|
|
KEKECEWAAN ketika tewas 1-3 kepada T-Team dalam aksi suku akhir pertama Piala FA Selasa lalu masih menghantui pemain Terengganu.
Namun, kapten skuad Penyu itu, Marzuki Yusof mahu rakan sepasukannya segera melupakan kekalahan itu dan bangkit menebus episod duka itu apabila melayan kunjungan Pahang dalam saingan Liga Super malam ini.
Terengganu yang kini dalam misi merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Super, Selangor akan menentang pasukan di tangga keenam, Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini.
Bagi Marzuki, pertemuan menentang Pahang kali ini perlu digunakan sebaik mungkin dalam misi mengembalikan keyakinan pasukan untuk terus memburu kemenangan.
"Kekalahan itu (dengan T-Team) mungkin masih dirasai oleh para pemain, tetapi sudah tiba masanya untuk kami melupakan perkara itu.
"Persaingan masih lagi panjang dan kami perlu lebih fokus untuk mengutip tiga mata penuh bermula dengan pertemuan menentang Pahang esok (malam)," kata tonggak pertahanan Terengganu itu kepada Kosmo! semalam.
Kata Marzuki yang juga bekas pemain kebangsaan, Terengganu perlu mengelak daripada keciciran mata kerana sedar kedudukan Selangor yang semakin selesa di persada liga.
"Piala FA dan Liga Super adalah dua kejohanan yang berbeza dan tekanannya juga berbeza. Jadi, kami tidak perlu risau dengan kekalahan kepada T-Team kerana kami masih mempunyai 90 minit untuk memastikan tempat ke separuh akhir.
"Apa yang penting adalah fokus kepada Liga Super kerana kami memang tidak boleh keciciran mata. Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri juga perlu digunakan sebaik mungkin oleh pemain untuk mengutip tiga mata," tambah Marzuki.
Terengganu yang telah beraksi lapan perlawanan kini mengumpul 17 mata hasil daripada lima kemenangan dan dua keputusan seri.
Pahang pula berada di tangga keenam liga dengan 13 mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan