Rabu, Julai 30, 2008

SATU GRADUAN SATU RUMAH

Kerajaan negeri mulai tahun depan akan memperkenalkan program 'satu rumah seorang graduan' dalam usaha melahirkan masyarakat berilmu dan berketerampilan menjelang tahun 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah diminta mengenal pasti setiap rumah di kawasan masing-masing yang berpotensi melahirkan graduan untuk tumpuan kempen.
Menurutnya, dengan adanya kempen seumpama itu diharap akan menjadi perangsang kepada setiap keluarga memastikan anak mereka berjaya dalam pelajaran.''Jika tidak beberapa orang anak, paling sedikit sebuah rumah mempunyai seorang graduan pun sudah cukup bagi menjayakan program ini," katanya ketika berucap merasmikan Hari Terbuka dan Karnival Kerjaya Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu di Gong Badak di sini hari ini.

Mengenai pelajar tingkatan enam dan lima yang bermasalah, Ahmad Razif yang juga ADUN Seberang Takir mengarahkan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) merangka program khusus bagi memastikan mereka berjaya dipulihkan.
Katanya, mereka yang bermasalah akan diberi bimbingan atau tunjuk ajar bagi memastikan proses pembelajaran yang dijalani tidak menghadapi sebarang masalah.

''Saya sendiri akan sentiasa turun padang dengan mendampingi pelajar terbabit tanpa mengira waktu bagi memastikan mereka dipulihkan seperti sediakala," katanya.
Mengenai karnival itu, beliau menyeru ibu bapa dan belia lepasan sekolah hadir beramai-ramai bagi mencari peluang pekerjaan sepanjang program diadakan dua hari itu.
Katanya, mereka bertuah kerana tidak perlu bersusah payah mencari pekerjaan kerana pihak syarikat sendiri mengadakan temuduga terbuka untuk mencari pekerja.

Selasa, Julai 29, 2008

MB KE MEKAH

Dalam kesibukan dengan tugas harian sebagai pemimpin negeri, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said tidak melupakan tuntutan agama untuk meningkatkan ibadat kepada Allah SWT apabila selamat berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi mengerjakan umrah selama seminggu.

Beliau yang diiringi isteri, To’ Puan Norliza Mahmud dan beberapa pegawai kanan dan ketua jabatan dijangka pulang ke tanah air pada 5 Ogos ini (Selasa).

Beberapa pegawai kanan dan kakitangan Pejabat Menteri Besar turut menghantar beliau dan rombongan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu, pada jam 11.30 pagi, semalam (28 Julai).

Penerbangan akan singgah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke Mekah, kira-kira jam 3 petang, semalam.

MENCELIK SEMUA PIHAK

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berkata, isu penggunaan Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi anggota Exco negeri itu telah 'membuka mata' banyak pihak agar menangani dengan sebaik-baiknya isu-isu moral dan kepenggunaan.

Sambil meminta anggota Exconya jangan memperkecilkan isu kereta mewah berkenaan, beliau berkata, pendedahan media berhubung perkara itu telah membawa kepada tindakan membanteras penyelewengan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan usaha Proton Holdings Bhd. (Proton) meningkatkan lagi kualiti kereta keluarannya.

"Walaupun ia (isu penggunaan Mercedes) melukakan hati segelintir pihak namun bagi saya ia suatu pendedahan yang besar, Proton dan BPR sudah mula ambil tindakan.

"Bagi saya, kalau soal penyalahgunaan kuasa, kita tidak akan berkompromi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia sebelum berlepas untuk menunaikan umrah di Mekah.
Pendedahan media mengenai isu penggunaan kereta mewah itu telah membawa campur tangan BPR yang setakat ini menahan tiga pemilik bengkel kereta di Terengganu bagi membantu siasatan kes penyenggaraan 14 buah Proton Perdana V6 Executive kerajaan negeri berjumlah RM1.07 juta dalam tempoh empat tahun.

Kos penyenggaraan kereta nasional yang tinggi itu adalah sebab mengapa kerajaan negeri beralih kepada penggunaan Mercedes sebagai kenderaan rasmi anggota Exconya.

Isu kereta Mercedes itu turut mendorong Proton mengaudit rekod penyenggaraan semua Proton V6 Executive yang digunakan oleh kerajaan Terengganu dan Persekutuan bagi menyiasat kemungkinan berlaku penyelewengan oleh pusat servis bertauliahnya

Isnin, Julai 28, 2008

ANAK TERENGGANU JUARA DUNIA FORMULA FUTURE

Kepulangan wira kecil, atlet Formula Future yang memungut tiga emas dan satu gangsa dalam Kejohanan Dunia Formula Future di Revenna, Itali sekaligus meletakkan negara selaku juara dunia kali keempat disambut meriah sebaik menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, petang kelmarin (24 Julai).

Lebih 500 peminat terutama ahli keluarga peserta berkumpul lebih sejam bagi menunggu kepulangan wira cilik negara yang meneruskan kesinambungan bergelar juara buat negara.

Dalam persaingan kali ini, atlet yang memungut emas ialah Muhd Zafree Ammar Mohd Zamri, 9, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman I, (kelas 1), Muhamad Hanif Ramli, 11, dari SK Kompleks Gong Badak (kelas 2) dan Nik Daniel Affifuddin Nik Kamaruzaman, 13, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Budiman (kelas 3).

Manakala, peserta tunggal wanita, Tengku Hanisah Nur Athirah Tengku Mohd Zainal Abidin Petra, 10, dari SK Pusat Bukit Besar, mendapat gangsa dan dua peserta lagi iaitu Muhamad Zulhanif Mazlan, 13, pelajar SMK Lembah Bidong, tempat ke tujuh dan Syed Ali Khadzimi Syed Khaled, 17, SMK Sultan Sulaiman mendapat gangsa dalam slalom.

BERMAIN IKAN KELAH DI TASIK KENYIR

Membelai dan berenang dengan ikan kelah di habitat semula jadi hidupan itu mungkin difikirkan mustahil oleh pencinta alam.

Ini kerana ikan air tawar yang nilainya antara yang termahal di pasaran itu cukup dikenali sebagai spesies paling liar dengan manusia.

Namun kini, peminat ikan itu bukan sahaja berpeluang melihat spesies itu berenang di habitat semula jadinya malah boleh bermesra dan memberi makan ikan berkenaan seperti haiwan peliharaan.

Ikan tersebut bukan sahaja tidak berganjak walaupun menyedari kehadiran manusia malah tahap jinaknya spesies berkenaan sehingga boleh makan di tapak tangan pengunjung.
Untuk melihat dan merasai sendiri pengalaman tersebut, pengunjung boleh melawat Santuari Kelah Sungai Petang di Tasik Kenyir yang ditubuhkan sebagai pusat pemuliharaan spesies yang semakin pupus ini.

Ahad, Julai 27, 2008

KERETA TERENGGANU JUARA PESTA FLORA 08

BERWARNA-WARNI... Kereta berhias dari Terengganu yang bertemakan hidupan laut muncul juara dengan menewaskan 16 lagi pasukan negeri lain sempena Perarakan Pesta Flora Malaysia 2008 di Dataran Bandaraya, Johor Bahru semalam. Pesta flora itu dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Kereta berhias itu yang menampilkan penggunaan replika penyu, ikan dan penyelam dengan latar belakang terumbu karang, berjaya menarik perhatian juri dan mengatasi penyertaan 16 lagi kereta berhias.

Penonton perarakan yang menghadap pemandangan Selat Tebrau memberikan tepukan gemuruh dan sorakan selepas terpesona dengan persembahan yang bermula dengan kereta berhias Terengganu dan diakhiri kereta berhias Johor.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Terengganu, Datuk Za‘abar Mohd. Adib pula berkata, tema kereta berhias negeri itu ialah keindahan alam serta kehidupan marin termasuk replika ikan ‘nemo’ dan penyu.

‘‘Pasukan kami memang bersungguh-sungguh mahu menang kerana ia penting bagi mempromosikan Tahun Melawat Terengganu yang bertemakan iaitu `Terenggau Di Mana Alam Semulajadi Memayungi Warisan" dengan menampilkan keindahan terumbu karang di negeri itu berjaya mendapat pengiktirafan

Khamis, Julai 24, 2008

Proton Perdana selalu rosak: Nik Aziz

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini melahirkan pendapat yang sama dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said iaitu penggunaan kereta Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi negeri banyak menimbulkan masalah.

Beliau berkata kerajaan negeri Kelantan sendiri mendapati kos penyenggaraan kereta nasional itu lebih tinggi berbanding kenderaan yang diimport selain sering mengalami kerosakan.

Walaupun tidak bercadang untuk menukar kenderaan rasmi kepada kereta lain termasuk kereta import, Nik Aziz berkata apa yang dikatakan oleh Menteri Besar Terengganu mengenai kereta Proton Perdana memang berasas.

“(Kerajaan negeri) Kelantan kami pun pakai Perdana selain Mercedes lama, ada sedikit kelonggaran kita bagi. Ini kerana sama dengan yang Menteri Besar Terengganu sebut, kereta Perdana ni masalah penyenggaraan dialah.

“Rosak sokmo (sering rosak). Kadang-kadang cermin tak boleh naik, kadang-kadang nak tutup tak boleh sedangkan baru keluar dari kilang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS sebelum itu merasmikan masjid Taqaddum Ilmi di Sekolah Menengah Agama Taqaddum Ilmi, Ketereh.

Beliau mengulas isu kerajaan negeri Terengganu membeli 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi baru Menteri Besar, anggota exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu.(PETIKAN HARIAN METRO)

NYATA YANG BENAR - MB TERENGGANU

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said menganggap kereta nasional Perdana V6 Executive hanya sebuah kenderaan yang sesuai digunakan bagi perjalanan ulang-alik ke lapangan terbang sahaja oleh seseorang pemimpin.

Menurutnya, ia sama sekali tidak sesuai digunakan untuk perjalanan jauh dan memenatkan seperti yang perlu dihadapi oleh pemimpin seperti dirinya.

''Contohnya, saya berulang-alik dari Kemaman ke Kuala Terengganu kadangkala sampai dua kali sehari, keperluan menggunakan kenderaan yang lebih selesa adalah penting,'' katanya.

Beliau berkata demikian sebelum mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Terengganu di Hotel Le Meridian, di sini hari ini. Ahmad ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal yang terletak di daerah Kemaman.

Tambah Ahmad, ramai pemimpin lebih gemar menggunakan kenderaan jenama barat dan ia punca mengapa tiada ahli Parlimen yang membeli kenderaan jenis Proton apabila menerima permit import (AP).

''Saya jenis cakap terus terang, saya bukan hipokrit, saya tidak mahu sorokkan sampah di bawah permaidani,'' katanya.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri Terengganu akan terus menggunakan Mercedes sebagai kereta rasmi menggantikan Perdana V6 Executive kerana tindakan itu sejajar dengan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II).

Ahmad berkata, jika kerajaan atau Kabinet beranggapan langkah itu tidak tepat, maka pekeliling berkenaan juga perlu ditarik balik dengan segera.

Beliau mempertahankan tindakan menggunakan Mercedes sebagai satu langkah tepat dan bertujuan menyelamatkan wang rakyat serta sudah dibincangkan selama dua tahun sebelum diputuskan.

''Saya yakin saya yang betul, tunggulah dan akan terbukti bahawa saya betul,'' katanya.

Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II) menetapkan bahawa penggunaan kenderaan rasmi hanya terdiri daripada kenderaan buatan tempatan atau dipasang dalam negara (CKD).

Kerajaan Terengganu mempertahankan bahawa penggunaan Mercedes E200 Kompressor yang dibeli itu memenuhi syarat berkenaan kerana model CKD itu dipasang di Pekan, Pahang.

Kerajaan Terengganu baru-baru ini telah membeli 14 buah kereta mewah tersebut dengan kos RM3.43 juta bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive yang dibeli pada tahun 2004.

Tindakan itu mengundang rasa kurang senang banyak pihak terutamanya anggota masyarakat yang melihatnya sebagai satu pembaziran semasa kerajaan sendiri menasihatkan rakyat supaya berjimat cermat.

Pembelian itu dipertahankan Ahmad yang menjadikan kualiti dan kos penyenggaraan Proton sebagai alasan.

Ahmad ketika ditanya apakah akan dibuat dengan kenderaan Mercedes itu jika Kabinet menetapkan bahawa pembeliannya tidak wajar, berkata, ia akan dijual dengan harga murah dan yakin ramai yang mahu membelinya.

Mengenai kos penyenggaraan yang terlalu tinggi dan mungkin ada unsur penyelewengan, beliau meminta pihak media bertanya sendiri dengan pihak Proton atau mekanik sama ada harga yang dinyatakan sebagai tepat atau tidak.

Ahmad menambah, kerajaan negeri telah membelanjakan RM1.175 juta sejak 2004 hingga 2008 untuk 16 buah Perdana V6 Executive.

Beliau kemudian meminta kerajaan Pusat mendedahkan jumlah perbelanjaan untuk urusan pembaikan kenderaan-kenderaan kerajaan.

Jelasnya, Perdana V6 Executive milik kerajaan negeri akan dijadikan kenderaan kegunaan ramai di beberapa jabatan, manakala yang sudah terlalu teruk akan dijual.

Ahmad turut meminta pihak Proton agar menerima dengan terbuka apa yang dinyatakannya itu dan melakukan tindakan menambah baik.

Beliau berkata, punca Perdana V6 Executive sering rosak adalah kerana panjang kenderaan tersebut ditambah 10 inci, tetapi spesifikasi enjin dan komponen lain dikekalkan sebagaimana yang terdapat pada Perdana versi biasa.

Ahmad juga memberitahu, Perdana V6 Executive membakar lebih banyak minyak untuk setiap kilometer berbanding Mercedes E200 Kompressor.

Beliau yang mempunyai kereta Mercedes yang sudah berusia 18 tahun berkata, kenderaan itu jauh lebih baik.

Ahmad bagaimanapun menafikan dirinya tidak bersemangat nasionalisme apabila menolak kenderaan tempatan sambil memberitahu, dirinya akan menjadi orang pertama 'masuk hutan' memegang senjata jika berlaku perang.'

Beliau juga tidak menolak dirinya hendak 'dijatuhkan' oleh musuh politik melalui isu penggunaan kenderaan Mercedes itu.

''Dalam politik, semua ini biasa tetapi saya tidak takut. Saya tidak rasuah dan menyeleweng,'' katanya.

Adnan setuju kos senggara Perdana V6 lebih mahal berbanding Mercedes

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob bersetuju dengan kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said bahawa kos penyenggaraan kereta Proton Perdana V6 Eksekutif adalah lebih mahal daripada Mercedes.

Memberi contoh kereta Mercedes yang digunanya sejak era Menteri Besar terdahulu, Tun Khalil Yaakob iaitu sejak berbelas tahun lepas, Adnan berkata kos penyenggaraan kereta itu untuk tahun lepas ialah RM42,000.

Beliau berkata sebaliknya ada antara kos penyenggaraan Proton Perdana yang diguna anggota exco kerajaan negeri sejak beberapa tahun lepas mencecah RM57,500 setahun.

“Dari segi hakikatnya Menteri Besar Terengganu betul apabila menyatakan kos penyenggaraan kereta Proton Perdana V6 Eksekutif lebih tinggi daripada Mercedes,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan cek kepada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Rabu, Julai 23, 2008

ISU MERCEDES KE KABINET - UTUSAN MALAYSIA 22 JULAI 2008

KENYATAAN AKHBAR

Kerajaan Negeri Terengganu ingin menjelaskan bahawa pembelian 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor bernilai RM3.43 juta sebagai kereta rasmi Kerajaan Negeri Terengganu adalah telus dan wajar.

Sejumlah 10 buah kereta yang baru dibeli itu adalah untuk kegunaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dan empat lagi dimana setiap satu adalah untuk kegunaan Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri.

Yang Amat Berhormat Menteri Besar Dato’ Ahmad Said masih lagi menggunakan kereta kerajaan negeri yang lama (TAR 567) yang berusia 18 tahun dan bukan yang baru seperti yang dilaporkan dalam akbar Utusan Malaysia.

Pembelian kereta untuk kegunaan pegawai tinggi kerajaan adalah telus dan tidak sekali-kali mengunakan wang royalti minyak. Pembelian ini juga selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (ii) yang mensyaratkan semua kenderaan buatan tempatan atau dipasang dalam negara (CKD) sahaja.

Kereta Mercedes E200 Kompressor ini mematuhi syarat tersebut kerana ia dipasang di Pekan, Pahang sebagai produk CKD.

Kewajaran pembelian kereta Mercedes E200 Kompressor adalah berdasarkan kelasakan kereta model ini dan kos penyelenggaraan yang rendah. Kerajaan Negeri tidak mampu membiayai lagi membiayai kos selenggaraan Perdana V6 Executive.

Contohnya, kos penyelengaraan dua kereta tersebut mencecah RM175,229.97, yang tertinggi, dan RM132,357.76 dari tahun 2004 sehingga hari ini.

Kerajaan Negeri juga mengambil pertimbangan mengenai kenaikan harga bahanapi (fuel) dan nilai terpakai yang tinggi untuk Mercedes E200 Kompressor.

Sekiranya diperlukan, Kerajaan Negeri sedia mengemukakan bukti terperinci kos servis dan kerosakan sejak mula kereta Proton Perdana V6 digunakan sebagai kereta rasmi kerajaan.

Dari segi ciri-ciri keselamatan, kerajaan negeri berpuashati dengan ciri-ciri keselamatan Mercedes E200 Kompressor.

Ini adalah penting memandangkan pegawai-pegawai yang menggunakan kereta ini merupakan eksekutif tertinggi dalam kerajaan dan keselamatan mereka adalah keutamaan.

Disediakan oleh PEJABAT MENTERI BESAR TERENGGANU

Selasa, Julai 22, 2008

Tidak langgar garis panduan - MB

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menjelaskan, pembelian 14 buah Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi baru ahli Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri Terengganu tidak melanggar garis panduan kelayakan yang ditetapkan.

Menurut beliau, Exco kerajaan negeri sebenarnya layak menggunakan Mercedes siri E240, namun kerajaan negeri hanya membeli siri E200 untuk kegunaan sebagai kenderaan rasmi.

''Exco-Exco di Kelantan pun pakai Mercedes siri E240 tapi kita beli siri E200 sahaja. Exco-Exco pun mengadu kecil.


"Pembelian kereta-kereta untuk kegunaan Exco-Exco dan kakitangan awam kerajaan negeri dilakukan mengikut garis panduan yang ditetapkan," katanya selepas menerima kunjungan Duta Besar Jepun Ke Malaysia, Masahiko Yorie di pejabatnya di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Ahmad berkata, ketika Datuk Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar, Exco-Exco kerajaan negeri pernah menggunakan kereta Mercedes terpakai sebagai kenderaan rasmi.

Bagaimanapun jelasnya, kereta terpakai memerlukan penyenggaraan yang lebih untuk perjalanan jauh, justeru adalah lebih baik jika pembelian kereta baru dibuat untuk menjimatkan perbelanjaan.

"Saya tidak boleh melakukan apa-apa jika terdapat pihak yang ingin menjadikan pembelian kereta Mercedes E200 Kompressor berkenaan sebagai isu.

"Orang boleh kata pembelian kereta-kereta ini sebagai pembaziran kerana ia kereta mewah tetapi sebenarnya ia lebih menjimatkan dalam jangka panjang," ujarnya.

Menurutnya, perbincangan mengenai pembelian kereta berkenaan telah banyak kali dilakukan dan kelulusan pembeliannya dibuat demi kepentingan negeri dalam usaha menjimatkan kos perbelanjaan.(petikan UM)

'Tidak sesuai, kurang selamat'

Seorang Exco kerajaan negeri Terengganu menyifatkan kereta Proton Perdana V6 Executive tidak lagi sesuai digunakan sebagai kenderaan rasmi kerana kekurangan ciri-ciri keselamatan.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Toh Chin Yaw berkata, kereta berkenaan tidak mempunyai beg udara menjadikannya tidak sesuai untuk perjalanan jauh selain kos penyenggaraan yang tinggi.

''Terengganu merupakan negeri yang luas dan para Exco sangat bergantung kepada kenderaan rasmi untuk menghadiri majlis-majlis dengan segera dan selamat. Kami juga sering berulang-alik ke Kuala Lumpur yang perjalanannya beratus-ratus kilometer menggunakan kenderaan tersebut.

''Jika kereta rasmi kekurangan ciri keselamatan selain sering rosak, bayangkan jika berlaku kemalangan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar berkata, kereta Proton Perdana V6 Executive yang digunakannya sebelum ini pernah disenggara sebanyak dua kali dalam tempoh 36 bulan melibatkan kos RM50,000.

''Ditambah dengan kos-kos tersembunyi dan caj perkhidmatan yang dikenakan juga menyebabkan jumlah kos penyenggaraan berkenaan melebihi harga kereta Mercedes E200 Kompressor yang dibeli dalam tempoh jangka panjang," ujarnya.

Chin Yaw juga mendakwa kereta Proton Perdana V6 yang digunakan sebelum ini dipercayai kereta 'potong' yang boleh menambah risiko kepada keselamatan penggunanya.

''Bentuk kereta berkenaan agak pelik menyebabkan ia kelihatan seperti disambung," katanya sambil memberitahu kos minyak petrol kereta itu juga tinggi.(petikan UM)

DUTA KAGUM DENGAN KEINDAHAN TERENGGANU

Duta Besar Jepun, Mr Masahiko Yorie dan Mrs Yoko Horie yang pertama kali menjejakkan kaki ke Terengganu teruja dengan prospek pelancongan dan keindahan alam semula jadi yang terdapat di negeri ini.

Dalam kunjungan tiga hari itu, mereka turut menemui Menteri Besar, Dato’ Ahmad said dalam kunjung hormat lebih sejam yang berlangsung di Pejabat Menteri Besar, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (21 Julai).

Menteri Besar kemudiannya memberi penerangan mengenai tempat menarik di sekitar Terengganu termasuk usaha Kerajaan Negeri membangunkan sepuluh pulau di Tasik Kenyir.

Selain itu, Mr Masahiko dan Mrs Yoko turut diberi penerangan mengenai kewujudan 340 pulau kecil dan besar di Tasik Kenyir, selain terdapat Santuari Kelah dan Taman Herba di pulau buatan manusia itu.

Pada masa yang sama, Dato’ Ahmad akan memastikan lebih banyak peluang pelaburan dari Jepun akan berkembang di Terengganu memandangkan hanya tiga daripada 1,300 pelaburan Jepun di seluruh negara ini terdapat di Terengganu.

Menteri Besar akan memastikan pelaburan yang bersesuaian dapat dijalankan di negeri ini terutama dalam bidang Petrokimia selepas mengkaji semua faktor dan melihat tindak balas positif pihak kedutaan Jepun yang baru didedahkan dengan potensi pelaburan yang boleh dijalankan di Terengganu .

KENYIR ISLAND HOPING

Tasik Kenyir yang merupakan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara sebelum ini lebih sinonim sebagai lokasi kaki pancing dan pencinta alam sekitar kini bakal berubah wajah dengan pengumuman Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek Kenyir Island Hoping (KIH) pada bulan Oktober nanti.

Projek buat permulaan mendapat suntikan RM50 juta meliputi 10 buah pulau yang terletak di utara Pengkalan Gawi mempunyai konsep berbeza.

Antara taman yang dirancang untuk dibina termasuklah Taman Rama-Rama, Taman Orkid, Taman Tropika, Taman Burung, dan ‘theme park’ dijangka menarik lebih ramai pelancong seisi keluarga terutamanya peminat burung, rama-rama dan orkid untuk berkunjung ke Tasik Kenyir pada masa depan.

Selain dari itu, Santuari Kelah kedua turut diwujudkan di Sungai Cacing.

“Kita mempunyai harapan yang besar terhadap projek ini agar Tasik Kenyir menjadi hub pelancongan utama pada masa depan,” kata Menteri Besar, Dato Ahmad Said pada sidang media pada Majlis Lawatan Kerja Tasik Kenyir, di Resort Pulau Petang, Tasik Kenyir, kelmarin (15 Julai)

Menurut Dato’ Ahmad, bagi memastikan projek yang dirancang berjalan lancar, Kerajaan Negeri akan melantik konsultan bagi memastikan rekabentuk taman berkenaan tersebut benar-benar memberi impak kepada pengunjung.

“Dalam melaksanakan projek ini, kita tetap mengutamakan kesan kepada alam sekitar, kita akan buat parameter, yang kena dengan pokok sahaja perlu ditebang. Pokok yang besar kita cuba untuk elakkan,”katanya.

Isnin, Julai 21, 2008

PRMOSI KEJOHANAN KUDA LASAK DUNIA 2008

Usaha mempromosikan penganjuran sukan lasak berkuda di seluruh negara mampu menyemarakkan minat masyarakat tempatan terutama belia terhadap sukan itu.

Kemampuan Terengganu untuk menganjurkan World Endurance Championship (WEC) 2008 yang akan berlangsung pada 6 hingga 9 November ini di Pusat Berkuda Antarabangsa Terengganu (TIEP), Lembah Bidong, Setiu meyakinkan pihak penganjur untuk menarik 10 ribu pengunjung menyaksikan kejohanan tersebut.

Pengerusi Yayasan di-Raja Sultan Mizan (YDSM), Dato’ Seri Dr. Salleh Mohd Noor berkata demikian pada Majlis Perasmian Pelancaran Program Promosi Bergerak WEC 2008 di The Golden Horse Palace, The Mines, Seri Kembangan, semalam ( 18 Julai).

Hadir merasmikan Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr, Ramlan Abdul Aziz mewakili Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob .

Tambahnya, program promsi yang akan meliputi tiga negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu di mana lokasi terakhirnya di Kuala Terengganu pada 22 Ogos nanti yang dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beberapa acara turut dirancang sempena jelajah berkenaan termasuk mini karnival di setiap lokasi melibatkan program pertunjukan sukan berkuda, acara-acara penaja serta maklumat kejohanan WEC 2008.

ANAK TERENGGANU JAGUH WATERCROSS

Kejohanan Asian Watercross Super Cup Terengganu 2008 menyaksikan kehebatan peserta dalam dan luar negara merebut gelaran juara dalam sirkit Asia yang pertama kali diadakan di pantai Terengganu, pantai Batu Burok, Kuala Terengganu.

Pantai Batu Burok yang sudah sinonim dengan jiwa masyarakat tempatan sebagai lokasi beriadah bersama keluarga pada hujung minggu menjadi medan pertaruhan peminat sukan jet ski merebut kejuaraan sepanjang cabaran yang berlangsung sejak 16 Julai hingga semalam (19 Julai).

Paling membanggakan, dalam cabaran itu, anak Terengganu, Ahmad Dawi Alias yang mewakili pasukan Wira Jet memenangi tiga kategori iaitu, tempat pertama bagi kategori `Runabout 800 Open (Malaysia Closed) dan Amateur Veterans Runabout Open (Malaysian Closed). Ahmad Dawi turut mendapat tempat kedua bagi Kategori Runabout Open (Malaysia Closed).

Bagi Kategori Pro-Am Runabout Open (Super Cup 2008), peserta Thailand, Abdul Deweloh mendapat tempat pertama, diikuti tempat kedua Komson Sabumuang juga dari Thailand dan ketiga Bahar Zainudin (Brunei). Manakala keempat dan kelima menjadi milik peserta Malaysia.

Sementara kategori Pro-Am Runabout Open (Super Cup 2008) pula dimenangi Medhy Menad (France), Ron Tan Kim Guan tempat kedua (Sngapore)dan ketiga Bahar Zainudin (Brunei).

Peserta Malaysia menguasai Kategori Super-Course Endurance Runabout 800 Open apabila tempat pertama, kedua dan ketiga menjadi milik peserta negara ini hasil kejayaan Mohd Nayan Bakar (juara), Lee Yew Kong (kedua) dan Mohd Rahifa Mamat (Ketiga). Shamsul Khairi (Malaysia) mendapat tempat keempat dan kelima Komson Sabumuang (Thailand).

Medhy Menad dari France juga menjuarai kategori Super-Course Endurance Runabout Open, Abdul Deweloh (Thailand) ditangga kedua dan Ron tan Kim Guan dari Singapura di tempat ketiga kategori yang sama.

Hadiah disampaikan yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja, Tengku Baderulzaman. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib

BACAAN YASSIN & TAHLIL DI HARI KEPUTERAAN

Mufti Negeri, Haji Alias Abdullah mengetuai bacaan surah Yassin diikuti tahlil dan seterusnya menunaikan solat Zohor berjemaah sempena ulang tahun Keputeraan Sultan Terengganu ke-46 di Istana Maziah, Kuala Terengganu.


Turut hadir Ahli Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Ibni al Marhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri , Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Parlimen, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokthar Nong dan ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.


Selain itu, semua masjid seluruh negeri turut mengadakan majlis bacaan Yassin dan tahlil sempena ulang tahun serta khutbah khas pada solat Jumaat baru-baru ini.

Ahad, Julai 20, 2008

HARI KEPUTERAAN SULTAN TERENGGANU KE 46





TIADA ANUGERAH KEBESARAN NEGERI

Buat pertama kali, Istana Terengganu tidak menganugerahkan sebarang darjah dan pingat kebesaran negeri sempena Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin ke-46 yang disambut esok.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong ketika mengesahkan perkara itu berkata, beliau diberitahu bahawa tiada istiadat penganugerahan kepada penerima darjah dan pingat kebesaran pada sambutan esok oleh Istana Terengganu, kira-kira sebulan lepas.
TIADA
‘‘Saya tidak diberitahu mengenai sebab mengapa tiada pengurniaan darjah dan pingat kebesaran tahun ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti jika terdapat kemungkinan pemilihan penerima dan istiadat pengurniaan akan diadakan selepas ini.

‘‘Setakat ini tiada penerima untuk darjah dan pingat kebesaran, kemungkinan istiadat akan dibuat selepas ini, saya belum diberitahu,” ujarnya.

Darjah kebesaran tertinggi di Terengganu ialah Darjah Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu yang membawa gelaran Datuk Seri.

Menurut Mokhtar, seperti kebiasaan, Hari Keputeraan Sultan Terengganu akan disambut secara sederhana bermula dengan majlis tahlil dan doa selamat di masjid seluruh negeri malam ini.

Beliau memberitahu, majlis yang sama juga akan dilangsungkan di Istana Maziah di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari esok.

Jumaat, Julai 18, 2008

PENYOKONG KELATE MARAH DIGELAR PENYOKONG 'SETAN'

PENYERANG Terengganu, Abdul Manaf Mamat tercedera akibat terkena cermin bas yang pecah akibat dibaling batu penyokong fanatik Kelantan di kawasan Stadium Sultan Mohamed IV, di Kota Bharu, malam kelmarin.

Walaupun Manaf hanya cedera ringan di muka, tetapi perbuatan tidak bermoral penyokong tuan rumah itu tidak sepatutnya berlaku.

Tindakan liar penyokong pasukan tuan rumah itu dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati dengan kekalahan 1-0 pasukan mereka kepada Terengganu, sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah mereka.

Insiden itu berlaku ketika bas dinaiki pemain Terengganu untuk pulang ke hotel tiba-tiba dikepung beratus-ratus penyokong tuan rumah yang bertindak liar dengan membaling batu dan botol minuman sehingga menyebabkan cermin pecah dan mencederakan Manaf.

“Kami cemas dengan kejadian itu,” kata pengurus pasukan Terengganu, Shaikh Ahmad Tajuddin Shaikh Yusof yang cukup kecewa dengan insiden itu.

Shaikh Tajuddin berkata, ketika Terengganu tewas 1-2 di tempat sendiri kepada Kelantan, penyokong skuad Penyu tidak bertindak liar.

“Sehubungan itu, pemandu syarikat bas yang disewa Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBNST) sudah membuat laporan polis mengenai insiden itu. Malah, kami juga akan membuat laporan mengenai kejadian itu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya yang turut kesal dengan kegagalan pihak polis bertindak ke atas penyokong pasukan tuan rumah.

Mengenai perlawanan itu, Shaikh Tajuddin cukup berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang bermain cemerlang untuk pulang dengan tiga mata penuh.

Gol kemenangan Terengganu dijaringkan pemain tengah, Zairo Anuar pada minit ke-36 dengan melakukan rembatan kencang dan terkena pertahanan lawan sebelum bola menerjah ke gawang Kelantan.

Shaikh Tajuddin berkata, sepatutnya Terengganu mampu berpesta gol malam kelmarin, tetapi dua peluang terbaik Cik Hishamuddin Hassan dapat diselamatkan penjaga gol Kelantan.

Beliau berkata, kemenangan itu menghidupkan peluang cerah Terengganu untuk ke suku akhir Piala Malaysia.(Petikan Harian Metro 13 - 07 - 08)

AIR TERJUN ESKLUSIF UNTUK WANITA

Kerajaan Negeri sedang mengenalpasti sebuah air terjun untuk di khaskan untuk wanita sahaja. Di jangka tahun ini juga sebuah air terjun akan diwartakan untuk golongan wanita tempatan dan pelancong wanita asing.


Menteri Besar kata kawasan ini dianggapkan esklusif dan mereka dapat mandi tanpa kekok dan selesa kerana kaum lelaki dilarang memasuki kawasan ini.

Untuk mendapat air terjun yang esklusif tidak menjadi masalah kerana Terengganu mempunyai banyak kawasan air terjun yang cantik. Kawasan ini akan diuruskan oleh semua kaum hawa sehingga pegawai penyelamat dan pegawai keselamatan.

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH
Terengganu juara Sukma: KONTINJEN Terengganu bersorak riang selepas muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XII yang berakhir di Kuala Terengganu, malam tadi. Tuan rumah mencipta sejarah mengutip emas terbanyak dalam penyertaan Sukma selepas meraih 61 pingat emas 39 perak dan 47 gangsa meninggalkan Selangor yang muncul naib juara dengan 54-47-52 manakala Sarawak tempat ketiga, (52-52-42). Upacara penutup temasya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

MENAKJUBKAN

MENAKJUBKAN
TERENGGANU juara SUKMA, Juara Bola Sepak, Raja Pecut, Raja Ragbi, Raja Kenu, Raja Kayuh. Kemenangan Terengganu kebanyakkan diperolehi melalui sukan objektif seperti olahraga, basikal, kenu berbanding dari sukan subjektif.

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG
Skretariat SUKMA Terengganu mendapat pujian daripada Kontingen-kontingen negeri, Media massa, pegawai sukan & orang ramai tentang kecermlangan pengurusan & pentadbiran SUKMA. SUKMA di Terengganu di iktiraf sebagai pengurusan SUKMA terbaik, pengadilan yang paling bersih,penyertaan penonton paling ramai, kemudahan paling lengkap, rekod baru paling banyak dicipta & tanpa kontraversi. Paling hairan Jawatakuasa rayuan tidak mnerima apa-apa rayuan dari kontingen yang bertanding. TAHNIAH.

INDUSTRI TERNAK KAMBING

INDUSTRI TERNAK KAMBING
Cosmopal Sdn Bhd, anak syarikat Arus Zaman Sdn Bhd, melabur sebanyak RM2 juta dalam penternakan kambing di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Serating, dekat sini dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai pengeluar terbesar ternakan itu di negara ini pada masa depan. Pengarahnya, Zainudin Zakaria berkata setakat ini, syarikat mempunyai sebanyak 1,400 kambing baka Jamnapari, bernilai antara RM750 dan RM850 seekor, di ladang seluas kira-kira 30 hektar itu.

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN
DAS berkata kerajaan banyak menyediakan kemudahan untuk pelajar melonjakkan diri untuk mencapai kejayaan cemerlang. Kerajaan sanggup menyediakan peruntukkan besar untuk sektor pendidikan bagi menjadikan negeri terulung melahirkan pelajar yang cemerlang.

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI
DAS mengucap tahniah kepada Wan Ahmad Nizam, Ketua Kontingen SUKMA Terengganu kerana berjaya menjadi juara SUKMA ke 12. Di atas kemenangan itu, DAS memberi cuti kepada rakyat Terengganu.

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU
PM bersetuju untuk melulus pembinaan sekolah sukan seperti sekolah sukan di Bukit Jalil & Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor di Terengganu. Sekolah ini akan dibina di sebelah kompleks sukan negeri, Gong Badak.