Petang ini Terengganu lawan Sarawak di Petra Jaya. Kucing.
ATAS kertas, pasukan Terengganu dilihat memiliki kelebihan untuk mengharungi saingan Piala Malaysia yang akan membuka tirainya .
Meskipun diundi dalam Kumpulan B yang dianggap sukar bersama Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak, peluang skuad Penyu untuk mengisi slot ke suku akhir agak terbuka.
Selain rekod cemerlang pada kempen Piala Super baru-baru ini, skuad Penyu ini juga semakin menunjukkan peningkatan sejak dikendali jurulatih Ken Worden.
Selepas hampir setahun membimbing pasukan ini, pengendali dari Australia itu berjaya mencungkil bakat terpendam beberapa pemain muda pasukan tersebut.
Kecemerlangan dua pemain berbakat iaitu penyerang, Abdul Manaf Mamat dan pemain tengah, Mohd. Ashaari Shamsuddin menjadi kunci kejayaan pasukan itu musim ini.
Sepanjang kempen Liga Super lalu, Abdul Manaf dan Ashaari masing- masing menyumbangkan 17 dan 10 gol untuk membantu Terengganu menduduki tempat kelima liga.

Malah, kedua-dua pemain berbakat ini adalah antara pemain yang membantu pasukan Pantai Timur itu mencipta kegemilangan pada temasya Sukma di gelanggang sendiri tahun lalu.
Lebih menarik, Abdul Manaf kini disenaraikan dalam skuad bawah 23 tahun kebangsaan.
Selain memiliki barisan pemain muda yang berbakat, kejayaan Terengganu juga banyak dibantu beberapa pemain senior antaranya pemain tengah Zairo Anuar Zailani, penyerang Mohd. Azlan Ismail dan pemain pertahanan Mohd. Marzuki Yusof.
Seandainya prestasi cemerlang itu berjaya dikekalkan, Terengganu sekali lagi berpeluang untuk mencipta sejarah menjadi juara Piala Malaysia seperti mana yang dilakukan pada tahun 2001 lalu.
Bagaimanapun Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh tidak mahu pemain mudah lupa diri dan berbangga dengan rekod yang dimiliki.

"Secara dasarnya, dalam saingan Piala Malaysia ini, pasukan kami mempunyai kelebihan berbanding pasukan lain.
"Selain rekod perlawanan pada aksi Liga Super lalu, kami juga mempunyai barisan pemain yang baik, sekali gus mampu membantu pasukan mencipta kejayaan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu baru-baru ini.
Menurut Che Mat, untuk mereali- sasikan impian itu, pemain tidak boleh memandang rendah kemampuan pasukan lain dan mengekalkan momentum yang dimiliki.