Pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu, Terengganu berjaya mengutip tiga mata penuh selepas membelasah Pulau Pinang 4-0 dalam saingan Liga Super.
Menariknya, semua empat gol yang dijaringkan Terengganu itu hadir pada babak k
edua masing-masing menerusi Firdaus Faudzi pada minit ke-59, Mohd. Ashaari Shamsudin (62), Joseph (82) dan Abd. Manaf Mamat minit ke-90.Bagi Irfan, dia mengakui pemainnya gagal memberikan aksi terbaik pada babak pertama sebelum bangkit mengatur beberapa peluang untuk mencari gol pada babak kedua.
"Saya terpaksa mengeluarkan K. Rajan bagi memasukkan Joseph selepas melihat rentak permainan kami yang agak perlahan. Pemain kami terlalu terikut-ikutkan rentak permainan Pulau Pinang dan lebih banyak berkampung di kawasan sendiri.
"Namun, pada babak kedua, permainan lebih pantas disajikan pemain saya dan ia jelas memberi kesan apabila kami berjaya menjaringkan empat gol walaupun pada dasarnya kami berpeluang menjaringkan sehingga tujuh gol," jelas Irfan.
Mengulas mengenai prestasi Joseph, Irfan menyifatkan pemain yang dibeli dari Sarawak itu sebagai pemain yang berkualiti dan mampu memberi impak besar kepada persembahan Terengganu musim ini.
"Seperti yang saya cakap sebelum ini, semua pemain baru yang ada dalam skuad ini adalah pemain-pemain yang berkualiti.
"Kehadiran mereka di sini bukan hanya untuk memanaskan bangku simpanan kerana mereka adalah tonggak utama dan nadi pasukan ini.
"Sebagai contohnya, pasukan ini mempunyai penyerang baru dari Perlis, Firdaus yang kini telah menjaringkan dua gol. Kami juga diperkuatkan dengan kehadiran pemain kelahiran Sabah, Ronny Harun yang berperanan besar di jentera pertahanan.
"Bagaimanapun, secara keseluruhannya semua pemain dalam pasukan ini telah memberikan aksi terbaik mereka dan saya cukup bangga dengan semangat yang dipamerkan mereka," tambahnya.
Dalam pada itu, kemenangan yang dilakar di laman sendiri kelmarin membolehkan Terengganu melonjak ke tangga kedua liga dengan tujuh mata, dua mata di belakang Selangor.
Pada perlawanan pertama sebelum ini, Terengganu sekadar seri tanpa jaringan dengan Kelantan sebelum menang 3-1 ke atas Perak di Ipoh.