Rabu, Jun 03, 2009

Tubuh Perunding Bebas Siasat

Kerajaan negeri akan menyiasat punca kejadian runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak di sini yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM25 juta.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berkata, kerajaan negeri akan melantik jururunding bebas untuk menilai dan mencari punca bumbung sepanjang kira-kira 400 meter di bahagian timur stadium itu boleh runtuh.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas Stadium Tertutup di kompleks sukan berkenaan turut akan dilakukan bagi memastikan kekukuhannya.

''Saya masih belum menerima maklumat bagaimana kejadian runtuhan ini boleh berlaku kerana setakat ini belum ada siasatan yang dijalankan.

''Saya berasa dukacita dengan kejadian ini, namun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan," katanya ketika melawat stadium berkenaan di sini hari ini.

Ahmad berkata, pihaknya juga masih belum menerima sebarang maklum balas daripada kontraktor yang membina dan mereka bentuk bumbung yang melibatkan kos kira-kira RM38 juta itu.

''Saya dimaklumkan kontraktor yang dilantik melalui tender itu adalah kontraktor dari Korea," ujarnya.

Beliau memberitahu, stadium berkenaan akan ditutup sehingga kekukuhan strukturnya diperiksa dan kerja-kerja pembaikan dilakukan.

Katanya, kerja-kerja pembaikan dijangka dilakukan oleh pihak kontraktor berkenaan kerana stadium itu masih berada dalam tempoh jaminan selama dua tahun.

''Tempoh jaminan berkuatkuasa daripada tarikh penyerahan stadium tersebut kepada kerajaan negeri iaitu pada November tahun lepas," katanya.Beliau bagaimanapun enggan mengulas dakwaan kejadian itu berlaku akibat pembinaan stadium yang disegerakan bagi membolehkan ia digunakan untuk kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2008 pada 31 Mei hingga 9 Jun tahun lepas.

Ahmad berkata, semasa penganjuran Sukma 2008, stadium berkenaan digunakan selepas menerima Sijil Layak Menduduki (CF) sementara.''Selepas itu kita menerima kelulusan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menggunakan stadium ini bagi penganjuran acara-acara sukan," jelasnya.

Kancil Saya Tertindih

“Semuanya berlaku sekelip mata, saya dikejutkan dengan bunyi bingit seperti enjin kapal terbang tetapi selepas menoleh ke belakang saya tergamam seketika apabila melihat kira-kira 30 peratus dari Stadium Sutan Mizan rebah ke bumi kira-kira jam 9.30 pagi.

“Saya panik melihat kejadian itu dan hanya mampu mengucap. Saya rasakan seperti masa terhenti seketika dan bertambah panik apabila mendapati Perodua Kancil saya yang diletak di sejak jam 8 pagi turut tertimbus dalam runtuhan itu,” kata Hanafiah Osman, 27, yang ketika itu berada kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

Hanafiah yang ditugaskan untuk menyelenggara tiang lampu di stadium menyifatkan runtuhan yang berlaku adalah kecuaian dan sikap lepas tangan pihak berkaitan ketika menjalankan kerja pembinaan.

“Saya bersyukur kerana kejadian tidak membabitkan kehilangan nyawa atau kecederaan pengunjung atau kakitangan.“Bagaimanapun, saya mesti berjumpa dengan pihak terbabit menuntut ganti rugi RM20,000 bagi membaiki semula kereta yang tertimbus dalam runtuhan itu,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Mohd Sharul Halim, 22, berkata dia hampir terbabas ketika menaiki motosikal melalui jalan hadapan stadium berkenaan.

Menurutnya, ketika perjalanan pulang ke rumahnya di Batu Rakit dia melihat detik mencemaskan itu dan terpaksa menekan brek motosikalnya secara mengejut kerana terpaku melihat runtuhan itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Pauzan Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.45 pagi dan tiga pasukannya yang terdiri daripada 25 anggota tiba di tempat kejadian tujuh minit kemudian.

“Selepas memeriksa semua lokasi kejadian tiada mangsa maut ataupun cedera ketika kejadian itu dilaporkan. Sebuah kereta dan tiga motosikal terperangkap dalam runtuhan itu,” katanya.

T Team Terselamat Dari Kecelakaan

“Jika tidak kerana Jibam, mungkin saya dan pemain T-Team menerima kecelakaan pagi ini,” kata setiausaha kerja pasukan Liga Perdana T-Team, Ziani Abu Bakar, 39, selepas melihat runtuhan bumbung Stadium Sultan Zainal Abidin di Gong Badak, pagi semalam.

Jibam yang dimaksudkannya itu ialah ketua jurulatih pasukan, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Noor, yang menukar fikiran di saat akhir dengan mengarahkan pemain untuk tidak turun berlatih di padang stadium pada jam 9 pagi.

Sebaliknya, pemain yang dikatakan kurang bertenaga kebelakangan ini, dikerahkan ke gimnasium Majlis Sukan Negeri di bangunan berdekatan dan tidak berada dalam stadium ketika sebahagian besar bumbung runtuh pada jam 9.30 pagi.

“Kalau tidak, kemungkinan besar pemain sedang berlari di trek larian ataupun di atas padang ketika struktur bumbung runtuh dan menghempas hampir keseluruhan bahagian ‘grand stand’ dan trek larian.

“Daripada apa yang saya lihat pemain yang berada di tengah padang mungkin terselamat, namun saya dan beberapa pegawai lain yang berkemungkinan besar akan berada di ‘grand stand’ ketika itu mungkin mengalami nasib berbeza,” katanya ketika ditemui di luar stadium, semalam.

Katanya, sebelum ini ada desas-desus stadium di Kompleks Sukan Gong Badak itu mengalami kerosakan bumbung, namun tidak menghiraukannya kerana yakin dengan pihak pengurusan stadium yang memberi jaminan keselamatan.

“Tambahan pula stadium ini baru saja berusia setahun dan sebelum ini digunakan untuk Sukan Malaysia edisi ke-12.“Saya juga pernah membaca berita mengenai kebocoran atap stadium dan kerosakan gelanggang skuasy tetapi saya anggap itu semua kerosakan kecil yang senang dibaiki.

“Namun selepas menyaksikan tahap kerosakan yang berlaku selepas runtuhnya bumbung stadium, saya sedar yang kejadian sebegini boleh meragut nyawa yang besar,” katanya.

Ziani berkata, beliau tidak dapat membayangkan jumlah mangsa yang terkorban sekiranya kejadian bumbung runtuh itu berlaku ketika berlangsungnya perlawanan bola sepak ataupun acara sukan yang lain.“Kapasiti stadium melepasi 50,000 penonton dan saya yakin hampir separuh daripada jumlah itu akan mengalami kecederaan dan kemungkinan jumlah yang agak besar juga akan terkorban.

“Saya masih terkejut dengan kejadian ini namun saya bersyukur kerana terselamat daripada malapetaka,” katanya.

Memang Betul Balik Asal

TERENGGANU terpaksa beraksi semula di gelanggang lama mereka di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu apabila menentang KL Plus dalam saingan Liga Super, Selasa ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata, lokasi perlawanan itu terpaksa dipindah ekoran bumbung Stadium Sultan Zainal Abidin, Gong Badak runtuh semalam.

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH
Terengganu juara Sukma: KONTINJEN Terengganu bersorak riang selepas muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XII yang berakhir di Kuala Terengganu, malam tadi. Tuan rumah mencipta sejarah mengutip emas terbanyak dalam penyertaan Sukma selepas meraih 61 pingat emas 39 perak dan 47 gangsa meninggalkan Selangor yang muncul naib juara dengan 54-47-52 manakala Sarawak tempat ketiga, (52-52-42). Upacara penutup temasya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

MENAKJUBKAN

MENAKJUBKAN
TERENGGANU juara SUKMA, Juara Bola Sepak, Raja Pecut, Raja Ragbi, Raja Kenu, Raja Kayuh. Kemenangan Terengganu kebanyakkan diperolehi melalui sukan objektif seperti olahraga, basikal, kenu berbanding dari sukan subjektif.

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG
Skretariat SUKMA Terengganu mendapat pujian daripada Kontingen-kontingen negeri, Media massa, pegawai sukan & orang ramai tentang kecermlangan pengurusan & pentadbiran SUKMA. SUKMA di Terengganu di iktiraf sebagai pengurusan SUKMA terbaik, pengadilan yang paling bersih,penyertaan penonton paling ramai, kemudahan paling lengkap, rekod baru paling banyak dicipta & tanpa kontraversi. Paling hairan Jawatakuasa rayuan tidak mnerima apa-apa rayuan dari kontingen yang bertanding. TAHNIAH.

INDUSTRI TERNAK KAMBING

INDUSTRI TERNAK KAMBING
Cosmopal Sdn Bhd, anak syarikat Arus Zaman Sdn Bhd, melabur sebanyak RM2 juta dalam penternakan kambing di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Serating, dekat sini dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai pengeluar terbesar ternakan itu di negara ini pada masa depan. Pengarahnya, Zainudin Zakaria berkata setakat ini, syarikat mempunyai sebanyak 1,400 kambing baka Jamnapari, bernilai antara RM750 dan RM850 seekor, di ladang seluas kira-kira 30 hektar itu.

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN
DAS berkata kerajaan banyak menyediakan kemudahan untuk pelajar melonjakkan diri untuk mencapai kejayaan cemerlang. Kerajaan sanggup menyediakan peruntukkan besar untuk sektor pendidikan bagi menjadikan negeri terulung melahirkan pelajar yang cemerlang.

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI
DAS mengucap tahniah kepada Wan Ahmad Nizam, Ketua Kontingen SUKMA Terengganu kerana berjaya menjadi juara SUKMA ke 12. Di atas kemenangan itu, DAS memberi cuti kepada rakyat Terengganu.

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU
PM bersetuju untuk melulus pembinaan sekolah sukan seperti sekolah sukan di Bukit Jalil & Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor di Terengganu. Sekolah ini akan dibina di sebelah kompleks sukan negeri, Gong Badak.