Sabtu, Mac 27, 2010

Anak Terengganu Di Kemuncak Dunia

Tuah tidak menyebelahi pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang apabila meraih pingat perak acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Copenhagen, Denmark tatkala dia mampu memberi tentangan kepada pemenang perlumbaan, Chris Hoy.

Dari segi ukurannya, Azizulhasni hanya ketinggalan separuh tayar di belakang pelumba Britain itu, malah mengakui asakan pelumba Jerman, Maximilian Levy (pemenang gangsa) penyebab utama dia gagal memintas Hoy di saat akhir.

Menurut Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad, perlumbaan tersebut memang dijangka sengit selepas pelumba handalan menepati ramalan mara ke peringkat akhir.

“Azizulhasni berkata kepada saya bahawa dia memang hampir untuk memintas Hoy tetapi dalam masa yang sama dia perlu berwaspada dengan henjutan pelumba Jerman, Levy yang cuba untuk memintasnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Jelasnya, Azizulhasni mempunyai dua tugas dalam satu masa iaitu memintas Hoy dan menghalang kedudukan tempat kedua dari dirampas Levy.

“Ketika dia cuba mempertahankan tempat kedua, Hoy sudah meninggalkannya sedikit di hadapan jadi dia tidak sempat untuk memintas pemenang pingat emas Sukan Olimpik Beijing itu, bagaimanapun kami bangga dengan kemenangan pingat perak ini.

“Ramai pelumba hebat dalam saingan tersebut termasuk Teun Mulder (Belanda) dan Francois Pervis (Perancis) tetapi Azizulhasni tidak mengendahkannya sebaliknya terus memberi asakan kepada Hoy walaupun dia antara pelumba termuda,” katanya.

Azizulhasni yang digelar The Pocket Rocketman cemerlang pada saingan kelayakan apabila menduduki tempat pertama bagi melayakkan diri ke pusingan separuh akhir, pada perlumbaan separuh akhir dia menduduki tempat kedua di belakang Hoy tetapi layak beraksi di saingan akhir.

Pelumba berusia 22 tahun kelahiran Terengganu itu turun dengan memakai jersi putih selaku pendahulu keseluruhan keirin selepas menduduki tempat teratas dalam siri Piala Dunia Klasik tahun lalu.

Kata Naim, dia yakin dengan kemampuan Azizulhasni pada saingan akan datang berikutan umurnya yang masih muda tetapi mendapat pendedahan berlumba bersama pelumba terbaik dunia.

“Ketua jurulatih, John Beasley juga gembira dengan pencapaian Azizulhasni walaupun persiapan yang dilakukannya sebelum ini tidak sampai 100 peratus tetapi mampu menduduki kelompok tiga terbaik,” katanya.

Sementara itu Azizulhasni berkata, dia berbangga dapat menduduki tempat kedua di belakang Hoy dan membuktikan perkahwinan bukanlah penghalang untuknya terus berusaha.

“Tidak ada yang mustahil jika kita berdedikasi dan pandai menguruskan masa, diharap pelumba pelapis tidak mudah menyerah kalah walaupun bentuk fizikal serta kulit berbeza dengan pelumba lain,” katanya yang menghadiahkan kemenangan tersebut kepada isteri tercinta, Athiah Ilyana Abdul Samat.

Seorang lagi pelumba negara, Josiah Ng dibatalkan penyertaannya apabila didapati melanggar peraturan menghalang laluan Chris Hoy pada sesi kelayakan pertama menyebabkan pelumba Britain itu terjatuh.

Bagaimanapun, Josiah masih mempunyai peluang untuk memadam kekecewaan tersebut apabila akan beraksi dalam saingan pecut bersama Azizulhasni pada pukul 10 malam hari ini.

Tahun lepas dalam kejohanan yang sama di Pruzkow, Poland Azizulhasni gagal meraih sebarang pingat dalam acara keirin manakala bagi pecut dia memenangi pingat perak.

Selasa, Mac 23, 2010

Terengganu Bersedia Jumpa Kedah

Terengganu yang berjaya melangkah ke saingan separuh akhir saingan Piala FA kini menjalani latihan keras sebagai persiapan menentang Kedah pada 30 Mac ini.

Jurulatih pasukan Penyu, Irfan Bakti berkata, beliau masih belum memikirkan taktik atau strategi untuk perlawanan akan datang.

''Kita baru memulakan latihan hari ini kerana kita rehat selama sehari selepas perlawanan dengan T-Team di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu lalu.

''Saya tak rancang apa-apa lagi. Saya nak adakan latihan selama seminggu sebelum mengatur apa-apa rancangan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, anak-anak buahnya itu diberikan rehat selepas berjaya mencatatkan kejayaan mengalahkan T-Team 4-1 dalam perlawanan suku akhir kedua Piala FA.

Katanya, beliau bangga dengan persembahan barisan pemainnya pada malam itu walaupun tewas pada perlawanan suku akhir pertama dua minggu lalu.

''Terengganu menang kerana semua pemain memberikan fokus dan persembahan terbaik.

''Semangat mereka memang luar biasa dan inilah yang mendorong kepada kemenangan tersebut," ujarnya.

Irfan memberitahu, beliau ingin melihat anak buahnya mengekalkan semangat tersebut dalam menghadapi pasukan lawan sehingga ke peringkat akhir.

Terengganu bakal menentang Kedah pada separuh akhir manakala satu lagi aksi separuh akhir akan menemukan Selangor dengan Negeri Sembilan.

Anak Terengganu Tunggak Skuad Negara



Anuar ketuai pasukan negara ke cabaran ACC di UAE bulan depan

SECARA kebetulan, nama lima pelumba kelahiran Terengganu yang dianggap pelumba terbaik negara masa kini, hampir pasti menghiasi senarai akhir skuad lebuh raya Malaysia ke Kejohanan Berbasikal Asia 2010 (ACC 2010) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), bulan depan.

Diketuai Raja Pecut Le Tour de Langkawi 2010 (LTdL 2010), Anuar Manan (gambar) mengetuai empat rakan senegeri iaitu pelumba Herbalife Marco Polo Cycling Team, Ahmad Haidar Anuawar, pelumba muda meningkat Drapac Porsche, Muhammad Adiq Hussaine Othman.
Dua pelumba kelahiran Terengganu yang hampir pasti adalah pemenang peringkat terakhir Tour de Taiwan, Nur Rizuan Zainal dan Zamri Salleh. Dua calon lain dari negeri itu ialah Ahmad Fallanie Ali dan Shahrul Mat Amin, serta dua pelumba Kuala Lumpur, Wan Mohamad Najmee Wan Mohd dan Suhardi Hassan.

Anuar yang kini mewakili pasukan profesional benua, Team Geumsan Ginseng Asia berpeluang menebus dua kehampaannya di Nara, Osaka, Jepun pada 2008 dan Banjarmasin, Indonesia tahun lalu yang mengehadkan kayuhannya di laluan beralun dan berbukit.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Abu Samah Abd Wahab berkata, kehadiran beberapa pelumba berkemampuan kali ini mampu membuka ruang buat Anuar melakukan sesuatu.

“Dengan adanya pelumba Haidar, Adiq Hussaine dan Nur Rizuan, peluang Anuar untuk menang kali ini lebih cerah kerana tiada laluan berbukit di Dubai,” katanya selepas menyambut kepulangan pasukan Malaysia yang pulang dari Tour de Taiwan 2010, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTdL 2010, Mohamed Salleh dan Bendahari MNCF, Amrun Misnoh.

Berdasarkan prestasi semasa daripada dua jelajah terkini iaitu LTdL 2010 dan Tour de Taiwan, Abu Samah berkata, barisan yang dihimpun kali ini dianggap terbaik dan enam pelumba terakhir yang akan dipilih nanti, mampu memikul cabaran di Dubai nanti.





































































































































































Terengganu Akan Memiliki Rangkaian Keretapi

Kajian mengenai kemungkinan untuk mengadakan perkhidmatan rel ke Pantai Timur yang dilaksanakan kerajaan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dijangka siap hujung tahun ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata secara umum, ECERDC mengenal pasti laluan landasan kereta api dari Lembah Klang ke Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kuala Terengganu, Besut iaitu hampir semua bandar besar di Terengganu dan seterusnya ke Pasir Putih, Kota Baharu hingga ke Tumpat.

"Pertimbangan seterusnya adalah tertakluk kepada rumusan dan syor kajian berkenaan kelak," katanya menjawab soalan Mohd Abdul Wahid Endut (PAS-Kuala Terengganu) pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Mohd Abdul Wahid ingin tahu adakah kerajaan berhasrat untuk mengadakan rangkaian perkhidmatan kereta api sehingga ke Terengganu pada masa akan datang sebagai tambahan kepada perhubungan dan pengangkutan yang sedia ada bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi serta menambah baik sistem pengangkutan di Terengganu.

Abdul Rahim berkata hasil kajian itu akan membolehkan kerajaan menentukan larasan landasan serta bentuk perkhidmatan kereta api yang akan dilaksanakan di Pantai Timur kelak.

Ahad, Mac 21, 2010

Hero Terengganu Kawin

Siang Berkawin Malam Jaga gol... itu pengorbanan penjaga gol Terengganu.. Tahniah mendapat isteri & tahniah berjaya ke semi final FA..

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Abdul Manaf Mamat merapatkan jurang agregat kepada 3-2 dengan gol pertama Terengganu selepas bijak memperdayakan dua pertahanan T-Team dan meledakkan rembatan kaki kiri yang menewaskan penjaga gol, Shahril Shaari pada minit ke-20. Selang 17 minit, Manaf mengikat kedudukan kepada 3-3 selepas meloloskan diri daripada perangkap ofsaid untuk menyambut bola hantaran jauh Zairo Anuar Zailani, tetapi T-Team yang menang 3-1 dalam perlawanan pertama, bangkit sebelum tamat babak pertama menerusi Haris Safwan Kamal.

Terengganu yang enggan mengalah kepada pasukan ‘adik’ memperoleh gol ketiga hasil rembatan Mohd Ashaari Shamsuddin (m72) sebelum Firdaus Fauzi memastikan gol kemenangan lima minit selepas tambahan masa.

Rabu, Mac 17, 2010

Jangan Ganggu Keamanan Terengganu



Polis Terengganu hari ini memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan keadaan tidak aman di negeri itu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata ianya termasuk mereka yang cuba mengadakan perhimpunan haram bagi menyerahkan memorandum berhubung royalti minyak kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, Sabtu ini.

"Saya ingin menasihatkan pihak-pihak berkenaan bahawa itu bukanlah tempat yang sesuai untuk menyerahkan memorandum atau mengemukakan bantahan kerana Yang di-Pertuan Agong berangkat ke Terengganu di atas urusan-urusan tertentu. "Saya tidak mahu mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan di atas kehadiran Tuanku untuk melakukan sesuatu yang di luar program yang telah ditetapkan oleh pihak Istana," katanya di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai rancangan dua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) dan Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) untuk menghimpunkan kira-kira 10,000 orang bagi menyerahkan dua memorandum berhubung tuntutan royalti minyak kepada Tuanku Mizan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Sabtu ini.

"Saya juga mencadangkan kepada forum untuk menyampaikan bantahan dan memorandum itu agar menggunakan saluran lain," kata beliau yang menambah pihaknya akan meningkatkan kawalan keselamatan di LTSM pada hari berkenaan.

Mengulas program ceramah dan dialog yang akan dianjurkan dua NGO itu di Terengganu Ekuestrian Resort esok, beliau berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima permohonan permit daripada pihak berkenaan untuk berbuat demikian.
"Setakat ini saya tidak ada menerima sebarang permohonan permit. Kita akan ambil tindakan kepada mereka yang kita rasakan akan menimbulkan masalah keselamatan," katanya yang menasihatkan penganjur supaya tidak meneruskan program itu bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

Ahad, Mac 14, 2010

Terengganu Kejor Selangor


2010/03/14

ABDUL Manaf Mamat (kanan) diasak  pemain Pahang, Mohd Fadrizul Zakaria dalam perlawanan   di Kuala Terengganu,  malam tadi.
ABDUL Manaf Mamat (kanan) diasak pemain Pahang, Mohd Fadrizul Zakaria dalam perlawanan di Kuala Terengganu, malam tadi.

Tewaskan Pahang di laman sendiri, kumpul 20 mata

ZAIRO Anuar Zalani muncul wira Terengganu apabila menjaringkan satu gol dan mencipta gerakan jaringan kedua untuk menang 2-0 ke atas Pahang, dan membolehkan skuad Penyu terus merapatkan jurang kepada tiga mata di belakang pendahulu Liga Super, Selangor.

Kemenangan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi menyaksikan Terengganu mengumpul 20 mata manakala Selangor - yang seri tanpa jaringan dengan Kelantan kelmarin - kekal di persada liga dengan 23 mata. Zairo Anuar menyempurnakan penalti sejurus sebelum rehat selepas penjaga gol Pahang, Mohd Rosfaizul Anuar Ali dikenakan kad merah oleh pengadil Anuar Che Husin kerana mengasari Joseph Kalang Tie.

Terengganu seharusnya membuka jaringan lebih awal menerusi Ashaari Samsuddin pada minit ke-12 dan 23 namun gagal menewaskan Rosfaizul yang agresif di kubu terakhir Pahang hingga menyebabkannya dibuang padang.

Pada babak kedua, Ashaari sekali lagi dinafikan peluang apabila tendangan penaltinya pada minit ke-64 sekadar terkena palang, walaupun penjaga gol gantian, Wan Mohd Asri Wan Teh sudah tertewas.

Tiga minit selepas itu, ketua pasukan Terengganu, Marzuki Yusuf menanduk gol kedua tuan rumah yang bermula dengan sepakan sudut Zairo. Kedudukan 2-0 kekal hingga wisel penamat.

Sabtu, Mac 13, 2010

Perletakan Menteri Besar Tersebar SMS


Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta orang ramai supaya tidak melayan sebarang spekulasi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung kedudukan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang tersebar dengan meluas sejak akhir-akhir ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan oleh pihak yang sengaja mahu melaga-lagakan UMNO Perhubungan Terengganu dan menggugat keharmonian badan itu.

"Sejak saya turun ke Terengganu, saya menerima SMS dan mendengar cerita daripada kedua-dua pihak (dalam UMNO) dan pembangkang mengenai kedudukan Menteri Besar.

"Ia bukan datang dari puak-puak dalam UMNO negeri, tetapi saya tidak tolak kemungkinan ia dilakukan oleh individu tertentu.

“Namun ia tidak akan menentukan jatuh bangunnya UMNO Negeri Terengganu,” katanya selepas majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Kemaman di Chukai di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, beliau hanya mengiktiraf mereka yang diterima rakyat, menjalankan kerja bersungguh-sungguh dan menolak politik sempit seperti politik peribadi dan bahagian.

Pahang Mangsa Kekecewaan Terengganu


Marzuki


KEKECEWAAN ketika tewas 1-3 kepada T-Team dalam aksi suku akhir pertama Piala FA Selasa lalu masih menghantui pemain Terengganu.

Namun, kapten skuad Penyu itu, Marzuki Yusof mahu rakan sepasukannya segera melupakan kekalahan itu dan bangkit menebus episod duka itu apabila melayan kunjungan Pahang dalam saingan Liga Super malam ini.

Terengganu yang kini dalam misi merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Super, Selangor akan menentang pasukan di tangga keenam, Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini.

Bagi Marzuki, pertemuan menentang Pahang kali ini perlu digunakan sebaik mungkin dalam misi mengembalikan keyakinan pasukan untuk terus memburu kemenangan.

"Kekalahan itu (dengan T-Team) mungkin masih dirasai oleh para pemain, tetapi sudah tiba masanya untuk kami melupakan perkara itu.

"Persaingan masih lagi panjang dan kami perlu lebih fokus untuk mengutip tiga mata penuh bermula dengan pertemuan menentang Pahang esok (malam)," kata tonggak pertahanan Terengganu itu kepada Kosmo! semalam.

Kata Marzuki yang juga bekas pemain kebangsaan, Terengganu perlu mengelak daripada keciciran mata kerana sedar kedudukan Selangor yang semakin selesa di persada liga.

"Piala FA dan Liga Super adalah dua kejohanan yang berbeza dan tekanannya juga berbeza. Jadi, kami tidak perlu risau dengan kekalahan kepada T-Team kerana kami masih mempunyai 90 minit untuk memastikan tempat ke separuh akhir.

"Apa yang penting adalah fokus kepada Liga Super kerana kami memang tidak boleh keciciran mata. Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri juga perlu digunakan sebaik mungkin oleh pemain untuk mengutip tiga mata," tambah Marzuki.

Terengganu yang telah beraksi lapan perlawanan kini mengumpul 17 mata hasil daripada lima kemenangan dan dua keputusan seri.

Pahang pula berada di tangga keenam liga dengan 13 mata.

Khamis, Mac 11, 2010

Rangka Tertua Dijumpai Di Terengganu


Kerajaan negeri hari ini mengisytiharkan rangka manusia yang ditemui di Gua Bewah, Tasik Kenyir pada November lalu berusia 16,000 tahun dan sekali gus merupakan rangka tertua pernah ditemui di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said ketika mengesahkan perkara itu berkata, bagi tujuan itu, kerja-kerja penggalian serpihan lain rangka berkenaan akan dilakukan dalam waktu terdekat ini.

"Kita akui, artifak (rangka manusia) yang ditemui di Gua Bewah itu sudah berusia 16,000 tahun, manakala rangka manusia yang ditemui di Perak berusia 13,000 tahun. Ini bermakna, rangka yang ditemui di Gua Bewah ini adalah yang tertua di negara kita.

"Kita akan mula kerja penggalian dalam seminggu dua ini untuk cari tengkorak dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan penemuan rangka manusia di Gua Bewah, Tasik Kenyir pada November tahun lalu yang disemadikan dalam keadaan merengkok umpama bayi di dalam kandungan itu.

Ia dipercayai berusia antara 8,000 hingga 11,000 tahun yang ditemui.

Penemuan rangka manusia zaman prasejarah itu membuktikan wujudnya kawasan penempatan manusia zaman Mesolitik di kawasan tersebut.

Semasa ditemui, rangka manusia itu dalam keadaan posisi yang dipercayai merupakan cara masyarakat zaman tersebut mengkebumikan mayat.

Pakar Arkeologi dari Institut Tamadun dan Alam Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Prof. Nik Hasan Shuhaimi Nik Abdul Rahman berkata, pihaknya percaya rangka tersebut milik manusia berdasarkan ciri-ciri lengkap tulang yang ditemui menyamai rangka manusia.

Bagaimanapun, katanya, jantina dan umur rangka manusia itu masih belum dikenal pasti dan ia ditemui pada kedalaman 75 sentimeter selain menjadi penemuan terbesar selepas rangka pertama ditemui di Gua Batu Tok Bidan berdekatan gua tersebut pada tahun 1975.

Punca Bumbung Stadium Runtuh

"Antara sebab runtuhan ialah reka bentuk tidak tepati spesifikasi serta bumbung yang tidak dibina dengan sempurna"

Ahmad Said
Menteri Besar



Kerajaan negeri semalam mendedahkan laporan siasatan Jawatankuasa Siasatan mengenai runtuhan sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Kompleks Sukan Gong Badak di sini, yang mana antara lain mendapati semua pihak terbabit dalam kejuruteraan projek itu menyumbang kepada masalah berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, mengumumkan laporan itu selepas Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) pada mesyuaratnya semalam meneliti dan mengklasifikasikan semula laporan siasatan bebas (IC) setebal 60 muka kejadian itu daripada sulit kepada umum.

Katanya, kerajaan negeri akan melantik pasukan perunding untuk menentukan semula sama ada stadium berharga RM292 juta itu masih selamat digunakan atau sebaliknya. Beliau berkata, pihaknya sudah menghantar notis kepada kontraktor utama yang dipertanggungjawabkan untuk membaiki stadium berkenaan kerana masih berada dalam tempoh tanggungan kecacatan, tetapi sehingga kini belum mendapat sebarang maklum balas.

“Antara sebab runtuhan itu ialah reka bentuk yang tidak menepati spesifikasi ditetapkan serta bumbung yang tidak dibina dengan sempurna,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Beliau berkata, harus diakui kesilapan jururunding dilantik tidak ada pengalaman dan kepakaran mencukupi menyelia projek sebesar dan pertama seumpamanya di Malaysia.

Katanya, laporan IC juga mendedahkan antara lain punca runtuhan disebabkan kesilapan rekaan yang tidak mengambil kira keupayaan struktur sokongan, ketidaksempurnaan pembinaan hingga berlaku penyisihan geometri, ketiadaan kawalan mutu di tapak kerja dan penggunaan bahan serta mutu kerja yang tidak menepati standard ditetapkan.

Gema Gempa Bumi Di Tasik Kenyir


Gegaran lemah mungkin dirasai di sekitar Tasik Kenyir apabila satu gempa bumi lemah berukuran 2.6 pada skala Richter berlaku pada pukul 11.10 malam tadi.

Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan berkata gempa bumi itu berpusat di 43 kilometer barat daya Kuala Terengganu dan 22 kilometer barat Kuala Berang, Terengganu.

"Terdapat kemungkinan gegaran lemah dirasai di sekitar Tasik Kenyir,” kata kenyataan itu.

Kecewa & Mengecewakan


PEMAIN Terengganu, Zharif Hasna (tengah) berjaya melepasi kawalan pemain T-Team, Mohamad Hasbullah Awang (kiri) pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Kuala Terengganu kelmarin.


JURULATIH Terengganu, Irfan Bakti terpaksa menelan hakikat di sebalik kekalahan memalukan anak buahnya 1-3 kepada 'adik', T-Team pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA kelmarin.

Menurut Irfan, kekalahan itu adalah sesuatu yang sukar diterima lebih-lebih lagi ia berlaku di gelanggang keramat mereka iaitu Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Pada perlawanan itu, Abdul Hadi Yahya menjaringkan dua gol dan Haris Safwan Kamal menambah satu gol untuk memberi bekalan selesa kepada T-Team menjelang aksi kedua di gelanggang yang sama 20 Mac ini.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku hari ini (semalam). Semua yang direncanakan tidak menjadi dan amat jelas bahagian pertahanan kami sangat longgar.

"Marzuki Yusof dan Ronny Harun gagal mengawal pemain lawan dengan baik dan ia sedikit sebanyak telah memberi peluang kepada lawan untuk menjaringkan gol," jelas Irfan.

Begitupun, perkara paling mengecewakan yang dirasai bekas jurulatih Perlis itu adalah jumlah gol yang dijaringkan oleh lawan.

Katanya, jumlah itu cukup besar dan amat memalukan apabila dibolosi dengan tiga gol di gelanggang sendiri.

"Ini bukanlah kekalahan pertama kami musim ini, tetapi ini merupakan kekalahan terbesar yang pernah kami alami. Memang sukar untuk diterima apabila kami kalah dengan jumlah jaringan sebegini," tambahnya.

Namun, Irfan tetap optimis dengan kemampuan anak buahnya untuk mara ke separuh akhir apabila turun sebagai tuan rumah pada aksi kedua 20 Mac ini.

"Secara keseluruhannya saya tetap berpuas hati kerana satu gol yang kami peroleh pada minit-minit terakhir merupakan gol yang cukup penting buat kami.

"Harus diingat, kami adalah pasukan pelawat pada perlawanan ini dan menjaringkan satu gol merupakan sesuatu yang cukup penting," jelasnya merujuk kepada jaringan sagu hati oleh Abdul Manaf Mamat itu.

Ahad, Mac 07, 2010

Kini Terengganu bantu pelajar cacat pendengaran



Lepas berjaya membantu pelajar cacat penglihatan, kerajaan Terengganu kini memberi tumpuan kepada pelajar cacat pendengaran dan percakapan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata Jabatan Pelajaran telah diarahkan supaya mendaftarkan segera pelajar berkenaan sama ada untuk menjalani pembedahan atau diberi bantuan peralatan.

"Kita telah meminta Jabatan Pelajaran melaksanakan agenda ini serta merta dan kos pembedahan dan bantuan akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas Program Prihatinan Kerajaan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Ahmad berkata, pada tahun lalu seramai enam pelajar yang menghadapi masalah penglihatan berjaya menjalani pembedahan di Hospital Mata Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur, dengan kos RM80,000 ditanggung oleh kerajaan negeri.

Khamis, Mac 04, 2010

Tahun Depan Team Anak Terengganu Bersaing LTdL



Kerajaan Terengganu bercadang untuk mewujudkan satu pasukan sukan lumba basikal negeri bagi menyertai kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) pada tahun depan.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata bakat dan kebolehan yang ditunjukkan oleh pelumba tempatan begitu menyerlah dan mereka perlu diberi peluang untuk berada dalam satu pasukan yang mewakili negeri kelahiran mereka.

“Seperti perlumbaan tahun ini, lapan pelumba yang menyertai pasukan-pasukan profesional adalah anak Terengganu sendiri. Malah lima daripada enam pelumba dalam pasukan Malaysia adalah anak Terengganu,” katanya.

Dato’ Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pelepasan kepada pelumba-pelumba LTdL dari Kuala Terengganu ke Chukai, Kemaman di Taman Shah Bandar, Kuala Terengganu, hari ini (2 Mac).

“Saya bangga dengan pencapaian dan kemampuan yang ditunjukkan anak Terengganu, terutama Anuar Manan yang berjaya meraih gelaran berganda dalam perlumbaan dari Kota Baru ke Kuala Berang semalam,” katanya.

Sebelum perlumbaan bermula, Menteri Besar diberi penghormatan menyarung dua jersi utama selaku pelumba pecut dan pelumba Asia kepada Anuar Manan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Dato’ Mohid Mohamed berkata, terdapat enam pelumbaan Terengganu yang mewakili Pasukan Azad, University Iran , Mesir, Australia dan Maroco di China.

“Pelumba-pelumba Terengganu begitu hebat dan mampu memberi saingan kepada pelumba dari luar Negara dan ianya dapat dilihat kejayaan mereka semalam yang sentiasa berada dalam kelompok 10 pasukan teratas dalam perlumbaan semalam,” katanya.

Dalam saingan semalam Anuar Manan, 24, yang mewakili pasukan Geumsan Ginseng Asia yang berpengkalan di Korea berjaya menyarung dua jersi utama – hijau (pelumba pecut) dan biru (pelumba Asia), selepas tamat peringkat pertama dari Kota Bharu ke Kuala Berang, Terengganu.

Anuar anak kelahiran Kuala Ibai, Kuala Terengganu itu berazam untuk meneruskan kecemerlangan bersama pasukannya pada baki enam perlawanan selepas ini.
Pelumbaan LTdL akan meneruskan cabaran hari ini yang bermula di Taman Shah Bandar, Kuala Terengganu ke Kijal, Kemaman sejauh 182 kilometer.

Sementara itu, Presiden Persatuan Lumba Basikal Malaysia, Haji Abu Samah Wahab, melahirkan rasa gembira dengan hasrat kerajaan negeri ini untuk menubuhkan pasukannya sendiri dan berharap ianya ditangani secara bersungguh-sungguh.

“Saya harap hasrat ini menjadi kenyataan dan Terengganu perlulah mencari jurulatih professional bagi membimbing pasukannya nanti kerana telah pun dibarisi pelumba hebat,” katanya.

Lagak Hero



Kerajaan negeri kesal dengan sikap pemimpin politik parti pembangkang di negeri ini yang berlagak seperti `hero’ kononnya memperjuangkan nasib rakyat dengan menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas merobohkan rumah setinggan di Paya Bunga, Kuala Terengganu, pagi semalam (2 Mac).

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata sikap `hero’ berkenaan hanya mendatangkan masalah kepada dirinya sendiri kerana tindakannya itu boleh menyebabkan dia ditahan untuk tindakan lanjut.

“Sekarang ini kalau nak jadi hero payahlah. Sebab yang terlibat 12 orang sahaja tuan tanah (yang dipindahkan). Jadi, kita sudah beri rumah kepada mereka di Mengabang Lekor (Batu Rakit), selesai masalah mereka.

“Tuan rumah tiada masalah dan penyewa rumahg kita sediakan kenderaan untuk berpindah ke rumah (baru) masing-masing. Dia yang tunjuk hero dan bukan dia terlibat di situ seolah-olah dia memperjuangkan rakyat, itu tak betul. Kita yang lebih memperjuangkan rakyat,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (3 Mac).

Menteri Besar menjelaskan bahawa rumah yang didiami penduduk sejak berpuluh tahun lalu di kawasan itu merupakan tanah rezab kerajaan yang perlu dikosongkan untuk tujuan pembangunan di Bandar Raya Kuala Terengganu.

Katanya, penduduk sepatutnya lebih memahami perkara itu kerana status mereka membina rumah dan mendiami tanah adalah secara haram dan apabila sudah dikeluarkan notis berpindah dengan jangka masa yang mencukupi mereka perlu akur.

Dato’ Ahmad berkata, kerajaan sudah menggunakan cara yang diplomatik dan mengikut peraturan sebelum merobohkan rumah mereka. Malah, kerajaan juga tidak mengenakan sebarang denda kerana ingkar notis yang dikeluarkan kepada mereka walaupun kerajaan berhak bertindak demikian.

“Enam orang daripada jumlah penduduk di situ kita sudah beri rumah di Mengabang Lekor untuk mereka pindah dan tiada masalah. Rumah yang diroboh kelmarin, barang-barang semua dah tiada seperti almari, pakaian..semua dah dipindahkan.Ada tuan rumah memberontak? Cuma yang tunjuk hero dua orang sahaja,” katanya.
Harian Metro hari ini melaporkan kerja merobohkan rumah setinggan di Kampung Paya Bunga, di sini, pagi semalam kecoh apabila seorang pemilik rumah berkeras dan enggan keluar dari penempatan itu.

Lebih mengeruhkan keadaan, kehadiran seorang pemimpin politik menghalang jentera pihak berkuasa merobohkan rumah bukan sahaja dianggap mengambil kesempatan atas isu itu, malah menimbulkan tanda Tanya tujuan sebenar beliau berada di situ kerana majoriti penduduk di situ sudah berpindah.

Pemimpin berkenaan yang merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan negeri, Mohd Fariz Musa, 40, ditahan polis untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan sebelum melepaskan mereka dengan jaminan polis dalam masa terdekat.

Isnin, Mac 01, 2010

Terengganu Bollywood

Kerajaan negeri menyambut baik cadangan sebuah syarikat perfileman Bollywood menjadikan negeri itu sebahagian daripada lokasi penggambaran filem terbarunya.


Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata filem lakonan Rani Murkherjee itu dijangka memulakan penggambaran di beberapa tempat menarik seperti Tanjung Jara, Tasik Kenyir, Muzium Negeri, Pulau Redang dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud mulai Mei ini.

"Kita yakin apabila filem itu mengadakan penggambaran di negeri ini, ia memberi kelebihan kepada Terengganu apabila tempat-tempat menarik dalam filem itu akan ditonton oleh peminat filem Hindi di seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Primula Beach Hotel Sdn Bhd dan Taman Tamadun Islam (TTI) Management Sdn Bhd di sini petang ini.

Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan negeri menempah sebuah bot kaca berharga lebih RM3 juta bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan terutamanya di Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

Katanya, bot berkenaan berbentuk seperti tongkang dengan dinding diperbuat daripada kaca bagi membolehkan pelancong melihat kehidupan laut manakala bahagian atas pula terdapat ruang makan dan minum.

"Kita buat sebuah dulu untuk lihat sambutan pelancong terhadap bot berkenaan. Kalau ia memberi sambutan yang baik, kita akan tambah lagi," katanya. -

Persimpangan Bertingkat Di Bandaraya KT


Beberapa jalan bertingkat dirancang dibina di sekitar Kuala Terengganu dalam usaha meningkatkan kemudahan prasarana di bandar raya ini.

Datuk Bandar, Datuk Mohd. Adzlan Mohd. Dagang (gambar) berkata, jalan raya berkenaan dijangka dibina dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Menurut beliau, kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan pembinaan jalan raya bertingkat itu dalam pertemuan dengan kerajaan Pusat dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) baru-baru ini.

Katanya, antara jalan yang dicadangkan adalah Jalan Kamarudin dan Jalan Chabang Tiga, Simpang Tok Ku dan simpang empat berdekatan Jambatan Sultan Mahmud.

‘‘Dengan pembinaan jalan-jalan bertingkat ini, Kuala Terengganu akan dilihat sebagai sebuah bandar raya yang sebenar.

‘‘Pembinaan jalan raya bertingkat ini juga akan membantu kita menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di bandar raya ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) juga akan menjalankan kerja-kerja menaik taraf Pasar Besar Kedai Payang pada tahun ini.

‘‘Kerja-kerja menaik taraf ini telah lama dirancang dan penaiktarafan kali ini juga akan mempunyai nilai tambah bagi menambah tarikan pasar berkenaan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pihaknya juga akan melaksanakan projek menaik taraf Pasar Chabang Tiga di Chabang Tiga.

‘‘Apabila pasar ini siap kelak, ia akan menjadi alternatif kepada Pasar Besar Kedai Payang,” katanya.

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH
Terengganu juara Sukma: KONTINJEN Terengganu bersorak riang selepas muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XII yang berakhir di Kuala Terengganu, malam tadi. Tuan rumah mencipta sejarah mengutip emas terbanyak dalam penyertaan Sukma selepas meraih 61 pingat emas 39 perak dan 47 gangsa meninggalkan Selangor yang muncul naib juara dengan 54-47-52 manakala Sarawak tempat ketiga, (52-52-42). Upacara penutup temasya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

MENAKJUBKAN

MENAKJUBKAN
TERENGGANU juara SUKMA, Juara Bola Sepak, Raja Pecut, Raja Ragbi, Raja Kenu, Raja Kayuh. Kemenangan Terengganu kebanyakkan diperolehi melalui sukan objektif seperti olahraga, basikal, kenu berbanding dari sukan subjektif.

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG
Skretariat SUKMA Terengganu mendapat pujian daripada Kontingen-kontingen negeri, Media massa, pegawai sukan & orang ramai tentang kecermlangan pengurusan & pentadbiran SUKMA. SUKMA di Terengganu di iktiraf sebagai pengurusan SUKMA terbaik, pengadilan yang paling bersih,penyertaan penonton paling ramai, kemudahan paling lengkap, rekod baru paling banyak dicipta & tanpa kontraversi. Paling hairan Jawatakuasa rayuan tidak mnerima apa-apa rayuan dari kontingen yang bertanding. TAHNIAH.

INDUSTRI TERNAK KAMBING

INDUSTRI TERNAK KAMBING
Cosmopal Sdn Bhd, anak syarikat Arus Zaman Sdn Bhd, melabur sebanyak RM2 juta dalam penternakan kambing di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Serating, dekat sini dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai pengeluar terbesar ternakan itu di negara ini pada masa depan. Pengarahnya, Zainudin Zakaria berkata setakat ini, syarikat mempunyai sebanyak 1,400 kambing baka Jamnapari, bernilai antara RM750 dan RM850 seekor, di ladang seluas kira-kira 30 hektar itu.

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN
DAS berkata kerajaan banyak menyediakan kemudahan untuk pelajar melonjakkan diri untuk mencapai kejayaan cemerlang. Kerajaan sanggup menyediakan peruntukkan besar untuk sektor pendidikan bagi menjadikan negeri terulung melahirkan pelajar yang cemerlang.

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI
DAS mengucap tahniah kepada Wan Ahmad Nizam, Ketua Kontingen SUKMA Terengganu kerana berjaya menjadi juara SUKMA ke 12. Di atas kemenangan itu, DAS memberi cuti kepada rakyat Terengganu.

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU
PM bersetuju untuk melulus pembinaan sekolah sukan seperti sekolah sukan di Bukit Jalil & Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor di Terengganu. Sekolah ini akan dibina di sebelah kompleks sukan negeri, Gong Badak.