoh pada Jun lalu.

Bagi tuduhan ketiga, Kok Siong dituduh menyerahkan invois CI No. 75548 mengandungi butiran palsu mengenai pembekalan sebuah pc Auto Transmission V6 NOKP4A23-UPP3VO9608 berjumlah RM18,057.69 bagi Perdana V6 TT 7 kepada pegawai sama pada November 2006.

Dia turut dituduh menyerahkan invois CI 75982 mengandungi butir palsu mengenai pembekalan sebuah pc Auto Transmission V6 berjumlah RM18,057.68 bagi kereta Perdana V6 TAG 8778 kepada Penolong SUK (Am/Kew), Zulkifly Isa pada November 2006.

Sementara itu, Yuen Sang pula dituduh menyerahkan invois bernombor 3147 mengandungi butir palsu mengenai pembekalan satu set Auto Transmission Assy (New) berjumlah RM19,119.91 bagi Perdana V6 TAK 415 kepada Hashim pada 2 Ogos 2007.

Kedua-dua pemilik bengkel itu dituduh melakukan kesemua perbuatan itu di pejabat Dewan Undangan Negeri Terengganu dan mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Sabit kesalahan kedua-duanya boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang boleh dipenjara tidak kurang 14 hari dan tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Mohd. Sofian Zakaria manakala Kok Siong dan Yuen Sang masing-masing diwakili peguam Osman Bakar dan Siti Saleha Mohd. Tahir.
Mohd. Sofian meminta supaya kedua-dua tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.Namun Hakim M. Bakri menetapkan Kok Siong diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin manakala Hakim Mohammad Khalid menetapkan ikat jamin RM7,000 serta seorang penjamin terhadap Yuen Sang. Mahkamah kemudiannya masing-masing menetapkan 23 dan 24 Disember ini bagi perbicaraan ke atas Kok Siong manakala 14 Disember ini bagi perbicaraan ke atas Yuen Sang

Saya Bersyukur Masih Lagi Hidup

“Saya bersyukur masih lagi hidup. Saya mahu segera sembuh dan kembali menjalani latihan (di sekolah penerbangan HM Aerospace Sdn Bhd) untuk mencapai cita-cita menjadi juruterbang.“Tugas saya belum selesai. Saya mahu bantu keluarga, terutama ibu yang sentiasa di sisi sejak saya terlantar di hospital,” kata Mohd Farid Abdullah, 21, juruterbang pelatih yang terselamat apabila pesawat Diamond 40 MAHA 443 dinaikinya terhempas di kawasan hutan Bidong, Setiu, Terengganu, 20 Ogos lalu.

Bagaimanapun rakannya, Muhamad Ariff Ahmad Fuad, 20, juruterbang pelatih yang memandu pesawat dua tempat duduk itu, terkorban dalam nahas berkenaan.Pertama kali ditemubual selepas mampu bercakap, Mohd Farid mengakui Ramadan kali ini dirasakan sangat berlainan buatnya.Bagaimanapun, dalam keadaan kaki dimasukkan besi, kepala berjahit dan mata sebelah kiri sepet serta masih ada kesan lebam, semangat Mohd Farid tetap membara untuk segera sembuh.

Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, sehingga hari ini dia tidak dapat mengingati bagaimana detik cemas yang dilalui sebelum pesawat terhempas.“Yang saya ingat, dalam keadaan separuh sedar, saya keluar daripada pesawat dan selepas itu terus tidak sedarkan diri. Saya hanya sedarkan diri di hospital.“Sukar untuk bayangkan bagaimana keadaan saya ketika itu kerana dalam keadaan cedera parah, saya bersendirian di hutan. Yang pasti, saya dihurung nyamuk kerana kesan gigitannya masih kekal sehingga hari ini,” katanya.

Mohd Farid berkata, hatinya pilu mengenangkan nasib rakan baiknya yang terkorban dalam nahas itu.“Di dalam kelas (di sekolah penerbangan) saya duduk di sebelah Muhamad Ariff. Dia pendiam, tetapi saya selalu mengusiknya untuk menceriakannya.
“Banyak peristiwa suka duka kami lalui bersama, tetapi ketika ini saya tidak mampu mengingatinya,” katanya yang mendapat tajaan Penerbangan Malaysia (MAS) untuk bergelar juruterbang.

Indahnya Bermadu

Bagi Abu Bakar Embong, 49, Ramadan menjadi waktu paling seronok untuk menghabiskan masa bersama empat isteri dan 25 anak kerana ketika itu kemeriahan berbuka bersama-sama ditambah dengan aktiviti bergotong royong dalam menyediakan juadah berbuka, mengharmonikan lagi hubungan antara mereka. "Lazimnya kami sekeluarga akan berkumpul sejak petang Khamis dan berterusan ke hari Jumaat dan Sabtu dengan mengadakan jamuan makan secara bergotong-royong yang sudah menjadi sebahagian daripada tradisi wajib yang mesti diikuti semua ahli keluarga.

"Dengan makan bersama-sama bergotong-royong menyediakan juadah dan bertanya khabar anak isteri ketika berkumpul, ia dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan sedia ada lagi pun kita tak tahu mungkin ada antara isteri dan anak-anak yang berbalah atau menghadapi masalah, ketika itulah mereka boleh bertemu dan melupakan segala yang berlaku, maklumlah bila dah ramai macam-macam boleh terjadi," katanya ketika ditemui di kediamannya semalam.
Abu Bakar yang juga seorang broker tanah dari Kampung Teluk Menara, Manir, mendapat liputan meluas akhbar selepas permohonannya untuk berkahwin isteri keempatnya, Suhaili Alias, 25, mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, 9 Jun lalu dan keterangannya disokong ketiga-tiga isterinya iaitu Asnah Jusoh, 46; Mazumi Ismail, 45; dan Norazlina Ariffin, 25. Ketika ditemui Berita Minggu di rumahnya semalam, keempat-empat isteri Abu Bakar kebetulan sedang menyediakan juadah berbuka puasa dengan dibantu oleh semua anak serta menantu dalam suasana yang cukup harmoni dan meriah.

Abu Bakar berkata, walaupun perhimpunan keluarga berlangsung setiap minggu terutama hari Jumaat dan Sabtu, namun ketika Ramadan, suasananya sedikit berbeza kerana keseronokan menanti waktu berbuka dan berkumpul seisi keluarga. "Ialah macam-macam hendak disediakan, ada yang menyediakan kuih-muih, ada yang memasak lauk-pauk dan disebabkan anggota keluarga yang ramai, masing-masing ada cita rasa dan lauk kegemaran masing-masing. Suasana meriah itu seolah-olah seperti rasa mengadakan kenduri setiap minggu.

"Walaupun begitu, pada hari biasa pun kalau tidak berkumpul beramai-ramai, semua isteri saya turut bertukar-tukar juadah berbuka sesama sendiri kerana kedudukan rumah yang berdekatan antara satu sama lain dan pada hari selain Khamis, Jumaat dan Sabtu, saya akan berbuka mengikut giliran rumah keempat-empat isteri mengikut turutan," katanya.

Abu Bakar membina rumah untuk semua isterinya dalam satu kawasan seluas kira-kira satu hektar yang turut menempatkan kediaman sanak-saudaranya yang lain bagi memudahkan urusan antara satu sama lain. Ditanya persediaan menyambut Aidilfitri dan giliran beraya, Abu Bakar berkata, kebiasaannya seperti tahun sebelumnya, beliau akan membawa semua isteri dan anak-anak beraya di rumah ibunya berhampiran, bagaimanapun katanya sambutan tahun ini mungkin sedikit berbeza kerana ibunya baru meninggal dunia awal tahun ini.

Katanya, kalau mengikut perancangan tahun ini, sambutan di rumah utama yang menjadi rumah berhimpun seluruh ahli keluarga lazimnya diadakan pada hari raya kedua. "Pada hari raya pertama saya akan bersama seluruh ahli keluarga mengunjungi dan bertandang ke rumah ibu bapa semua isteri kerana semua berasal dari Kuala Terengganu. Selepas menziarahi ibu dan bapa mentua semua isteri, pada hari raya kedua barulah saya pulang ke rumah utama bagi meraikan sahabat dan sanak saudara yang berkunjung," katanya.

Bercerita mengenai persediaan kelengkapan pakaian hari raya anak-anaknya, Abu Bakar berkata, dia menyerahkan semua persiapan termasuk pakaian dan perkara berkaitan kepada setiap isteri mengikut rumah. "Biarlah mereka memilih sendiri apa yang mereka mahu, yang penting tiada pembaziran dan tidak berlebih-lebih," katanya yang dikurniakan 11 lelaki dan 14 perempuan berusia antara empat bulan dan 25 tahun serta tiga cucu hasil perkongsian hidup dengan ketiga-tiga isterinya.

Senario Pertandingan UMNO Terengganu Terkini

Memegang jawatan dalam parti belum tentu dipilih bertanding pada pilihan raya umum, sebaliknya sejarah terbukti apabila hanya lima ketua bahagian di negeri ini dipilih bertanding pada pilihan raya umum lalu,' kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Katanya, lima ketua bahagian yang dipilih untuk bertanding pada pilihan raya umum lalu adalah beliau sendiri selaku Ketua Umno bahagian Kemaman, Datuk Seri Idris Jusoh (Besut), Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (Kuala Nerus) dan Datuk Mohd Jidin Shafie (Setiu).

Tiga ketua bahagian tidak dipilih ialah Datuk Abdul Rahman Bakar (Marang), Senator Datuk Rosli Mat Hassan (Dungun) dan Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (Kuala Terengganu). "Kriteria pemilihan akan dikaji termasuk laporan terutama mengenai hubungan dan pergaulan antara penduduk akan dilakukan pelbagai agensi kerajaan sebelum seseorang itu layak dicalonkan bertanding.

