Selasa, Disember 29, 2009

TTeam Mampu Terserlah Liga Super

Pendatang baru, T-Team menyasarkan kedudukan empat teratas dalam saingan bola sepak Liga Super musim 2010 yang akan membuka tirai saingan pada 9 Januari ini.

Selain itu, pasukan dari pantai Timur itu juga mahu menjadi antara 12 pasukan yang layak beraksi dalam saingan Piala Malaysia musim depan.

Jurulatihnya, Che Ku Marzuki Mohd. Nor berkata, pasukannya sudah bersedia untuk menyaingi pasukan terbaik tempatan dalam Liga Super menerusi persediaan yang terbaik di sepanjang tempoh rehat saingan bola sepak tempatan.

Menurutnya, T-Team telah mengharungi perlawanan ujian empat penjuru dengan pasukan Liga Super baru-baru ini dan dia berpuas hati dengan keputusan yang dicatatkan.

T-Team mengalahkan Johor FC 2-1 pada perlawanan pertama, menang selesa 4-1 ke atas KL PLUS kemudiannya, seri 1-1 dengan Terengganu dan menang 2-1 dengan pasukan yang sama pada aksi kedua mereka.

Tiga lagi perlawanan persahabatan selepas itu tidak memihak kepada T-Team apabila kalah 0-2 kepada Kelantan, tunduk 3-4 kepada Selangor dan menutup tirai perlawanan ujian dengan keputusan seri 2-2 dengan Felda United.

Mengulas pencapaian pasukannya di sepanjang perlawanan ujian tersebut, Che Ku Marzuki berkata, secara keseluruhannya, dia berpuas hati dengan persediaan pasukannya.

Cuma, katanya, jentera serangan agak kurang menyengat akibat kehilangan beberapa pemain berpengalaman termasuk Hairuddin Omar yang berhijrah ke Kelantan.

''Walaupun dilabel pendatang baru, saya yakin T-Team mampu menyaingi pasukan-pasukan handalan dalam Liga Super musim depan,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Marzuki & Rony Mengukuh Benteng Terengganu

Terengganu mungkin akan menjadi sebuah pasukan yang sukar untuk ditembusi menjelang saingan Liga Super yang bakal membuka tirai minggu depan apabila Ronny Harun bakal digandingkan di bahagian pertahanan bersama ketua pasukan, Marzuki Yusof.

Perkara tersebut telah dinyatakan oleh jurulatih mereka, Irfan Bakti Abu Salim yang menganggap pengalaman Ronny bakal membantu skuad Terengganu untuk mencatatkan keputusan cemerlang pada awal saingan musim baru ini.

Bagaimanapun, bekas jurulatih Perlis itu masih mencari kombinasi terbaik bukan sahaja di bahagian pertahanan malah di setiap posisi yang dianggapnya amat penting bagi mempersiapkan sebuah pasukan yang mantap.

"Jika di bahagian pertahanan saya melihat Ronny agak menonjol walaupun dia adalah pemain baru untuk musim akan datang selepas berhijrah dari Kedah, manakala pemain lain masih dalam proses untuk menyesuaikan diri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Jelasnya, mereka sedang menghampiri persiapan terakhir dan perlawanan persahabatan seterusnya ialah menentang Pahang, Jumaat ini.

"Kami harus mempersiapkan pasukan sebaik mungkin kerana perlawanan pertama Liga Super 9 Januari ini adalah menentang naib juara Piala Malaysia musim lalu, Kelantan.

"Bagaimanapun saya lihat pemain sudah bersedia terutama sekali selepas mengharungi perlawanan empat penjuru baru-baru ini," kata bekas jurulatih Perlis itu.

Irfan berkata, beberapa kelemahan pasukan sudah dikenalpasti dan akan diperbaiki secepat mungkin sebelum aksi liga 2010 bermula.

"Semua ini telah dinilai dalam perlawanan empat penjuru di mana kami seri ketika bertemu KL Plus 2-2, menang ke atas Johor FC 2-1 dan seri menentang pasukan T-Team 1-1.

"Selepas saingan akhir kejohanan tersebut ketika kami kalah 2-1 kepada T-Team saya melihat kelemahan ketara pemain adalah dari faktor kecergasan.

"Januari ini kami akan mengharungi tujuh perlawanan dalam tempoh sebulan, oleh itu kami memerlukan pemain berada pada tahap kecergasan terbaik," katanya.

Selain Ronny, Terengganu telah mendapatkan lima lagi muka baru iaitu K. Rajan, Tengku Hasbulah Raja Hassan, Mohd Firdaus Mohd Faudzi, Joseph Kalang Tie dan Helmi Remeli.

Rocket Men & Fatihah Atlit Terbaik


MUSTAFA mewakili Fatihah dan Selamiah mewakili Azizulhasni
menerima anugerah, malam tadi.


Dipilih kerana pencapaian cemerlang dalam dan luar negara

JAGUH lumba basikal negara, Azizulhasni Awang dan Fatihah Mustaffa dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati Terengganu 2007-2008 sempena Anugerah Sukan Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Kedua-dua pelumba itu yang kini mengikuti latihan di Australia dipilih berdasarkan pencapaian cemerlang mereka meraih emas pada Sukan Malaysia ke-XII (Sukma ke-XII) dan pencapaian di luar negara, sekali gus menerima hadiah RM7,000 seorang serta piala dan sijil.

Hadiah disampaikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said kepada ibu Azizulhasni, Selamiah Yong, manakala Fatihah diwakili ayahnya, Mustapa Kassim berikutan kedua-dua mereka tidak dapat hadir kerana terikat dengan komitmen latihan di Australia.

Anugerah tahunan tajaan kerajaan negeri itu dianjurkan sebagai pengiktirafan dan perangsang kepada atlit serta penggiat sukan di negeri ini, termasuk atlit yang mempamer aksi cemerlang pada Sukma ke-XII, tahun lalu.

Ahad, Disember 27, 2009

Nelayan Hanyut Selamat Sampai





SYUKUR: (dari kiri); Ahmad Faizul Sulong, Mohd Arif Rosli, Musa Mahammad dan Akhmadi Daud berdoa selepas selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, hari ini, setelah ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia ketika menangkap ikan di Pelantar Berlumut pada 10 November baru-baru ini.

Sabtu, Disember 26, 2009

Terengganu Mampu Menewas Kelatan

SKUAD Terengganu yang sedang membuat persiapan menghadapi kempen Liga Super 2010 bermula 9 Januari ini yakin mampu mempamerkan persembahan mantap dan menjadi antara barisan bakal digeruni pihak lawan.

Berpegang kepada matlamat itu, jurulatih Terengganu, Irfan Bakti tidak ada pilihan selain bekerja keras membentuk anak buahnya supaya menjadi pasukan lebih cemerlang dan mampu meraih kemenangan sama ada di tempat sendiri mahu pun tempat lawan.

Skuad Terengganu mengambil beberapa pemain dari pasukan lain seperti K Rajan, Josepa Kalang Tie dan Tengku Hasbullah Tengku Hassan untuk memperkuatkan lagi skuad itu menghadapi kempen Liga Super musim depan dengan lebih mantap lagi.

Irfan berkata, pertemuan sulung dengan Kelantan di gelanggang sendiri pada 9 Januari ini sudah pasti hebat kerana masing-masing mahu mencari kemenangan.

“Saya sedikit pun tidak merasa gentar menghadapi pertemuan itu kerana yakin anak buah mampu bermain dengan baik dan menghalang pasukan pelawat mencuri sebarang mata,” katanya.

Irfan berkata, dengan adanya penjaga gol kebangsaan, Sharbinee Allawee yang membantu skuad negara meraih pingat emas Sukan Sea di Laos, baru-baru ini, gawang Terengganu pasti bertambah selamat.

Jumaat, Disember 25, 2009

Terengganu Cemerlang PMR


Terengganu mencatatkan keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) antara tertinggi di negara ini dengan pencapaian nilai gred purata negeri (GPN) 2.60 mengatasi gred purata nasional 2.78.

Pengarah Pelajaran Negeri, Ariffin Embong berkata, kesemua 22,954 calon PMR yang menduduki peperiksaan itu tahun ini berjaya melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat, tahun depan.

Katanya, pencapaian minimum D juga telah meningkat sebanyak 1 peratus daripada 62.4 peratus pada tahun 2008 kepada 63.4 peratus.

Sementara itu katanya, pencapaian A dalam semua mata pelajaran bagi 2009 tidak berubah berbanding 2008 iaitu 7.1 peratus.

"Gred purata negeri bagi 11 daripada 13 mata pelajaran yang ditawarkan kepada calon PMR juga mengatasi gred purata nasional.

"Bagaimanapun, dua mata pelajaran iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina pula tidak mencapai gred purata nasional iaitu masing-masing 3.35 dan 2.81 berbanding 3.25 dan 2.72," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Mengulas lanjut Ariffin berkata, secara keseluruhan, keputusan PMR 2009 menunjukkan peningkatan pencapaian keseluruhan dan mata pelajaran dari segi kualiti dan kuantiti berbanding 2008.

Katanya, sebanyak 26 (20 peratus) daripada 129 buah sekolah menengah di negeri ini berjaya mencapai gred purata sekolah kurang daripada 1.80.

"Antara sekolah sekolah termasuklah Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut mencatat keputusan gred purata paling tinggi iaitu 1.07 diikuti Sekolah Berasrama Penuh Batu Rakit, Kuala Terengganu 1.09 manakala SM Imtiaz Kuala Berang, Hulu Terengganu pula mencapai gred purata 1.10," ujarnya.

Beliau menambah, sebanyak 12 buah sekolah menengah juga mencapai 100 peratus minimum D dalam semua mata pelajaran.

"Antaranya, SM Sains Sultan Mahmud Kuala Terengganu, SM Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu dan SMK Lembah Bidong, Setiu," katanya.

Terengganu Belanja Besar Memaju Pendidikan


Kerajaan negeri Terengganu menyediakan peruntukan sebanyak RM250 juta untuk bidang pendidikan di negeri itu berbanding hanya RM200 juta pada tahun lepas.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, penambahan peruntukan itu menunjukkan kerajaan negeri amat mengambil berat terhadap bidang pelajaran terutama berkaitan dengan pencapaian pelajar.

"Kita akan pastikan semua rakyat Terengganu akan dapat menikmati bidang pelajaran dengan baik," katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan pingat emas dan hadiah kecemerlangan pelajar Yayasan Terengganu, di sini hari ini.

Ahmad berkata, kerajaan negeri dapat merasakan rakyat Terengganu telah mula sedar akan pentingnya pelajaran untuk masa depan mereka dan ia terbukti dengan kejayaan cemerlang yang dicapai oleh pelajar-pelajar di negeri ini melalui peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STAM dan STPM.

Beliau berkata, dengan peruntukan itu juga kerajaan berharap lebih ramai anak Terengganu dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang perubatan, pergigian, kejuruteraan dan sebagainya.

Sementara itu, Md. Kamarul Al-Amin berkata, Yayasan Terengganu menyediakan peruntukan RM20 juta untuk pelbagai bantuan, berbanding RM18.9 juta tahun ini.

Beliau berkata, peruntukan tersebut dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 26,000 orang pelajar yang layak.

Katanya, majlis penganugerahan hari ini melibatkan pelajar seramai 6,740 orang dan Marhaina Ismail, 19, pelajar program Kejuruteraan Kimia, Universiti Teknologi Petronas, Tronoh Perak, berasal dari Marang dipilih sebagai pemenang pingat emas Yayasan Terengganu tahun ini.

Khamis, Disember 24, 2009

Berani Kerana Benar


Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang sering dikaitkan dengan tuduhan penyelewengan dalam pelaksanaan pelbagai projek dalam pentadbirannya oleh kumpulan tertentu, semalam melafazkan sumpah dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menafikan semua dakwaan berkenaan.

Ahmad berkata, semua projek yang dilaksanakan dalam pentadbirannya, termasuk pemberian kurma dan air zam-zam adalah mengikut prosedur dan bertujuan memanfaatkan rakyat semata-mata.

"Dengan nama Allah, Bismillahirahmanirrahim, wallahi, wabillahi, wataallahi...tidak ada penyelewengan, rasuah dalam kes ini atau dalam kes-kes lain. Saya telus. Saya boleh jelaskan hal ini demi kepentingan rakyat.

"Saya sedih apabila ada wakil rakyat mempersoalkan mengenai pemberian kurma dan air zam-zam, malah ada andaian berlaku penyelewengan," katanya sambil menambah bungkusan kurma yang diagihkan kepada rakyat Terengganu dengan kos RM20 seunit adalah berpatutan dan tidak ada sebarang penyelewengan.

Pada Ramadan lalu, kerajaan negeri memperuntukkan RM8.3 juta untuk memberi pek kurma dan air zam-zam kepada lebih 300,000 isi rumah di negeri ini.

Beliau mengulas mengenai soal pengagihan air zam-zam dan kurma yang dibangkitkan oleh Alias Abdullah (BN-Alur Limbat) dalam sesi perbahasan bajet semalam.

Sepanjang persidangan sejak tiga hari lalu, antara persoalan yang dibangkitkan ialah mengenai pemberian kontrak melombong bijih besi di Bukit Besi, kontrak pemberian baju sekolah kepada pelajar miskin dan dasar rundingan terus yang dilakukan oleh kerajaan dalam soal pembaikan dan penurapan jalan.

Ahmad berkata, wakil rakyat sama ada pembangkang atau penyokong kerajaan, tidak seharusnya menggunakan keistimewaan dewan untuk membuat tuduhan terhadap kerajaan mahupun pegawai kanan.

"Kalau rasa ada penyelewengan dan rasuah, silakan (bangkitkan) di luar dewan.

"Sebab dalam dasar SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) jelas, kalau buat tuduhan yang mana terbukti tidak benar, orang (yang dituduh) itu boleh ambil tindakan dan mendakwa orang yang berkenaan kerana fitnah. Jangan guna hak istimewa dewan ini dengan membuat dakwaan bukan-bukan," katanya.

Selain isu air zam-zam dan kurma, Ahmad turut menjelaskan mengenai isu pengisian minyak kenderaan milik kerajaan negeri seperti yang dibentangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008.

Mengikut laporan itu, tiga kenderaan milik kerajaan negeri dikesan mengisi minyak berjumlah RM602.37 dalam tempoh 16 minit pada hari dan dari pam minyak yang sama.

Menjelaskan punca kekeliruan itu, Ahmad berkata, dakwaan penyelewengan itu sebenarnya tidak berlaku kerana daripada penjelasan pemandu terbabit, semua kereta bergerak dalam konvoi dan hanya seorang pemandu yang membawa kad minyak dan mengisi minyak untuk ketiga-tiga kenderaan.

"Kerajaan memandang serius perkara itu dan ia perlu diperjelaskan dalam dewan yang mulia ini," katanya.

RM5 juta Untuk Mat Rempit



Sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi menjayakan program Mat Rempit Sifar di negeri mulai tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Said berkata, pelbagai program akan dijalankan termasuk kempen kesedaran dengan penumpuan khas terhadap perubahan sikap Mat Rempit.

Katanya, usaha menangani Mat Rempit seharusnya diberi tumpuan kerana ia sudah menjadi suatu penyakit yang bukan sahaja berlaku di negeri ini malah negeri lain.

“Yang penting kita akan beri pengajaran dan setiap masalah tidak boleh diselesaikan tanpa mempunyai perancangan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd. Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Anggota pembangkang itu sebelum ini menggesa pihak berkuasa khususnya polis agar bertindak segera menangani kegiatan Mat Rempit yang menjadikan satu kawasan di Wakaf Mempelam dekat sini sebagai markas operasi mereka.

Katanya, ribuan Mat Rempit menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat aktiviti sebelum mereka menjalankan kegiatan ke kawasan lain.

Sementara itu, semasa menggulung perbahasan Abdul Rahin berkata, kerajaan negeri menyediakan dana khas sebanyak RM30 juta bagi membolehkan golongan belia menjalankan pelbagai perniagaan mulai tahun depan dalam usaha melahirkan usahawan berjaya.

Beliau yakin dengan adanya pelbagai bantuan mereka berpeluang menjalankan perniagaan secara lebih berkesan dan menyakinkan.

Katanya, satu garis panduan berhubung pembahagian bantuan akan dikeluarkan bagi memastikan skim bantuan diperkenalkan mencapai sasaran.

Rabu, Disember 23, 2009

Royalti Tertangguh

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata kerajaan negeri masih lagi berunding dengan kerajaan pusat berhubung penyelesaian pembayaran royalti petroleum kepada negeri ini yang masih tertangguh.

Ahmad berkata kerajaan negeri menolak tawaran pembayaran royalti yang dibuat Kementerian Kewangan sebanyak RM1.686 bilion dan bertegas menuntut jumlah RM2.792 bilion bagi tempoh 2000 hingga 2009.

Berikutan itu, katanya masih tidak ada kata sepakat dicapai berhubung pembayaran royalti minyak oleh Petronas itu menyebabkan rundingan mengenainya berlanjutan sehingga kini.

"Walaupun kerajaan negeri berhasrat untuk menyelesaikan perjanjian itu secepat mungkin, tetapi terdapat beberapa perkara dalam perjanjian itu yang masih tidak mendapat dipersetujui kedua-dua pihak.

"Saya tidak dapat menjelaskan secara terperinci tentang isu atau perkara baru yang dapat dipersetujui oleh kerana kedua-dua pihak masih lagi mengadakan rundingan dan ini mungkin akan menjejaskan perundingan yang sedang berlangsung," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini, hari ini.

Menjawab soalan lisan yang dikemukakan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Rhu Rendang) mengenai perkembangan terkini proses pembayaran royalti petroleum kepada kerajaan Terengganu, Ahmad berkata mesyuarat berkenaan wang royalti dimulakan pada 16 September 2008 antara tiga pihak iaitu kerajaan pusat, kerajaan negeri Terengganu dan Petronas.

"Saya telah jelaskan secara terperinci kepada Perdana Menteri ketika itu bahawa perlunya kerajaan pusat mengembalikan hak rakyat Terengganu mengikut perjanjian asal," katanya.

Katanya mesyuarat itu mengandungi tiga intipati, iaitu royalti dibayar terus oleh Petronas kepada kerajaan negeri; semua pembayaran yang telah dibuat oleh Petronas kepada Kerajaan Persekutuan antara 2000 hingga 2009 adalah dianggap sebagai pembayaran royalti kepada Terengganu dan kerajaan negeri menarik balik saman terhadap Petronas.

Mesyuarat itu juga bersetuju untuk membincangkan komponen perbelanjaan yang telah dibuat oleh Kerajaan Persekutuan tetapi perlu dibayar balik oleh Kementerian Kewangan kepada kerajaan negeri.

Mesyuarat terakhir berlangsung di Kuala Terengganu pada 18 Ogos 2009 dan sehingga tarikh itu, Kementerian Kewangan memperincikan iaitu, sepanjang 2000 hingga Mac 2009, kementerian itu telah menerima sebanyak RM15.847 bilion daripada Petronas dan jumlah pengeluarannya sebanyak RM16.576 bilion.

"Perbincangan antara kerajaan negeri dengan Kementerian Kewangan telah berjalan sekian lama dan pihak kementerian masih tidak berganjak dengan keputusan awal untuk membayar balik RM1.686 bilion sahaja.

"Sedangkan tuntutan kerajaan negeri pada ketika ini berjumlah RM2.792 bilion setelah ditolak perbelanjaan yang dibelanjakan di negeri Terengganu. Itulah senarai yang kita putuskan dan kita berharap rundingan dapat diselesaikan," katanya.

Beliau berkata, selagi perkara itu tidak diselesaikan, kerajaan negeri tidak akan menandatangani sebarang perjanjian berhubung perkara itu

Isnin, Disember 21, 2009

Bumbung Kaca Terminal Bas Runtuh


Tiga buruh rakyat Bangladesh dan seorang buruh tempatan cedera apabila penghadang cahaya kaca di terminal bas baru Kuala Berang yang sedang dalam pembinaan runtuh hari ini.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 3.05 petang itu, difahamkan terdapat 15 pekerja di kawasan berkenaan dengan dua daripadanya sedang memasang kaca sebagai bumbung penghadang cahaya.

Kejadian itu menyebabkan dua buruh yang berada di atas bumbung dan dua lagi yang berada di bawah cedera ringan di kaki dan tangan akibat terkena serpihan kaca itu.

Penyelia tapak pembinaaan berkenaan, Zahir Hariri berkata, kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Hulu Terengganu dan dirawat sebagai pesakit luar.

"Ketika kejadian saya berada di pejabat tapak pembinaan dan saya terdengar bunyi kuat dari arah terminal itu. Apabila keluar, saya lihat kaca yang dijadikan bumbung penghadang cahaya jatuh dan pecah,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Soalan Panas Bijih Besi

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang sebelum ini disifatkan agak 'muram', hari ini bertukar rancak dan sekali sekala keadaan menjadi agak panas dengan soalan yang bertubi-tubi daripada penyokong kerajaan sendiri.

Semasa sesi soal jawab hampir satu jam pada hari pertama persidangan, beberapa soalan yang diajukan kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, menyebabkan keadaan sedikit tegang dan kadangkala sindir-menyindir kedengaran dalam dewan melibatkan wakil rakyat Barisan Nasional sendiri.

Sesi soal jawab pagi ini dimulakan dengan soalan daripada Din Adam (BN-Bukit Besi) yang mahukan penjelasan berhubung nama syarikat pengendali bijih besi di Bukit Besi dan manfaat kepada rakyat tempatan.

Menjawab soalan itu, Ahmad berkata kerajaan telah meluluskan pelantikan tiga syarikat untuk melakukan perlombongan bijih besi di Bukit Besi yang terletak di Dungun.

Beliau berkata dengan pembukaan semula kawasan perlombongan di kawasan itu, ia dijangka mampu memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan khususnya 50 peratus daripada pekerja yang diupah seperti mana yang disyaratkan.


Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, Din minta penjelasan tentang nama syarikat yang dilantik dan kemampuannya selain mempertikaikan sama ada benar syarikat tersebut melantik 50 peratus rakyat Terengganu menjadi tenaga kerja situ.

"Saya hanya tahu mengenai pembukaan kawasan lombong itu melalui pekerja kawasan itu. Saya orang Bukit Besi, duduk di Bukit Besi dan menjadi wakil rakyat Bukit Besi tetapi tidak tahu menahu tentang perkara berkenaan," katanya.

Ahmad berkata kerajaan Terengganu bercadang untuk membuka semula kawasan perlombongan di kawasan itu setelah perunding yang dilantik mengesahkan masih terdapat lima juta metrik tan bijih besi di situ.

Untuk itu, katanya, kerajaan negeri telah melantik tiga syarikat untuk mengendalikan pajakan selama lima tahun iaitu TBM Minerals Sdn Bhd, Cahaya Ikhtiar Sdn Bhd, dan Wahaba Wangi Shd Bhd yang semuanya beralamat di Terengganu.

Ahmad kemudian menyindir Din dengan menyatakan wakil rakyat itu kerap tidak hadir pada persidangan dewan dan jarang menjejakkan kaki di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri menyebabkannya tidak mengetahui pembangunan di kawasan sendiri.

Pertikaman lidah turut melibatkan Alias Abdullah (BN-Alur Limbat) apabila beliau mempertikaikan jawapan yang diberikan oleh Ahmad mengenai peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan untuk melaksanakan projek perparitan Baruh Muring Tasek-Padang Leban-Sungai Bukit Payong.

Ketika ditemui di luar dewan, Ahmad berkata beliau melihat perubahan pada persidangan kali ini sebagai satu petanda baik.

"Ini satu petanda baik walaupun kadang kala kita lihat cara soalan dikemukakan tidak seharusnya dilakukan oleh pihak kerajaan...seolah-olah sebagai parti pembangkang...tapi kita tidak kisah.

"Kita boleh melihat bagaimana kematangan bukan sahaja di kalangan wakil rakyat tetapi juga keintelektualan pihak kerajaan menjawab soalan. Saya tidak ada masalah," katanya.

DUN Terengganu mempunyai 24 anggota BN dan lapan daripada Pas.

Ahad, Disember 20, 2009

Terengganu Biayai Pulih Penglihatan

Sebanyak lapan kanak-kanak dan remaja di Terengganu yang mengalami masalah penglihatan bakal menjalani kehidupan baru apabila mereka akan menjalani pembedahan mata dalam masa dua hari lagi.

Kesemua mereka akan menjalani pembedahan di Hospital Mata Kebangsaan Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur dengan pembiayaan penuh oleh kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, pemeriksaan menunjukkan kanak-kanak dan remaja berkenaan mempunyai peratusan tinggi untuk pulih penglihatan mereka selepas menjalani pembedahan tersebut.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan menampung semua perbelanjaan termasuk kos penginapan keluarga pesakit itu, namun jumlah kos sebenar hanya akan diketahui selepas pembedahan.

"Selain itu, kerajaan negeri juga bersedia menanggung perbelanjaan pembedahan sama di hospital luar negara sekiranya hospital tersebut yakin akan berjaya memulihkan penglihatan seseorang pesakit.

Sabtu, Disember 19, 2009

Kehebatan Penjaga Gol Terengganu

APA yang digapainya di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional Laos, malam kelmarin adalah sesuatu yang masih sukar untuk dipercayai Mohd Sharbinee Allawee.

Manakan tidak, daripada hampir tidak dapat menaiki penerbangan ke Vientiane, dia sebaliknya mengakhiri cabaran bola sepak temasya ini dengan pengiktirafan baru selaku penjaga gol utama negara dan kalungan pingat emas di leher.

"Memang saya tidak pernah duga semua ini. Gembira sangat-sangat. Ini Sukan Sea pertama dan juga yang terakhir buat saya. Terima kasih kepada jurulatih, K Rajagobal, yang berani untuk percaya dengan saya," kata Sharbinee, 22.

Sharbinee sebelumnya bersaing dengan Syed Adney Syed Hussein untuk tempat selaku penjaga gol kedua negara - di belakang Farizal Marlias - sebelum dia memanfaat sebaik mungkin peluang beraksi ketika menentang Kemboja di peringkat kumpulan, selepas Farizal tersisih akibat penggantungan.

Semenjak itu, posisi selaku benteng terakhir negara kekal miliknya - diperkukuh aksi mantap ketika menentang Thailand selain kekentalan aksi bertemu Laos di separuh akhir dan penampilan persembahan penuh yakin serta tenang ketika menyerap asakan Vietnam di final.

Yusof Nor, Tokoh Maal Hijrah Nasional


Tokoh Maal Hijrah 1431H/2009M, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor, berazam memastikan rakyat beragama Islam dan bukan Islam di negara ini lebih memahami antara satu sama lain untuk membantu kerajaan merealisasikan konsep 1Malaysia.

Mohd. Yusof, 68, yang merupakan Pengerusi Felda berkata, perpaduan erat masyarakat Islam tanpa mengira ideologi politik di negara ini secara tidak langsung dapat memberi faedah kepada kaum minoriti lain seperti Cina dan India.

Bagaimanapun jelas beliau, senario itu tidak berlaku pada masa ini sebaliknya wujud sedikit perselisihan pendapat dalam beberapa perkara.

"Jika orang Islam yang merangkumi 60 peratus penduduk Malaysia bersatu, ia secara tidak langsung memberi manfaat kepada baki kaum lain.

"Bila ini berlaku, konsep 1Malaysia boleh berjalan lancar dan ini terbukti menerusi sejarah negara selama ini apabila perpaduan erat rakyat pelbagai kaum membantu menjana ekonomi kita," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis perhimpunan sambutan Maal Hijrah 1431H/2009M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Jumaat, Disember 18, 2009

Koyak Nyiur 1,000 Seribu Sehari

Kehebatan seorang pelajar, Mohd. Faiz Aizat Razali, 17, yang mampu mengopek kelapa sehingga 1,000 biji sehari amat dikagumi rakan-rakan serta penduduk kampungnya.

Ini kerana mengopek kelapa selalunya dilakukan golongan dewasa dan ia dianggap di luar kebiasaan apabila pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana dekat sini itu melakukannya.

Mengopek kelapa kering 1,000 biji bukan dilakukannya setiap sehari sebaliknya bergantung kepada jumlah kelapa yang diserahkan oleh pembekalnya, Jasmin Ismail, 38.

Ketika ditemui semalam, Faiz berkata, biasanya pembekal menyediakan 400 hingga 600 biji kelapa sehari untuk dikopek menggunakan alat dipanggil bon.
Menurutnya, adakalanya dia memperoleh lebih 1,000 biji sehari yang dibeli pembekalnya di kebun-kebun kelapa sekitar kawasan Setiu.

"Saya tiada masalah melakukan kerja-kerja mengopek 1,000 biji kelapa sehari," kata Faiz yang merupakan anak kedua daripada lima beradik.

Faiz berkata, dia dibayar upah RM7 bagi setiap 100 biji kelapa yang dikopek.

"Biasanya saya ambil upah kopek kelapa hari minggu atau cuti sekolah dan mendapat RM30 hingga RM50 sehari," katanya yang baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Khamis, Disember 17, 2009

Hairuddin gagal kotakan janji

BEKAS penyerang skuad T-Team, Hairuddin Omar, 30, yang pada mulanya berjanji untuk kembali bermain dengan pasukan lama itu selepas membantu Negeri Sembilan menjuarai Piala Malaysia, hanya bersandiwara untuk melengahkan masa bagi memancing tawaran baik daripada pasukan lain.

Hairuddin sendiri menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Pengurus T-Team, Datuk Abdul Rahin Mohd Said pada 16 November lalu menyatakan hasratnya untuk kembali ke Terengganu.

Pemain berasal dari Setiu, Terengganu itu juga ingin berjumpa dengan Abdul Rahin di sebuah hotel di Kuala Lumpur bersama seorang lagi pemain pasukan itu, Mohd Haris Safwan Kamal tetapi Hairuddin tidak mengotakan janjinya untuk pertemuan itu.

Beliau berkata, disebabkan Hairuddin mengambil masa yang panjang untuk menyatakan persetujuan bermain dengan T-Team dan mengenakan syarat yang tidak munasabah, pemain itu terpaksa disingkirkan.

“Saya sungguh kesal dengan sikap Hairuddin itu yang beria-ia benar untuk pulang bermain dengan Terengganu tetapi tidak mengotakan janjinya, sebaliknya kini bermain untuk Kelantan,” katanya.

Rabu, Disember 16, 2009

Kolej Perubatan Akan Dibina

Rakyat negeri Terengganu bakal menerima hadiah tahun baru tidak lama lagi apabila kerajaan negeri bakal bekerjasama dengan Royal College Surgeon Ireland di London bagi menubuhkan sebuah kolej perubatan di negeri ini tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Said enggan mengulas dengan lebih lanjut tentang lokasi dan peruntukan pembinaan kolej tersebut.

"Ini merupakan hadiah tahun baru untuk rakyat Terengganu terutamanya para pelajar yang mengimpikan untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan di pusat pengajian terkenal di dunia.

"Bagaimanapun saya tidak mahu memberitahu dengan lebih lanjut tentang perkara tersebut...tunggu pada pengumuman bajet 2010 pada 21 Disember nanti," katanya.

Beliau yang baru pulang dari mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci berkata demikian kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini hari ini.
Ketibaan beliau itu turut disambut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Negeri, Dr. A. Rahman, Pengerusi jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Operasi Negeri, Datuk Mohamed Awang Tera serta diiringi orang kenamaan dan pembesar negeri.

Turut tiba sama seramai 355 jemaah haji daripada kumpulan ketiga dengan pesawat Jeddah LTSM pada pukul 9 pagi ini.

Ketibaan mereka turut disambut oleh ahli keluarga masing-masing yang telah menunggu di lapangan terbang berkenaan sejak awal pagi walaupun pesawat berkenaan mendarat kira-kira pada pukul 9 pagi.

Ahad, Disember 13, 2009

Anak Terengganu Cipta Rekod Dunia


Pendaki solo negara, Mohd Noor Mat Amin, bakal melakar nama dalam Guiness World Book of Records melalui pendakian 111 kali Gunung Kinabalu dan diikuti 111 kali pendakian Menara Kuala Lumpur, tahun depan.

Mohd Noor, 42, berkata, pendakian bertemakan 1Pendakian, 1Kemuncak dan 1Malaysia itu membabitkan dua fasa yang memakan masa lima bulan.

Katanya, projek pendakian pertama adalah mendaki Gunung Kinabalu sebanyak 111 kali dalam tempoh 111 hari, mulai 31 Disember ini dan dijangka berakhir pada 19 April 2010.

Projek itu akan diteruskan dengan pendakian 111 kali Menara Kuala Lumpur dari 1 hingga 7 Mei 2010.

“Projek pendakian Gunung Kinabalu mendapat sokongan dan penyertaan Pemuda Umno Sabah dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menyediakan 111 pendaki untuk mengiringi saya,” katanya pada sidang media di Pejabat Canselori UMS, di sini semalam.

TV3 adalah antara media rasmi projek berkenaan.

Projek pendakian Gunung Kinabalu mendapat kerjasama Kelab Rekreasi Kota dari Kuala Lumpur, Pemuda Umno Sabah, UMS, Kementerian Belia dan Sukan, Kerajaan Sabah, Kerajaan Terengganu, Taman-taman Sabah, Nestle Malaysia Bhd dan Menara Kuala Lumpur.

Rekod pendakian Mohd Noor adalah Pendakian Solo 50 Kali Puncak Gunung Kinabalu pada 2007, Pendakian Solo Menara Kuala Lumpur (2008), Pendakian Merdeka (2008) dan Pendakian Solo Tanpa Henti selama 24 jam di Menara Kuala Lumpur (2008).

Mohd Noor berkata, projek itu bermatlamat memartabatkan nama negara di persada dunia, khususnya dalam arena sukan lasak, selain merealisasi slogan 1Malaysia.

Katanya, ia juga memberi inspirasi kepada generasi muda yang memerlukan dorongan untuk mencapai kejayaan.

“Kos keseluruhan projek adalah RM1.2 juta yang disumbangkan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta,” katanya.

Ketua Pusat Sains Sukan UMS, Mohd Asyraf, berkata Pusat Sains Sukan UMS akan melakukan kajian khas terhadap Mohd Noor membabitkan aspek fizikal, mental, latihan dan pemakanan sejurus beliau menamatkan pendakian itu.

Sabtu, Disember 12, 2009

Faizal AF Dah Kawin

Desas desus mengenai status diri Juara Akademi Fantasia musim keempat, Mohammad Faizal Ramly, 25, terjawab ketika sesi tayangan amal filem Pulau Asmara diadakan di KLCC, semalam.

Penyanyi yang juga pelakon kelahiran Kuala Terengganu itu mengesahkan yang dia sudah berkahwin sejak awal tahun lalu. Bagaimanapun, Faizal enggan mengulas lanjut bila pernikahan itu berlangsung dan identiti isterinya.

Malah, Faizal turut menidakkan gosip yang bertiup kencang kononnya dia berkahwin dengan isterinya secara diam selepas insiden tangkap basah di sebuah negeri. Perkahwinan mereka juga dikatakan tidak mendapat restu keluarga Faizal.

"Sumpah, saya tidak pernah ditangkap basah. Semuanya hanya gosip semata-mata dan boleh periksa Jabatan Agama Islam untuk sebarang pengesahan. Hakikatnya memang saya sudah berkahwin sejak hampir setahun.

"Sebolehnya saya tidak mahu mengulas soal peribadi dan kerjaya pada masa yang sama demi menghormati banyak pihak. Ia agak sensitif. Daripada mengundang maksiat, lebih baik saya berkahwin.

"Isteri saya hanya orang biasa dan berusia 23 tahun. Dia adalah pilihan hati saya. Selepas berkahwin, saya juga perlu menjaga hati isteri dan tidak mahu melukakan perasaannya," katanya yang tidak berniat berselindung.

Jumaat, Disember 11, 2009

Hairuddin Kecewa & Sedih

SUKAR buat penyerang terbaru Kelantan, Hairuddin Omar untuk menerima hakikat yang dia tidak dapat beraksi bersama T-Team apabila Liga Super bermula bulan depan.

Walaupun kini berada di Bangkok bersama pemain Kelantan yang lain, penyerang berusia 30 tahun itu masih teringat janji dimeterai bersama pengurus T-Team, Datuk Abdul Rahin Mohd Said.

Ketika menghubungi Arena semalam, anak kelahiran Kampung Saujana di Setiu, Terengganu itu berkata dia berjanji untuk pulang kembali menyarung jersi T-Team selepas tamat berkhidmat dengan Negeri Sembilan sepanjang kempen Piala Malaysia.

“Saya sudah memberi persetujuan kepada pengurus pasukan untuk menolak semua tawaran daripada pasukan lain termasuk Negeri Sembilan dan Kelantan kerana saya memang mahu kembali bersama T-Team semula.

“Saya juga memberitahu rakan sepasukan yang saya tidak akan beraksi untuk pasukan lain kecuali T-Team yang saya sama-sama berjuang untuk mendapat tempat dalam Liga Super selepas hanya semusim di Liga Perdana,” kata Hairuddin yang meraih kejuaraan Piala Malaysia bersama pasukan Rusa.

Bekas pemain Terengganu dan Pahang itu, berkata kepulangannya ke Kuala Terengganu untuk menandatangani kontrak dengan T-Team sebelum ini dikejutkan dengan berita daripada wakil pihak pengurusan yang dirinya sudah tidak mempunyai tempat dalam pasukan Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu itu.

“Saya sedih dan kecewa kerana persetujuan awal saya dengan pengurus pasukan tidak dikira pakai lagi dan saya rasa, ini semua disebabkan ada pihak tertentu yang inginkan saya tidak diterima semula dalam pasukan itu.

“Memang berat hati ini untuk meninggalkan beberapa rakan karib saya dalam pasukan yang terlebih dulu menandatangani kontrak dengan T-Team kerana mereka yakin saya juga akan bersama mereka nanti,” katanya.

Menurutnya, nasibnya agak baik walaupun cuma ada dua hari sebelum tarikh pendaftaran pemain Liga Super ditutup kelmarin, Kelantan masih sudi membuka pintu mereka untuk dirinya meneruskan kerjaya dalam sukan bola sepak.

“Mungkin saya tidak mampu untuk bermain untuk pasukan negeri kelahiran saya namun saya bersyukur kerana masih berpeluang memerah keringat dan mencurah bakti saya di Pantai Timur,” katanya.

T Team Kecewa

T-TEAM dan Negeri Sembilan berputih mata apabila Hairuddin Omar sah menjadi pemain Kelantan semalam.

Penyerang berusia 30 tahun yang sebelum ini melahirkan hasrat kembali ke pangkuan T-Team selepas membantu Negeri Sembilan meraih kejuaraan Piala Malaysia, menunggu sehari sebelum tarikh terakhir pendaftaran pemain untuk memberi persetujuan mewakili pasukan negeri Che Siti Wan Kembang.

Pemain kelahiran kampung Saujana, Setiu, itu mengaku terkilan kerana tidak dapat bersama rakan sepasukan T-Team yang bersama-sama berusaha menjadi naib juara Liga Perdana dan seterusnya layak ke Liga Super.

“Kalau boleh saya memang mahu kembali ke negeri kelahiran saya walaupun pihak pengurusan Negeri Sembilan juga memberi tawaran menarik untuk terus bersama mereka dalam musim baru Liga Super.

“Namun, apakan daya pihak pengurusan T-Team dan saya tidak dapat mencari kata sepakat dalam hal ini dan saya terpaksa mencari jalan lain untuk meneruskan kerjaya bola sepak saya,” katanya sebelum berlepas ke Bangkok, Thailand untuk menyertai latihan bersama rakan sepasukan Kelantan yang lain.

Beberapa hari sebelum itu, penolong pengurus T-Team, Rosdi Awang, berkata pihak pengurusan pasukan menutup pintu kepada Hairuddin untuk kembali menyertai pasukan Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu itu.

“Kami sudah memberi banyak ruang dan masa kepada Hairuddin untuk pulang menandatangani perjanjian baru selepas tamatnya pertandingan Piala Malaysia namun dia seperti tidak berminat berbuat demikian.

“Akhirnya, kami terpaksa membuat keputusan untuk tidak lagi menerimanya kerana terpaksa memikirkan nasib dan hala tuju pasukan yang mungkin memerlukan pemain baru mengambil tempat pemain berkenaan,” katanya.

Khamis, Disember 10, 2009

TAX 1 - RM165,000


Nombor pendaftaran kenderaan TAX 1 dibida pada harga RM165,000, menjadikannya kedua tertinggi di negara ini selepas TAN 1 dijual pada harga RM200,090, sebelum ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie, berkata Terengganu terus unggul sebagai penyumbang nilai bidaan nombor pendaftaran tertinggi di negara ini, malah dua individu setakat ini menyatakan kesediaan menawarkan nilai bidaan bagi nombor TAY 1 pada harga lebih RM200,000.

Beliau berkata, TAY 1 yang dibuka untuk bidaan pada Mac atau April depan, dijangka menjadi nombor pendaftaran paling kompetitif dan terlaris, berdasarkan kecenderungan orang ramai terhadap nombor pendaftaran dengan suku kata berasaskan bunyi.

“Nombor TAX1 yang dibuka untuk dibida sejak 14 Oktober hingga 3 November lalu menerima 1,563 pembida berbanding nombor pendaftaran lain yang kebiasaannya tidak lebih 800 pembida.

“Kesanggupan pemilik kenderaan melabur sejumlah besar wang untuk mendapatkan nombor pendaftaran diingini juga menjadi penanda aras tahap ekonomi mereka,” katanya selepas Hari Pengarah JPJ Bersama Pelanggan di sini, semalam.

Pukau Kedai Emas


ZAKARIA YUSOFF pemilik kedai emas di Kuala Terengganu menceritakan bagaimana tiga buah beg berisi barangan kemas dilarikan lima suspek dipercayai warga Arab semalam.

Hanya dengan menepuk tangan dan bahu, empat lelaki dan seorang wanita dipercayai warga Arab dapat melarikan tiga buah beg sarat dengan barangan kemas bernilai RM1 juta.

Kejadian pada pukul 2 petang di sebuah kedai emas berhadapan dengan Pasar Besar Kedai Payang di Jalan Sultan Zainal Abidin itu berlaku di tengah-tengah kesibukan orang ramai.

Di sekitar pasar tersebut dianggarkan terdapat lebih 40 buah kedai emas yang beroperasi.

Pemilik kedai emas itu bersama tiga pekerja serta lima pelanggan yang ada di dalam kedai ketika itu mendakwa mereka hanya mampu melihat kelima-lima suspek itu menjinjing tiga buah beg iaitu dua berwarna hitam dan satu berwarna biru keluar dari premis itu menuju ke kereta.




Sebelum itu, kelima-lima suspek yang datang menaiki sebuah kereta Proton Persona masuk ke kedai emas tersebut dan berlagak sebagai pelanggan.

Mereka yang menggunakan isyarat tangan meminta pekerja di kedai emas itu menunjukkan beberapa barang kemas yang dipamerkan di situ.

Ketika memilih barang-barang kemas yang ditunjukkan, suspek-suspek itu kemudian dipercayai telah menepuk tangan dan bahu setiap pekerja dan pelanggan yang ada di dalam kedai itu.

Seperti tiada apa yang berlaku, suspek-suspek yang bercakap dalam bahasa Arab sesama mereka itu masih lagi meminta pekerja-pekerja kedai emas itu menunjukkan lebih banyak barang kemas.

Ketika itulah, dua daripada suspek itu dikatakan menolak salah satu meja pameran yang membolehkan suspek masuk ke dalam kedai emas.

Dua suspek itu terus masuk ke belakang kedai emas yang menempatkan sebuah peti besi tidak berkunci yang mengandungi tiga buah beg berisi barang kemas.

Rabu, Disember 09, 2009

Hairuddin Ke Kelantan?

SELEPAS berjaya memikat beberapa pemain bintang yang akan memantap- kan skuad musim depan, Kelantan seperti masih belum berpuas hati.

Kini giliran penyerang sensasi T-Team, Hairuddin Omar menjadi sasaran mereka.

Bekas pemain kebangsaan itu yang berjaya menjulang Piala Malaysia bersama Negeri Sembilan, November lalu dikhabarkan akan menjadi pemain kelapan menyarung jersi Kelantan untuk musim depan.

Sumber Kosmo! memberitahu, Hairuddin kini hampir pasti akan menyer- tai Kelantan untuk menghadapi saingan Liga Super musim 2010.

Menurutnya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Hairuddin kini berada pada peringkat akhir perbinca- ngan sebelum menandatangani kontrak bersama The Red Warriors.

"Perbincangannya sudah pada peringkat serius dan sekiranya ia menjadi realiti, kehadiran Hairuddin pastinya memantapkan lagi kekuatan Kelantan.

"Jika segalanya berjalan lancar, beliau akan menandatangni kontrak sece- pat mungkin dan akan terbang ke Bangkok untuk menyertai sesi latihan bersama pasukan Kelantan di sana," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, ketika tarikh pendafta- ran pemain akan berakhir hari ini, Hairuddin mungkin akan menjadi pemain terakhir melengkapkan senarai pemain Kelantan musim depan.

Jelasnya, kehadiran Hairuddin akan memantapkan lagi bahagian serangan Kelantan yang kini memiliki Indra Putra Mahayuddin, Akmal Rizal Rakhli, Nurshahrul Idlan Talaha, Norfarhan Mohamad dan S. Chanturu.

Sebelum ini Norhafiz Zamani Mis- bah dan K. Soley turut dikaitkan akan beralih angin ke Kelantan, namun ia tidak dapat direalisasikan.

"Apa yang jelas, kehadiran Hairuddin pastinya akan memberi impak kepada pasukan kerana beliau merupakan seorang pemain yang berkualiti.

"Kehadirannya bersama pasukan Negeri Sembilan ketika menewaskan Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia lalu membuktikan beliau masih merupakan seorang pemain yang perlu diberi perhatian," ujarnya.

Hairuddin sebelum ini turut dikaitkan akan menyertai Negeri Sembilan selepas membantu skuad Rusa menjulang Piala Malaysia sebagai pemain berstatus pinjaman.

Selasa, Disember 08, 2009

Dulu Free


Mulai 1 Januari ini, orang ramai yang menggunakan perkhidmatan bas bandar yang mula diperkenalkan pada 2007 akan dikenakan tambang RM1 dan RM2.

Caj RM1 dikenakan untuk laluan dari pusat bandar ke Chendering dan laluan ke Taman Tamadun Islam (TTI) manakala RM2 untuk perjalanan ke Batu 6 sehingga Gong Badak.

Bas bandar kendalian Cas Ligas Sdn. Bhd. anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) turut mengenakan caj serupa ke atas penumpang yang berusia tujuh tahun ke atas.

Pengurus Operasi Cas Ligas Sdn. Bhd., Mohd. Asri Hassan berkata, setakat ini, perkhidmatan sedia ada hanya membabitkan laluan ke Chendering dan TTI manakala laluan baru akan ditambah untuk perjalanan ke Gong Badak.

"Untuk laluan ke Batu 6 sehingga Gong Badak, bas akan singgah di Pulau Duyong dengan caj tambang RM1 dan jika penumpang nak ke Batu 6 atau Gong Badak, mereka perlu bayar RM1 lagi," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.


Bas bandar jenis Hino dan Nissan berbadan kayu itu mula diperkenalkan dua tahun lalu yang beroperasi di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu untuk kemudahan pelancong secara percuma.

Mengulas lanjut Mohd. Asri memberitahu, buat masa ini terdapat enam buah bas bandar dan jika mendapat sambutan, kenderaan itu mungkin ditambah pada masa akan datang demi kemudahan dan keselesaan orang awam.

Beliau menjelaskan, tambang itu dikenakan setelah mengambil kira dari segi keperluan untuk menampung kos operasi bas berkenaan ketika ini.

Katanya, setiap laluan akan membabitkan enam trip pada setiap hari mulai pukul 9 pagi hingga 7 malam untuk laluan ke Chendering dan Gong Badak dari pukul 11 pagi hingga 4.30 petang untuk ke TTI.

"Kita harap orang ramai gembira dengan perkhidmatan baru mulai 1 Januari ini, caj yang dikenakan lebih rendah berbanding bas awam lain selain dilengkapi pendingin hawa dan mesin tiket berharga RM84,000 untuk enam buah bas bandar," tambahnya.

Mohd. Asri menambah setiap bandar akan dilengkapi dengan Electronic Ticketing Machine bagi memberikan kemudahan dan keselesaan kepada orang ramai untuk membayar tambang perjalanan.

Katanya, sistem itu adalah yang pertama diperkenalkan oleh syarikat bas di negeri ini di mana fungsi dan penggunaannya adalah sama seperti yang digunakan oleh syarikat bas besar dan terkenal seperti RapidKL, Mara Liner, Nadi Putra dan sebagainya.

Isnin, Disember 07, 2009

1 Billion Tengok Monson Cup



Datuk Seri Najib Tun Razak gembira dengan sambutan terhadap penganjuran kejohanan kapal layar Piala Monsun di Pulau Duyong di sini yang berakhir hari ini.

Perdana Menteri berkata, kejohanan tersebut telah menarik kira-kira satu bilion penonton dari seluruh dunia yang menyaksikan kejohanan itu menerusi televisyen.

Berdasarkan sambutan positif itu, kata beliau, kejohanan berprestij itu akan diteruskan sehingga 2012 yang mana kontrak penganjurannya berakhir.

Menurutnya, selepas tarikh itu, kerajaan akan menyerahkan kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk mempertimbangkan sama ada untuk meneruskan atau sebaliknya kejohanan tersebut.

''Alhamdulillah, saya nampak Piala Monsun dapat sambutan kian meningkat dan saya berbual dengan pihak penganjur, mereka dapati kualiti penyertaan bertambah dan Piala Monsun dijadikan acara kelayakan amat penting.

''Kita lihat dari segi bilangan yang menonton menerusi televisyen mencecah satu bilion di seluruh dunia.

''Ini tentu sekali menunjukkan Piala Monsun mendapat sambutan di persada antarabangsa dan berharap peserta tempatan dapat beri saingan pada kejohanan tersebut," katanya.


Menurut Perdana Menteri, Piala Monsun kali ini juga berjaya membantu juragan pasukan Black Match Racing iaitu Adam Minoprio yang menjadi juara baru dunia hasil kejayaan pada pusingan kelayakan di Kuala Terengganu.

''Dia tak mungkin dapat jadi juara dunia, jadi menerusi Piala Monsun ini, kita berjaya lahirkan pemenang atau juara dunia ini," kata beliau.

Kemenangan itu membolehkan pelayar dari New Zealand berusia 24 tahun itu dinobatkan sebagai juara WMRT ISAF dengan mengumpul 138 mata selepas melalui sembilan sirkit jelajah dunia itu.

Ahad, Disember 06, 2009

Mat Payang


Mamat rase malassang nök bangung tiddo. Nye gulling-gulling atah katil. Pusing kiri, pusing kanang. Serba dök kene dia berase. Mök Lijöh blèbèr hanyaar kot luör pitu, “Mat! Matahari nök tinggi galöh döh nim, ka’ak rezeki kalu bangung lèwat-lèwat. Mung tak dök kheje ke ari nim?”

Dök tahang kene blèbèr Mamat Ppayang pong bikah bangung ceggat dari katil. Baru dia teringat pukol 11 ada kene wat kheje sikit hök Böh dia suroh kemarèng. Mamat pong jungaa tangang dia ambèk tuala. Pèsèngang mandi P. Ramlee pulök pagi nim, al maklunglah pukol 10.30 döh. Dari Manir nök jembe ke Jalang Batah Baru tu jauh jugök. Pah tu nök kena bereti stèsèng minyok Petronah pulök dekat sipang trapik lait Pulau Musang. Döp ingat starang nok tamböh minyök kemarèng. Dök dang 10 minit Mamat siap belake döh. Minung air kopi-ö setegök dua lepah tu pakaa kasut kulit atah tangge kak lambo. Baru beli minggu lepah tu kasut tu. Bekilat ssiö! Lepah tu Mamat pong stak möto vroooooong hale ke bandö. Mötosika sèkèng hèng jer, tapi boleh tahang lah.

Jalang Batah Baru ader banyök bangunang jabbat dengang kedaa. Kalu hale ke depang sikit ada kedaa Astro, hök tv kene bayö bulang-bulang tu. Kalu tebèng dök bayö jer kena pötöng hanyaar. Lepah pada suraa Flat Batah Baru tu ada lèrèk kedaa èkong. Kedaa makang pong ada gök. Kalu jallang sikit lagi sebelum kedaa Astro tu, ada kawasang lapang tepat juaa khète baru cap Hyundaa dengang Kia.

Di antara kedaa èkong dengang kedaa Astro tu ada celöh-celöh tu jabbat löyar baru buka. Pèsèngang baru pah jadi löyar tu Mamat mari mmkir sörrang. Slo-slo Mamat naèk tikat dua. Napök gaye ader dua örang jer kherani. Llaki sörang, ppuang sörang. Boleh tahang hök ppuang tu. Tapi pakaa cicing molèk ngak kat jari manih tu. Ttunang döh pèsèngang tu. Dök napök gambö starang. Berat nnanang. Mamat kabö ke kherani ppuang tu dia nök jjuper Tuang Löyar. Hayat hidup Mamat dök rajing jjuper löyar skali habuk. Cakkak dengang löyar jauh skali. Nye mari debö wèh.

Mamat pong ketok pitu masok. Löyar tu tengöh pegang gagang talipung cap Panasonic kat telinga dia. Wayar talipung tu tengöh beseranggöh lagi. “I dah uruskan fixed deposit you sebanyak RM10 juta tu. Lagi satu, minggu depan ni, I nak you ikut I ke Singapore. HSBC Singapore dah buat arrangement untuk finance syarikat klien I, tak banyak, dalam 20 juta Sing dollar. Firm I jadi lawyer jugak tu. I turun KL minggu ni, kita dinner kat Shook di Starhill ok?”

Mamat bukang pandaa sangat cakak orang putih. Tapi bila dengö haa pitih die pahang. Mainang apa juta-juta nim? Mamat mari mmikir.

Löyar muder tu pong letök gagang talipung sambil-sambil kheling ujung mata tengök ke Mamat. “Yer, nök mender? Saya sibuk sangat ni, dök tengök ker?” löyar tu tanye Mamat.

Mamat pucat kesi. Dök tahu nök kata mende. Nök jawak salöh. Tak mboh jawak salöh. Macang mase nök bangung tiddo sakning. Serbe dök kene. Sudöhhang Mamat tebèng jugök jawak.

“Sebenörnyer tuang, sayer nim kheje dengang sarikat Teleköng. Saya mari nok sambung wayar talipung hök tuang wak lölök cakkak sakning. Dök sambung lagi wayar tu, guaner lah tuang boleh cakkak döh!”

Muka tuang löyar tu jadi biru hèrang!

Döh nök wat guana starang! Nök èksèng dök betepat! Ada jugök löyar kècèk orang dèh! Pecöh bo! Orang jamang lenim kata “kantoi”!

Karya : Dato Wan Farid

Sabtu, Disember 05, 2009

Jemaah Haji Terengganu Pulang

PENERBANGAN pertama membawa kepulangan 354 jemaah haji secara terus dari Jeddah selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu kira-kira pukul 6.35 petang semalam.

Ketibaan jemaah dari Terengganu itu disambut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhamad Ramli Nuh merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, diiringi orang kenamaan dan pembesar negeri.

Kumpulan pertama jemaah berkenaan sebelum ini berangkat mengerjakan ibadat haji menaiki penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud menuju Madinah pada 22 Oktober lalu.

Penerbangan membawa kumpulan kedua pula dijadual tiba di lapangan terbang yang sama hari ini disusuli penerbangan ketiga pada 15 Disember ini sebelum ketibaan jemaah kumpulan keempat dan kelima beberapa hari selepas itu.

Khamis, Disember 03, 2009

Kehangatan Angin Kuat & Ombak Besar Monson Cup



Cabaran merebut gelaran juara Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2009 oleh 12 pasukan kini bermula di Pulau Duyong di sini semalam.

Perlumbaan hari pertama pusingan timbal balik yang bermula pukul 12 tengah hari semalam menyaksikan juara bertahan Piala Monsun, Peter Gilmour dari Yanmar Racing; juragan Black Match Racing, Adam Minoprio; Tovar Mirsky dari Mirsky Racing; juragan Origin, Ben Ainslie dan Damien Iehl dari pasukan Perancis mendahului pasukan lain selepas masing-masing mengumpul tiga mata.

Juragan pasukan Perancis, Mathieu Richard; Sebastian Col dari All4one dan Mangnus Holmberg dari Victory Challenge masing-masing mengumpul dua mata manakala Ian Williams dari pasukan Pindar, Francesco Bruni dari pasukan Azzurra serta Phil Robertson dari Waka Racing pula masing-masing mengumpul satu mata.

Pelayar negara, Hazwan Hazim Dermawan dengan pasukannya Taring Pelangi gagal mengumpul sebarang mata selepas melalui empat perlumbaan satu lawan satu pusingan timbal balik itu.

Piala Monsun merupakan sirkit terakhir dalam siri Jelajah Dunia Match Racing (WMRT) yang berlangsung di sembilan venue di seluruh dunia sejak awal tahun ini.

Gilmour ketika ditemui berkata, pasukannya membuat permulaan baik dengan menang tiga daripada empat perlumbaan dalam pusingan timbal balik itu.

''Kami bermula dengan baik dengan tiga kemenangan namun tewas kepada Williams yang menunjukkan persembahan yang lebih baik.

''Hujan lebat, angin kencang dan arus ombak kuat merupakan cabaran yang hebat kepada mereka serta pasukan lain," katanya.

Dalam pada itu, majlis pelancaran kejohanan kapal layar bertaraf antarabangsa tersebut yang berlangsung kira-kira pukul 2.45 petang ini disempurnakan oleh Ahli Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Ismail.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohd. Yasin Mohd. Salleh dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohd. Adib.

Majlis perasmian tersebut dimulakan dengan perarakan masuk Piala Kristal WMRT dan Trofi Piala Monsun oleh tujuh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ia kemudian diikuti oleh semua 12 pasukan diketuai Hazwan Hazim.

Sejurus selepas majlis perasmian tamat, perlumbaan pusingan timbal balik bersambung semula sehingga pukul 6 petang.

Pusingan timbal balik akan bersambung semula kira-kira pukul 10 pagi ini.

Laluan Kuala Berang-Gua Musang masih ditutup



Laluan menghubungkan Kuala Berang-Gua Musang di Kilometer 31 dekat Kampung Kuala Jenderis di sini masih ditutup kepada lalu lintas akibat tanah runtuh yang berlaku sejak 24 November lalu.

Runtuhan itu disebabkan saluran air bawah tanah di kawasan itu pecah akibat rempuhan air deras ketika banjir gelombang kedua melanda tempoh hari.

Akibat runtuhan, jalan di kawasan itu runtuh sehingga membentuk beberapa lubang besar dan cerun curam di kiri kanan jalan.

Jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Terengganu berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai kejadian itu selain menunggu arahan pihak atasan jabatan berkenaan untuk kerja-kerja membaik pulih dilakukan.

Menurutnya, selain kejadian di kawasan berkenaan, beberapa lokasi di sepanjang laluan sejauh lebih 50 kilometer menghubungkan Kuala Berang-Gua Musang turut ditutup kepada semua kenderaan.

"Beberapa lokasi di laluan itu terpaksa ditutup kepada lalu lintas atas faktor keselamatan dan amat berbahaya kepada pengguna," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Jurucakap itu bagaimanapun berkata, kos kerugian akibat kejadian runtuhan tersebut masih belum diketahui kerana ia masih dalam siasatan.

Difahamkan, projek jalan tersebut siap pada 2007 mengikut fasa dan kini masih belum lagi diwartakan.

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH
Terengganu juara Sukma: KONTINJEN Terengganu bersorak riang selepas muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XII yang berakhir di Kuala Terengganu, malam tadi. Tuan rumah mencipta sejarah mengutip emas terbanyak dalam penyertaan Sukma selepas meraih 61 pingat emas 39 perak dan 47 gangsa meninggalkan Selangor yang muncul naib juara dengan 54-47-52 manakala Sarawak tempat ketiga, (52-52-42). Upacara penutup temasya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

MENAKJUBKAN

MENAKJUBKAN
TERENGGANU juara SUKMA, Juara Bola Sepak, Raja Pecut, Raja Ragbi, Raja Kenu, Raja Kayuh. Kemenangan Terengganu kebanyakkan diperolehi melalui sukan objektif seperti olahraga, basikal, kenu berbanding dari sukan subjektif.

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG
Skretariat SUKMA Terengganu mendapat pujian daripada Kontingen-kontingen negeri, Media massa, pegawai sukan & orang ramai tentang kecermlangan pengurusan & pentadbiran SUKMA. SUKMA di Terengganu di iktiraf sebagai pengurusan SUKMA terbaik, pengadilan yang paling bersih,penyertaan penonton paling ramai, kemudahan paling lengkap, rekod baru paling banyak dicipta & tanpa kontraversi. Paling hairan Jawatakuasa rayuan tidak mnerima apa-apa rayuan dari kontingen yang bertanding. TAHNIAH.

INDUSTRI TERNAK KAMBING

INDUSTRI TERNAK KAMBING
Cosmopal Sdn Bhd, anak syarikat Arus Zaman Sdn Bhd, melabur sebanyak RM2 juta dalam penternakan kambing di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Serating, dekat sini dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai pengeluar terbesar ternakan itu di negara ini pada masa depan. Pengarahnya, Zainudin Zakaria berkata setakat ini, syarikat mempunyai sebanyak 1,400 kambing baka Jamnapari, bernilai antara RM750 dan RM850 seekor, di ladang seluas kira-kira 30 hektar itu.

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN
DAS berkata kerajaan banyak menyediakan kemudahan untuk pelajar melonjakkan diri untuk mencapai kejayaan cemerlang. Kerajaan sanggup menyediakan peruntukkan besar untuk sektor pendidikan bagi menjadikan negeri terulung melahirkan pelajar yang cemerlang.

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI
DAS mengucap tahniah kepada Wan Ahmad Nizam, Ketua Kontingen SUKMA Terengganu kerana berjaya menjadi juara SUKMA ke 12. Di atas kemenangan itu, DAS memberi cuti kepada rakyat Terengganu.

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU
PM bersetuju untuk melulus pembinaan sekolah sukan seperti sekolah sukan di Bukit Jalil & Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor di Terengganu. Sekolah ini akan dibina di sebelah kompleks sukan negeri, Gong Badak.