Selasa, Jun 30, 2009

T Team Makan Besar

T-Team Terengganu terus mengekori mereka, lima mata di belakang selepas berpesta gol 7-0 ke atas Sarawak, dijulang hatrik Haris Safwan Kamal di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Haris Safwan meledakkan tiga gol pada minit ke-47, 63 dan 87 dengan Hairuddin Omar menyumbangkan dua gol (m-72 dan 75). Dua gol lagi dijaringkan Azrul Azran Haminuddin Baki pada minit ke-60 dan Mohd Kamal Rodiarjat Md Ali pada minit ke-85.

Isnin, Jun 29, 2009

Tuanku Nur Zahirah dimasyhur Canselor UDM

Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah akan dimasyhurkan sebagai Canselor pertama Universiti Darul Iman (UDM) dalam satu istiadat di universiti itu pada 13 Julai ini.

Naib Canselor UDM, Profesor Datuk Dr. Alias Daud berkata, Tuanku Nur Zahirah telah menyatakan perkenan baginda untuk pelantikan tersebut dan persetujuan berangkat ke istiadat pemasyhuran itu.

"Pemasyhuran itu akan dibuat semasa majlis konvokesyen pertama UDM pada 14 hingga 16 Julai ini," katanya semasa majlis pendaftaran pelajar baru sesi 2009/2010 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Kampus Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin (KUSZA) di Gong Badak di sini hari ini.

Sementara itu, Alias berkata, persiapan untuk mengadakan majlis konvokesyen pertama universiti itu siap sepenuhnya.Katanya, sebanyak 3,284 pelajar yang menamatkan pengajian mereka sejak pertengahan 2007 akan menyertai majlis konvokesyen itu.


Mengenai pendaftaran pelajar baru, beliau berkata, UDM menawarkan tempat kepada 2,020 pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di universiti tersebut.Katanya, daripada angka tersebut, sebanyak 1,020 pelajar akan mendaftar untuk program pengajian Ijazah Sarjana Muda manakala 1,000 bagi program pengajian Diploma.

Pada sesi 2009/2010, UDM menawarkan 18 program pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan 22 program di peringkat pengajian Diploma.Selain itu, UDM juga menawarkan tiga pengajian baru iaitu Ijazah Sarjana Muda Perubatan & Pembedahan, Ijazah Sarjana Muda Dietetik dan Ijazah Sarjana Muda Produksi & Kesihatan Haiwan.

Sementara itu, 30 pelajar dijangka mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Perubatan & Pembedahan dan Ijazah Sarjana Muda Dietetik di samping 40 pelajar bagi Ijazah Sarjana Muda Produksi & Kesihatan Haiwan.Pelbagai aktiviti akan diadakan sepanjang Minggu Mesra Siswa seperti Program Bersama Tokoh dan Program Cintailah Pantai Kita.

Ahad, Jun 28, 2009

Kesah Ikan Naga

Ikan naga? Tidak ramai mengenalinya, namun ia menjadi bualan sejak kematian pekerja projek Taman Burung dan anggota bomba, baru-baru ini.

“Apa yang digelar ikan naga di Tasik Kenyir sebenarnya ikan Arapaima Gigas. Mungkin orang menggelarnya ikan naga sebab saiznya besar dan kulitnya bersisik besar seperti naga.“Namun, ikan itu tak makan orang dan saya yakin dua kes kematian yang berlaku baru-baru ini tak ada kena mengena dengan ikan itu.”

Demikian kata pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir, Mohd Bidin Ibrahim, 45, mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa kematian pekerja projek Taman Burung, Helmi Shukri Hashim, 28, dan anggota bomba, Aladi Hassan, 41, berpunca daripada serangan ikan naga yang menghuni tasik itu.Helmi mati lemas selepas didakwa terjatuh dari bot pada 14 Jun lalu ketika menghantar rakannya membuang air di sebuah pulau di tasik berkenaan.

Aladi yang melakukan misi mencari Helmi ditemui lemas sehari selepas kejadian di dasar tasik berkenaan dalam keadaan tersangkut pada ranting kayu balak.Mohd Bidin dari Kampung Langgar, di sini, yang 20 tahun mencari rezeki di tasik seluas 2,600 kilometer persegi itu berkata, kewujudan ikan bersaiz gergasi di dalam Tasik Kenyir bukan perkara aneh kerana dia pernah melihat seekor ikan sepanjang kira-kira tiga meter.

“Saya pernah melalui pengalaman diekori seekor ikan gergasi yang saiznya sama besar dengan bot gentian kaca yang saya naik. Kejadian itu berlaku tahun lalu dan ia antara peristiwa yang tak akan saya lupakan,” katanya.Menurutnya, pengalaman berkenaan turut dialami beberapa rakan yang mencari rezeki di tasik dipenuhi pelbagai spesies ikan sungai seperti Toman, Kelah, Lampam, Sebarau, Baung dan Tapah itu.

“Walaupun ramai nelayan tasik pernah terserempak atau dikejar ikan gergasi itu, sehingga kini belum ada yang mati disebabkannya,” katanya.Menjawab soalan bagaimana ikan Arapaima Gigas boleh turut menghuni Tasik Kenyir sedangkan hidupan itu sebelum ini dikatakan hanya mendiami Sungai Amazon di Brazil, Mohd Bidin mendakwa kejadian itu ada sejarahnya yang tersendiri.

Menurutnya, ikan Arapaima Gigas itu dipercayai terlepas dari kolam yang dibina di sebuah chalet berhampiran Tasik Kenyir.“Ikan itu pada mulanya milik seorang lelaki Cina yang juga pengusaha chalet. Disebabkan ia cepat membesar, pengusaha terbabit melepaskan hidupan itu di dalam sangkar yang dibina berhampiran chalet di Sungai Petuang.

“Malangnya sebanyak empat ekor ikan itu terlepas keluar, tapi seekor mati. Saya difahamkan, ikan ini boleh membawa tuah, ia hanya memakan anak ikan dan tidak menyerang dan mengancam manusia,” katanya.Mohd Bidin berkata, dalam kejadian terbaru 20 Jun lalu, seorang pekerja sebuah chalet di Sungai Tembat mendakwa ternampak kelibat ikan dipercayai Arapaima Gigas timbul di permukaan air.

Mengesahkan lagi kewujudan ikan Arapaima Gigas di dakam Tasik Kenyir, Mod Bidin membawa wartawan Metro Ahad berjumpa rakannya, Shamsuddin Abd Rahman, 45, yang dikatakan pernah menaikkan ikan gergasi berkenaan yang menyambar umpan pancingnya.

Shamsuddin dari Kampung Tajin, di sini, berkata kejadian berlaku sembilan tahun lalu ketika dia bekerja sebagai buruh projek Lebuhraya Simpang Pulai dan tidak menyangka memperoleh ikan berkenaan secara tidak sengaja.“Beratnya ketika itu 35 kilogram, manakala panjangnya mencecah dua meter. Ketika itu saya tidak tahu jenis ikan berkenaan kerana tidak pernah melihatnya dan terkejut apabila rakan sekerja memberitahu ia ikan Naga.

“Ikan itu memang cantik dan bentuknya tidak sama dengan ikan lain. Badannya berwarna warni, kepalanya seakan-akan kepala itik manakala ekornya merah.“Waktu itu saya tidak tahu ikan berkenaan harganya mahal dan menjual dagingnya yang agak liat kepada rakan pada harga antara RM10 hingga RM12 sekilogram, malah ramai bergambar dengannya ketika membawa pulang di Kuala Berang,” kata Shamsuddin.

Menurutnya, selepas berita penemuan ikan berkenaan tersebar luas, dia didatangi seorang lelaki dari Singapura dan menawarkannya RM10,000 untuk membeli ikan berkenaan.“Saya tepuk dahi ketika itu kerana ikan berkenaan sudah mati dan dagingnya dijual kepada orang ramai. Saya juga tidak tergamak menjamahnya kerana bentuknya pelik seperti naga, sisiknya tebal dan hujungnya seperti muncung itik,” katanya.

Shamsuddin berkata, selepas kejayaannya, ramai kaki pancing mencuba nasib untuk memperoleh ikan itu, namun sehingga kini tiada siapa berjaya menaikkannya.Dia berkata, jika sengaja mencari sama ada ingin melihat atau menangkap ikan berkenaan, ia sukar ditemui kerana ia sentiasa beralih sungai untuk mencari makanan.

Shamsuddin berkata, selain ikan Naga, keadaan tasiknya yang luas menyebabkan pelbagai hidupan air lain turut dikaitkan dengan misteri itu, antaranya dakwaan wujudnya ikan Tapah gergasi di tasik berkenaan.Penemuan ikan Tapah gergasi diakui Rosli Sulong, 34, yang pernah bekerja sebagai pemandu rumah bot sejak awal pembukaan tasik itu.

Sama seperti pengalaman dilalui Mohd Bidin, bot dinaikinya diekori seekor Tapah sebesar bot gentian kaca dan ikan itu berpatah balik apabila enjin botnya dimatikan.Katanya, kejadian berlaku di Sungai Lasir dan mendakwa ikan berkenaan ada di tepian sungai kerana mencari ikan bersaiz kecil dan anak monyet.

Dia berkata, selain mengalami peristiwa itu, beberapa rakannya turut menceritakan kejadian sama tetapi di sungai berlainan.“Ikan ini tidak mengganggu manusia, ia mungkin tertarik dengan buih hasil putaran kipas bot dan mengekorinya. Namun saya percaya ikan ini memang besar kerana saya pernah melihat kelibatnya,” katanya.

Sabtu, Jun 27, 2009

Nasib seorang Guru

Mereka datang dengan penuh rasa dendam dan marah.Setibanya di rumah guru itu, kumpulan tersebut mula membuat bising. Mereka semakin ganas dengan menjerit dan mencabar guru terbabit supaya keluar dari rumah.

Guru tersebut tidak berani untuk keluar melihat tindakan kurang ajar kumpulan itu yang masing-masing baru berusia 15 tahun.Dia hanya mengintai dari tingkap rumahnya - melihat tiga daripada mereka terbabit memanjat pagar rumahnya. Bagaikan dirasuk hantu, kumpulan itu mula menggegarkan pintu jeriji rumah guru berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, dua buah kereta milik guru tersebut, Proton Waja dan Proton Satria turut dirosakkan.Tindakan ganas ini bukanlah aksi filem atau perlakuan ah long - sebaliknya kumpulan pelajar sekolah yang tidak berpuas hati selepas salah seorang rakan mereka dirotan.

Salah seorang rakan mereka sebelum itu dirotan oleh guru disiplin terbabit, atas kesalahan ingkar arahan guru.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 petang, guru berusia 38 tahun itu berada di rumahnya di Kampung Paya Resak, Bukit Payong bersama isteri dan seorang anaknya.

Menurut beliau, ketika itulah pelajar tersebut datang secara berkumpulan dan menyerang rumahnya."Mereka mencabar guru tersebut, namun mangsa tidak memberikan sebarang reaksi menyebabkan pelajar itu naik berang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau menambah, guru itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Payong kira-kira pukul 7.40 petang selepas kesemua pelajar itu beredar.Bertindak atas laporan, katanya, polis menahan dua pelajar tingkatan tiga yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu pada hari sama untuk membantu siasatan.

Katanya, siasatan awal mendapati, pelajar tersebut mengaku mereka bertindak demikian kerana tidak berpuas hati setelah rakan mereka dirotan.Kes itu, kata Mohd. Fauzi, disiasat di bawah Seksyen 147, 427 dan 506 Kanun Keseksaan. Pihak polis kini sedang mengesan saki baki pelajar yang terlibat dalam kejadian itu.

Khamis, Jun 25, 2009

Terengganu Meningkat

Pasukan Terengganu menggunakan kelebihan di gelanggang sendiri untuk menewaskan Kuala Muda Naza 2-0 dalam perlawanan ulangan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, semalam.

Gol pertama Terengganu dijaringkan oleh penyerang muda, Abdul Manaf Mamat pada minit ke-19 sebelum giliran Md. Ashaari Shamsudin pula menyempurnakan gol kedua pasukan Penyu.

Separuh masa pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun tuan rumah lebih banyak mendapat peluang untuk menjaringkan gol.

Azlan Ismail mempersia-siakan hantaran lintang Abdul Manaf di hadapan pintu gol Kuala Muda Naza pada minit ke-30.

Percubaan terbaik Kuala Muda Naza muncul pada minit ke-42 apabila rembatan kencang Manzoor Azwira Wahid menyaksikan bola terkena tiang gol dan melantun ke luar padang.

Dengan kemenangan ini, Terengganu mengumpul 33 mata untuk menduduki tempat keenam carta liga berkenaan.

Rabu, Jun 24, 2009

Pemimpin Ibarat `Tong Sampah

Ahli politik boleh diumpamakan sebagai tong sampah yang menerima segala luahan dan masalah rakyat, termasuk celaan dilemparkan mereka apabila tidak berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan agensi kerajaan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata apa yang menyedihkan dan membimbangkan, ketidakpuasan hati akibat perkhidmatan segelintir kakitangan awam tidak memuaskan akan diterjemahkan ke peti undi setiap kali pilihan raya umum.

Beliau berkata, segala kelemahan yang ditunjukkan oleh kakitangan dan pekerja kerajaan terutama dalam menguruskan hal berkaitan rakyat akan terpalit kepada kerajaan terutama apabila setiap masalah yang timbul membangkitkan kemarahan mereka.

"Orang politik ini macam tong sampah.. kegagalan pegawai kerajaan menjalankan tugas dengan baik akan menimbulkan kemarahan rakyat dan mereka akan balas dendam di peti undi. Mereka tidak menyatakan kemarahan itu secara terus, tetapi mereka tunjuk pada pilihan raya.

"Sebagai orang politik, apa juga masalah berbangkit akan terpalit pada parti pemerintah. Apa saja masalah yang timbul, akhirnya orang politik yang jadi mangsa," katanya pada majlis perjumpaan dengan kakitangan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) di Wisma Darul Iman, semalam.

Beliau berkata, walau apa juga perlakuan atau pendekatan yang diambil terhadap sesuatu perkara, hati dan perasaan rakyat harus dijaga sebaik mungkin sekali pun terpaksa mengorbankan kepentingan diri sendiri kerana ia kunci utama dalam mengekalkan sokongan rakyat kepada kerajaan pemerintah."Walau apa juga tindakan kita, hati dan perasaan rakyat penting dan ia harus dijaga sebab mereka berada di kedudukan depan seiring dengan matlamat merakyatkan pembangunan," katanya.

Justeru, beliau berkata, semua penjawat awam di negeri ini termasuk kakitangan APMT perlu menunaikan amanah dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin sekali gus memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.

"Kita memang macam tong sampah, setiap yang tidak disukai rakyat akan dilemparkan kepada ahli politik dan oleh itu kita jangan bersikap sombong dan angkuh, harus sedar diri dalam berkhidmat kepada rakyat."Tidak ada gunanya kita laksanakan pelbagai projek pembangunan tapi rakyat tidak dapat sebarang faedah kerana akhirnya kita (Barisan Nasional) yang akan ditolak," katanya.

Selasa, Jun 23, 2009

Gugur Rosli, Roslan tiada kaitan kes SPRM

Badan Perhubungan UMNO Terengganu menolak tanggapan pengguguran setiausaha dan bendaharinya semalam mempunyai kaitan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun, pengerusinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Naib Presiden UMNO tidak menafikan wujud keadaan yang perlu dibendung. "Tidak ada (kaitan dengan siasatan SPRM). Ini bukan isu personaliti atau pemimpin tertentu. Yang penting ialah parti bukan individu atau puak.

"Kita perlu masa untuk mengikuti perkembangan dan tiada orang boleh nafi wujud keadaan yang perlu dibendung," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Semalam, Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan digugurkan sebagai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri dan digantikan dengan Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Turut digugurkan ialah bendahari badan perhubungan itu, Senator Datuk Roslan Awang Chik yang digantikan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Abdul Rahim Mohd. Said.

Hishammuddin berkata, beliau sudah berjumpa dengan pihak-pihak yang berkenaan berhubung perkembangan terbaru tersebut dan perkara itu diterima dengan baik.Beliau menambah, pertemuan akan diadakan dengan sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO negeri diikuti setiap UMNO Bahagian di negeri itu.

T Team Hampir Memintas Harimau Muda


T-Team kini mengurangkan perbezaan mata di tangga teratas kepada hanya lapan mata, apabila berjaya menewaskan PKNS Selangor 1-0.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, T-Team mengesahkan kemenangan menerusi jaringan bekas pemain UPB-MyTeam, Harris Safwan Kamal pada minit ke-49.

Walaupun mensia-siakan beberapa peluang untuk melebarkan jurang gol, jaringan bekas penyerang skuad bawah 23 tahun kebangsaan itu sudah cukup untuk memastikan kemenangan tuan rumah.

Isnin, Jun 22, 2009

Perlantikan Baru Satu Penyelesaian Konflik UMNO Terengganu

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam mengumumkan tiga pelantikan baru bagi mengisi tiga jawatan utama Badan Perhubungan Umno negeri ini yang sebelum ini dilanda pelbagai konflik dalaman.

Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Awang yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) dilantik sebagai Setiausaha Perhubungan Umno negeri yang baru menggantikan Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan yang digugurkan.
Tengku Putera sebelum ini adalah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dan digugurkan selepas kepemimpinan Umno Terengganu dirombak yang menyaksikan Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno mengetuainya manakala Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dilantik sebagai timbalan.

Menteri Belia dan Sukan yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Ahmad Shabery Cheek pula dilantik semula sebagai Ketua Penerangan Umno negeri menggantikan Datuk Mohd Zuber Embong yang digugurkan. Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan sama ketika bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh mengetuai Umno Terengganu.

Exco Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus pula dilantik sebagai Bendahari Perhubungan Umno Terengganu menggantikan Datuk Roslan Awang Chik yang turut digugurkan.

Pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat perhubungan Umno berkenaan, Hishammuddin berkata, pengumuman tiga jawatan utama perhubungan itu adalah titik permulaan kepemimpinannya di Terengganu.
Beliau berkata, pemilihan tiga individu itu dalam menjawat jawatan berkenaan juga jelas membuktikan bahawa beliau tidak terikat atau pro kepada mana-mana kumpulan kerana matlamat utama lantikan untuk memulihkan Umno Terengganu.

Ditanya sama ada pengguguran tiga pemimpin Umno negeri itu ada hubung kait dengan siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah sebagaimana dilaporkan media, Hishammuddin berkata perkara itu tidak berkaitan.

"Perubahan pimpinan tak ada kaitan.. bagi saya yang paling penting adalah usaha kita untuk memikul tanggungjawab. Bagi yang melepaskan jawatan atau tak diberikan jawatan tak semestinya tugas dan tanggungjawab mereka lebih mudah. Ini bermakna tanggungjawab atau tugasan lain yang perlu dipikul akan terus dipikul," katanya.

Ahad, Jun 21, 2009

SPRM periksa rekod kewangan Umno Dungun


Sekumpulan pegawai Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan pemeriksaan ke atas rekod kewangan pejabat Umno Bahagian Dungun, kelmarin, selain menemu ramah beberapa kakitangan dan jawatankuasa Umno bahagian.

Sumber memberitahu, pemeriksaan yang dilakukan sejak jam 12 tengah hari dan berlarutan hingga 9 malam itu, bertujuan melengkapkan siasatan SPRM Selangor terhadap dua ahli Umno negeri ini bergelar Datuk yang disyaki terbabit kegiatan rasuah RM3 juta dalam projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah (MRR2).

Pada 10 Jun lalu, SPRM Selangor menahan seorang Senator dan seorang bekas Ahli Parlimen di Terengganu kerana disyaki terbabit dalam rasuah RM3 juta, membabitkan kejadian pada 1999 ketika kedua-dua mereka menjadi ahli lembaga pengarah sebuah syarikat yang menjadi kontraktor utama MRR2.

Sabtu, Jun 20, 2009

Esok UMNO Terengganu Berubah?

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan mengumumkan pelantikan barisan kepemimpinan Umno negeri pada mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri itu, di Kuala Terengganu, Ahad ini.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno, pertama kali mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan negeri berkenaan selepas dilantik menggantikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said pada April lalu.

Hishammuddin dijangka membuat pengumuman pelantikan setiausaha, ketua penerangan dan bendahari perhubungan serta ketua Umno bahagian.

"Saya akan mengadakan mesyuarat perhubungan Umno Ahad ini dan mengumumkan pelantikan pegawai pun pada Ahad ini di Terengganu."Ada dua perkara yang saya bertanggungjawab, perhubungan Umno Terengganu dan soal pindaan perlembagaan yang akan dilaksanakan pada peringkat akar umbi," katanya.

T Team Tembak Tentera

Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, pasukan T-Team dari Terengganu menewaskan Tentera 3-1 dengan tuan rumah membuka tirai jaringan minit ke-13 menerusi Haris Safuan Kamal.Selepas rehat, Hairudin Omar menanduk masuk gol kedua minit ke-48 sebelum Norhisam mengesahkan kemenangan mutlak pasukan minit ke-50 manakala jaringan sagu hati lawan hadir menerusi jaringan Mohd Johari Ahmad hasil sepakan penalti.

Terengganu Mempunyai Harvard Business School

Pusat Latihan Antarabangsa (ITC) yang dibina mengikut konsep Harvard Business School di Teluk Kalong, Kemaman dalam proses menyiapkan membaiki kecacatan yang di dapati dibangunan tersebut.

Menteri Besar Dato’ Ahmad Said telah membuat lawatan dan tinjauan ke ITC pada 16 Jun berkata pusat ini perlu dibaiki kerana terdapat kecacatan yang jelas terutama pada kayu penyokong bumbung serta beberapa bahagian lain

Di dapat 200 hingga 300 item yang perlu diperbaiki semula.atau ditukar kerana tidak mengikut piawaian yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita sebaik selesai meninjau ke beberapa bangunan ITC.
ITC yang di ilhamkan oleh Bekas Menteri Besar, Dato Idris Jusoh mempunyai 216 bilik lengkap dengan kemudahan ICT bertaraf dunia ini telah dibina pada Mei 2005 dan dijangka siap pada Februari 2008 namun sehingga kini ianya masih belum dapat digunakan lagi kerana beberapa masalah yang timbul dan memerlukan pemantauan rapi.

Khamis, Jun 18, 2009

Feri Kenyir

Para pengunjung Tasik Kenyir, Hulu Terengganu tidak lama lagi akan dapat menikmati keindahan tasik buatan manusia itu dengan menaiki feri.

Feri berkenaan yang dijangka beroperasi dalam tempoh terdekat merupakan sebahagian daripada program yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dikenali sebagai 'Island Hopping'.Dalam program itu, feri tersebut akan berfungsi sebagai pengangkutan untuk membawa pengunjung ke 10 pulau berkonsepkan taman tema di Tasik Kenyir.

Selasa, Jun 16, 2009

Terengganu Perolehi royalti RM744j

Kerajaan Terengganu akan menerima wang royalti minyak sebanyak RM744 juta daripada Petronas yang dijangka Julai ini.Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, pada Mac lalu sebanyak RM650 juta telah diterima kerajaan negeri.

Bagaimanapun katanya bayaran keseluruhan yang akan diterima tahun ini belum dapat dipastikan."Bayaran bagi bulan September ini saya tak tahu lagi berapa," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Bukit Diman, di sini, hari ini.

Sebelum ini Ahmad dalam kenyataan akhbar pernah berkata, kerajaan negeri percaya bayaran yang akan diterima hasil wang royalti minyak sekurang-kurangnya mencecah RM1.5 bilion

Menurutnya, kerajaan negeri menunggu jumlah pembayaran wang royalti minyak dari Petronas untuk mengetahui sama ada wang itu cukup untuk memenuhi bajet negeri 2009 yang berjumlah RM1.799 bilion.
Cabaran yang terpaksa dihadapi Terengganu selepas wang royalti dikembalikan adalah dari segi perancangan pembangunan dan kerajaan negeri tidak lagi boleh berharap kepada dana khas kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya jelas beliau, kerajaan negeri perlu melaksanakan segala perancangan pembangunan berasaskan bajet tahunan.Mengenai tanggapan bahawa pentadbiran beliau dilihat agak perlahan dari segi pelaksanaan pembangunan fizikal negeri jelasnya, ia kerana semua perancangan perlu berdasarkan bajet.

Pasar Raya Rakyat

Kerajaan negeri akan mewujudkan 'Pasar Raya Rakyat' di bandar Kuala Berang, yang akan memberikan manfaat kepada golongan berpendapatan rendah membeli barangan keperluan pada harga lebih murah dan berpatutan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata pasar raya itu yang akan dibina dengan kos RM3 juta hingga RM4 juta itu diuruskan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) negeri serta akan menjadi pusat pemasaran barangan yang dihasilkan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah."Pasar raya itu akan menjual barangan makanan dan keperluan harian pada harga yang sangat munasabah dan berpatutan, malah kos operasi akan ditanggung kerajaan negeri.

"Melaluinya (Pasar Raya Rakyat) kita akan membantu rakyat memasarkan hasil keluaran pertanian atau produk yang dihasilkan dan ia akan memberikan manfaat berterusan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Diman, Ajil, di sini, semalam.
Ahmad berkata, ketika ini kerja mengenal pasti tapak dan merekabentuk bangunan sedang dijalankan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Terengganu.Katanya, kerja pembinaan pasar raya itu akan dimulakan dalam tempoh terdekat dan ia dijangka beroperasi tahun depan. Beliau berkata, projek berkenaan akan dikembangkan ke semua daerah lain di negeri ini jika projek perintis di Kuala Berang itu berjaya.

Isnin, Jun 15, 2009

Garfield' ditahan

Seorang ibu bersama anak lelakinya berusia empat bulan serta suami yang mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau yang sedang khayal mengambil dadah antara lapan individu ditahan kerana terbabit dalam sindiket pengedaran dadah di lima daerah di negeri ini.

Lelaki berkenaan dibebaskan daripada Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Simpang Renggam, Johor akhir tahun lalu dan aktif semula sejak awal tahun ini bersama isterinya.

Isterinya mengaburi orang ramai dengan menyembunyikan dan menyumbat dadah yang ingin dijual dalam beg anak patung 'Garfield' miliknya.

Polis merampas pelbagai jenis dadah yang nilai pasaran keseluruhan dianggarkan hampir RM100,000 serta wang tunai RM25,950 hasil perniagaan dadah, dua kenderaan serta buku akaun simpanan mengandungi RM101,000 milik suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Roslan Abdul Wahid, berkata dalam serbuan pertama 11 Jun lalu, polis menahan sepasang suami isteri berusia 33 dan 30 tahun ketika khayal mengambil dadah bersama bayi lelaki mereka berusia empat bulan yang masih menyusu dalam serbuan di Taman Chendering, di sini.

Dalam serbuan itu polis merampas satu kilogram ganja, enam botol heroin, 800 pil kuda dan lima liter ubat batuk dan wang tunai RM25,950 daripada pasangan itu.

Polis turut merampas dua kereta dan beberapa buku akaun simpanan wang pelbagai bank daripada pasangan berkenaan dengan keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM35,000.

Sabtu, Jun 13, 2009

Che Gu Hanyut

Selepas insiden dua anggota bomba hanyut di Mengabang Telipot kelmarin, seorang guru turut menerima nasib yang sama apabila botnya hanyut hampir 20 jam ketika memancing di Pulau Yu, Merang di Setiu, semalam.

Kejadian yang menimpa guru itu, Abdul Karim Salam, 51, dari Kampung Wakaf Tengah, Batu Rakit berlaku apabila botnya yang rosak kemudian kehabisan minyak.Bagaimanapun, guru itu bernasib baik apabila ditemui semula kira-kira pukul 11 pagi ini oleh sekumpulan nelayan yang keluar mencarinya.

Guru Sekolah Kebangsaan Merang di Setiu itu tidak menyangka enjinnya mengalami kerosakan.Abdul Karim berkata, dia keluar memancing bersama tiga rakan lain dengan masing-masing menaiki bot sendiri kira-kira pukul 7 pagi semalam dan memilih lokasi berbeza di Pulau Yu.''Dalam perjalanan pulang kira-kira pukul 3 petang, saya dapati minyak sudah habis dan ketika itu laut bergelora dan kawasan itu dipenuhi dengan kabus.''Saya menelefon seorang kawan dan memintanya membantu saya namun saya tidak dapat memberitahu lokasi saya kerana tidak tahu di mana saya berada kerana dihanyut ombak dan keadaan berkabus,'' katanya ketika ditemui di Pangkalan Maras, Batu Rakit sini hari ini.

Bapa kepada lima orang anak itu berkata, dia hanya membawa lima keping biskut sebagai bekalan ketika keluar memancing.''Sepanjang saya hanyut, saya merasa akan menemui ajal di laut kerana pelbagai perkara buruk yang mungkin boleh berlaku terlintas di fikiran.

''Saya merasa gembira dan bersyukur ketika ditemui semula oleh rakan-rakan saya," ujarnya.Semalam, dua anggota dari Akademi Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai, Marang hanyut di laut apabila kunci jet ski mereka terjatuh.Salah seorang daripada mereka, Amir Shafiq Kamaruddin, 26, dihanyutkan selama 12 jam, manakala rakannya terpaksa berenang untuk sampai ke pantai.

Khamis, Jun 11, 2009

Che gu Pa Di Lantik Sebagai Setiausaha Agung Baru

Datuk Mustafa Ali, Persuruhjaya Pas Terengganu dilantik sebagai Setiausaha Agung Pas yang baru menggantikan Datuk Kamaruddin Jaafar.

Setiausaha Majlis Syura, Idris Ahmad pula dilantik sebagai Ketua Penerangan, manakala Dr. Hatta Ramli kekal sebagai Bendahari parti itu.

Dalam pada itu, dua calon Timbalan Presiden Pas yang tewas pada pemilihan parti itu minggu lalu, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.

Pelantikan berkenaan diumumkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pas Pusat di sini hari ini.

Tahniah Che gu Pa

Kesah Percintaan Budak Kecik

Tidak sanggup memenuhi permintaan kekasihnya untuk memutuskan hubungan cinta mereka, seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun mahu membunuh diri.

Dalam kejadian pada pukul 12.15 tengah malam di surau yang terletak di Lorong Haji Da, Jalan Sultan Mahmud dekat sini semalam, remaja lelaki itu mengeluarkan pisau dan diacukan ke leher sendiri.Tindakan remaja itu dipercayai bagi memaksa kekasihnya yang juga seorang pelajar supaya menarik balik kata-katanya yang mahu memutuskan hubungan mereka.

Kejadian yang berlaku di tepi jalan dan dalam keadaan gelap itu bukan saja menakutkan kekasihnya malah beberapa penduduk kampung yang kebetulan berada di situ.Remaja itu terlalu agresif dan tidak mengendahkan nasihat orang kampung yang memintanya bertenang dan menyerahkan pisau yang dibawanya.

Ketegangan yang berlangsung hampir sejam itu menarik perhatian kira-kira 50 penduduk kampung keluar menyaksikan 'adegan itu'.Selepas hilang punca untuk memujuk remaja itu, penduduk kampung terpaksa menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, pihaknya menghantar 10 anggota sebaik menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 12.30 tengah malam.

"Semasa tiba di kampung itu, remaja terbabit masih memegang pisau sepanjang 27 sentimeter."Anggota kami memujuk remaja itu supaya bertenang tetapi dia mula bertambah agresif termasuk mahu menyerang anggota polis," kata beliau semasa dihubungi semalam.

Menurut beliau, selepas 45 minit memujuk, remaja itu akhirnya akur melepaskan pisau dan menyerah diri kepada polis.

Badan Bebas Ditubuhkan

Menteri KerjaRaya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata satu Jawatankuasa Penyiasatan Bebas dianggotai 10 pakar ditubuhkan bagi menyiasat insiden memalukan itu.

Katanya, jawatankuasa berkenaan yang dianggotai wakil daripada Institut Jurutera Struktur Binaan Malaysia, Lembaga Jurutera Malaysia, Institut Jurutera Malaysia, Persatuan Struktur Keluli Malaysia, Lembaga Arkitek Malaysia, Institut Jurutera Struktur Malaysia, Jabatan Audit Negara, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Institut Pengajian Tinggi Malaysia dan wakil Jabatan Peguam Negara dijangka dapat menyediakan laporan awal dalam masa sebulan dan laporan lengkap selewat-lewatnya enam bulan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, anggota penyiasat itu dianggotai oleh pelbagai pihak termasuk pensyarah universiti.

Hanya sebuah badan penyiasat khas ditubuhkan bagi menyiasat punca kejadian runtuhan separuh daripada bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak di sini yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM25 juta.

Katanya, badan penyiasat itu dilantik untuk menilai dan mencari punca mengapa bumbung sepanjang kira-kira 400 meter di bahagian timur stadium itu boleh runtuh.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas Stadium Tertutup di kompleks sukan berkenaan turut akan dilakukan bagi memastikan kekukuhannya.

''Apa-apa keputusan lanjut akan diketahui selepas ini dan kerajaan negeri diminta agar menubuhkan sebuah sahaja badan siasatan mengenainya untuk mengelakkan kekeliruan," katanya

Rabu, Jun 10, 2009

Kerja baikpulih stadium siap sebelum 16 Jun

KERJA baikpulih dan ubahsuai Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu dijadualkan siap sebelum perlawanan Liga Super antara Terengganu dan KL Plus pada 16 Jun ini.

Naib Presiden Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) Datuk Che Mat Jusoh berkata jaminan itu diberikan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Mokhtar Nong.

"Kita berpendapat Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, tidak dapat digunakan sekurang-kurangnya satu tahun.

"Sebabnya siasatan masih berjalan dan banyak pihak dijangka terbabit. FAM berpendapat stadium itu tidak dapat digunakan lagi tahun ini ,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM di sini.
Che Mat berkata, sehingga siasatan ke atas Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin selesai, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah akan digunakan untuk semua perlawanan Liga Super, Liga Perdana dan Piala Malaysia.

Projek mega mesti melalui prakelayakan tender

Semua projek mega mesti melalui proses prakelayakan tender bagi memastikan hanya mereka yang berkemampuan dari segi kewangan dan kepakaran terpilih.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Terengganu (DPMMT), Datuk Ir. Tengku Ismail Tengku Jaafar berkata, ini bermakna, hanya tawaran yang betul-betul berasaskan keupayaan sahaja yang perlu diteliti dan diterima.
Beliau berkata, untuk menjamin komitmen dan tanggungjawab penender selepas penyiapan projek, mereka perlu menyediakan bon jaminan selain menempatkan pasukan pakar untuk memantau kerja-kerja yang telah dilaksanakan.Menurutnya, proses prakelayakan penender perlu walaupun penender terbabit berdaftar dengan agensi kerajaan.

''Ini adalah saranan kami dan ia bukan bertujuan mempertikaikan kewibawaan mana-mana pihak," katanyaMengenai tragedi di stadium tersebut, Tengku Ismail berkata, memandangkan projek itu bersaiz besar, kejadian yang berlaku seharusnya diteliti dan dikaji dari beberapa sudut.

Katanya, oleh kerana reka bentuk pembinaan membabitkan pakar dan teknologi yang sofistikated, kajian seharusnya dijalankan oleh pakar untuk menjelaskan punca sebenar ia berlaku."Tidak ada gunanya kita membuat pelbagai andaian tentang punca kejadian sekiranya kita tidak mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan.

"Malah ia mungkin boleh menambah kekeliruan rakyat dan memberi persepsi yang berbeza serta membawa tanggapan negatif terhadap pihak terbabit seolah-olah mereka menerima hukuman sebelum penemuan kajian dibuat," katanya.

Selasa, Jun 09, 2009

Kontraktor Stadium Nafi

Selepas beberapa hari berdiam diri berhubung kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh pada 2 Jun lalu, kontraktor utama projek pembinaan stadium itu tampil meminta supaya tidak dikaitkan dengan kejadian tersebut.

Bina Struktur Sdn. Bhd. menegaskan, syarikat itu hanya bertindak sebagai kontraktor utama dalam pembinaan bangunan stadium dan bukan bahagian bumbungnya.

Pegawai teknikal syarikat itu, Muhammad Shukri Anuar berkata, reka bentuk, pembinaan dan pemasangan bumbung stadium tersebut dilakukan oleh kontraktor dari Korea.

''Kami hanya membina bangunan stadium," ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.Menurutnya, syarikat tersebut akan menunggu laporan siasatan runtuhan bumbung itu sebelum mengambil tindakan sepatutnya.

Beliau memberitahu, pihaknya dimaklumkan bahawa kerajaan negeri akan melantik badan penyiasat bebas dari luar negara bagi melakukan siasatan tersebut.

''Kami menunggu laporan siasatan tersebut sebelum mengambil tindakan selanjutnya. Tindakan yang akan diambil bergantung pada hasil siasatan kejadian runtuhan itu.''Buat sementara ini, kami tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media," jelasnya.
Selasa lalu, separuh daripada bumbung di bahagian timur stadium bernilai RM292 juta itu yang menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam serta tetamu diraja dan orang kenamaan (VIP) runtuh.Stadium itu kini ditutup sehingga enam bulan bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Isnin, Jun 08, 2009

Tak Jadi Roboh

Kerja merobohkan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) untuk dijadikan dataran dan tempat letak kereta di tengah bandar raya ini ditangguhkan bagi membolehkan prasarana itu digunakan untuk penganjuran pelbagai acara sukan, selepas sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Kompleks Sukan Gong Badak ditutup.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Razali Kassim, berkata walaupun stadium berusia 42 tahun itu kelihatan usang, ia masih utuh dan boleh digunakan untuk perlawanan bola sepak yang pada awalnya dijadualkan berlangsung di SSMZA.


"Kita terpaksa tangguhkan projek merobohkan SSINS untuk dijadikan dataran dan taman dalam bandar serta tempat letak kereta yang pada mulanya dijangka bermula tahun depan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

SSINS yang dibina di tengah bandar raya Kuala Terengganu dan dirasmikan bekas Pemangku Raja, Tengku Mahmud Sultan Ismail Nasiruddin Shah, pada 27 Ogos 1967 pernah melakar sejarah apabila Terengganu buat julung kali menjuarai Piala FAM pada 1969.

Razali berkata, atas faktor keselamatan, jeriji besi yang dipasang MBKT sebelum ini di bahagian atas tempat duduk penonton di SSINS dibuka selepas mengesan kekurangan dan kelemahan pemasangan alatan itu, bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini terutama apabila stadium itu dipenuhi pengunjung.

Ahad, Jun 07, 2009

MB Terengganu kecewa dengan JKR

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said kecewa dengan kegagalan Jabatan Kerja Raya (JKR) memantau sejak dari awal pembinaan Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Batu Burok di sini dan melakukan penyenggaraan sehingga menyebabkan ia kini digenangi air.

Ahmad berkata, beliau tidak berpuas hati sejak dari awal pembinaan pusat akuatik itu terutama reka bentuk bangunan kerana tidak memenuhi ciri bangunan yang terletak di tepi pantai.

Katanya, kejadian takungan air di dalam bangunan pusat akuatik tersebut akibat reka bentuk bangunan pusat akuatik itu yang tidak ditutupi bumbung menyebabkan air hujan masuk dari atas bangunan dan bertakung di dalamnya.

''JKR sepatutnya sejak dari awal memantau reka bentuk, penggunaan bahan pembinaan sehingga siap pembinaan pusat ini yang terletak di tepi pantai," katanya ketika ditemui selepas memeriksa pusat akuatik itu di sini hari ini.

Di Utusan Malaysia kelmarin melaporkan kebimbangan para peniaga di pusat itu berhubung bangunan tersebut yang digenangi air akibat resapan air dari kolam renang.

Ahmad berkata, JKR seharusnya memantau semua aspek sesuatu projek dari peringkat perancangan dan penggunaan bahan-bahan pembinaan oleh kontraktor mengikut spesifikasi dan bukannya berada di tapak projek apabila tiba waktu serahan projek.

''JKR yang mempunyai arkitek dan jurutera sepatutnya tahu perkara ini tetapi tidak menghiraukannya selain tidak memikirkan kos operasi dan penyenggaraan masa depan. Mereka hanya tahu menjalankan tugas mereka," ujarnya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, besi yang menyokong atap kanvas menutupi kolam renang kini sudah berkarat dan hampir patah selepas setahun pusat akuatik itu dibina.

Sabtu, Jun 06, 2009

Agong Dukacita Bumbung Stadium Runtuh

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin sedih dan dukacita dengan insiden runtuhan sebahagian bumbung stadium yang dinamakan sempena nama Baginda di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, dekat sini, Selasa lalu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata Tuanku Mizan melahirkan perasaan itu ketika beliau menyampaikan sembah maklum berhubung tragedi tersebut kepada Baginda pada hari kejadian.

"Pada hari ini (semalam), saya sekali lagi menghadap Seri Paduka Baginda untuk mempersembahkan maklumat serta gambar-gambar runtuhan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
"Sudah tentu Baginda sedih dan dukacita terhadap apa yang berlaku," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai polis Terengganu dalam operasi bersepadu cegah jenayah dan samseng jalanan di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi Selasa lalu, sebahagian struktur bumbung di tempat duduk utama, termasuk pentas diraja Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang keseluruhan pembinaannya bernilai RM292 juta, ranap.

Stadium yang boleh memuatkan 50,000 orang itu dirasmikan Tuanku Mizan pada 10 Mei tahun lalu dan yang pertama di Asia dibina menggunakan sistem bumbung tanpa sokongan tiang.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata beliau sedia mendedahkan kepada umum segala kepincangan yang berlaku termasuk berhubung insiden runtuhan bumbung stadium berkenaan, sebagai ingatan kepada pihak-pihak berkaitan supaya tragedi itu tidak berulang.

Beliau sekali lagi mengingatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya melakukan pemeriksaan keselamatan termasuk daripada aspek pendawaian terhadap semua bangunan yang menjadi tumpuan ramai bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Ahmad turut memaklumkan bahawa beliau akan melawat bangunan-bangunan tersebut supaya arahan yang diberikannya dipatuhi oleh setiap PBT di negeri ini.

Mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tragedi runtuhan bumbung stadium berkenaan, Ahmad berkata setakat ini beliau belum dihubungi oleh suruhanjaya berkenaan untuk mendapatkan keterangan daripadanya.

"Saya bersikap terbuka dalam perkara ini dan bersedia memberi kerjasama kepada semua pihak untuk mengenal pasti punca tragedi runtuhan bumbung stadium berkenaan," katanya.

Khamis, Jun 04, 2009

Punca Sebenar Bumbung Runtuh?


Seorang hamba Allah telah menghantar gambar punca sebenar keruntuhan bumbung stadium. Ingat yang betul. Mula-mula nak marah kerana mempermainkan isu tapi pikir-pikir boleh mereda minda, menghilang trauma mengenai trajedi tersebut. Bila tengok sekali gambar ini, rasa nak ketawa pulak.. kelakar pun ada..



Pikir-pikir perkara ini telah berlaku, penyiasatan telah di jalankan. Hasilnya boleh jadi iktibar.

Ramzi Minta DiBicarakan

Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, bekas setiausaha politik Datuk Seri Idris Jusoh, dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas empat tuduhan berhubung kes ugutan jenayah melalui SMS kepada tiga ADUN BN, April lalu.

Beliau tidak mengaku bersalah dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes itu 19 Julai depan. Dr Ahmad dibenarkan ikat jamin RM8,000 manakala pasport kepada mahkamah.

SMS ugutan itu dijadikan alasan oleh tiga ADUN tersebut, bersama tujuh yang lain termasuk Idris, untuk tidak menghadiri sidang DUN Terengganu pada 14 April lalu.

Pemulauan itu, dengan alasan nyawa tiga ADUN tersebut tidak selamat, memulakan krisis politik di negeri tersebut apabila majoriti wakil rakyat BN mempertikaikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Krisis ini dianggap babak baru warisan pertembungan kuasa antara kumpulan pro-Idris dengan Ahmad, yang menggantikannya dalam suasana penuh kontroversi Mac tahun lalu.

Komando Takut Bumbung Stadium

Kelemahan struktur bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak telah dikesan sejak perasmian pembukaan Sukan Malaysia (Sukma) 2008, namun tiada tindakan segera dari Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung perkara itu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said ketika mendedahkan perkara itu berkata, apabila hal itu dirujuk kepada JKR, jabatan berkenaan memberi jaminan akan mengarahkan kontraktor mengambil tindakan selepas Sukan Malaysia (Sukma) 2008 berlangsung.

''Mesyuarat sudah diadakan, namun tiada tindakan. Tiga minggu lepas saya hubungi lagi timbalan pengarah JKR negeri minta hal itu disegerakan kerana bimbang tempoh jaminan akan habis.

''Dua minggu lepas JKR tulis surat kepada kontraktor untuk mengambil tindakan terhadap masalah itu," ujarnya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Menurut Ahmad, struktur bumbung yang lemah dikesan apabila ia bergegar ketika pasukan komando mahu memasang tali untuk pertunjukan 'abseiling' sempena perasmian stadium itu oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Jelasnya, disebabkan tidak yakin dengan kekuatan struktur bumbung stadium, pertunjukan 'abseiling' anggota komando dilakukan menggunakan helikopter.

Bagaimanapun, enggan menuding jari kepada mana-mana pihak tegasnya, kerajaan negeri menerima kenyataan bahawa kejadian runtuhan itu telah berlaku dan akan melantik konsultan luar untuk melakukan siasatan selain konsultan yang dilantik oleh JKR.

''Jadi, ada dua konsultan yang akan mencari punca kejadian ini. Kita tidak mahu bergantung kepada satu pandangan sahaja supaya lebih selamat," ujarnya.

Beliau berkata, pengesahan keselamatan stadium itu sebelum ini sepatutnya dilakukan oleh JKR, bukannya konsultan yang dilantik oleh kontraktor.

''Saya kadang-kadang terkilan dengan konsultan, kerja tiga empat tahun sudah mahu jadi konsultan. Dahulu ada pengalaman 20 hingga 30 tahun baru tubuhkan syarikat konsultan," ujarnya.

Beliau mencadangkan supaya JKR menetapkan standard untuk menubuhkan syarikat konsultan perlu mempunyai pengalaman sekurang- kurangnya 15 tahun.

Ditanya kemungkinan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu tegasnya, beliau sedia memberi kerjasama penuh jika ia boleh membersihkan nama kerajaan negeri.

Runtuh Dulu Sebelum Sempat Di Baiki

Kerosakan pada bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Terengganu sebenarnya sudah diketahui sebelum kejadian runtuh yang berlaku pagi semalam.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Senator Datuk Roslan Awang Chik bagaimanapun berkata, kerosakan itu difahamkan hanya akan dibaiki selepas Pesta Sukan Staf Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Kali Ke-34 yang bermula 4 hingga 13 Jun ini.
Jelasnya, sebuah syarikat dari Korea yang diberi tanggungjawab untuk membaiki bumbung itu juga sebenarnya sudah berada di Terengganu untuk prosedur pemantauan dan membetulkan kerosakan.

''Memang ada sedikit 'tidak elok' pada struktur bumbungnya dan syarikat bertanggungjawab dari Korea juga sebenarnya akan memulakan proses pembaikan selepas satu kejohanan sukan bulan ini.

''Malangnya kejadian runtuh ini berlaku sebelum proses pembaikan bermula namun nasib baik kerana tiada nyawa yang menjadi mangsa," katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu hari ini.

Beliau mengulas kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang bernilai RM292 juta dan menjadi tempat utama Sukan Malaysia (Sukma) 2008 runtuh yang menyebabkan kira-kira 50 peratus daripada strukturnya musnah.

Runtuhan pada pukul 9.30 pagi itu berlaku kira-kira setahun stadium tersebut dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lalu.

Kerosakan melibatkan bumbung di bahagian timur stadium sepanjang 400 meter menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam dan tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan (VIP).

Kata Roslan, pembinaan stadium yang dipertanggungjawabkan kepada Konsortium Anak-anak Terengganu itu merupakan sebuah projek usahasama dengan beberapa syarikat kontraktor di luar negara.

