Rabu, September 30, 2009

Terbuka Terengganu

LEBIH 100 pemain, termasuk pemain perseorangan nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei akan menyertai Kejohanan Badminton Kebangsaan Proton Sirkit 2009 Terbuka Terengganu yang bermula hari ini hingga Ahad.

Naib Presiden Persatuan Badminton Terengganu (PBT), Harry Isaacs berkata kejohanan yang akan berlangsung di Stadium Negeri itu terbahagi kepada kategori remaja dan senior.

Katanya beliau yakin kejohanan itu akan mendapat sambutan hangat di kalangan peminat sukan badminton tempatan walaupun umum mengetahui ramai pemain negara yang tewas di Terbuka Jepun, minggu lalu.

“Saya tidak nampak kegagalan pemain di Jepun itu boleh menjadi penyebab Kejohanan Terbuka Terengganu ini menjadi tidak menarik atau tidak dapat sambutan,” katanya.



Tambahan pula, Harry berkata sudah begitu lama kejohanan seumpama itu tidak diadakan di Terengganu dan inilah peluang peminat di negeri itu untuk menyaksikan sendiri aksi jaguh badminton negara dengan lebih dekat.

Selasa, September 29, 2009

Perlantikkan Pengerusi Biro UMNO

Badan Perhubungan UMNO Terengganu hari ini mengumumkan pelantikan pengerusi-pengerusi biro yang baru termasuk Pengerusi Perhubungannya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengetuai Biro Politik.


Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said pula diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Biro Pengurusan UMNO negeri.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri ketika mengumumkan pelantikan itu berkata, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dilantik sebagai Pengerusi Biro Pengundi Luar.

Katanya, penubuhan biro itu penting dalam usaha memantapkan kedudukan UMNO selain keutuhan parti terus terpelihara.

‘‘Bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rosli Mat Hassan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Strategi dan bekas Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh akan mengetuai Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan.

‘‘Pengerusi Biro Agama dan Pendidikan kini diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Khazan Che Mat,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri di Hotel Seri Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, Pengerusi Biro Penambahan Ahli dan Daftar Pemilih akan diketuai Exco kerajaan negeri, Yahya Khatib Mohamad manakala Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dilantik sebagai Pengerusi Biro Perancangan dan Penerangan.

Katanya, Biro Ekonomi diketuai oleh Ahli Parlimen Setiu, Datuk Md. Jidin Shafee manakala Biro Sekretariat Bilik Gerakan diketuai ADUN Kota Raja, Muhamad Pehimi Yusof.

Senator Fatimah Hamat pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perayu Undi dan Gerak Mesra dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri, Saiful Bahari Baharuddin mengetuai Jawatankuasa Sasaran Pengundi Muda dan Belia.

Misteri Tongkat Masjid

Misteri kehilangan 23 batang tongkat mimbar milik beberapa masjid di daerah ini sepanjang Ramadan lalu akhirnya terjawab.

Rupa-rupanya, kesemua tongkat itu dicuri oleh seorang warga emas berumur 55 tahun yang mendakwa berbuat demikian untuk meningkatkan 'darjah keimanannya'.

Malah, lelaki itu mendakwa menerima arahan daripada suara ghaib yang memintanya mencuri sebanyak 200 batang tongkat mimbar masjid bagi membolehkannya mencapai darjah keimanan yang dihajatkan.

Menggelarkan dirinya 'wali termulia', lelaki itu mengaku masuk ke masjid-masjid berkenaan sambil berpura-pura mahu bersembahyang sebelum membalut tongkat tersebut menggunakan serban yang dipakainya sebelum melarikan diri.

Namun, hasrat lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk mengumpul 200 batang tongkat tersebut tidak kesampaian apabila dicekup polis kira-kira pukul 5.30 petang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri berkata, lelaki itu ditahan apabila sekumpulan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Marang menyerbu rumah suspek di Kampung Rhu Rendang di sini selepas mendapat maklumat daripada orang ramai.


"Hasil serbuan itu, polis berjaya menahan lelaki berkenaan dan menemui 23 batang tongkat mimbar masjid di rumah kedai yang didiaminya.

"Akhirnya suspek mengaku mencuri tongkat di beberapa buah masjid antaranya Masjid Haji Ahmad Ibrahim, Masjid Kelulut dan Masjid Kijing di Marang," katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd. Fauzi memberitahu, ketika serbuan, lelaki itu tidak melawan tetapi cuba menyembunyikan sebatang tongkat dibalut dengan sejadah hijau yang dipercayai paling disayanginya.

Ahad, September 27, 2009

Terengganu Menang




Terengganu berjaya menewaskan Sarawak dengan jaringan 1 - 0 di Stadium Petra Jaya, Kucing. Gol dijaringkan oleh Khairul Izwan iaitu pemain pinjaman dari Felda United. Pasukan Terengganu bermain di kumpulan B terdiri pasukan Negeri Sembilan dan Johor.

Sabtu, September 26, 2009

Segera Bina Jambatan Kedua




Hairan Raya ke 7.. maseh lagi sesak di jambatan Sultan Mahmud. Gambar ini di rakam pada jam 1.30 tengahari. Kesesakkan ini berlaku pada sejak pagi lagi.

Segeralah membina jambatan kedua yang menghubungi bandaraya dengan bakal daerah baru. Jangan tunggu pilihanraya akan datang baru nak berjanji. Binalah sekarang sebelum tiba pilihanraya.

Orang Terengganu Di Petra Jaya Pakat Gi Tengok Bola

Petang ini Terengganu lawan Sarawak di Petra Jaya. Kucing.

ATAS kertas, pasukan Terengganu dilihat memiliki kelebihan untuk mengharungi saingan Piala Malaysia yang akan membuka tirainya .

Meskipun diundi dalam Kumpulan B yang dianggap sukar bersama Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak, peluang skuad Penyu untuk mengisi slot ke suku akhir agak terbuka.

Selain rekod cemerlang pada kempen Piala Super baru-baru ini, skuad Penyu ini juga semakin menunjukkan peningkatan sejak dikendali jurulatih Ken Worden.

Selepas hampir setahun membimbing pasukan ini, pengendali dari Australia itu berjaya mencungkil bakat terpendam beberapa pemain muda pasukan tersebut.

Kecemerlangan dua pemain berbakat iaitu penyerang, Abdul Manaf Mamat dan pemain tengah, Mohd. Ashaari Shamsuddin menjadi kunci kejayaan pasukan itu musim ini.

Sepanjang kempen Liga Super lalu, Abdul Manaf dan Ashaari masing- masing menyumbangkan 17 dan 10 gol untuk membantu Terengganu menduduki tempat kelima liga.

Malah, kedua-dua pemain berbakat ini adalah antara pemain yang membantu pasukan Pantai Timur itu mencipta kegemilangan pada temasya Sukma di gelanggang sendiri tahun lalu.

Lebih menarik, Abdul Manaf kini disenaraikan dalam skuad bawah 23 tahun kebangsaan.

Selain memiliki barisan pemain muda yang berbakat, kejayaan Terengganu juga banyak dibantu beberapa pemain senior antaranya pemain tengah Zairo Anuar Zailani, penyerang Mohd. Azlan Ismail dan pemain pertahanan Mohd. Marzuki Yusof.

Seandainya prestasi cemerlang itu berjaya dikekalkan, Terengganu sekali lagi berpeluang untuk mencipta sejarah menjadi juara Piala Malaysia seperti mana yang dilakukan pada tahun 2001 lalu.

Bagaimanapun Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh tidak mahu pemain mudah lupa diri dan berbangga dengan rekod yang dimiliki.

"Secara dasarnya, dalam saingan Piala Malaysia ini, pasukan kami mempunyai kelebihan berbanding pasukan lain.

"Selain rekod perlawanan pada aksi Liga Super lalu, kami juga mempunyai barisan pemain yang baik, sekali gus mampu membantu pasukan mencipta kejayaan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Menurut Che Mat, untuk mereali- sasikan impian itu, pemain tidak boleh memandang rendah kemampuan pasukan lain dan mengekalkan momentum yang dimiliki.

Khamis, September 24, 2009

Bersihkan Runtuhan Dengan Segera

Kerajaan negeri berharap masalah bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak di sini yang runtuh dalam kejadian awal Jun lalu dapat diselesaikan selewat-lewatnya Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said berkata, masalah itu perlu ditangani secepat mungkin terutama menjelang Liga Malaysia musim depan selain persiapan latihan atlet Terengganu bagi Sukan Malaysia (Sukma) 2010 di Melaka nanti.

Beliau juga berharap supaya jawatankuasa penyiasat mengenai bumbung stadium runtuh itu dapat menyerahkan laporan kepada Kabinet atau kerajaan negeri awal November ini bagi membolehkan stadium berkenaan diguna pakai untuk kontinjen Terengganu dan skuad bola sepak T-Team.

Ini kerana, jelasnya, stadium tersebut turut menempatkan beberapa venue sukan lain terutama boling dan skuasy yang akan membantu Terengganu mengekalkan kejuaraan Sukma di Melaka tahun depan.

“Kami amat berharap agar kemudahan yang ada di stadium ini (Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin) dapat digunakan sebaik mungkin, jadi kami harap jawatankuasa penyiasat sudah di peringkat akhir untuk siapkan laporan mengenainya.

“Kita hanya ada dua stadium yang boleh diguna pakai dengan stadium yang bumbungnya runtuh ini hanya sebahagian saja infrastruktur tak boleh guna, jika ia (bumbung runtuh) dapat dibuang dan dibersihkan, saya percaya kita dapat guna stadium ini,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Kelab Bola Sepak T-Team menyatakan demikian ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka sambutan Aidilfitri di kediamannya di Kampung Jeram di sini hari ini.

Pada 2 Jun lalu, negara digemparkan dengan kejadian runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang menjadi venue utama Sukma 2008 sehingga menyebabkan kira-kira separuh daripada strukturnya musnah.

Runtuhan berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi melibatkan bumbung di bahagian timur stadium bernilai RM292 juta itu yang menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam serta bumbung tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan.
Rahin seterusnya yakin stadium utama itu selamat digunakan sebaik kerja pembersihan bumbung runtuh siap dilakukan memandangkan struktur asal di bahagian bawahnya cukup kuat bagi menampung kapasiti 10,000 hingga 15,000 penonton.

Beliau menambah, kerajaan negeri turut mengesahkan yang Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Batu Buruk yang sebelum ini dilaporkan mengalami masalah resapan air kini sudah siap dibaik pulih.

Rabu, September 23, 2009

Perantau Bergembira Berhari Raya Dengan MB

Anak Terengganu yang bekerja atau belajar diluar Terengganu telah menyerbu majlis hari raya yang khas untuk perantau. Majlis yang dianjur oleh Kerajaan Negeri di bantu oleh UMNO dan Persatuan Profesional Muda Terengganu telah berjaya menarik 6,000 orang. Mereka datang tidak putus-putus dari jam 9.30 pagi hingga 2 petang.

Menteri Besar Terengganu telah menyambut mereka dengan senyuman manis. Mereka yang terdiri anak Terengganu bekerja di Kuala Lumpur, Johor, Selangor, Pulau Pinang dan lain-lain negeri telah membawa keluarga masing-masing. Majlis ini telah di adakan di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man. Di samping anak Terengganu yang belajar IPTA, IPTS, Institusi Penguruan, politeknik.


Mereka ini dihibur dengan lagu hari raya oleh Akedemi Seni & Briged Seni yang dikendalikan oleh Pak Da. Selain daripada Ahli Mesyuarat Kerajaaan & Wakil Rakyat turut sama menyambut perantau. Perantau ini tidak melepas peluang bergambar dengan Menteri Besar untuk membuat kenang-kenangan.

Anggur Di Terengganu

Terengganu bakal mewujudkan taman anggur sebagai tarikan pelancongan baru di Tasik Kenyir yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 10 hektar tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, tanaman itu dijangka mula dilaksanakan penghujung tahun ini dan ia bukan untuk dieksport sebaliknya sebagai satu tarikan baru pelancongan di negeri ini selain bagi keperluan domestik.

Beliau berkata, buah anggur itu merupakan spesies anggur yang ditanam di Thailand berwarna merah dan hijau yang sesuai untuk ditanam di negeri ini, berbanding benih dari Amerika Syarikat (AS) atau rantau Eropah.

''Anggur yang diusahakan di Thailand sangat berjaya, kenapa kita tak boleh buat, malah di Perlis dan Negeri Sembilan pun ada anggur.

''Saya yakin kita boleh berjaya, masalahnya sekarang yang tak berjaya sebab kita ambil benih anggur dari Amerika Syarikat dan Eropah, ia tak sesuai dengan (iklim) kita sedangkan teknologi di Thailand sangat maju dan kualiti buahnya sama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Sambutan Aidilfitri Menteri Besar Terengganu Bersama Perantau yang dihadiri kira-kira 6,000 orang di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini hari ini.

Ahmad menjelaskan, buat masa ini pihak mana yang akan diberi tanggungjawab untuk menguruskan projek tanaman tersebut masih belum diputuskan.

Namun katanya, untuk peringkat awal kerajaan negeri bercadang melantik Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, anggur yang terdapat di taman itu kelak akan memberi peluang kepada para pengunjung termasuk pelancong untuk membeli seterusnya menikmati keenakannya.

Isnin, September 21, 2009

Gaji T Team Naik

PIHAK pengurusan T-Team akan menaikkan gaji pemain pasukan bola sepak itu sebanyak 10 peratus tahun depan berikutan kejayaan mereka menjadi naib juara Liga Perdana musim ini.

Pengurus pasukan, Datuk Rahin Mohd. Said berkata, langkah itu diharap akan menjadi penyuntik semangat pemain-pemain bagi mengharungi cabaran Liga Super tahun depan.

"Kita harap dengan kenaikan gaji ini, pemain-pemain akan lebih bersemangat menghadapi pertandingan Liga Super tahun depan," katanya semalam.

Rahin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri berkata, 90 peratus pemain musim lepas dikekalkan dalam pasukan T-Team tahun depan.

"Secara jujur saya katakan bahawa ramai pemain-pemain negeri berminat untuk mewakili pasukan kita tahun depan, tetapi kita kena tunggu sehingga pertandingan Piala Malaysia selesai," katanya.

Katanya, T-Team memerlukan sekurang-kurangnya RM3 juta untuk menghadapi Liga Malaysia tahun depan iaitu Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.

Rahin juga berkata, beliau akan cuba meminta kerajaan negeri membersihkan runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak bagi membolehkannya digunakan tahun depan.

"Kalau boleh kita tidak mahu bermain di negeri lain sekiranya pasukan Terengganu dan pasukan T-Team bermain serentak," katanya.

Sabtu, September 19, 2009

Wook Gembira

Hasrat warga emas, Wook Kundur, 106, untuk menjenguk suaminya Mohd. Nor Che Musa di Pusat Serenti Sungai Besi (Persada) sejak suaminya ditangkap awal Julai lalu menjadi kenyataan semalam.

Wook yang tiba di Persada pada pukul 10 pagi dibawa ke bilik lawatan sebelum kakitangan Persada membawa Mohd. Nor kepadanya.

Pertemuan pasangan istimewa itu berlangsung dalam suasana sayu apabila Wook terus memeluk erat suaminya sebaik sahaja bertentang mata dan terus menangis.

Turut hadir Adeela Zulfakar yang bertanggungjawab membawa Wook dari Terengganu dan dua rakannya, Azlina Resad, 28, dan suaminya, Mohamad Azril Ahmad, 33.

Tidak sempat Mohd. Nor memulakan bicara, Wook terus bertanya suaminya kenapa tidak mahu berpindah ke Besut.

"Bukan tidak mahu pindah...lepas raya nanti baru balik, banyak yang kena belajar di sini,"jelas Mohd. Nor kepada Wook.

Wook yang terdiam sejenak kemudiannya meminta Mohd. Nor pulang segera kerana tiada siapa mahu menjaganya (Wook) dan hanya bergantung harap padanya.

Khamis, September 17, 2009

Padang Hangus Di Landa Pelita

Apabila tiba sahaja bulan Ramadan, kewajipan menjalankan ibadah puasa serta bertarawih menjadi satu amalan yang perlu dilakukan pada bulan mulia itu.

Namun, ada satu tradisi yang sering dinanti-nantikan setiap kali penghujung Ramadan tiba iaitu malam tujuh likur.

Bagi sesetengah masyarakat, tiada apa yang istimewanya, namun bagi penduduk Kampung Padang Hangus dan sekitarnya, mereka tidak sabar menunggu ketibaan malam tersebut.

Sejak lapan tahun lalu, hampir seluruh penduduk kampung menyambut ketibaan malam tujuh likur dengan memasang pelita di sekeliling rumah mereka.

Malah, satu pertandingan pelita raya diadakan setiap tahun bagi memeriahkan suasana hari raya di kampung berkenaan.

Cahaya pelita daripada pelbagai bentuk menerangi sepanjang jalan ke kampung tersebut.

Pelbagai bentuk pelita dibuat sendiri oleh penduduk seperti dari buluh, tin minuman dan tin susu menghiasi pagar rumah mereka.

Menariknya, ia bukan sahaja sekadar memasang pelita namun mereka mencipta pelbagai kelainan yang menjadikan suasana kampung tersebut cukup meriah.

Pelita tersebut bukan hanya diletakkan mengelilingi rumah mereka, malah ia diletakkan dan diatur mengikut pelbagai jenis rekaan dan bentuk yang mengagumkan.

Di sepanjang jalan ke kampung tersebut, rekaan seperti Masjid Kristal, Menara Kuala Lumpur, kapal layar, pintu gerbang, tema 1Malaysia dapat dilihat.

Seorang penduduk yang ditemui, Rosmadi Ismail, 26, memberitahu, pada setiap tahun, keluarganya akan menyertai pertandingan tersebut bagi memeriahkan suasana berhari raya.

Katanya, keluarganya juga merupakan juara bertahan sejak empat tahun lalu dalam pertandingan tersebut.

Mengenai susunan pada pelita itu, beliau berkata, usaha itu bukan perkara mudah untuk menciptanya dan perlu berhati-hati memandangkan ia melibatkan penggunaan bahan api.

"Setiap tahun, kami sekeluarga akan bekerjasama menghasilkan pelbagai bentuk rekaan bagi memastikan kelainan.

"Pada tahun ini, kami mereka bentuk Masjid Kristal yang mana memerlukan kira-kira 600 biji pelita dan penggunaan 18 liter minyak tanah untuk semalam.

"Bagaimanapun, kos yang diperlukan tidak banyak memandangkan kami membuat sendiri pelita daripada tin minuman," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Hangus, Tepoh di sini semalam.

Pertandingan tersebut merupakan kerjasama antara kerajaan negeri, Lembaga Muzium Negeri, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Hangus.

Seramai 184 keluarga terlibat dalam acara tersebut yang melibatkan lima buah kampung di sekitar Tepoh.

Terengganu Jelapang Padi Terbaru

Jika dahulu, sebut sahaja negeri jelapang padi pastinya Kedah merupakan negeri pertama yang terlintas di fikiran.

Namun kemajuan perkembangan tanaman ruji ini yang semakin berkembang menjadikan ia mampu dimajukan di negeri lain.

Terbaru, negeri Terengganu kini mampu mendabik dada apabila tanah seluas 735 hektar yang pernah gersang selama lapan tahun dahulu kini subur menghijau dengan sawah padi seluas mata memandang.

Kampung Jelapang di Daerah Setiu telah dipilih menjadi projek perintis kepada tanaman ini.

Projek bernilai RM46 juta itu berpotensi untuk menghasilkan tanaman padi dua kali setahun yang bakal meningkatkan tahap sara diri rakyat negeri itu hampir 55 peratus.

Seramai 200 petani daripada kawasan tersebut telah terlibat dalam projek berkenaan di mana setiap petani diagihkan tanah seluas 3.9 hektar untuk diusahakan dengan tanaman itu.

Siapa sangka tanah yang hampir dibiarkan itu akhirnya berjaya dimajukan hasil idea bernas Menteri Besar Terengganu yang ingin melihat rakyatnya keluar daripada kepompong kemiskinan yang selama ini membelenggu mereka.

Difahamkan, pada 1972 hanya enam orang petani yang mula mengusahakan tanah sawah di sekitar kampung tersebut namun ketika itu masih tiada kelengkapan pengairan.

Setelah hampir 30 tahun mereka mengusahakan sawah tersebut pada 2002 masalah pengairan timbul sehingga menyebabkan para petani terpaksa berhenti daripada meneruskan penanaman padi.

Natijahnya, selama lapan tahun tanah tersebut dibiarkan sehinggalah pada Jun 2008 lalu, ia dipilih sebagai jelapang padi Negeri Terengganu melalui Projek Pengairan Jelapang yang telah dirasmikan sendiri oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu.

Jika lapan tahun lalu petani di sini terpaksa berhenti daripada menanam padi kerana tiada sistem pengairan yang sistematik, namun kini mereka tidak perlu bimbang lagi apabila segala kemudahan pengairan dan infrastruktur telah dilengkapkan.

Dengan menggunakan sumber air dari Sungai Bari dengan keluasan tadahan seluas lebih kurang 37 kilometer persegi, tanaman padi di kawasan tersebut hidup subur.

Tambahan pula kemudahan sistem tali air, jalan ladang, jambatan, pembetung, rumah pam dan pam saliran telah disediakan.

Selain itu, pintu kawalan air turut dipasang bertujuan mengawal pasang surut air dan mengelakkan air masin masuk ke dalam sistem pengairan selain menyediakan bekalan air pada musim kemarau.

Bagi mengelakkan limpahan air Sungai Bari daripada menenggelami sawah, sebuah ban telah dibina di sebelah sungai tersebut setinggi lebih kurang 1.5 meter selain mendalamkan dan melebarkan sungai itu.

Kerajaan negeri juga membina parit saliran sepanjang 42,335 meter untuk mengalirkan air keluar dari sawah ke Sungai Bari.

Projek yang mendapat kerjasama daripada Jabatan Pertanian Negeri Terengganu itu turut menerima bantuan tenggala, benih, baja dan racun dalam tempoh percubaan daripada jabatan tersebut.

Justeru, tidak mustahil program penanaman padi itu akan membuahkan hasil lumayan sekiranya mendapat kerjasama penduduk setempat untuk memajukan kawasan itu.

Selain itu, kerajaan negeri turut menggalakkan penduduk yang mempunyai tanah yang terbiar agar memberikannya kepada kerajaan untuk dimajukan.

Sudah menjadi kebiasaan di mana penduduk lebih gemar 'menyimpan' tanah mereka berbanding dimajukan dengan pelbagai jenis pertanian lain.

Sehubungan itu, seharusnya kaedah Projek Pengairan Jelapang ini dicontohi oleh semua pihak dan dijadikan projek perintis untuk projek lain.

Rabu, September 16, 2009

Hentikan Tohmohan

Semua pihak diminta menghentikan segala tohmahan dan khabar angin berhubung pertelingkahan yang kononnya berlaku antara beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu yang dilabel penyokong bekas Menteri Besar, Datuk Idris Jusoh dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Adun Bukit Besi, Datuk Din Adam, berkata pertelingkahan yang dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap Ahmad hingga mewujudkan dua puak bertelagah dalam Umno Terengganu, sebenarnya adalah mainan politik pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) negeri, berkata semua Adun juga sentiasa menyokong segala keputusan yang dibuat pucuk pimpinan parti khususnya dalam mengekalkan kerajaan sedia ada.

"Sebenarnya keadaan di Terengganu (Umno) tidak ada masalah dan isu besar cuma tindakan sesetengah pihak yang cuba memperlihatkan seolah-olah di Terengganu ada masalah," katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Pertemuan selama lebih sejam itu turut dihadiri enam Adun lain iaitu Muhammad Pehimi Yusof (Kota Putera), Muhammad Ramli Nuh (Tepoh), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Ramlan Ali (Jabi), Nani Mohammad (Hulu Besut) dan Wan Mohd Hakim Wan Mokhtar (Air Putih).

Din yang juga jurucakap bagi Adun yang hadir semalam berkata, semua Adun juga akur dengan pelantikan Ahmad sebagai Menteri Besar oleh Sultan Terengganu yang juga Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin selepas pilihan raya umum lalu, menggantikan Idris yang juga Adun Jertih.

"Hubungan kita (Adun) dengan Menteri Besar macam biasa dan tidak ada masalah kerana kita akur dan patuh dengan pelantikan yang dibuat oleh Tuanku dan kita tidak akan sekali-kali derhaka kerana kita setia kepada baginda," katanya.

Kemelut dalaman kepemimpinan Umno negeri dikatakan berpunca daripada tindakan Ahmad tidak melantik wakil rakyat sebagai Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya menyerahkan tugas itu kepada ketua Umno bahagian yang turut diberi kuasa melantik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Berikutan itu, sekurang-kurangnya 10 Adun melakukan beberapa tindakan sebagai protes, antaranya memboikot persidangan DUN selain didakwa mahu menyertai pembangkang walaupun desas-desus itu dinafikan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengulas mengenai pertemuan itu, Din berkata, ia adalah pertemuan biasa bagi membincangkan perkembangan politik di Terengganu.

"Keutamaan kita (Adun) untuk mengekalkan kekuatan politik yang ada di Terengganu, tetapi keadaan politik itu sendiri memberi peluang kepada orang lain untuk cuba mengambil kesempatan bagi melemahkan perpaduan yang ada," katanya.

Mengenai desas-desus bahawa beberapa Adun Terengganu mengadakan perjumpaan dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Din berkata, beliau tidak mengetahui perkara itu.

"Saya tidak terbabit dan tidak tahu langsung mengenai perkara itu," katanya.

Selasa, September 15, 2009

UMT : Tadarus Al Quran 100 Jam Tanpa Henti

Bagi membudayakan pembacaan al-Quran, Unit Kerohanian Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganjurkan Program Tadarus al-Quran 100 Jam Tanpa Henti bermula hari ini.Seramai 200 pelajar pelbagai jurusan menyertai program lima hari itu yang akan berakhir pada 13 September ini.

Pengarah program, Rodiah Mustafa berkata, tadarus al-Quran itu diharap mampu meningkatkan kefahaman dan penghayatan peserta terhadap kandungan ayat-ayat suci al-Quran.

''Program ini memberi manfaat kepada semua namun jika ia dapat memecah rekod sebelum ini, ia adalah satu kelebihan yang membanggakan kami,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, Sekolah Menengah Matang di Sarawak pernah mengadakan program seperti itu dan turut tersenarai dalam Malaysia Book of Records dengan membaca al-Quran tanpa henti selama 50 jam.

Menurutnya, program tersebut turut melibatkan lima orang munabeh (pemeriksa bacaan) yang akan memeriksa bacaan pelajar yang diberi masa selama 15 minit untuk memperdengarkan bacaan.
''Tadarus akan berjalan tanpa henti namun pelajar akan diberi masa untuk berbuka dan bersolat.

Isnin, September 14, 2009

Kerajaan Cakna Rakyat

SETELAH kenal lebih mendalam dengan keropok lekor, budu, nasi dagang, asam pedas ikan kelah dan baung lantaran semakin jauh perjalanan di seluruh negeri ini, semakin hari saya bertambah yakin bahawa anak negeri ini tergolong dalam kumpulan yang sangat bertuah.

Negeri mereka kaya dengan sumber alam yang dihias keindahan flora dan fauna, sementara warganya juga tidak lagi sinonim dengan tanggapan umum sebelum ini iaitu golongan nelayan pantai dan petani di pedalaman yang tinggal di rumah usang dan hidup kais pagi makan pagi. Hasil sumber alam, terutama minyak dan gas kini benar-benar meresap kepada kehidupan rakyat dan paling mudah kita lihat pada rumah yang sebelum ini bocor di sana sini, kini bersinar dengan atap biru serba baru sumbangan kerajaan negeri.

Kerajaan negeri yang cakna, menzahirkannya menerusi konsep merakyatkan pembangunan dan pentadbiran. Menerusi konsep yang dirumus itu, kerajaan negeri mahu setiap keputusan pentadbiran dan agenda pembangunan yang dirancang hendaklah memberi impak langsung atau secara terus dapat dinikmati rakyat.

Dalam hal inilah kita lihat pendekatan berbeza kaedah pentadbiran di negeri ini berbanding negeri lain. Kepada pengkritik, pendekatan ini mungkin tidak bersifat agresif terhadap pembangunan material, jika model pembangunan hanya diukur daripada jumlah projek mega yang dilaksanakan.

Akan tetapi kepada yang mengerti, mereka akan menilai kemajuan sesebuah negeri bukan hanya menerusi pembangunan fizikal atau projek mega semata-mata. Ini kerana seperti yang dibuktikan dalam banyak contoh, projek mega tidak banyak memberi impak langsung kepada masyarakat sekitar selain kenaikan nilai hartanah. Sebaliknya dengan menyandarkan kepada pembangunan prasana sedia ada, pendekatan merakyatkan pembangunan dapat meningkatkan ketelusan, menambah daya upaya pendapatan dan kuasa beli rakyat, menjana pertumbuhan ekonomi dan membawa keluar kalangan miskin tegar daripada belenggu kemiskinan.

Justeru, kepada orang luar, mereka melihat rakyat negeri ini sebagai kalangan yang sangat beruntung kerana mendapat imbuhan secara langsung banyak daripada kerajaan negeri. Daripada program menukar atap rumah, bantuan membaiki rumah golongan miskin, pembinaan rumah kos rendah dan mampu milik hinggalah sumbangan wang ehsan atau dana khas raya sebanyak antara RM200 dan RM400 kepada setiap keluarga fakir miskin.

Pembayaran yang diagihkan mulai minggu kedua puasa akan membolehkan mereka berkelayakan membuat persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sebanyak RM46 juta peruntukan disediakan membabitkan 153,201 penerima dari kalangan warga miskin, warga emas, ibu tunggal serta orang kurang upaya (OKU).

Selain bantuan itu, kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan sebanyak RM8.3 juta untuk mengagihkan kurma dan air zam-zam kepada kira- kira 300,000 rumah di seluruh negeri secara adil dan saksama. Kurma dan air zam-zam berkenaan akan diagihkan pada minggu pertama Ramadan melalui Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing dan semua penduduk akan menikmatinya tanpa mengira fahaman politik. Tahun ini adalah kali kedua kurma dan air zam-zam diagihkan kepada semua anak negeri.

Dalam program membaiki atap rumah rakyat pula, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM16 juta. Selain itu, kerajaan negeri juga sudah membina 320 unit daripada sasaran 1,000 unit kediaman baru bagi rakyat termiskin dan membaiki 288 unit rumah dengan peruntukan keseluruhan RM56.2 juta.

Sementara itu, lebih 12,000 remaja di negeri ini juga memperoleh wang sebanyak RM200 seorang menerusi Program Dana Bakti Remaja hasil wang royalti minyak Terengganu. Kerajaan negeri menyediakan dana sebanyak RM23 juta untuk program itu yang diperkenalkan sejak tahun 2000.

Dalam bidang pendidikan pula, Terengganu adalah negeri pertama yang menyemarakkan penggunaan ICT di kalangan generasi muda menerusi pengguna komputer riba mini atau e-book yang diagihkan kepada lebih 23,000 murid Tahun Lima mulai Julai lalu. Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM23 juta untuk mengagihkan e-book kepada setiap pelajar tahun lima di negeri ini bagi mendekatkan mereka dengan bidang komunikasi teknologi maklumat (ICT) seiring dengan perkembangan semasa di peringkat global.

Bagi mengelakkan e-book disalahguna Kerajaan negeri akan melabur RM30 juta lagi untuk melengkapkan semua e-book dengan perisian anti lucah atau dikenali sebagai `Triple X System' akan menyekat sebarang usaha memuat turun klip video atau perkara yang tidak dibenarkan.

Selain nikmat langsung daripada kerajaan negeri, agensinya yang lain turut menyediakan pelbagai kemudahan kewangan. Yayasan Terengganu (YT) umpamanya, menyediakan bantuan persediaan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) kepada pelajar lepasan SPM dan STPM ke peringkat ijazah, diploma dan sijil. Pada tahun ini, lebih RM30 juta diperuntukkan untuk tujuan itu. YT juga memberi ganjaran wang tunai kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan umum UPSR, PMR, SPM, STPM dan STAM.

Sebahagian besar nikmat langsung yang diterima rakyat negeri ini disandarkan kepada pengurusan wang royalti yang sudah dikembalikan kepada kerajaan negeri mulai hujung tahun lalu, yang mana pembangunan negeri ini bukan lagi dilaksanakan menerusi dana khas kerajaan persekutuan atau wang ehsan seperti sebelum ini.

Dengan kembalinya royalti, projek pembangunan yang dirancang, kini dilaksanakan menerusi proses bajet dan tender bagi memastikan wang rakyat dibelanjakan dengan telus dan berkesan serta memberi faedah maksimum kepada anak negeri. Setiap projek dirancang dipastikan supaya berasaskan bajet tahunan, tidak lagi macam dulu yang mana jika negeri mahu projek, minta saja daripada kerajaan Pusat dan terus dilaksanakan di Terengganu.

Ahad, September 13, 2009

Abdul Manaf Penyerang Berbisa

ABDUL Manaf Mamat meletakkan dirinya sebagai penyelesaian kepada masalah kebuntuan jentera serangan Malaysia menjelang Sukan Sea Laos menerusi dua jaringannya menentang Lesotho, kelmarin, ketika rakan sepasukan sekian lama bergelut menemui sasaran di depan gawang gol.

Walaupun tampil sebagai pemain gantian pada lewat babak kedua, kemunculannya mencetuskan impak serta-merta dengan dua jaringan pada minit ke-83 dan 90 untuk melengkapkan kemenangan 5-0 ke atas negara Afrika itu dalam siri perlawanan persahabatan dalam rangka persiapan bagi Sukan Sea Laos.



Abdul Manaf yang menjadi sebahagian daripada anggota pasukan Terengganu yang menjuarai pingat emas Sukma ketika menjadi tuan rumah pada 2008, dilihat muka baru buat barisan bawah 23 negara, namun Rajagobal sudah lama mengetahui bakat pemain itu yang diasuh bakatnya sejak bersama pasukan bawah 16 tahun negara.

“Dulu pemain ini pernah bersama saya dalam pasukan bawah 16 tahun pada 2004. Saya menggugurkannya seketika dan memberikannya peluang buatnya pada tahun ini untuk membuktikan dirinya,” kata Rajagobal.

Teguran Rajagobal pada waktu rehat jelas membuahkan hasil apabila barisan penyerangnya bangkit dari lena untuk meledakkan tiga gol pada separuh masa kedua.

“Saya memberitahu pemain supaya menjadi lebih agresif dan menggandakan asakan untuk mendapatkan gol,” katanya.

Terengganu Bina Institut Jantung

Terengganu bakal memiliki sebuah hospital institut jantungnya sendiri yang dibiayai kerajaan negeri itu apabila beroperasi sepenuhnya pada pertengahan tahun depan.


Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Said, berkata kerajaan negeri kini dalam proses untuk membeli sebuah resort dan kerja pengubahsuaian untuk dinaiktaraf sebagai sebuah hospital jantung akan dilakukan sebaik saja proses pembelian itu selesai sepenuhnya.

“Kita kini dalam peringkat akhir untuk menentukan harga bangunan berkenaan. Kita di peringkat membeli bangunan dan jenis peralatan yang mahu dibeli. Semuanya sudah ada cuma kita masih dalam mengubahsuai bangunan berkenaan.

“Kita belum boleh maklumkan di mana lokasi hospital berkenaan dan sekiranya sudah ditandatangani barulah kita akan umumkan. Bangunan ini, bukan saja akan menempatkan pesakit jantung tetapi juga untuk pesakit strok dan kanser kerana kita dapati di negeri ini, ketiga-tiga penyakit ini serius,” katanya di sini, semalam.

Sabtu, September 12, 2009

Kenyataan Akhbar Menteri Besar Terengganu


Menteri Besar Terengganu Dato’ Ahmad bin Said melahirkan kekecewaan di atas satu laporan akhbar Berita Harian bertarikh 4 Sept, 2009 yang mempunyai unsur fitnah serta laporan yang kurang tepat yang telah menimbulkan persoalan tentang kredibiliti akhbar tersebut.


Berita yang disiarkan di muka surat 5 bertajuk ‘Muhyiddin mahu selesai kemelut BN Terengganu’ dilihat telah gagal melaporkan perkara sebenar yang berlaku pada majlis yang dihadiri lebih 5000 rakyat Hulu Terengganu tetapi melihat majlis itu dari sudut politik semata-mata.


Dato’ Ahmad yang telah sekian lama mengelak dari memberi sebarang komen berkaitan politik untuk meredakan keadaan serta tidak mahu menimbulkan sebarang persepsi negatif mengenai hubungan beliau dengan pentadbiran dan politik, sudah tidak dihormati oleh media.


Beliau kesal dengan sikap sesetengah wartawan yang tidak beretika dan membuat laporan berdasarkan andaian serta pandangan yang menyebelahi sesuatu pihak tanpa mengambil kira atau mengambil inisiatif untuk membuat siasatan rapi dari pelbagai sudut sebelum menyiarkan sesuatu berita.


“Saya sudah lama bersabar. Walaupun saya telah memberikan penjelasan secara tertutup kepada pihak media beberapa bulan yang lepas, namun masih ada yang tidak memahami keadaan atau sengaja tidak mahu menerima kebenaran.


“Laporan Berita Harian Jumaat lalu adalah penghujung kesabaran saya (last straw) kerana ia jelas telah memfitnah saya. Wartawan yang membuat laporan tersebut jelas tidak memahami Perlembagaan Umno serta perjalanan parti, dan tidak teliti membuat pemantauan kehadiran wakil-wakil rakyat di majlis tersebut sehingga ramai yang terguris hati apabila nama mereka dilaporkan sebagai ADUN yang tidak hadir bersama Timbalan Perdana Menteri.”


Perenggan 5 : Kemelut dalaman kepimpinan Umno negeri dikatakan berpunca daripada tindakan Ahmad tidak melantik wakil rakyat sebagai Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya menyerahkan tugas itu kepada Ketua Umno Bahagian yang turut diberi kuasa melantik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).


Laporan Perenggan 5 merupakan satu fitnah. Untuk pengetahuan para wartawan, rakyat dan pembaca Berita Harian serta akhbar-akhbar lain bahawa tidak ada jawatan Pengerusi Penyelaras DUN di dalam Perlembagaan Umno dan Barisan Nasional.


Jawatan ini diwujudkan semasa Tan Sri Wan Mokhtar bin Ahmad, Menteri Besar ketika itu, untuk memudahkan pengurusan Umno di peringkat DUN dimana semua Ketua Bahagian melantik sendiri Ahli Jawatankuasa Penyelaras DUN.


“Pada ketika itu, hak melantik Penyelaras DUN diberikan kepada semua 8 Ketua Bahagian. Saya sendiri, sebagai Ketua Bahagian Kemaman semenjak tahun 2000, telah melantik penyelaras-penyelaras DUN di Bahagian saya.


“Menteri Besar tidak ada kena mengena dalam perlantikan Penyelaras DUN dan jawatan ini pula tidak pernah ujud di negeri-negeri lain, kecuali Terengganu. Oleh itu, laporan Berita Harian tersebut telah memfitnah saya secara terang-terangan dan saya meminta akhbar tersebut memohon maaf diatas laporannya yang tidak berasas.”


Perenggan 10: Adun yang tidak hadir ialah Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih), Datuk Rosol Wahid (Ajil), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Muhammad Ramli Noh (Tepoh), Ramlan Ali (Jabi), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Alias Abdullah (Alor Limbat), Dr A Rahman Mokhtar (Kuala Besut), Khazan Che Mat (Batu Rakit), Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Pehemi Yusoff (Kota Putera), Rosli Othman (Kemasek), Zakaria Abdullah (Paka), Ashaari Idris (Langkap) dan Nawi Mohamad (Hulu Besut).


“Saya amat kecewa dengan laporan Perenggan 10 kerana jelas wartawan-wartawan Berita Harian yang membuat pemantauan di majlis tersebut tidak teliti atau mereka memang tidak kenal siapa wakil-wakil rakyat Terengganu, atau mereka mempunyai agenda tertentu.


“Saya ingin menjelaskan bahawa wakil rakyat yang tidak hadir tanpa alasan atau memaklumkan kepada saya ialah Dato’ Seri Idris Jusoh, Datuk Rosol Wahid, YB Alias Abdullah, YB Zakaria Abdullah dan YB Zawawi Ismail.


“Manakala YB Ramli Noh tidak hadir kerana mewakili saya di satu majlis dengan RTM di Kuala Lumpur; YB Dato’ Mohamed Awang tera, ahli Exco, telah memaklumkan kepada saya bahawa beliau ada program lain yang tidak dapat dielakkan; dan ahli Exco YB Toh Chin Yaw pula tidak dijemput kerana ini merupakan majlis Umno dan majlis berbuka puasa.


“Namun demikian, untuk pengetahuan umum, YB Dato’ Seri Idris Jusoh sempat hadir bersama Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu untuk program di masjid Penarik serta bersama-sama berada dalam majlis gotong royong membina wakaf di pantai Penarik pada hari Jumaat 4 Sept.


“Manakala YB Halim Jusoh tidak hadir di majlis bersama TPM di Hulu Terengganu kerana beliau terbabit dalam persiapan untuk menerima kunjungan Dato’ Seri Hishammuddin dan anak-anak angkat Umno Perhubungan di Kampung Penarik, dan saya telah dimaklumkan lebih awal.


“Namun demikian saya percaya bahawa ketidakhadiran Dato’ Seri Idris Jusoh pada petang tersebut mungkin telah dimaklumkan sendiri olehnya kepada Dato’ Seri Hishammuddin, manakala yang lain-lain yang tidak dapat hadir mungkin telah memaklumkan sendiri kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri, terutamanya YB Zawawi dan YB Dato’ Rosol Wahid kerana TPM berada di DUN Kuala Berang dan di Bahagian Hulu Terengganu, di mana mereka adalah wakil rakyat di Bahagian Hulu Terengganu.


“Akibat dari laporan yang tidak tepat itu telah menyebabkan wakil-wakil rakyat yang hadir di majlis tersebut menyatakan rasa amat kecewa mereka dan terguris hati apabila laporan Berita Harian menyatakan bahawa mereka tidak hadir.


Laporan berita harian itu seolah-olah mengambarkan dengan niat menghebahkan kepada rakyat bahawa mereka memulaukan majlis bersama TPM. Apakah niat sebenar laporan sedemikian dibuat?”


Mengenai satu lagi laporan Berita Minggu bertarikh 6 Sept 2009 bertajuk “Ahmad tak pernah ajak Adun ‘penentang’ bermesyuarat, yang juga mendakwa ADUN memboikot Sidang dewan Undangan Negeri dan mengambil sikap mendiamkan diri semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri berpunca daripada perlantikan Pengerusi Penyelaras DUN, adalah tidak benar dan mengambarkan ceteknya pengetahuan wartawan Berita Harian itu dalam melaporkan isu ini.


Sebagai bukti, YB Wan Hakim Tan Sri Wan Mokhtar (ADUN Air Putih) adalah Pengerusi Penyelaras DUN Air Putih dan beliau diberi kuasa memilih pegawai APMT dan pengerusi JKKK bagi DUN Air Putih.


Beliau dilantik sebagai Pengerusi Penyelaras DUN Air Putih oleh Ketua Umno Bahagian Kemaman yang juga selaku Menteri Besar, dan YAB Menteri Besar tidak langsung terbabit dalam perlantikan pegawai APMT dan Pengerusi JKKK DUN air Putih.


YB Alias Abdullah wakil rakyat DUN Alor Limbat dilantik sebagai Pengerusi Penyelaras DUN oleh YB Yahya Khatib Mohamad selaku Ketua Umno Bahagian Marang dan beliau diberi kuasa penuh untuk mencadangkan nama ahli APMT dan Pengerusi JKKK Alor Limbat.


YB Pahemi Yusof selaku ADUN Kota Putera dilantik Pengerusi penyelaras DUN Kota Putera oleh YB Dato’ Seri Idris Jusoh selaku Ketua Umno Bahagian Besut dan beliau mempunyai kuasa penuh untuk mencadangkan nama pegawai APMT dan pengerusi JKKK DUN Kota Putera.


YB Nawi Mohamad, ADUN Hulu Besut, juga telah dilantik sebagai Pengerusi penyelaras DUN Hulu besut dan beliau juga mempunyai kuasa penuh untuk melantik pegawai APMT dan pengerusi JKKK Hulu Besut.


Begitu juga YB Ramli Noh selaku ADUN Tepoh telah dilantik oleh YB Dato’ Nasir Ibrahim Fikri selaku Ketua Bahagian Kuala Nerus sebagai Pengerusi Penyelaras DUN Tepoh dan setelah perbincangan dibuat antara YB Dato’ Nasir, YB Ramli Noh dan saya selaku menteri Besar, akhirnya persetujuan dicapai untuk melantik pegawai APMT di DUN Tepoh dengan kadar 50-50, iaitu sebahagian dipersetujui oleh ADUN Tepoh dan sebahagian oleh YB Dato’ Nasir selaku Ketua Bahagian Kuala Nerus.


Manakala perlantikan Pengerusi JKKK diberi kuasa penuh oleh Ketua Bahagian kepada YB Ramli Noh.


Dengan ini jelas membuktikan bahawa pendapat, pandangan dan lain-lain yang berkaitan dengan isu perlantikan Pengerusi Penyelaras DUN, perlantikan pegawai APMT dan Pengerusi JKKK tidak timbul sama sekali, terutama yang melibatkan lima ADUN ini, dan ia tidak boleh diterima sekiranya isu ini diandaikan menjadi punca mereka memboikot Persidangan Dewan Undangan Negeri dan begitu juga dengan sikap mereka mendiamkan diri semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri yang lalu kerana kelima-lima mereka adalah Pengerusi Penyelaras DUN dan diberikan kuasa mutlak melantik pegawai APMT dan Pengerusi JKKK.


“Jika mereka sedar bahawa mereka seorang wakil rakyat, mereka wajar hadir mesyuarat walaupun mereka tidak memegang apa-apa jawatan dalam Kerajaan.


“Sebagai wakil rakyat yang diamanahkan untuk membela nasib rakyat dan memastikan Barisan Nasional terus kuat di Terengganu, mereka seharusnya memikul tanggungjawab dan mandat yang diberikan dengan berjiwa besar, jujur dan ikhlas.


“Sepatutnya wakil-wakil rakyat Barisan Nasional, terutama dari Umno, bersatu hati dan tidak melemahkan parti.”


“Saya tidak pernah menghalang media di Terengganu atau dimana jua untuk membuat sebarang bentuk laporan mengenai suasana politik dan umum di Terengganu tetapi amat mengharapkan agar wartawan menjiwai etika kewartawanan dengan membuat laporan yang adil, benar dan menyeluruh serta tidak berpihak atau mensensasikan sesuatu isu yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau menimbulkan fitnah.”


Dikeluarkan oleh :

Pejabat Menteri Besar Terengganu

Resdung - Rawatan Tradisional

Resdung merupakan satu penyakit yang agak sinonim dengan orang Melayu kerana kaum itu sering dibelenggu dengan penyakit itu.

Perubatan moden menyifatkan resdung atau sinus sebagai radang atau jangkitan kuman dan alahan pada saluran pernafasan, telinga serta mulut.

Orang Melayu pula percaya ia berlaku akibat cara pemakanan terutama mereka yang selalu makan makanan laut dan belacan.

Resdung boleh membuatkan seseorang itu mempunyai nafas berbau, bersin, muka berjerawat, gatal atau bengkak di hidung, mulut dan telinga.

Simptom yang lebih teruk melibatkan nanah di telinga atau kecacatan pada hidung akibat kerosakan pada bahagian rongganya.

Justeru, ramai yang mencari penawar atau rawatan secara tradisional.

Di Kampung Baru Kulim di sini, seorang suri rumah menawarkan perkhidmatan untuk merawat penyakit itu menggunakan daun sireh, gambir, pinang, kapur, tepung beras dan air.

Rohana Abdul Latif, 45, merupakan satu-satunya waris Rosmah atau Hitam Da yang lebih dikenali sebagai Mak Andak Hitam, pengamal perubatan tradisional terkenal di Pekan, Pahang.

Mak Andak Hitam juga terkenal kerana dia merupakan 'bomoh resdung' kepada Istana Pahang.

Rohana berkata, dia menerima ilmu merawat resdung daripada ibu angkatnya itu ketika berusia 32 tahun.

''Ketika kecil, saya sering membantunya dalam merawat mereka yang mengalami resdung namun ketika itu saya tidak faham apa-apa lagi.

''Kemudian pada usia 32 tahun, baru wanita yang menjaga saya sejak kecil itu mewariskan ilmunya kepada saya," katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, dia hanya mula merawat penyakit tersebut ketika berumur 40 tahun selepas mendapat keizinan suaminya.

''Pada mulanya, saya hanya merawat ahli keluarga dan kemudian rakan-rakan saya dan suami.

''Setakat ini, tidak ramai yang mengetahui saya menawarkan rawatan ini kerana saya tidak menguar-uarkan perkhidmatan saya," ujarnya,

Dia menambah, rawatan yang ditawarkan tidak menyakitkan pesakit dan mudah sahaja.

''Saya hanya menggunakan daun sireh, gambir, pinang, kapur, tepung beras dan air dalam rawatan saya.

''Rawatan ini tidak seperti rawatan lain iaitu tidak menyebabkan muntah, keluar cacing atau sebagainya,'' tambahnya.

Katanya, daun sireh, gambir, pinang dan kapur akan dijadikan sebagai air sireh manakala tepung beras dan air akan dicampur menjadi doh.

''Doh tepung beras itu, saya bentukkan macam sebiji bola kecil dan saya akan lurut ke seluruh muka pesakit," ujarnya.

Tambahnya, keadaan doh ketika dilurutkan pada muka akan tentukan sejauh mana tahap resdung yang dialami oleh pesakit.

''Jika doh itu merekah atau pecah, ia menandakan tahap penyakit resdung pesakit itu sangat tinggi," jelasnya.

Wanita yang berasal dari Pahang itu berkata, muka pesakit kemudian akan dilumur dengan air sireh menggunakan kapas.

''Saya juga akan menitiskan beberapa titisan air sireh ke dalam mata dan hidung pesakit. Dengan itu, tamatlah rawatan saya," katanya.

Bagaimanapun, katanya, mereka akan diminta datang semula beberapa kali untuk memastikan penyakit itu benar-benar dirawat.

Beliau menambah, mereka juga perlu mengelak daripada makan makanan yang boleh menyebabkan gatal seperti makanan laut, ikan kayu atau aya dan telur masin sepanjang tempoh rawatan.

Khamis, September 10, 2009

Lima ADUN Tak Hadir Tanpa Alasan

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, menjelaskan menjelaskan hanya lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tidak hadir tanpa alasan atau tidak memaklumkan kepadanya kegagalan mereka hadir pada pertemuan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan empat sayap yang diadakan di Hulu Terengganu.

Mereka ialah Adun Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Rosol Wahid (Ajil), Alias Abdullah (Alur Limbat), Zakaria Abdullah (Paka) dan Adun Kuala Berang, Zawawi Ismail.

Beliau berkata, Adun lain yang tidak hadir sudah memaklumkan kepada beliau alasan tidak dapat menghadirkan diri majlis itu kerana mempunyai urusan lain.

"Adun Tepuh, Muhammad Ramli Nuh tidak hadir kerana mewakili saya pada majlis bersama RTM di Kuala Lumpur; Adun Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera pula sudah memaklumkan bahawa beliau ada program lain yang tidak dapat dielakkan iaitu menghadiri mesyuarat Smidec manakala Adun Bandar, Toh Chin Yaw tidak dijemput kerana majlis itu adalah majlis Umno dan majlis berbuka puasa.

"Namun demikian, untuk pengetahuan umum, Idris sempat hadir bersama Datuk Seri Hishammuddin Hussein selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri untuk program di Masjid Penarik selain berada pada majlis gotong-royong membina wakaf di pantai Penarik pada hari Jumaat, 4 September," katanya.

PERWAJA Gurun Pindah Ke Teluk Kalong



Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, kerajaan negeri akan memperbesarkan lagi kawasan industri besi waja di Teluk Kalong, Kemaman termasuk memindahkan kilang Perwaja dari Gurun ke Teluk Kalong.

Usaha itu, jelasnya, perlu dilakukan memandangkan operasi kilang Perwaja di Gurun, Kedah menelan kos RM40 juta setahun.
"Kos pengangkutan operasi kilang Perwaja di Gurun adalah RM40 juta setahun, jadi ia perlu dipindahkan ke Teluk Kalong (Kemaman) selain boleh beri peluang pekerjaan kepada 500 orang," katanya.

Rabu, September 09, 2009

Ringan-ringan Di Pantai

Penduduk di Teluk Ketapang, Tok Jembal dan Batu Buruk dekat sini bosan dengan gelaran tidak enak, 'pantai maksiat' yang dilabelkan kepada kawasan berkenaan kerana ramai pasangan terutama remaja menjadi tempat itu sebagai lokasi memadu kasih, termasuk di bulan Ramadan.

Kawasan itu antara lokasi ideal sebagai tempat riadah keluarga di siang hari, tetapi menjelang senja dan lewat malam, pantai berkenaan menjadi lokasi paling digemari pasangan kekasih.

Berikutan status negatif terhadap kawasan pantai itu, ramai kini malu untuk membawa keluarga dan anak-anak ke kawasan itu kerana tidak mahu dikaitkan dengan tanggapan negatif itu, terutama di kawasan Pantai Tok Jembal paling banyak merekodkan kes tangkapan khalwat.

Tinjauan Berita Harian di lokasi itu ketika hari menjelang senja mendapati terdapat banyak pasangan yang kelihatan sedang asyik berdua-duaan penuh romantik di sepanjang pantai tanpa menghiraukan orang ramai lalu lalang.

Sementara ketika lewat malam hingga menjelang dinihari, keadaannya berlainan apabila kereta yang membawa pasangan berhenti di kawasan itu, tetapi tiada yang ke pantai. Keadaan yang samar-samar daripada lampu jalan tidak jauh dari situ menjadikan persekitaran sangat sesuai untuk pasangan berkenaan terus duduk dalam kereta dan terbabit kegiatan 'ringan-ringan'.
LAGI gambar menunjukkan segelintir remaja yang memadu kasih di pantai berkenaan.

Keadaan itu sedikit sebanyak memberikan imej buruk kepada masyarakat tempatan, terutama nelayan di kawasan itu yang terpaksa menahan 'pedih mata' melihat perkara cemar yang dilakukan pasangan berkenaan.

Seorang penduduk yang ditemui, Khairuddin Ahmad, 40, kawasan pantai sering menjadi lokasi pilihan remaja dan muda mudi terutama pelajar institusi pengajian tinggi untuk berdua-duaan dan memadu kasih.

"Kami tahu pihak berkuasa banyak membuat serbuan dan tangkapan hasil maklumat yang diberikan sukarelawan serta penguat kuasa agama, namun tren itu hanya sepi sekejap dan selepas beberapa ketika ia kembali menjadi tumpuan.

"Kalau keadaan ini berterusan, usaha pihak berkuasa untuk mengubah kembali lokasi kedua-dua pantai ini sebagai kawasan riadah dan bersantai mungkin tidak akan menjadi kenyataan, sebaliknya akan terus kekal sebagai pantai maksiat kerana kejadian khalwat dan tangkap basah masih banyak dilaporkan di kawasan ini," katanya.

Seorang sukarelawan cegah maksiat Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yang enggan namanya disiarkan ketika ditemui berkata, kedua-dua kawasan berkenaan memang panas dan sentiasa berada di bawah perhatian pasukannya. Sudah banyak tangkapan dibuat, bukan hanya membabitkan pasangan remaja dan muda mudi malah turut membabitkan pasangan dewasa yang sudah berkahwin.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh, berkata pihaknya memang menerima aduan kedua-dua lokasi itu sebagai antara `lokasi hitam' yang memang selalu diadakan intipan dan tangkapan membabitkan kegiatan tidak bermoral terutama berkhalwat.

Katanya, pihaknya juga sudah mengarahkan JHEAT membuat pemantauan kerap termasuk ketika Ramadan bagi memastikan golongan berkenaan tidak mengambil kesempatan ketika Ramadan kerana kebanyakan orang sibuk mengerjakan solat sunat Tarawih.

Khamis, September 03, 2009

Muhyiddin Diharap Selesai Konflik Politik Terengganu

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berharap kunjungan Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Hulu Terengganu hari ini untuk bertemu empat sayap Umno negeri, dapat memulihkan kemelut dalaman parti.


Tanpa mahu membuat andaian mengenai perkara itu, beliau berkata, tiada sebarang mesyuarat khas diatur khusus untuk membincangkan krisis dalaman parti, sebaliknya hanya pertemuan Timbalan Presiden Umno dengan pergerakan Wanita, Pemuda, Putera dan Puteri di Hulu Terengganu.

"Saya tak boleh buat andaian, tetapi kita harap begitulah (masalah dalaman Umno pulih)," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri dan majlis penyerahan zakat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), di sini, semalam.

Ditanya adakah wakil rakyat dalam kumpulan penentangnya akan hadir dalam perjumpaan itu, Ahmad berkata, beliau tidak boleh memberi jawapan bagi pihak lain, sebaliknya menegaskan menjadi tanggungjawab ahli parti untuk hadir dalam pertemuan dirancang bersama pimpinan tertinggi parti.

"Sepatutnya apabila Timbalan Perdana Menteri datang, kita sebagai ahli parti kena datang. Apabila pemimpin tertinggi negara hadir, sebagai ahli parti, apatah lagi sebagai wakil rakyat, kita perlu hadir pada setiap pertemuan bersama pemimpin. Itu tanggungjawab kita kepada parti dan rakyat," katanya.

Ahmad berkata, dalam rangka lawatan ke Hulu Terengganu hari ini, Muhyiddin akan berjumpa pemimpin empat sayap Umno, diikuti program penyampaian bantuan Aidilfitri kepada golongan kurang bernasib baik dan anak yatim di daerah itu.

Muhyiddin yang turut diiringi Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kemudian dijangka menghadiri majlis berbuka puasa dan solat Tarawih di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang.

120 unit lagi rumah pangsa di Pulau Duyong

Kerajaan Terengganu bersetuju membina 120 unit lagi rumah pangsa mampu milik berharga RM6 juta di Pulau Duyung awal tahun depan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri berkata, projek yang dibina bersebelahan dengan projek perumahan fasa pertama itu akan dilaksanakan oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

Beliau berkata, selain mengekalkan kos sekitar RM40,000, projek kedua ini terbuka kepada penduduk kawasan lain dan tidak semestinya untuk penduduk Pulau Dayang yang berpendapatan rendah.

''Mungkin 50 peratus akan diberikan kepada penduduk Pulau Duyung dan 50 peratus lagi kepada penduduk di kawasan lain dengan memberi keutamaan kepada golongan berpendapatan rendah,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci Pangsapuri Mampu Milik Pulau Duyung kepada 23 penduduk di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus di sini, petang semalam.

Mereka merupakan kumpulan terakhir yang berjaya memperolehi rumah pangsa daripada 120 unit yang dibina oleh kerajaan negeri.

