![]() |
Deretan kedai lama dua tingkat di Jalan Bandar, Kuala Terengganu yang berusia 100 tahun mula dirobohkan, kelmarin. |
Begitulah nasib yang menimpa deretan kedai lama dua tingkat di Jalan Bandar di sini.
Kedai-kedai yang berusia lebih 100 tahun itu akhirnya hilang daripada pandangan apabila ia mula dirobohkan beberapa hari lalu.
Rumah kedai yang sinonim dengan kegiatan perniagaan satu masa dahulu itu diroboh bagi memberi laluan kepada pembangunan semula bangunan perniagaan dan pejabat yang lebih sempurna.
Kesemua peniaga diarah mengosongkan bangunan tersebut oleh Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) pada 13 Ogos lalu.
Difahamkan 35 kedai di bangunan dua tingkat itu dirobohkan walaupun mendapat bantahan ramai peniaga di kawasan tersebut.
Dakwa mereka, bangunan tersebut seharusnya dipelihara memandangkan ia menyimpan nilai-nilai sejarah seiring pembangunan Kuala Terengganu.
Bagaimanapun, mereka terpaksa akur apabila bermula minggu lalu operasi meroboh bangunan tersebut mula dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dalam kenyataan akhbar sebelum ini berkata, tindakan meroboh bangunan tersebut penting agar bangunan usang dan uzur tidak lagi mengisi pemandangan di Kuala Terengganu.
Katanya, tidak timbul kerajaan negeri mengabaikan kepentingan peniaga asal di kedai tersebut dengan meroboh bangunan berkenaan.
"Kita telah memberi notis yang secukupnya kepada peniaga tersebut, maka tidak timbul soal kerajaan tidak realistik dalam arahan mengosongkan kawasan itu dalam masa yang telah ditetapkan," katanya.