Dua pemilik bengkel kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini, atas lima tuduhan membuat tuntutan palsu kepada kerajaan Terengganu berhubung pembekalan kotak gear Proton Perdana V6 Executive yang digunakan oleh Exco.
Tor Kok Siong, 52, dan Choong Yuen Sang, 48, dituduh membuat tuntutan tersebut kesemuanya bernilai RM91,350.64 bagi tujuan penggantian kotak gear lima buah Perdana V6 antara November 2006 hingga Jun lalu, sedangkan kotak gear itu adalah yang asal dan tiada penggantian dilakukan.
Kok Siong, pemilik bengkel kereta di Jalan Bukit Kechil di sini menghadapi empat tuduhan membuat tuntutan palsu bernilai RM72,230.73 dan meminta dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim M. Bakri Abd. Majid.
Dalam mahkamah berasingan, Choong Yuen Sang, 48, pemilik bengkel kereta di Chendering pula menghadapi satu tuduhan serupa bernilai RM19,119.91 dan membuat permohonan untuk dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab. Karim.
Mengikut fakta kes, Kok Siong dituduh memberikan invois CI No. 77456 mengandungi butir palsu mengenai pembekalan sebuah pc Auto Transmission V6 berjumlah RM18,057.68 untuk kenderaan bernombor pendaftaran TAG 7979 kepada Pegawai Eksekutif Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Terengganu, Hashim Abdul Rahman pada Ogos 2007.
Dia juga dituduh menyerahkan invois CI No. 78528 mengandungi butir palsu mengenai pembekalan sebuah Auto Transmission V6 MD 9739975 berjumlah RM18,057.68 bagi Perdana V6 TT 3 kepada Pegawai Tadbir Pejabat SUK, A. Rahim Jusoh pada Jun lalu.
Bagi tuduhan ketiga, Kok Siong dituduh menyerahkan invois CI No. 75548 mengandungi butiran palsu mengenai pembekalan sebuah pc Auto Transmission V6 NOKP4A23-UPP3VO9608 berjumlah RM18,057.69 bagi Perdana V6 TT 7 kepada pegawai sama pada November 2006.
Dia turut dituduh menyerahkan invois CI 75982 mengandungi butir palsu mengenai pembekalan sebuah pc Auto Transmission V6 berjumlah RM18,057.68 bagi kereta Perdana V6 TAG 8778 kepada Penolong SUK (Am/Kew), Zulkifly Isa pada November 2006.
Sementara itu, Yuen Sang pula dituduh menyerahkan invois bernombor 3147 mengandungi butir palsu mengenai pembekalan satu set Auto Transmission Assy (New) berjumlah RM19,119.91 bagi Perdana V6 TAK 415 kepada Hashim pada 2 Ogos 2007.
Kedua-dua pemilik bengkel itu dituduh melakukan kesemua perbuatan itu di pejabat Dewan Undangan Negeri Terengganu dan mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997.
Sabit kesalahan kedua-duanya boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang boleh dipenjara tidak kurang 14 hari dan tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Mohd. Sofian Zakaria manakala Kok Siong dan Yuen Sang masing-masing diwakili peguam Osman Bakar dan Siti Saleha Mohd. Tahir.
Mohd. Sofian meminta supaya kedua-dua tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.Namun Hakim M. Bakri menetapkan Kok Siong diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin manakala Hakim Mohammad Khalid menetapkan ikat jamin RM7,000 serta seorang penjamin terhadap Yuen Sang. Mahkamah kemudiannya masing-masing menetapkan 23 dan 24 Disember ini bagi perbicaraan ke atas Kok Siong manakala 14 Disember ini bagi perbicaraan ke atas Yuen Sang
Ahad, September 14, 2008
Isu Servis PROTON V6 Mahal Dibicara
Label:
kenderaan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan