
Terengganu mengakui sukar untuk mempertahankan pingat emas acara bola sepak pada Sukan Malaysia (Sukma) XIII di Melaka, kerana kesuntukkan masa untuk membentuk pasukan yang mantap.
Jurulatihnya, Khalid Mohd. Dahan berkata, pihaknya menghadapi kesulitan untuk mengumpul pemain yang kebanyakannya beraksi dalam Liga Super dan Piala Presiden.
''Kita akan hanya dapat membuat pemilihan pada 2 dan 3 Jun ini selepas pertandingan Liga Super berhenti rehat.
''Kita hanya mempunyai masa kurang seminggu untuk mengadakan latihan," katanya.
Khalid berkata, kebanyakan pemain edisi lepas, sudah bersara ataupun mewakili pasukan remaja kebangsaan pada kejohanan liga di Slovakia seperti Abdul Shukor Jusoh, Izzaq Faris Ramlan, Mohd. Faizal Mohd., Mohd. Hafizi Faisal, Mohd. Muslim Ahmad dan Muhd. Fakhrurazi Musa.
Katanya, Terengganu juga kehilangan penyerang lincah Abdul Manaf Mamat, yang dikenakan denda atas kesalahan semasa perlawanan Piala FA antara Terengganu dan Kedah pada 3 April lalu.
Abdul Manaf digantung 10 perlawanan dan didenda RM6,500 oleh Lembaga Disiplin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana melakukan tiga kesalahan kepada pengadil, Subkhiddin Mohd Salleh, pada perlawanan tersebut.
Khalid berkata, Terengganu akan cuba membawa dua pemain baru dari skuad Liga Super Terengganu.
Katanya, mereka ialah Joseph Kalang Tie dan Mohd Firdaus Mohd Faudzi yang diharap dapat membantu pasukan.
Terengganu akan memulakan kempen bola sepak Sukma pada 7 Jun dengan menentang musuh tradisinya Kelantan