Polis sedang mencari Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bagi membantu siasatan kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ancaman kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri memberitahu, Ahmad Ramzi yang pernah menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dicari untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
Menurutnya, usaha menjejaki beliau tidak berhasil apabila bekas calon Ahli Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac tahun lalu itu tiada di rumahnya."Ahmad Ramzi dicari kerana beliau antara yang mengeluarkan kenyataan kepada media pada malam ketiga-tiga ADUN itu menerima SMS ugutan berkenaan.
"Polis ingin mendapatkan kepastian sama ada Ahmad Ramzi turut menerima SMS berkenaan memandangkan beliau turut memberi kenyataan kepada media pada malam tersebut,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.Beliau mengulas perkembangan siasatan kes SMS berbaur ancaman yang diterima ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid, Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Abdullah (Paka) pada 13 April lalu.
SMS berkenaan menyebabkan 10 ADUN termasuk Rosol, Abdul Halim dan Zakaria tidak hadir ke hari kedua Persidangan DUN keesokannya.Berikutan siasatan kes itu, polis menahan seorang kerani syarikat swasta berusia 31 tahun di Bandar Baru Bangi, Isnin lalu kerana disyaki menghantar SMS berbaur ugutan itu.
Menurut Fauzi, perintah tahanan reman ke atas kerani itu dilanjutkan selama tiga hari lagi bagi membolehkan pihaknya melengkapkan siasatan.Beliau memberitahu, polis juga sudah menghantar anggota untuk mengambil komputer di pejabat kerani itu bagi membantu siasatan yang dijangka selesai dalam tempoh beberapa hari lagi.
Ditanya identiti kerani itu yang dikaitkan sebagai penulis blog di laman web 'ganulening' ketika kepimpinan Idris sebelum ini, Mohd. Fauzi berkata, pihaknya masih menyiasat.''Setakat ini, kami juga belum mendapat petunjuk mengenai penglibatan ADUN-ADUN di negeri ini dalam kes ini,'' ujarnya.
Sabtu, April 25, 2009
SMS: Polis ingin hubungi Ahmad Ramzi
Label:
ugut
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan