Ahad, Mei 31, 2009

Terengganu selesaikan Perlumba Haram

Dalam usaha membendung masalah lumba haram di negeri ini, kerajaan negeri bercadang membina litar khas untuk golongan itu di kawasan kompleks sukan Gong Badak melalui peruntukan berjumlah RM4.1 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata litar sepanjang 300 meter disediakan di Kompleks Gong Badak, namun pihaknya bercadang menambah jarak kira-kira 600 meter selain menyediakan tempat duduk untuk penonton.

“Kerajaan negeri yakin, dengan adanya litar seperti itu, gejala mat rempit dapat dibendung, seterusnya mengurangkan kegiatan yang boleh membahayakan diri,” katanya selepas melepaskan kira-kira 500 peserta acara berjalan kaki sejauh tiga kilometer sempena Karnival Jacob’s Walk Of Life di Pantai Batu Burok, di sini, semalam.

Abdul Rahin yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Kawasan Teluk Pasu berkata, kerajaan negeri bersetuju membina litar itu bagi mengurangkan kegiatan lumba haram oleh mat rempit selepas mendapat pandangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri.

Katanya, sebagai contoh di Kuala Lumpur, masalah kegiatan lumba motosikal haram dapat dikurangkan selepas litar di Batu 3 disediakan sekitar 1980, tetapi kembali berlaku apabila litar itu ditutup untuk projek pembangunan.

Tambahnya, apabila litar itu siap dibina, mat rempit akan diberi kebenaran menggunakannya dan mereka akan diawasi konsultan yang dilantik kerajaan negeri.

Sabtu, Mei 30, 2009

Terengganu Bakal Pengeluar Utama Salak

Terengganu akan mengeluarkan baka salak tempatan yang dibangunkan dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) secara komersial mulai hujung tahun ini bagi menggalakkan penanaman buah eksotik itu secara besar-besaran di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat, berkata penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan baka salak itu sudah dilaksanakan sejak 2006 dan kini dalam peringkat akhir kajian sebelum boleh dikeluarkan secara komersial.

"Setakat ini buah salak yang dihasilkan daripada penyelidikan itu lebih manis, tahan lama, besar dan bermutu tinggi berbanding buah salak baka Thailand dan Indonesia yang banyak ditanam ketika ini.

Khamis, Mei 28, 2009

Mahkamah isytihar kerusi Ladang tetap milik Pas

Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Terengganu kekal milik Pas selepas mengenepikan rayuan Barisan Nasional (BN) Terengganu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak petisyennya mencabar keputusan pilihan raya umum ke-12.

Dalam penghakimannya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, yang bersidang bersama Hakim Datuk S Augustine Paul dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, mendapati tidak ada perbezaan besar daripada segi undi pos yang dikira memandangkan hanya tiga undi pos yang mungkin disalah kira dan ditolak disebabkan nombor siri yang tidak sama.

"Tiga undi ini tidak mengatasi majoriti 31 undi yang diperoleh responden (Datuk Tengku Hassan Tengku Omar daripada Pas). Oleh itu, keputusan Hakim, Pilihan Raya itu dikekalkan," katanya dalam penghakiman yang dibacakan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Surita Budin.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu, Tengku Hassan menewaskan Datuk Wan Hisham Wan Salleh daripada BN dengan kelebihan 31 undi, tetapi BN menerusi ketua cawangan Umno Lorong Kemunting, Mahari Endut, memfailkan satu petisyen supaya 127 undi pos yang ditolak pada hari pengundian itu, dikira semula.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menolak petisyen itu pada 22 September lalu kerana pempetisyen gagal membuktikan dakwaannya bahawa kerani Suruhanjaya Pilihan Raya tidak menjalankan tugasnya dengan betul dalam mengendalikan undi pos itu.

Rabu, Mei 27, 2009

Terengganu Menang Lagi

Terengganu yang disuntik semangat selepas mengaibkan Perlis, Sabtu lalu, menjadikan Johor FC sasaran mereka apabila menundukkan pelawat 3-2.

Terengganu bermula garang dan gol yang dinanti hadir pada minit ke-32 apabila Ashaari Shamsudin yang menerima hantaran daripada Manaf Mamat, meledakkan bola ke gawang menggunakan kaki kirinya, menewaskan penjaga gol Johor FC, G Jeevanathan.

Kegirangan tuan rumah tersentak menjelang tamat separuh masa apabila Eddy Helmi Abdul Manan, yang tidak dikawal, mudah menewaskan penjaga gol Terengganu, Md Shabinee Allawee pada minit ke-36.

Ashari bermain cemerlang malam tadi untuk mencatatkan hatrik menerusi jaringan pada minit ke-56 dan 90, manakala gol kedua Johor FC dijaringkan Md Azizan Baba pada minit ke-68.

Sekolah Terengganu guna e-Book

Mulai pertengahan bulan depan, semua murid Tahun Lima di 100 sekolah di Terengganu akan mengikuti pembelajaran menggunakan komputer riba mini dikenali sebagai buku elektronik atau e-book, yang diagihkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata selain murid, seramai 3,800 guru Tahun Lima juga akan dibekalkan kemudahan sama, bagi membolehkan mereka mengendalikan pembelajaran serta memantau latihan dalam talian secara terus dengan murid, walaupun berada di luar waktu sekolah.

kerajaan negeri juga akan memperluaskan penggunaan e-book kepada semua murid sekolah rendah merangkumi Tahun Satu hingga Tahun Empat secara berperingkat pada masa depan, selaras hasrat kerajaan negeri melahirkan masyarakat celik teknologi dan maklumat (IT).

"Kita sedang lihat untuk memulakan program e-book ini seawal Tahun Satu dan secara berperingkat kita akan sediakan kemudahan ini untuk semua murid sekolah rendah. Setakat ini, kita mulakan dengan murid Tahun Lima dulu dan tahun depan, apabila mereka memasuki Tahun Enam, mereka akan terus menggunakan e-book dengan perisian pembelajaran Tahun Enam," katanya

Selasa, Mei 26, 2009

Malam Ini Ada Bola

TERENGGANU perlu lebih berhati-hati apabila bertemu Johor FC pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini.

Meskipun mendapat suntikan semangat selepas menang 2-0 ke atas Perlis, Sabtu lalu, ada sesuatu yang masih bermain di fiki- ran jurulatih Ken Worden.Pastinya, ketiadaan dua tonggak utama di bahagian pertahanan iaitu Mohd. Marzuki Yusof dan Shahrizam Mohamed telah merisaukan bekas jurulatih Sela- ngor itu.

Selain kedua-dua pemain pertahanan itu, Terengganu juga akan beraksi tanpa pemain tengah Ismail Faruqi Ashaari yang masih belum pulih daripada kecederaan.

Pengurus Terengganu, Sheikh Ahmad Tajuddin Sheikh Yusoff berkata, Worden tetap akan mengekalkan formasi 5-3-2 yang digunakan ketika menentang Perlis."Ketiadaan Marzuki dan Shahrizam memberi sedikit kerisauan kepada pasukan untuk menghadapi perlawanan menentang Johor FC malam esok (malam ini).

"Untuk mengelak daripada diaibkan di hadapan peminat sendiri, kami perlu memperkemaskan benteng pertahanan," katanya ketika dihubungi semalam.Menurut Sheikh Ahmad Tajuddin, meskipun meletakkan lima pemain di posisi pertahanan, ini tidak bermakna mereka akan mempamerkan corak permainan bertahan.

Sebaliknya, mereka bertekad untuk memburu kemenangan bagi menebus kekalahan 0-3 pada pertemuan pertama di Johor, sekali gus mengembalikan semula keyakinan peminat skuad Peteh.Tambahnya, Terengganu mungkin akan menggunakan khidmat penjaring terbanyaknya, Azlan Ismail untuk membantu benteng pertahanan pada aksi malam ini.

Ashaari Shamsuddin pula akan mengemudi bahagian tengah bersama Zairo Anuar Zailani dan Tengku Hazman Raja Hassan, manakala Abdul Manaf Mamat bertindak di posisi serangan.Terengganu perlu mengutip mata penuh malam ini jika mahu memperbaiki kedudukan dalam saingan liga yang hanya berbaki 10 perlawanan.

Setakat ini, Terengganu menduduki tangga kelapan selepas mengumpul 24 mata daripada 16 perlawanan iaitu 16 mata di bela- kang pendahulu, Selangor.

Bekas calon BN DUN Wakaf Mempelam meninggal

Calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam pada pilihan raya umum lalu, Othman Awang, 51, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, jam 12.45 tengah hari kelmarin, akibat serangan jantung.

Allahyarham yang tewas kepada calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,193 undi meninggalkan seorang balu, Zabedah Bachik, 45, dan tujuh anak iaitu tiga lelaki dan empat perempuan.

Anak kedua Allahyarham, Siti Aishah, 20, berkata bapanya menghidap sakit jantung sejak setahun lalu, bagaimanapun pemergiannya mengejutkan kerana arwah adalah seorang yang aktif.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Losong Panglima Perang kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Isnin, Mei 25, 2009

Unta & Makanan Arab Tarikan Baru TTI

Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man di sini, terus menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara yang berkunjung ke Terengganu dan ia terbukti dengan catatan seramai 233,295 pengunjung setakat tiga bulan pertama tahun ini.

Pengerusi TTI Management Sdn Bhd, Datuk Zakaria Awang, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 35 peratus adalah pengunjung tempatan, manakala 50 peratus ialah pelancong dari luar Terengganu dan 15 peratus lagi terdiri daripada pelancong asing seperti Singapura dan Timur Tengah.

Beliau berkata, dengan jumlah pengunjung seramai 233,295 setakat suku pertama tahun ini, TTI mencatatkan pendapatan keseluruhan bernilai RM2.12 juta dengan kadar keuntungan bersih RM111,000 dan pihaknya yakin jumlah itu akan terus meningkat melalui pelbagai usaha pihak pengurusan menambah tarikan pengunjung ke TTI.

sempena menyambut ulang tahun TTI ini, kita menawarkan beberapa program dan tarikan baru untuk pelancong yang datang ke sini.

"Menu nasi Arab bersama aneka lauk seperti kambing panggang segar, bebola daging kufta, humus dan ayam boleh dinikmati oleh pelancong di kafeteria B'beting pada harga berpatutan. Nasi Arab ini juga akan dimasukkan sebagai menu dalam pakej disediakan untuk mana-mana syarikat atau organisasi yang menyewa dewan di sini untuk mengadakan seminar, mesyuarat atau persidangan.

"Kita juga akan menempatkan lima ekor unta jinak di taman ini yang dijangka tiba akhir bulan ini. Kita berharap tarikan baru ini dapat meningkatkan lagi kedatangan pengunjung dari dalam dan luar negara ke TTI," katanya pada sidang media ulang tahun pertama TTI di sini.

sempena musim cuti sekolah bermula akhir bulan ini, TTI turut menyediakan pelbagai program berbentuk ilmiah dan hiburan khas untuk pengunjung antaranya Jejak Khalifah, Giant Games, Sketch & Guess, Spelling Bee Challenge, TTI Family Quiz dan persembahan hiburan oleh kumpulan Sinar Budaya setiap malam.

Ahad, Mei 24, 2009

Terengganu Juara MSSM 2009

TERENGGANU muncul juara keseluruhan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) ke-51 yang melabuhkan tirainya di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Terengganu berjaya mengumpul 13 pingat emas, enam perak dan 13 gangsa diikuti Kelantan 11 emas, tujuh perak serta satu gangsa. Kedah pula di tempat ketiga dengan 11 emas, lima perak dan lapan gangsa.

"Berdasarkan prestasi atlet sepanjang menjalani latihan, kami sememangnya meletakkan sasaran untuk muncul juara keseluruhan dan kami akan cuba mempertahankan gelaran ini di gelanggang sendiri tahun depan," kata Ketua Kontinjen Terengganu, Mohd. Azmy Zakaria.
Sementara itu, empat lagi rekod kejohanan dicipta pada hari terakhir semalam.Pelari Terengganu, Harith Ammar Mohd. Sobri telah memecahkan rekod dalam acara 200m bawah 15 tahun dengan catatan masa 22.50s bagi memadamkan rekod 22.58s oleh Muhd. Ajmal Aiman juga dari Terengganu tahun lepas.

Kejayaan yang diperoleh Harith Ammar pada kejohanan kali ini sedikit sebanyak mengubat kekecewaannya kerana tidak dapat beraksi pada dua kejohanan yang sama akibat kecederaan hamstring.

Kuartet 4x400m Terengganu turut mencipta rekod baru kejohanan dengan catatan masa 3:21.66s untuk memadamkan rekod yang dipegang kuartet Johor, 3:21.79s pada tahun lepas.

Terengganu Memalukan Perlis

Rekod tanpa kalah di ditempat sendiri dimusnahkan oleh Terengganu.

Di Stadium Utama, jaringan Ashaari Shamsuddin pada minit ke-74 membolehkan Terengganu menggamamkan lawan apabila gerakan solonya dari tengah terus ke kawasan penalti sebelum disudahkan dengan rembatan ke sasaran.

Ketika Perlis meningkatkan usaha menyerang buat mencari gol penyamaan, kealpaan benteng dihukum gol Abdul Manaf Mamat pada penghujung masa kecederaan untuk Terengganu pulang membawa kemenangan 2-0.

Perlis kini kekal dengan 38 mata, dipintas Selangor yang memiliki 40 mata selepas bangkit menundukkan Kedah hasil kejayaan 3-1 di Stadium Shah Alam.

Tuanku Mizan sertai Edaran Endurance Classic 2009

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam mengetuai 109 pelumba menyertai Kejohanan Kuda Lasak Edaran Endurance Classic 2009 di Terengganu International Endurance Park (TIEP) di sini.

Seri Paduka yang mewakili Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) dan menunggang kuda Jakim Murphy, bersaing dalam kategori 120km bersama 15 peserta lain.Perlumbaan dijangka berakhir kira-kira 11 pagi hari ini.

Dalam pada itu, Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan kekandanya, Tengku Nadhirah Zahrah turut mengambil bahagian dalam acara 40km.

Kejohanan dua hari anjuran bersama Edaran Berhad dan kerajaan Terengganu itu, membabitkan kategori 40km, 80km, 120km dan 160km.

Sabtu, Mei 23, 2009

Kedudukan MB Terengganu bakal diketahui

Tanda tanya mengenai kedudukan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar (MB) dijangka diketahui dalam tempoh terdekat.

Sinar Harian difahamkan isu MB turut disentuh walaupun tiada pengumuman rasmi dibuat ketika pertemuan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan Ketua UMNO Bahagian dan semua Ahli De-wan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Na-sional (BN) Terengganu malam kelmarin.

ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid ketika dihubungi semalam mengakui isu itu turut dibincangkan untuk diselesaikan segera.

Bagaimanapun, Rosol enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu dan memak-lumkan keputusan perlu diserahkan kepa-da pucuk kepimpinan UMNO negeri.

“Dalam pertemuan itu, isu MB ada dibincangkan dan Datuk Seri Hishammuddin akan tengok dalam masa terdekat. Semua keputusan terpulang kepada beliau,” katanya ketika mengulas pertemuan tersebut.

Ketika diminta mengulas mengenai pertemuan selama dua jam setengah itu, Rosol yang juga bekas Setiausaha UMNO Tereng-ganu berkata, beliau yakin ia akan membawa perkembangan positif kepada politik di negeri ini berdasarkan jaminan Hishammuddin untuk mengambil langkah terbaik memantapkan UMNO Terengganu.

“Perjumpaan itu amat baik dan saya yakin ia akan memberi perkembangan positif terhadap perpaduan dan kekuatan UMNO di negeri ini. Datuk Seri (Hishammuddin) juga memberi keyakinan untuk memastikan masalah diselesaikan segera bagi menghadapi pilihan raya umum,” katanya.

Malam kelmarin, semua ADUN BN Terengganu termasuk Datuk Ahmad Said dan Datuk Seri Idris Jusoh hadir dalam perjumpaan dengan Hishammuddin di pejabat Menteri Dalam Negeri, di Putrajaya bermula jam 10 malam, bagi membincangkan isu politik di negeri ini.

Khamis, Mei 21, 2009

Anak Terengganu Gemilang

PENAMPILAN terakhirnya di pentas MSSM ditamatkan dengan penuh gemilang oleh Abdul Azlan Shamsuddin yang meraih hatrik emas dalam acara yang didominasinya sejak sekian lama, 400m lari berpagar lelaki 18 tahun.

Atlit kelahiran Terengganu itu yang unggul dalam acara itu sejak berusia 16 tahun itu kini mengalihkan perhatiannya kepada cabaran lebih besar selepas membuktikan dirinya tiada tandingan di kalangan rakan seangkatannya sejak tiga tahun berturut-turut.

"Kejohanan seterusnya yang akan saya sertai selepas ini adalah Sukan Remaja Asia Tenggara, Jun nanti seterusnya Sukan Sekolah-sekolah Asean pada Ogos ini di Thailand," katanya.

Abdul Azlan tidak lagi layak beraksi tahun depan berikutan umurnya melewati 18 tahun tapi sebelum itu, misinya pada kejohanan MSSM ini masih belum berakhir dengan atlit yang menetap di Dungun itu, disenaraikan untuk dua lagi acara.

"Selepas ini, saya mensasarkan dua emas dalam acara 4x100m dan 4x400m," kata anak didik legenda lari berpagar negara, Ishtiaq Mubarak di Bukit Jalil.

Mengulas mengenai persembahannya pada MSSM semalam, Abdul Azlan jelas tidak berpuas hati kerana merasakan dirinya jauh daripada pencapaian terbaik peribadi 53 saat yang dilakukan tahun lalu.

"Saya tidak berpuas hati dengan catatan itu. Sasaran saya adalah untuk mencecah 53 saat tetapi tidak kesampaian,” katanya yang melakukan 54.21s pada final semalam.

LPT Fasa 2 bakal siap tahun depan

Penyempurnaan pakej 11 dan 12 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 2 menghubungkan Batu Hampar dan Gemuruh yang dijangka siap tahun depan akan memendekkan perjalanan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail (LTSM) di Kuala Terengganu ke Tasik Kenyir kepada 30 minit, berbanding lebih sejam sekarang.
Bagaimanapun, kegagalan kontraktor meneruskan kerja menurap jalan menyebabkan kerja pembinaan pakej 11 sepanjang enam kilometer sudah lewat 10 peratus daripada jadual dan perlu ditender semula, manakala pakej 12 sepanjang lapan kilometer sudah 83 peratus siap.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata pakej 11 sepatutnya sudah 52 peratus siap tetapi kontraktor menarik diri daripada projek itu kerana harga bitumen yang meningkat sekali kali ganda berbanding kos sebut harga dalam tender menyebabkan syarikat menanggung kerugian besar.

Projek LPT Fasa 2 adalah sambungan kepada LPT Fasa 1 bermula dari Jabur hingga ke Gemuruh sepanjang 180 kilometer.

Rabu, Mei 20, 2009

Blog Jarang Anak Melayu Ada Saingan Baru?

Kemunculan blog baru mengenai politik Terengganu telah menambah ruang untuk rakyat Terengganu mengetahui pekembangan politik. Satu blog yang serupa nama dengan Blog Jaranganakmelayu.blogspot. com yang ditulis oleh Mubin dan satu lagi blog baru jaranganakmelayu1.blogspot.com yang penama tidak ditulis.


Cuma yang diharapkan kedua-dua blog ini tidak menambur cerita fitnah yang memecah belah peraduan rakyat Terengganu. Bersainglah dengan sihat. Kepada pembaca..bacalah sebagai pengetahuan..jangan taksub..

Nota : Blog jaranganakmelayu.blogspot.com dengan blog jaranganakmelayu1.blogspot.com adalah berbeza

Tepuh Di Hidupkan

Pekan Tepuh yang terletak di laluan utama Kuala Terengganu-Kota Bahru dan sering dianggap sebagai pekan tanpa penghuni, bakal berubah wajah dan menjadi pusat pertumbuhan baru kesan limpahan daripada pembangunan pesat di bandar raya ini.

Sebagai persediaan awal, pelbagai projek pembangunan dan penyusunan semula pekan Tepuh yang terletak berhampiran susur keluar Lebuhraya Pantai Timur (LPT) II sedang dirangka Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) serta agensi kerajaan Pusat. Secara keseluruhannya, kawasan guna tanah pekan Tepuh yang didiami lebih 35,000 orang meliputi keluasan 27.7 hektar iaitu membabitkan 23.86 peratus daripada keluasan keseluruhan RKK.

Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Tepuh, Muhammad Ramli Nuh, berkata projek pembangunan yang akan dilaksanakan tidak akan mengabaikan pembinaan prasarana kemudahan asas penduduk setempat.

Katanya, walaupun penyusunan pekan Tepuh akan dilaksanakan dalam tempoh lapan tahun, tetapi roh perubahan pembangunan sudah pun dirasai, apabila penduduk termasuk yang memiliki tanah sendiri sudah membuat pelaburan besar dengan membina rumah kedai.

"Perubahan mula ketara apabila Felda mendirikan ibu pejabat Wilayah Pantai Timur dan projek pembesaran jalan daripada dua lorong kepada empat lorong bermula daripada Felda Belara ke Kampung Sungai Ikan membabitkan peruntukan sebanyak RM42 juta yang sedang giat dilaksanakan.

"Bagi memastikan penduduk setempat tidak diabaikan daripada arus perdana pembangunan, kerajaan melalui Syarikat Perumahan Negara (SPN) dan Lembaga Amanah Tabung Negeri (LATN) memajukan kawasan seluas 17.6 hektar untuk membina 307 unit kediaman, termasuk rumah kos rendah mampu milik di pekan berkenaan," katanya.

Muhammad Ramli, berkata kerajaan negeri sudah menyediakan peruntukan awal kira-kira RM1.9 juta bagi membina gelanggang futsal dan dewan serbaguna untuk kemudahan penduduk.

Katanya, bagi memastikan pelbagai projek pembangunan dapat dilaksanakan mengikut jadual, tanah milik kerajaan di pekan itu akan disusun termasuk menyediakan rizab untuk pembinaan masjid. Pekan Tepuh yang sebelum ini hanya dijadikan laluan utama pengguna jalan raya dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu akan berubah wajah menjelang tahun 2015.

"Dengan pembangunan pesat yang sedang giat dilakukan termasuk jalan susur LPT II, ekonomi penduduk setempat juga akan bertambah makmur," katanya.

Selasa, Mei 19, 2009

T Team Menang Lagi

Di Stadium Sultan Mizan Zainal Abdin, pasukan T-Team berpesta jaringan menewaskan Felda United, 4-0, dengan Hairudin Omar melakukan jaringan hatrik pada minit ke-3, 63 dan 78. Azirul Hazran Amiludin turut mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-74.

Namun perlawanan semalam dihiasi insiden patah tangan membabitkan pemain Felda, Rashid Mahmud pada minit ke-16.

Rashid bersama rakan sepasukan, Khairul Anuar Jamil yang cedera teruk di kaki terpaksa dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.

RM9 juta promosi Tasik Kenyir

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata pembinaan taman burung di sebuah pulau di tasik itu sedang giat dilaksanakan dengan kerjasama kepakaran pengusaha zoo mini Burung Kuang di pekan Ajil, di sini, manakala taman orkid akan menempatkan 1,800 spesies bagi menarik kunjungan peminat bunga eksotik itu.

Bagi memudahkan perjalanan pengunjung di sekitar Tasik Kenyir dalam keadaan yang lebih selesa terutama yang membabitkan kumpulan besar, kerajaan negeri sudah menempah dua bot aluminium yang setiap satunya boleh memuatkan 55 penumpang.

Ahmad berkata, kerajaan negeri membelanjakan RM1.9 juta setahun untuk mempromosikan Tasik Kenyir termasuk menerusi papan iklan di beberapa lokasi strategik seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Terengganu Cadang Bina Kereta Kabel Di Tasik Kenyir

Kerajaan negeri merancang membina kereta kabel dari Pangkalan Gawi ke Taman Tema Air di Pulau Poh, Tasik Kenyir bagi menambah tarikan pelancong ke tasik buatan terbesar Asia Tenggara itu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata kerajaan negeri akan melantik syarikat perunding bagi merumuskan reka bentuk dan menilai kos pelaksanaan projek itu.

Katanya, walaupun projek kereta kabel itu tidak secanggih di Pulau Langkawi sekali gus membabitkan kos yang lebih rendah, tetapi ia memadai untuk mencapai matlamat bagi memudahkan perhubungan antara daratan dan kawasan menarik di beberapa pulau yang sedang dibangunkan. "Pembinaan kereta kabel itu adalah sebahagian daripada perancangan besar yang sudah dirangka kerajaan negeri yang dijangka membabitkan peruntukan RM500 juta untuk membangunkan keseluruhan Tasik Kenyir.

"Selain kereta kabel, turut termasuk dalam perancangan menyeluruh itu adalah pembinaan 20 chalet tambahan di Pulau Petang membabitkan peruntukan RM50 juta, pembinaan dua bot aluminium baru dan pembangunan pulau tema khas merangkumi taman burung, taman air, taman haiwan dan orkid," katanya selepas membawa pemberita melawat beberapa projek pembangunan di sekitar Tasik Kenyir, semalam

Isnin, Mei 18, 2009

Roselle jadikan awet muda

Tahukah anda bahawa produk minuman atau makanan berasaskan roselle antara lain didapati berkhasiat sebagai bahan antipenuaan atau menjadikan awet muda kepada penggemarnya.

Justeru tanaman secara komersial roselle kini diperluaskan di seluruh negara kerana produk berasaskannya semakin mendapat sambutan di pasaran dalam dan luar negara.

Koperasi Tani (Koptani) Lembah Bidong Terengganu Berhad di sini adalah sebagai pembekal utama produk roselle di negeri ini sekali gus dapat membantu petani Projek Pemulihan Rakyat Termiskin (PPRT) di Rhu Tapai di sini menambah pendapatan.

pokok roselle yang berasal dari Afrika Barat mengandungi pelbagai khasiat seperti mengurangkan tekanan darah tinggi, merendahkan suhu badan dan mengawal pertumbuhan barah.

Katanya, khasiat lain ialah antipenuaan atau awet muda, pencegahan penyakit kadiovaskular, deman panas dan resdung.

''Kami juga sentiasa bekerjasama serta mendapat bimbingan daripada pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) dan beberapa agensi pertanian seperti Jabatan Pertanian serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Ahad, Mei 17, 2009

TPM minta Terengganu banyakkan ruang niaga

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Kerajaan Terengganu menyediakan lebih banyak ruang perniagaan di sekitar bandar raya ini bagi membolehkan lebih ramai peniaga berniaga di tempat yang lebih selesa.

Beliau yang berusaha menyelami sendiri hati rakyat dengan melawat peniaga di Bazar Warisan, Pasar Besar Kedai Payang dan Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dalam lawatan kerja pertamanya ke Terengganu hari ini berkata, ini penting bagi memastikan mereka dapat berniaga di tempat yang sesuai dan selesa.

Muhyiddin yang berjalan kaki sepanjang lawatan berkenaan turut mengambil peluang beramah mesra dengan peniaga serta pengunjung ketiga-tiga premis yang dilawatinya itu.

"Saya perhatikan sendiri banyak ruang perniagaan di bandar raya ini sudah dipenuhi dan diharap lebih banyak ruang disediakan untuk golongan terbabit menjalankan perniagaan.

"Walaupun ada segelintir peniaga yang merungut tetapi ramai yang berpuas hati dan dengan perkembangan yang berlaku sememangnya kuasa beli di sini sudah semakin tinggi," katanya kepada pemberita selepas lawatan berkenaan.

Turut mengiringi beliau dalam lawatan itu ialah Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, Exco kerajaan negeri, wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan.
Muhyiddin turut melahirkan perasaan kagum dengan sikap yang ditunjukkan oleh rakyat di negeri ini yang ternyata rajin serta berminat menjalankan perniagaan.

Katanya, dengan keupayaan yang ditunjukkan jelas membuktikan mereka boleh maju dalam bidang yang diceburi.Beliau seterusnya meminta wakil rakyat supaya kerap turun padang untuk mengetahui sendiri masalah yang dihadapi golongan itu dan berusaha menyelesaikannya.

Sabtu, Mei 16, 2009

Ahmad Said terus akan jadi MB Terengganu

Datuk Ahmad Said akan kekal sebagai Menteri Besar Terengganu kerana Umno tidak memutuskan sebarang perubahan kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri setakat ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, perubahan jawatan Menteri Besar tidak pernah berbangkit.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran berkata demikian selepas merasmikan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-38 di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, di sini, hari ini.

Hadi Kekal Presiden

Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini disahkan menang tanpa bertanding jawatan Presiden Pas.

Ini apabila 136 daripada 137 Pas kawasan yang menghantar senarai pencalonan mencalonkan Abdul Hadi.

Manakala bagi jawatan timbalan presiden, lima nama disahkan layak bertanding bagi merebut jawatan tersebut.Mereka yang layak ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Datuk Dr. Haron Din, Datuk Husam Musa, Mohamad Sabu dan penyandang Nasharuddin Mat Isa.

Bagi jawatan naib presiden, 16 nama layak bertanding sementara untuk ahli jawatankuasa Pas pusat, 86 orang disahkan layak bertanding.Perkara ini diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Datuk Mustafa Ali pada sidang akhbar di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.

TPM melawat Terengganu

Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal melakukan kunjungan sulung ke negeri ini sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-38, di Kuala Terengganu, pada 16 Mei (Sabtu) ini.
Beliau merangkap Menteri Pelajaran dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, jam 9 pagi sebelum ke Majlis Pelancaran Perayaan Hari Guru 2009 di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.

TPM kemudiannya akan melawat Program Festival Hari Guru 2009, di Pusat Dagangan Terengganu, kira-kira jam 2.30 petang.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said yang ditemui selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, hari ini (13 Mei), berkata sempena lawatan sehari itu, TPM akan melawat sekitar Pasar Besar Kedai Payang, kira-kira sejam kemudian.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga dalam usaha mendapat persetujuan beliau ( TPM) bagi melawat perkembangan kilang yang memproses perisian dan data e-Book, di Gong Badak.

Terengganu Eksport Jagung hibrid ke pasaran antarabangsa

Jagung hibrid Terengganu akan mula dinikmati pengguna antarabangsa, termasuk Amerika Syarikat dalam tempoh dua bulan lagi menerusi kerjasama antara anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) dengan Nelson's Franchise (M) Sdn Bhd (Nelson's).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani negeri, Rozi Mamat, berkata menerusi kerjasama itu, Terengganu akan menjadi pengeluar jagung hibrid paling konsisten di Malaysia dan dijangka mula mengeksport 120 tan jagung hibrid siap diproses bernilai RM840,000 ke Los Angeles, menerusi penghantaran pertama, Julai depan.

ADC menjangka membuat empat penghantaran jagung hibrid, sejenis jagung yang dipertingkatkan kualiti secara genetik, siap diproses sebanyak 480 tan bernilai RM3.36 juta sepanjang tahun ini daripada projek penanaman jagung di kawasan seluas 24 hektar di Kuala Ping, dekat sini.

Khamis, Mei 14, 2009

Idris Jusoh-Ahmad Said akan bersemuka: Hishammuddin


Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dan semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) serta ketua bahagian Umno akan bersemuka bagi mengakhiri kemelut politik di negeri ini.

Pertemuan itu sedang diatur oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengumumkan inisiatif itu, hari ini.

Bercakap pada sidang akhbar di sini, petang ini, beliau berkata pertemuan itu bakal menyusul sehari dua lagi.Malah, katanya, Idris dan Ahmad sudah menyatakan persetujuan masing-masing untuk bertemu.

Rabu, Mei 13, 2009

Dr Ahmad Ramzi dibebaskan dengan jaminan polis


Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir yang ditahan semalam berhubung siasatan kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), dibebaskan pagi ini dengan jaminan polis.

Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh itu dibebaskan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira pukul 9.30 pagi, dengan jaminan polis

Padam Muka - Peragut lembik kena belasah

Cubaan dua lelaki untuk meragut beg tangan seorang guru berusia 51 tahun berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka berjaya ditangkap dan dibelasah sampai lembik oleh orang awam kelmarin.

Dalam kejadian pukul 2.45 petang itu, suspek berusia 24 tahun dari Kampung Pasir Tinggi, Marang dipukul hingga lembik meninggalkan kesan lebam dan bengkak pada bahagian badan serta muka di Jalan Bonggol dekat sini.

Dalam kejadian itu, mangsa dari Kampung Wakaf Tengah, Mengabang Telipot, berjalan bersendirian menuju ke keretanya di Jalan Banggol di sini, kira-kira jam 2.45 petang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah II negeri, Supritendan K. Manoharan berkata, suspek telah dibelasah orang awam sebelum dia diserahkan kepada polis.

"Semasa kejadian, mangsa sedang berjalan seorang diri di lorong belakang bangunan di sini untuk pergi ke tempat dia meletakkan keretanya."Tiba-tiba dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal dari arah belakang telah meragut beg tangan wanita tersebut," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Manoharan, mangsa bertindak untuk tidak melepaskan beg tangannya itu daripada diragut dan insiden tarik menarik itu telah menyebabkan kedua-dua suspek terjatuh daripada motosikal mereka.

Ramzi ditahan di hotel

Polis Terengganu hari ini menahan Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir kerana dipercayai terlibat dalam kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) bulan lalu.Difahamkan, beliau ditahan di sebuah hotel selepas tempoh tiga hari diberikan polis terhadapnya untuk hadir memberi keterangan sejak Jumaat lalu berakhir.

Bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh itu ditahan kira-kira pukul 8.30 pagi di satu lokasi di bandar raya ini dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk diambil keterangan.

Ahmad Ramzi yang berkot hitam dan bertali leher merah menutup tangannya yang bergari dengan sehelai jaket hitam sebaik sahaja diiringi polis keluar dari bangunan IPD kira-kira pukul 12.45 tengah hari ini.Dia kemudian dibawa menaiki kereta polis ke lokasi yang tidak diketahui.Beberapa orang dipercayai rakan Ahmad Ramzi turut kelihatan di pekarangan IPD berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner II Hamzah Mohd. Jamil pada sidang akhbar selepas itu memberitahu, Ahmad Ramzi ditahan selepas beliau gagal tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan.Menurutnya, tangkapan dibuat hasil siasatan berhubung kes penghantaran SMS ugutan bunuh kepada tiga ADUN terlibat yang dipercayai berkaitan dengan kemelut politik di negeri ini.

‘‘Polis mempunyai bukti untuk mempercayai bahawa Ahmad Ramzi terlibat dengan penghantaran SMS tersebut,’’ katanya.

Pada 13 April lalu, ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid; Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Abdullah (Paka) menerima SMS berbaur ugutan dipercayai berikutan kemelut politik di negeri ini.Berikutan itu, 10 ADUN BN tidak hadir pada hari kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri keesokan harinya atas alasan bimbangkan keselamatan mereka.

Hasil siasatan awal kes itu, polis menahan seorang kerani syarikat swasta berusia 31 tahun di Bandar Baru Bangi, Selangor, sebelum dibebaskan baru-baru ini.Menurut Hamzah, sebelum Ahmad Ramzi ditahan, polis terlebih dahulu menggeledah rumahnya di Kampung Kubang Parit di sini petang semalam selepas beliau gagal tampil sehingga pukul 3 petang dan merampas dua unit komputer riba dan sebuah modem.

Dengan tangkapan Ahmad Ramzi itu, jelasnya, siasatan kes berkenaan kini sudah 95 peratus selesai.‘‘Ahmad Ramzi kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu untuk siasatan lanjut dan akan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah jika siasatan tidak dapat dilengkapkan dalam tempoh 24 jam.

‘‘Sebaik sahaja siasatan lengkap, polis akan merujuk kertas siasatan kes kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut, termasuk kemungkinan mendakwanya di mahkamah,’’ jelasnya.Katanya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan ugutan jenayah, dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan bagi kesalahan memfitnah.

Siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Telekomunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian lain.Ditanya kenapa siasatan kes itu memakan masa hampir sebulan, Hamzah berkata, kes itu adalah rumit, bersifat kompleks dan teknikal.

Selasa, Mei 12, 2009

T Team Menang

Stadium Sultan Mizan Zainal Abdin, T-Team walaupun ketinggalan tujuh mata, kelihatan masih 'berminat' mengintai peluang merebut gelaran selepas membelasah Shahzan Muda, 5-0.

Hatrik Mohd Haris Safwan Kamal pada m-17, m-40 dan m-60 serta Azrul Hazran Amluddin dan Norhisham Hassan masing-masing pada m-31 dan m-33 sudah memadai bagi memastikan bekalan tiga mata berharga milik mereka.

Isnin, Mei 11, 2009

Lima candat sotong dipanah petir

"Saya nampak satu cahaya yang sangat cerah disusuli petir yang menyebabkan saya hampir pitam."Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya lihat kaki saya bengkak dan punggung saya susah diangkat."

Demikianlah cerita Shahrulnizam Kamaruddin, 23, salah seorang daripada lima mangsa yang cedera dalam kejadian bot dipanah petir di perairan pantai dekat sini pada pukul 10.30 malam kelmarin.

Menurut kakitangan kerajaan Bahagian Pengurusan Hartanah di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya, dia bersama sembilan lagi rakannya datang ke negeri ini untuk mengikuti ekspedisi mencandat sotong pada Jumaat lalu.

Katanya, mereka bersama tiga penduduk tempatan kemudian menaiki bot di Seberang Takir di sini pada pukul 5 petang pada hari yang sama.


"Pada mulanya, cuaca elok tapi tiba-tiba hujan lebat dan kami mengambil keputusan untuk memberhentikan aktiviti serta kembali ke pantai.

"Semasa bot menghala ke pantai, tiba-tiba saya lihat satu cahaya menuju ke arah bot kami diikuti dengan dentuman kuat menyebabkan bot kami bergegar dan semua lampu terpadam," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) semalam.

Menurut Shahrulnizam, kejadian itu menyebabkan kaki kanannya kebas dan bengkak manakala telinganya berdengung.

Ahad, Mei 10, 2009

Panorama Cafe di Puncak Bukit Pak Apil

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemajuan Awam Negeri, Encik Yahya Khatib, berkata bagi tujuan sama, kemudahan tempat letak kereta bawah tanah mengandungi 300 lot di Shahbandar, turut disediakan.

Beliau berkata, bagi menaikkan imej Terengganu supaya terus gah di mata pelancong, kerajaan negeri turut membina restoran di puncak Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu yang dinamakan `Panorama Cafe’.

Selain restoran, di puncak itu nanti bakal menempatkan menara tinjau, laluan berjalan kaki, kawasan riadah dan tandas. Projek yang membabitkan kos RM7.5 juta itu dijangka siap akhir 2010.

Menurutnya, sepanjang tempoh setahun bandar Kuala Terengganu dinaiktaraf sebagai bandar raya, pelbagai pembangunan disediakan MBKT bagi keselesaan penduduk tempatan. “Kerajaan negeri membelanjakan RM44 juta bagi tujuan pembangunan di kawasan pentadbiran MBKT sepanjang tahun lalu,” ujarnya.

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sedang membina jalan raya berkembar bernilai RM60 juta yang menghubungkan Jalan Balik Bukit ke Pulau Warisan, Kuala Terengganu.Projek berskala besar itu bakal memberi kemudahan kepada penduduk tempatan dan pelancong untuk berkunjung ke pulau itu yang menempatkan pelbagai khazanah dan kebudayaan Terengganu.

Selain ke Pulau Warisan, jalan sepanjang 700 meter itu bakal menjadi laluan pilihan pengguna ke beberapa destinasi lain termasuk Pasar Besar Kedai Payang, Bazar Warisan, Dataran Shah Bandar dan Bukit Puteri.

Jalan raya berkembar yang bermula dari Jalan Balik Bukit dan berakhir di Jalan Banggol itu, dijangka siap sepenuhnya awal tahun depan.

Apabila siap kelak, ia akan membawa imej positif di mata pelancong yang sering merungut dengan menyatakan jalan ke pusat bandar kini bertambah sibuk.

Sabtu, Mei 09, 2009

Makan ulam, minum air suam rahsia kekal sihat

Kegemaran makan pelbagai jenis ulam, mengamalkan minum air suam dan sentiasa aktif ketika zaman mudanya menjadi rahsia ibu tertua di Kuala Terengganu, Ngah Man yang usianya kini mencecah 100 tahun masih kekal sihat serta ceria.

Ibu tunggal sembilan anak dari Kampung Wakaf Mempelam di sini, yang mesra dengan panggilan Tok, sejak usia mudanya juga pantang meminum minuman sejuk dan masih kuat ingatan terutama dalam mengingati tarikh dan kejadian penting dalam hidupnya. "Tok tak amal apa-apa petua. Cuma pantang minum ais dari dulu lagi, selain suka makan ulam terutama yang pahit kerana Tok percaya khasiatnya sangat banyak.

"Alhamdulillah, Tok bersyukur kepada Allah kerana masih dikurniakan kesihatan yang baik walaupun terpaksa bergerak dengan kerusi roda kerana penyakit osteoporosis sejak lima tahun lalu.

"Tok juga bersyukur kerana semua tujuh anak Tok yang masih hidup sentiasa mengambil berat keadaan Tok dan menjaga Tok dengan baik sehingga masih mampu meraikan Hari Ibu hari ini (semalam)," katanya ditemui pada Majlis Meraikan Ibu Tertua di Kuala Terengganu sempena Hari Ibu di Ri-Yaz Heritage Resort & Spa (Ri-Yaz Heritage) di sini, semalam.

Ahmad Ramzi diberi tiga hari

Polis Terengganu memberi tempoh tiga hari mulai semalam kepada Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir untuk tampil membantu siasatan berhubung kes penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS) berbentuk ugutan kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Terengganu bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Hamzah Mohd. Jamil berkata, jika Ahmad Ramzi iaitu bekas setiausaha politik kepada Datuk Seri Idris Jusoh gagal berbuat demikian, polis akan mendapatkan waran tangkap terhadap beliau.

Menurut beliau, polis telah cuba mengesan Ahmad Razmi, yang juga bekas calon BN bagi kerusi Parlimen Marang pada pilihan raya umum lepas, di kediaman beliau di sini dan Kuala Lumpur tetapi gagal.

Ahmad Ramzi diminta menemui atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah, Kuala Terengganu, Asisten Supritendan Mohd. Hadzwan Zulkefle di talian 09-6246222.

Khamis, Mei 07, 2009

Terengganu Menang

SEGALANYA musnah. Begitulah nasib Negeri Sembilan tatkala berusaha mengutip kemenangan kesembilan tapi dibalas dengan kekecewaan selepas kecundang 2-0 kepada Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Perlawanan kedua-dua pasukan sepatutnya dilangsungkan kelmarin tapi ditangguhkan kerana padang ditakungi air ekoran hujan lebat ketika 10 minit babak kedua bersambung.

Penyerang muda, Abdul Manaf Mamat, meletakkan Terengganu selaku tuan rumah di depan seawal minit ke-8 selepas bijak memperdayakan pertahanan Negeri Sembilan.

Tersentak dengan jaringan itu, Negeri Sembilan mula mengatur rentak perlawanan memburu gol penyamaan, namun gagal..Ketika perlawanan memasuki masa kecederaan, tendangan percuma Zairol Anuar Zailani melengkapkan kemenangan bergaya sekali gus meranapkan terus impian skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan merapatkan kedudukan dengan dua pasukan teratas, Perlis dan Selangor.

Di katakan pintu masuk tercabut kunci apabila peminat bola sepak berpakat-pakat ramai untuk menolak pintu kerana tidak berpuas hati dikenakan tiket. Perlawanan ini merupakan perlawanan ulangan kerana perlawanan sebelum ditangguh kerana hujan lebat & guruh.

Ketua Wanita UMNO di Lantik Senator

Ketua Wanita Umno bahagian Dungun, Zainun Abu Bakar, 56 sebagai Ahli Dewan Negara untuk penggal Pertama, semalam.

Beliau antara enam Senator termasuk lima muka baru yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh.

Terengganu Agih 15,000 komputer riba, e-book

Sebanyak 15,000 unit komputer riba atau buku elektronik (e-book) pertama dari Shanghai, China tiba di Terengganu semalam, dan akan diagihkan kepada murid Tahun Lima di negeri ini dalam tempoh dua minggu lagi, selepas pengisian silibus pembelajaran selesai dimuat turun.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata baki 8,000 unit e-book akan sampai dalam bentuk komponen dan akan dipasang sendiri oleh tenaga mahir tempatan yang sudah dilatih di kilang e-book di Kompleks Perindustrian Gong Badak di sini, yang akan mula beroperasi pada akhir Mei ini.

Rabu, Mei 06, 2009

Malam ini Ada Bola

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, perlawanan antara Terengganu dan Negeri Sembilan terpaksa ditangguhkan malam ini akibat hujan lebat malam tadi,

Pengadil, Ahmad Bustaman Hamid terpaksa menghentikan perlawanan selepas 10 minit selepas babak kedua bermula ketika kedudukan terikat 1-1 hasil jaringan Mohd Shukor Adan pada minit-28 sebelum pemain Terengganu, Ashaari Shamsudin, menyamakan kedudukan dua minit kemudian.

Malam ini akan berlansung perlawanan ulangan pada Jam 8.45 malam di Stadium yang sama.

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH
Terengganu juara Sukma: KONTINJEN Terengganu bersorak riang selepas muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XII yang berakhir di Kuala Terengganu, malam tadi. Tuan rumah mencipta sejarah mengutip emas terbanyak dalam penyertaan Sukma selepas meraih 61 pingat emas 39 perak dan 47 gangsa meninggalkan Selangor yang muncul naib juara dengan 54-47-52 manakala Sarawak tempat ketiga, (52-52-42). Upacara penutup temasya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

MENAKJUBKAN

MENAKJUBKAN
TERENGGANU juara SUKMA, Juara Bola Sepak, Raja Pecut, Raja Ragbi, Raja Kenu, Raja Kayuh. Kemenangan Terengganu kebanyakkan diperolehi melalui sukan objektif seperti olahraga, basikal, kenu berbanding dari sukan subjektif.

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG
Skretariat SUKMA Terengganu mendapat pujian daripada Kontingen-kontingen negeri, Media massa, pegawai sukan & orang ramai tentang kecermlangan pengurusan & pentadbiran SUKMA. SUKMA di Terengganu di iktiraf sebagai pengurusan SUKMA terbaik, pengadilan yang paling bersih,penyertaan penonton paling ramai, kemudahan paling lengkap, rekod baru paling banyak dicipta & tanpa kontraversi. Paling hairan Jawatakuasa rayuan tidak mnerima apa-apa rayuan dari kontingen yang bertanding. TAHNIAH.

INDUSTRI TERNAK KAMBING

INDUSTRI TERNAK KAMBING
Cosmopal Sdn Bhd, anak syarikat Arus Zaman Sdn Bhd, melabur sebanyak RM2 juta dalam penternakan kambing di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Serating, dekat sini dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai pengeluar terbesar ternakan itu di negara ini pada masa depan. Pengarahnya, Zainudin Zakaria berkata setakat ini, syarikat mempunyai sebanyak 1,400 kambing baka Jamnapari, bernilai antara RM750 dan RM850 seekor, di ladang seluas kira-kira 30 hektar itu.

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN
DAS berkata kerajaan banyak menyediakan kemudahan untuk pelajar melonjakkan diri untuk mencapai kejayaan cemerlang. Kerajaan sanggup menyediakan peruntukkan besar untuk sektor pendidikan bagi menjadikan negeri terulung melahirkan pelajar yang cemerlang.

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI
DAS mengucap tahniah kepada Wan Ahmad Nizam, Ketua Kontingen SUKMA Terengganu kerana berjaya menjadi juara SUKMA ke 12. Di atas kemenangan itu, DAS memberi cuti kepada rakyat Terengganu.

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU
PM bersetuju untuk melulus pembinaan sekolah sukan seperti sekolah sukan di Bukit Jalil & Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor di Terengganu. Sekolah ini akan dibina di sebelah kompleks sukan negeri, Gong Badak.