![]() |
AZLAN MOHD. DAGANG |
Semua Yang Dipertua (YDP) dan Ahli Majlis berkuasa tempatan (PBT) digesa ‘turun padang’ bagi meninjau dan menyelami segala masalah yang dialami rakyat.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, mereka perlu komited dalam memikul amanah serta tanggungjawab bagi membantu memenuhi keperluan rakyat selain memastikan nasib rakyat terus mendapat pembelaan sewajarnya.
“Semua Ahli Majlis dan juga Yang Dipertua PBT kena ada sikap untuk ‘turun padang’, mereka kena sanggup bersusah payah dengan memantau keadaan rakyat di kawasan masing-masing.
“Mereka kena periksa masalah rakyat, kalau mereka tak lakukan tugas dengan amanah, saya tak dapat pertahankan mereka, rakyat harus mendapat pembelaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengakuan Menerima Jawatan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan YDP Majlis Daerah Marang (MDM) di sini hari ini.
Menurut Ahmad, segala masalah rakyat antaranya meliputi aspek kebersihan dan kemudahan asas perlu disedia dan ditingkatkan sejajar dengan usaha kerajaan negeri mengubah wajah pembangunan di Terengganu pada masa depan.
“Kerajaan negeri merancang pelbagai pembangunan fizikal untuk Terengganu termasuk menyusun semula pelan pembangunan di kawasan bandar dengan membina rumah-rumah kedai dan kediaman,” ujarnya.
Beliau juga menarik perhatian dengan cadangan pembinaan bangunan baru MBKT setinggi 18 tingkat berhampiran Pantai Batu Burok di sini yang dijangka mula dilaksanakan tahun ini.
Terdahulu itu, Ahmad menyaksikan majlis Pengakuan Menerima Jawatan Datuk Bandar MBKT yang baru, Datuk Azlan Mohd. Dagang bagi menggantikan Datuk Mat Razali Kasim yang kini sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan).
Azlan sebelum ini pernah menerajui beberapa jabatan dan agensi kerajaan negeri ini termasuk sebagai Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) sebelum ke jawatan terakhirnya sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan).
Pada majlis itu juga, Ibrahim Mohamad turut membuat pengakuan menerima jawatan sebagai YDP MDM yang baru menggantikan Mohd. Elias Nik yang kini menjadi Pengarah Institut Pembangunan Terengganu (TDI). Ibrahim sebelum ini merupakan bekas Ketua Penolong Pentadbir Tanah Hulu Terengganu.