Tambahnya, kegagalan sebuah syarikat dari Korea untuk menyiapkan rekaan bumbung mengikut spesifikasi dilihat menjadi faktor kejadian itu berlaku.

''Projek stadium itu diberi kepada Konsortium Anak-anak Terengganu bersama beberapa syarikat luar yang sudah diiktiraf.

''Kegagalan syarikat berkenaan untuk mengikut spesifikasi bumbung seperti rekaan asal sudah diketahui dan mereka juga sebenarnya sudah berada di negeri ini untuk membetulkannya,'' ujarnya.
Sehubungan itu katanya, kejadian runtuh yang berlaku itu sekali gus menjelaskan imej perusahaan industri negara di mata dunia.''Imej terkenal kontraktor negara sedikit tercalar dengan kejadian ini. Nama baik perusahaan industri negara juga terjejas dengan runtuhan ini,'' jelasnya.

Tambah Roslan, kerajaan perlu segera mewujudkan sebuah konsultan bebas untuk menyiasat kejadian bumbung runtuh yang berlaku.''Tubuhkan konsultan dan selidik apa sebenarnya yang berlaku. Rakyat seharusnya didedahkan dan perlu tahu punca kejadian yang memalukan negara ini berlaku,'' katanya.

Pasukan Terengganu & T Team Bermain Tempat Asal

IBARAT sudah jatuh ditimpa tangga.
Begitulah nasib pasukan bola sepak Terengganu dan T-Team yang kehilangan tempat beraksi selepas bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin roboh pagi kelmarin.

Musim ini, kedua-dua pasukan terbabit menjadikan stadium baru yang dibina dengan kos kira-kira RM300 juta itu sebagai gelanggang utama untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M).

Bagaimanapun, insiden bumbung runtuh yang berlaku di stadium itu memaksa mereka beralih semula ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Difahamkan, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin akan ditutup selama enam bulan untuk membolehkan Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Malangnya ketika ini, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah tidak berada pada tahap terbaik.Sebahagian daripada tempat duduk penonton di stadium yang dalam proses untuk dirobohkan itu telah dibuang manakala pagar yang memisahkan antara penonton dengan kawasan padang sudah tiada.

STADIUM Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu yang kini dalam persiapan menganjurkan Sultan Cup 2009.Permukaan padangnya juga berada pada situasi yang sangat buruk selepas stadium berkenaan dijadikan lokasi Konsert Penghargaan Search di Awan Biru minggu lalu.

Malah stadium itu juga akan menjadi lokasi untuk kejohanan kuda lasak, Sultan Cup 2009 yang akan membuka tirainya Sabtu ini.Menurut Pengarah Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Zulkifli Abd. Ghani, pihaknya memerlukan tempoh empat minggu untuk membaiki semula Stadium Ismail Nasiruddin Shah.
Lantaran itu, di manakah Terengganu akan bermain pada aksi Liga Super bertemu KL Plus, 16 Jun ini?Begitu juga dengan T-Team yang akan berdepan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan Liga Perdana tiga hari kemudian?

"Setakat ini, pihak MBKT belum menerima sebarang permohonan daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk menggunakan stadium lama itu (Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah)."Keadaan stadium itu tidak berada pada situasi yang terbaik dan kami memerlukan masa sekurang-kurangnya empat minggu untuk membaikpulihnya," kata Zulkifli.

Bumbung stadium tiada sijil siap kerja

Bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak di sini yang runtuh pagi kelmarin tidak memiliki Sijil Siap Kerja yang dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Timbalan Pengarah Kerja Raya Negeri, Ghazali Hashim mengesahkan perkara itu dan berkata, bumbung berkenaan adalah antara kemudahan di stadium itu yang belum diberikan sijil tersebut.
Katanya, mengikut amalan kerja, JKR akan mengeluarkan Sijil Siap Kerja terhadap bangunan milik kerajaan yang sudah siap dibina."Hanya kemudahan seperti trek, padang selain beberapa tempat di luar stadium telah diberikan sijil itu. Sijil itu telah dikeluarkan semasa penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) pada 31 Mei tahun lepas.

"Bumbung stadium belum diberikan sijil tersebut kerana masih dalam tempoh kecacatan (jaminan)," katanya ketika ditemui selepas mengiringi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek meninjau stadium berkenaan semalam.

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH
Terengganu juara Sukma: KONTINJEN Terengganu bersorak riang selepas muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XII yang berakhir di Kuala Terengganu, malam tadi. Tuan rumah mencipta sejarah mengutip emas terbanyak dalam penyertaan Sukma selepas meraih 61 pingat emas 39 perak dan 47 gangsa meninggalkan Selangor yang muncul naib juara dengan 54-47-52 manakala Sarawak tempat ketiga, (52-52-42). Upacara penutup temasya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

MENAKJUBKAN

MENAKJUBKAN
TERENGGANU juara SUKMA, Juara Bola Sepak, Raja Pecut, Raja Ragbi, Raja Kenu, Raja Kayuh. Kemenangan Terengganu kebanyakkan diperolehi melalui sukan objektif seperti olahraga, basikal, kenu berbanding dari sukan subjektif.

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG
Skretariat SUKMA Terengganu mendapat pujian daripada Kontingen-kontingen negeri, Media massa, pegawai sukan & orang ramai tentang kecermlangan pengurusan & pentadbiran SUKMA. SUKMA di Terengganu di iktiraf sebagai pengurusan SUKMA terbaik, pengadilan yang paling bersih,penyertaan penonton paling ramai, kemudahan paling lengkap, rekod baru paling banyak dicipta & tanpa kontraversi. Paling hairan Jawatakuasa rayuan tidak mnerima apa-apa rayuan dari kontingen yang bertanding. TAHNIAH.

INDUSTRI TERNAK KAMBING

INDUSTRI TERNAK KAMBING
Cosmopal Sdn Bhd, anak syarikat Arus Zaman Sdn Bhd, melabur sebanyak RM2 juta dalam penternakan kambing di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Serating, dekat sini dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai pengeluar terbesar ternakan itu di negara ini pada masa depan. Pengarahnya, Zainudin Zakaria berkata setakat ini, syarikat mempunyai sebanyak 1,400 kambing baka Jamnapari, bernilai antara RM750 dan RM850 seekor, di ladang seluas kira-kira 30 hektar itu.

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN
DAS berkata kerajaan banyak menyediakan kemudahan untuk pelajar melonjakkan diri untuk mencapai kejayaan cemerlang. Kerajaan sanggup menyediakan peruntukkan besar untuk sektor pendidikan bagi menjadikan negeri terulung melahirkan pelajar yang cemerlang.

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI
DAS mengucap tahniah kepada Wan Ahmad Nizam, Ketua Kontingen SUKMA Terengganu kerana berjaya menjadi juara SUKMA ke 12. Di atas kemenangan itu, DAS memberi cuti kepada rakyat Terengganu.

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU
PM bersetuju untuk melulus pembinaan sekolah sukan seperti sekolah sukan di Bukit Jalil & Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor di Terengganu. Sekolah ini akan dibina di sebelah kompleks sukan negeri, Gong Badak.