Sabtu, April 25, 2009

SMS: Polis ingin hubungi Ahmad Ramzi

Polis sedang mencari Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bagi membantu siasatan kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ancaman kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri memberitahu, Ahmad Ramzi yang pernah menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dicari untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Menurutnya, usaha menjejaki beliau tidak berhasil apabila bekas calon Ahli Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac tahun lalu itu tiada di rumahnya."Ahmad Ramzi dicari kerana beliau antara yang mengeluarkan kenyataan kepada media pada malam ketiga-tiga ADUN itu menerima SMS ugutan berkenaan.

"Polis ingin mendapatkan kepastian sama ada Ahmad Ramzi turut menerima SMS berkenaan memandangkan beliau turut memberi kenyataan kepada media pada malam tersebut,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.Beliau mengulas perkembangan siasatan kes SMS berbaur ancaman yang diterima ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid, Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Abdullah (Paka) pada 13 April lalu.

SMS berkenaan menyebabkan 10 ADUN termasuk Rosol, Abdul Halim dan Zakaria tidak hadir ke hari kedua Persidangan DUN keesokannya.Berikutan siasatan kes itu, polis menahan seorang kerani syarikat swasta berusia 31 tahun di Bandar Baru Bangi, Isnin lalu kerana disyaki menghantar SMS berbaur ugutan itu.

Menurut Fauzi, perintah tahanan reman ke atas kerani itu dilanjutkan selama tiga hari lagi bagi membolehkan pihaknya melengkapkan siasatan.Beliau memberitahu, polis juga sudah menghantar anggota untuk mengambil komputer di pejabat kerani itu bagi membantu siasatan yang dijangka selesai dalam tempoh beberapa hari lagi.

Ditanya identiti kerani itu yang dikaitkan sebagai penulis blog di laman web 'ganulening' ketika kepimpinan Idris sebelum ini, Mohd. Fauzi berkata, pihaknya masih menyiasat.''Setakat ini, kami juga belum mendapat petunjuk mengenai penglibatan ADUN-ADUN di negeri ini dalam kes ini,'' ujarnya.

Tolak pelawaan damai MB Terengganu

Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN) Terengganu menolak pelawaan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said untuk berdamai dan kembali bekerjasama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilabel sebagai penentangnya bagi mengembalikan semula kestabilan politik di negeri ini.

Setiausahanya, Alias Abdullah, berkata kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu pernah diucapkan ketika mengambil alih jawatan sebagai Menteri Besar pada Mac tahun lalu, apabila mengatakan berazam menjadi pemimpin berjiwa besar dan tidak meminggirkan wakil rakyat yang pada awalnya tidak menyokong beliau.

"Bukan saja ucapan itu tidak pernah direalisasikan, Ahmad sebaliknya sentiasa melabelkan sebahagian besar wakil rakyat BN sebagai kumpulan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh," katanya ketika dihubungi, semalam.

Hishamuddin Ketua Penghubungan UMNO Terengganu Baru

Lapan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri baru dilantik dan lima lagi kekal memegang jawatan masing-masing dalam rombakan kecil yang diumumkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak semalam.

Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing menerajui Badan Perhubungan UMNO Selangor dan Wilayah Persekutuan manakala UMNO Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu dipimpin oleh tiga Naib Presiden sementara Perak diterajui oleh Menteri Besar.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Kedah), Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Terengganu) dan Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir mengetuai UMNO negeri tersebut.
"Pelantikan-pelantikan ini berdasarkan peruntukan perlembagaan UMNO," katanya selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang pertama dipengerusikannya selepas mengambil alih pucuk kepimpinan parti pada 28 Mac lalu.

Kelantan dan Perlis turut mendapat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO yang baru dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed menggantikan Tan Sri Annuar Musa di Kelantan manakala Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md. Isa Sabu menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri-negeri yang dilantik ialah Datuk Zahidi Zainul Abidin (Perlis), Datuk Ahmad Bashah Md Hanapiah (Kedah), Datuk Zainal Abidin Osman (Pulau Pinang), Datuk Ahmad Husni Hanadzlah (Perak), Datuk Noh Omar (Selangor), Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (Wilayah Persekutuan).

Datuk Seri Shaziman Abu Mansor (Negeri Sembilan), Datuk Wira Abu Seman Yusop (Melaka), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad (Johor), Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin (Pahang), Datuk Ahmad Said (Terenggganu), Datuk Awang Adek Hussein (Kelantan) dan Datuk Seri Mohd. Salleh Tun Said (Sabah)

Ahmad Said janji beri kerjasama

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berjanji akan bekerjasama dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang baru, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagi mengukuhkan parti itu di negeri ini.

Menurutnya, sebagai Timbalan Pengerusi, beliau akan membantu Naib Presiden UMNO itu melaksanakan tugas tersebut sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Datuk Seri Hishammuddin bukan asing kepada Terengganu. Saya percaya gandingan kami adalah yang terbaik bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN)," ujarnya.

Beliau berkata demikian menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada media melalui Setiausaha Akhbarnya, Rosli Zakaria hari ini.

Ahmad berkata demikian mengulas pelantikan Hishammuddin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang baru seperti diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Beliau berharap ahli UMNO di semua peringkat menerima keputusan itu dan memberi sokongan padu kepada pucuk pimpinan UMNO negeri yang baru untuk mengukuhkan parti.

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH
Terengganu juara Sukma: KONTINJEN Terengganu bersorak riang selepas muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XII yang berakhir di Kuala Terengganu, malam tadi. Tuan rumah mencipta sejarah mengutip emas terbanyak dalam penyertaan Sukma selepas meraih 61 pingat emas 39 perak dan 47 gangsa meninggalkan Selangor yang muncul naib juara dengan 54-47-52 manakala Sarawak tempat ketiga, (52-52-42). Upacara penutup temasya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

MENAKJUBKAN

MENAKJUBKAN
TERENGGANU juara SUKMA, Juara Bola Sepak, Raja Pecut, Raja Ragbi, Raja Kenu, Raja Kayuh. Kemenangan Terengganu kebanyakkan diperolehi melalui sukan objektif seperti olahraga, basikal, kenu berbanding dari sukan subjektif.

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG
Skretariat SUKMA Terengganu mendapat pujian daripada Kontingen-kontingen negeri, Media massa, pegawai sukan & orang ramai tentang kecermlangan pengurusan & pentadbiran SUKMA. SUKMA di Terengganu di iktiraf sebagai pengurusan SUKMA terbaik, pengadilan yang paling bersih,penyertaan penonton paling ramai, kemudahan paling lengkap, rekod baru paling banyak dicipta & tanpa kontraversi. Paling hairan Jawatakuasa rayuan tidak mnerima apa-apa rayuan dari kontingen yang bertanding. TAHNIAH.

INDUSTRI TERNAK KAMBING

INDUSTRI TERNAK KAMBING
Cosmopal Sdn Bhd, anak syarikat Arus Zaman Sdn Bhd, melabur sebanyak RM2 juta dalam penternakan kambing di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Serating, dekat sini dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai pengeluar terbesar ternakan itu di negara ini pada masa depan. Pengarahnya, Zainudin Zakaria berkata setakat ini, syarikat mempunyai sebanyak 1,400 kambing baka Jamnapari, bernilai antara RM750 dan RM850 seekor, di ladang seluas kira-kira 30 hektar itu.

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN
DAS berkata kerajaan banyak menyediakan kemudahan untuk pelajar melonjakkan diri untuk mencapai kejayaan cemerlang. Kerajaan sanggup menyediakan peruntukkan besar untuk sektor pendidikan bagi menjadikan negeri terulung melahirkan pelajar yang cemerlang.

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI
DAS mengucap tahniah kepada Wan Ahmad Nizam, Ketua Kontingen SUKMA Terengganu kerana berjaya menjadi juara SUKMA ke 12. Di atas kemenangan itu, DAS memberi cuti kepada rakyat Terengganu.

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU
PM bersetuju untuk melulus pembinaan sekolah sukan seperti sekolah sukan di Bukit Jalil & Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor di Terengganu. Sekolah ini akan dibina di sebelah kompleks sukan negeri, Gong Badak.