"Kebanyakan wakil rakyat di negeri ini bukan saja berjawatan sebagai ahli jawatankuasa pada peringkat bahagian, malah ahli biasa dan yang tidak memegang jawatan pun dipilih bertanding sebagai wakil rakyat," katanya yang mengulas perkembangan terkini perebutan jawatan tertinggi termasuk ketua Umno pada peringkat bahagian menjelang mesyuarat pemilihan bulan depan. Antara bahagian yang menyaksikan pertandingan merebut jawatan sebagai Ketua Umno bahagian ialah Kuala Nerus, Marang, Hulu Terengganu, Setiu dan Dungun.

Umno Bahagian Marang menyaksikan pertandingan tiga penjuru apabila dua Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) iaitu Adun Pangkalan Berangan, Yahaya Khatib Mohamad dan Adun Alur Limbat, Alias Abdulllah mencabar penyandang, Abdul Rahman yang menawarkan diri mengekalkan jawatan.

Naib Ketua Umno bahagian Kuala Nerus, Basir Ismail dan bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Azmi Abdul Rahman pula akan mencabar Ahli Parlimennya, Mohd Nasir yang turut menawarkan diri mengekalkan jawatan.

Adun Jabi, Ramlan Ali pula mencabar penyandang Ketua Umno Bahagian Setiu iaitu Ahli Parlimen Setiu, Mohd Jidin, manakala Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohamad Noor Othman pula menawarkan diri bertanding mencabar ketuanya, Datuk Tengku Putera Awang, sementara Adun Bukit Besi, Datuk Din Adam pula menawarkan diri mencabar ketuanya, Rosli.

Ahmad berkata, jika ada pemimpin beranggapan memegang jawatan tertinggi di peringkat bahagian adalah laluan cerah dipilih sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya, tanggapan itu adalah salah.

Sebaliknya, beliau berkata, mereka yang memegang jawatan tertinggi pada peringkat bahagian belum tentu terpilih bertanding kerana pelbagai kriteria akan diambil kira termasuk laporan daripada pelbagai agensi kerajaan. "Kita sudah pun menasihatkan supaya elakkan pertandingan bagi mengelakkan perpecahan, tetapi amalan demokrasi yang membolehkan pertandingan diadakan menyebabkan berlakunya pertandingan," katanya.

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH
Terengganu juara Sukma: KONTINJEN Terengganu bersorak riang selepas muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XII yang berakhir di Kuala Terengganu, malam tadi. Tuan rumah mencipta sejarah mengutip emas terbanyak dalam penyertaan Sukma selepas meraih 61 pingat emas 39 perak dan 47 gangsa meninggalkan Selangor yang muncul naib juara dengan 54-47-52 manakala Sarawak tempat ketiga, (52-52-42). Upacara penutup temasya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

MENAKJUBKAN

MENAKJUBKAN
TERENGGANU juara SUKMA, Juara Bola Sepak, Raja Pecut, Raja Ragbi, Raja Kenu, Raja Kayuh. Kemenangan Terengganu kebanyakkan diperolehi melalui sukan objektif seperti olahraga, basikal, kenu berbanding dari sukan subjektif.

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG
Skretariat SUKMA Terengganu mendapat pujian daripada Kontingen-kontingen negeri, Media massa, pegawai sukan & orang ramai tentang kecermlangan pengurusan & pentadbiran SUKMA. SUKMA di Terengganu di iktiraf sebagai pengurusan SUKMA terbaik, pengadilan yang paling bersih,penyertaan penonton paling ramai, kemudahan paling lengkap, rekod baru paling banyak dicipta & tanpa kontraversi. Paling hairan Jawatakuasa rayuan tidak mnerima apa-apa rayuan dari kontingen yang bertanding. TAHNIAH.

INDUSTRI TERNAK KAMBING

INDUSTRI TERNAK KAMBING
Cosmopal Sdn Bhd, anak syarikat Arus Zaman Sdn Bhd, melabur sebanyak RM2 juta dalam penternakan kambing di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Serating, dekat sini dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai pengeluar terbesar ternakan itu di negara ini pada masa depan. Pengarahnya, Zainudin Zakaria berkata setakat ini, syarikat mempunyai sebanyak 1,400 kambing baka Jamnapari, bernilai antara RM750 dan RM850 seekor, di ladang seluas kira-kira 30 hektar itu.

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN
DAS berkata kerajaan banyak menyediakan kemudahan untuk pelajar melonjakkan diri untuk mencapai kejayaan cemerlang. Kerajaan sanggup menyediakan peruntukkan besar untuk sektor pendidikan bagi menjadikan negeri terulung melahirkan pelajar yang cemerlang.

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI
DAS mengucap tahniah kepada Wan Ahmad Nizam, Ketua Kontingen SUKMA Terengganu kerana berjaya menjadi juara SUKMA ke 12. Di atas kemenangan itu, DAS memberi cuti kepada rakyat Terengganu.

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU
PM bersetuju untuk melulus pembinaan sekolah sukan seperti sekolah sukan di Bukit Jalil & Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor di Terengganu. Sekolah ini akan dibina di sebelah kompleks sukan negeri, Gong Badak.