Katanya, sebelum ini sebahagian besar penduduk di Pulau Duyung tidak mempunyai rumah sendiri dan sebahagian besar mereka menumpang rumah keluarga.

''Dengan adanya pangsapuri tiga tingkat mengandungi tiga bilik tidur serta dua bilik air ini, penduduk akan memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa,'' ujar beliau.

Menurut beliau, penduduk hanya membayar kira-kira RM186 sebulan walaupun harga kos sebenar adalah kira-kira RM70,000 seunit.

Maseh Ada Belum Terima

Walaupun kerajaan negeri mengagihkan kurma dan air zam-zam secara percuma dua tahun lalu, ramai anak negeri ini yang mendakwa tidak pernah menerima sumbangan itu dan mereka tidak pasti sama ada masalah berkenaan disebabkan keciciran atau terlepas pandang Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dipertanggungjawabkan dengan tugas pengagihan.

Seorang penduduk, Abdul Rahman Embong, 60, dari Kampung Serdang Baru, Bukit Tunggal, di sini menjelaskan mereka kesal dan mempertikaikan sikap tidak amanah pemimpin kampung yang diberi tanggungjawab mengagihkan sumbangan berkenaan kepada setiap rumah di Terengganu.

Dia dan anaknya, Amir Ismail yang mendakwa mewakili ratusan penduduk kampung yang senasib tetapi tidak berani bersuara berkata, bukan saja pemberian kurma dan air zam-zam tidak pernah diterimanya, malah wang dana khas diperuntukkan kerajaan negeri kepada penduduk kurang berkemampuan juga tidak pernah diterimanya sejak dua tahun lalu.

"Saya dan sembilan anak adalah pengundi Barisan Nasional (BN), jadi apabila berlaku ketirisan dalam agihan bantuan seperti ini pastinya kami kecewa. Apatah lagi saya dan ahli keluarga lain tidak pernah ketinggalan menunaikan tanggungjawab mengundi setiap kali tiba pilihan raya.

"Saya bukan bekerja makan gaji. Pendapatan bekerja sebagai nelayan kais pagi, makan pagi dan memang layak untuk menerima sumbangan kurma dan air zam-zam serta bantuan dana khas pada setiap kali menjelangnya Hari Raya seperti diperuntukkan kerajaan negeri," katanya yang ditemui di sini.

Dia berkata, aduan mengenai penyelewengan itu sudah diajukan kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Ahmad Nizam Wan Abd Ghani dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, Ismail Nik untuk diambil tindakan lanjut.

Sementara itu, Ismail yang ditemui mengaku sudah menerima beberapa aduan daripada penduduk dari tiga kampung mengenai masalah sama di kawasan DUN Bukit Tunggal, tetapi memberi jaminan akan menyelesaikan perkara itu dengan segera melalui program pemutihan untuk mengenal pasti golongan yang tercicir daripada menerima bantuan.

"Saya akui daripada aduan terima setakat ini, ada lebih 12 keluarga tercicir daripada menerima sumbangan air zam-zam dan kurma ini. Bagaimanapun, saya berjanji kepada mereka akan menyelesaikan masalah ini dalam tempoh seminggu lagi selepas melengkapkan senarai nama yang tercicir daripada menerima sumbangan,” katanya.

Selasa, September 01, 2009

Kuala Nerus Daerah Ke Lapan

YAB Dato Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu berkata kerajaan berhasrat untuk menjadikan Kuala Nerus sebagai satu daerah yang baru bagi memajukan kawasan berkenaan.

Katanya, Kuala Nerus yang terletak dalam daerah Kuala Terengganu boleh dijadikan sebuah daerah selepas ia diluluskan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Buat masa ini kita mencari satu tapak yang sesuai bagi dijadikan pusat pentadbiran Kuala Nerus apabila ia diisytiharkan menjadi daerah baru kelak," katanya.

Kurma & Air Zam Zam Tak Sampai

Meskipun sudah beberapa kali peringatan dikeluarkan kepada semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya membuat penagihan secara adil dan saksama 300,000 kotak kurma dan air zam-zam yang diperuntukkan kerajaan negeri, namun masih terdapat segelintir JKKK gagal memenuhi arahan itu.

Malah lebih mendukacitakan, ada segelintir JKKK yang tidak mengagihkannya dari rumah ke rumah dan hanya meletak serta melonggokkan kurma di ruang legar masjid hingga mengakibatkan agihan tidak sempurnakan kerana ada keluarga yang mengambil lebih daripada sepatutnya.

Kesal dengan kejadian itu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sekali lagi mengulangi amarannya dan akan mengambil tindakan tegas kepada semua JKKK, termasuk mengarahkan mereka meletakkan jawatan jika didapati tidak melaksanakan tanggungjawab itu kerana ia akan memberikan impak negatif terhadap pentadbiran negeri.

“Saya kesal hal ini berlaku kerana ada di beberapa tempat, terutama di daerah Kuala Terengganu, agihan yang sepatutnya dibuat dari rumah ke rumah tidak dilaksanakan dengan baik dan ramai penduduk yang tidak memperolehnya kerana ada yang mengambil lebih dari sepatutnya.

"Baru-baru ini saya Tarawih di Masjid Gong Tok Nasek dan apa yang saya kesal mereka (JKKK) hanya melonggokkan kurma di depan pintu masjid dan tidak mengagihkannya dengan cara yang sepatutnya.

"Bila kita tanya mereka kenapa buat pengagihan dengan cara macam itu, (meletakkan di pintu masjid), mereka kata ia lebih mudah dan cepat... kalau itu yang berlaku kita hantar berkontena-kontena kurma pun ia takkan mencukupi," katanya selepas menghadiri majlis Berbuka Puasa Perdana Bersama Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri, di sini.

Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM8.3 juta untuk membuat pengagihan berkenaan kepada kira-kira 300,000 rumah di seluruh negeri secara adil dan saksama berbanding hanya kira-kira 200,000 yang diagihkan tahun lalu.

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH
Terengganu juara Sukma: KONTINJEN Terengganu bersorak riang selepas muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XII yang berakhir di Kuala Terengganu, malam tadi. Tuan rumah mencipta sejarah mengutip emas terbanyak dalam penyertaan Sukma selepas meraih 61 pingat emas 39 perak dan 47 gangsa meninggalkan Selangor yang muncul naib juara dengan 54-47-52 manakala Sarawak tempat ketiga, (52-52-42). Upacara penutup temasya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

MENAKJUBKAN

MENAKJUBKAN
TERENGGANU juara SUKMA, Juara Bola Sepak, Raja Pecut, Raja Ragbi, Raja Kenu, Raja Kayuh. Kemenangan Terengganu kebanyakkan diperolehi melalui sukan objektif seperti olahraga, basikal, kenu berbanding dari sukan subjektif.

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG
Skretariat SUKMA Terengganu mendapat pujian daripada Kontingen-kontingen negeri, Media massa, pegawai sukan & orang ramai tentang kecermlangan pengurusan & pentadbiran SUKMA. SUKMA di Terengganu di iktiraf sebagai pengurusan SUKMA terbaik, pengadilan yang paling bersih,penyertaan penonton paling ramai, kemudahan paling lengkap, rekod baru paling banyak dicipta & tanpa kontraversi. Paling hairan Jawatakuasa rayuan tidak mnerima apa-apa rayuan dari kontingen yang bertanding. TAHNIAH.

INDUSTRI TERNAK KAMBING

INDUSTRI TERNAK KAMBING
Cosmopal Sdn Bhd, anak syarikat Arus Zaman Sdn Bhd, melabur sebanyak RM2 juta dalam penternakan kambing di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Serating, dekat sini dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai pengeluar terbesar ternakan itu di negara ini pada masa depan. Pengarahnya, Zainudin Zakaria berkata setakat ini, syarikat mempunyai sebanyak 1,400 kambing baka Jamnapari, bernilai antara RM750 dan RM850 seekor, di ladang seluas kira-kira 30 hektar itu.

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN
DAS berkata kerajaan banyak menyediakan kemudahan untuk pelajar melonjakkan diri untuk mencapai kejayaan cemerlang. Kerajaan sanggup menyediakan peruntukkan besar untuk sektor pendidikan bagi menjadikan negeri terulung melahirkan pelajar yang cemerlang.

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI
DAS mengucap tahniah kepada Wan Ahmad Nizam, Ketua Kontingen SUKMA Terengganu kerana berjaya menjadi juara SUKMA ke 12. Di atas kemenangan itu, DAS memberi cuti kepada rakyat Terengganu.

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU
PM bersetuju untuk melulus pembinaan sekolah sukan seperti sekolah sukan di Bukit Jalil & Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor di Terengganu. Sekolah ini akan dibina di sebelah kompleks sukan negeri, Gong Badak.