Hari ini secara rasmi saya ingin mengumumkan bahawa,saya Mohd Nasir Bin Ibrahim mengumumkan ingin menawarkan diri bertanding merebut jawatan Ahli Majlis Tertinggi Umno Malaysia,saya berharap semua bahagian-bahagian diseluruh Malaysia dapat menyokong dan memberikan pencalonan kepada saya.
Tujuan saya bertanding adalah demi menjenamakan semula umno dan membawa perubahan dan saya berjanji akan menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen,Ketua Bahagian dan Insya ALLAH Ahli Majlis Tertinggi dengan penuh amanah dan tanggungjawab dan berjanji akan memartabatkan lagi bangsa Melayu & Meninggikan syair Agama.
Sabtu, Oktober 11, 2008
Dato Nasir Menawar Diri Jawatan MT
Aishah Ada Dua?
Adakah ‘Aishah Moktar’ dan ‘anak jutawan Arab’ individu yang sama?
Itu tanda tanya Rizal Ali, 33, mangsa penipuan wanita yang mengaku anak jutawan Arab, yang dikenalinya melalui laman sembang internet lebih setahun lalu.
Persoalan itu timbul selepas Rizal membaca laporan Kosmo! semalam mengenai kegiatan ‘Aishah Moktar’ menggoda lelaki kemaruk cinta untuk mengikis harta mereka.
Rizal yang tinggal di mukim Kuala Telemong di sini berkata, bekas ‘kekasihnya’ menggunakan nama mirip ‘Aishah Mohtar’ iaitu ‘Nur Fitrah Aishah Ameera’.“Yang mengaku tinggal di London Aishah. Yang pernah tipu saya pun ada gunakan perkataan Aishah pada namanya yang panjang.
“Bezanya, Aishah Moktar mengaku Melayu, ‘buah hati’ saya dulu mengaku anak angkat jutawan Arab walaupun akhirnya pecah rahsia, dia sebenarnya wanita Melayu.“Adakah ‘Aishah’ menjadi trademark wanita itu dalam memperdaya lelaki seperti saya yang jujur mencari teman hidup atau isteri kedua?“Ini yang sedang saya fikir dan kemungkinan ini dipersetujui isteri saya,” katanya ketika berjaya dihubungi Kosmo! lewat petang semalam.
Mengulas lanjut perkara itu, Rizal menyatakan bahawa dia percaya kes seumpama itu bukan setakat menimpanya malah ramai lelaki lain.Katanya, dia masih trauma ditipu gadis itu yang kononnya berusia 19 tahun ketika itu dan memiliki aset yang banyak di beberapa negara termasuk di negara ini.
Kisah malang Rizal itu tersiar di muka depan Kosmo! edisi 22 Februari 2007, Khamis, yang turut memuatkan reaksi isterinya, Hasnah Mohd. Salleh, 29 tahun.
Pertandingan Di Marang & Hulu Terengganu Sengit
Persidangan Umno bahagian Marang dan Hulu Terengganu dijangka sengit apabila dua ahli Majlis Tertinggi (MT) yang menawarkan diri mengekalkan jawatan sebagai ketua Umno bahagian dicabar pada pemilihan nanti.
Ketua Umno Bahagian Marang, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar akan dicabar Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Yahya Khatib Mohamad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alur Limbat, Alias Abdullah.
Abdul Rahman yang berhasrat menawarkan diri bertanding MT pada pemilihan Mac depan memperoleh 52 pencalonan, manakala Yahya yang juga Adun Pengkalan Berangan mendapat 51 pencalonan dan Alias, 34 pencalonan. Mesyuarat bahagian Marang akan diadakan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai, pada 25 Oktober dan akan dirasmikan oleh Abdul Rahman.
Persidangan Umno bahagian Hulu Terengganu turut sengit apabila Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri dan ahli MT, Datuk Tengku Putera Awang dicabar Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Nor Othman. Tengku Putera yang menawarkan diri mempertahankan jawatan untuk penggal ketiga memperoleh 67 pencalonan, manakala Mohd Nor mendapat 63 pencalonan.
Selain jawatan ketua umno bahagian yang menyaksikan pertandingan, jawatan nombor dua di bahagian itu juga sengit apabila bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Rosol Wahid dicabar Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat. Rosol yang juga Adun Ajil memperoleh 57 pencalonan, manakala Rozi yang turut mempertahankan jawatan Ketua Pemuda bahagian memperoleh 73.
Bahagian lain yang turut menyaksikan pertandingan untuk jawatan ketua bahagian ialah Kuala Nerus, Setiu dan Dungun.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menang tanpa bertanding di bahagian Kemaman, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh (Besut) dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (Kuala Terengganu).
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri yang menawarkan diri mempertahankan ketua bahagian dicabar oleh naib ketua, Basir Ismail dan bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Azmi Abdul Rahman. Mohd Nasir yang menewaskan Datuk Abdul Rahin Mohd Said pada pemilihan 2004 memperoleh 51 pencalonan, Basir (28) dan Azmi 22 pencalonan.
Terengganu Bakal Melahir Jaguh Dunia
TERENGGANU mampu menjadi hab sukan kuda lasak di rantau ini selain melahirkan jaguh bertaraf dunia pada masa akan datang.Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak berkata, pemilihan Terengganu sebagai tuan rumah Kejohanan Kuda Lasak Dunia (WEC) 2008 November ini, bakal meletakkan negeri itu dalam kalendar sukan berkuda antarabangsa.
Menurut Najib, dengan kemudahan yang ada, Terengganu setaraf dengan negara-negara yang menjadi lokasi kejohanan sukan berkuda seperti Jerman, Perancis, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Argentina dan Amerika Syarikat.“Saya difahamkan Terengganu bukan dipilih kerana kebetulan tetapi atas minat penunggang No. 1 negara sendiri iaitu Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.
“Apa yang lebih membanggakan Tuanku Mizan adalah penunggang negara pertama berjaya melayakkan diri bertanding pada kejohanan dunia itu kelak,” kata Najib semasa melancarkan Countdown kejohanan berkenaan di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak di Kuala Terengganu semalam.Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat WEC 2008, Datuk Seri Dr. Salleh Mohd. Nor.
WEC 2008 akan berlangsung di Terengganu International Endurance Park (TIEP) di Lembah Bidong, Setiu dari 6 hingga 9 November depan.Dalam pada itu, Najib berkata, pihak kerajaan akan mempertingkatkan acara-acara sukan pelancongan dalam usaha menjana pertumbuhan ekonomi negara.Beliau berkata, sukan pelancongan perlu digarap sepenuhnya oleh setiap kerajaan negeri kerana ia memberi impak besar bukan sahaja daripada segi kehadiran pelancong malah kepada ekonomi negara.
“Dengan adanya sukan pelancongan seperti Kejohanan Kuda Lasak 2008 dan disiarkan di saluran (televisyen berbayar), sudah cukup pulangannya kepada negara,” katanya.
Najib berkata, kehadiran 150 penunggang dari 34 negara serta kehadiran media asing pada kejohanan selama empat hari itu akan memberikan kesan yang amat besar kepada rakyat Terengganu khasnya dan Malaysia amnya.
Dalam masa yang sama beliau meminta penduduk di negeri tersebut supaya hadir memberi sokongan kepada pasukan negara sepanjang kejohanan itu kelak.