Nak jalan ke, nak behenti ke, ke kanan atau ke kiri?..peningla
Jumaat, Ogos 22, 2008
AL FATIHAH kepada Allahyarham Arif
Seorang juruterbang pelatih dari Pusat Latihan Penerbangan HM Aerospace (HMA), Mohd Arif Ahmad Fuad, 20, terbunuh manakala rakannya, Mohd Farid Abdullah, 21, terselamat dalam kejadian sebuah pesawat jenis Diamond 40 Maha 443, terhempas di kawasan hutan Bidong di sini, pagi semalam.
Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata pesawat itu ditemui berkecai kira-kira 100 meter dari Lapang Sasar Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Bukit Bidong akibat terlanggar pokok sebelum terhempas, selain ekor pesawat ditemui terputus dan terpelanting ke bahagian depan pesawat.
Beliau berkata, pesawat itu ditemui kira-kira jam 7.15 pagi dan sebaik seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) meneruskan pemeriksaan pasukan itu menemui mayat Mohd Ariff, masih di tempat duduk pesawat.
Mohd Farid pula ditemui kira-kira lapan meter daripada bangkai pesawat selepas pasukan menyelamat mendengar suara meminta tolong. Mangsa yang cedera parah di kepala dan patah kaki dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk rawatan lanjut," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di Bukit Bidong, di sini, semalam.
PromosiTerengganu Di Menara Kuala Lumpur
Pemilihan lokasi menara telekomunikasi keempat tertinggi di dunia, Menara Kuala Lumpur sebagai lokasi Festival Terengganu 2008 berjaya menarik 4,000 pengunjung terutama pelancong asing pada hari pertama penganjuran itu, 14 Ogos (Khamis) lalu.
Kejayaan penganjuran program yang sama, `Street Fest 2007’ yang diadakan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur menjadi batu loncatan bagi meneruskan promosi dan meningkatkan sasaran pelancong ke Terengganu. Melalui festival ini, pelancong dapat mengenali Terengganu dengan lebih dekat malah dapat mencuba beberapa permainan tradisional seperti congkak dan gasing.
Program yang berkonsepkan gerbang maklumat turut menampilkan produk kraftangan antaranya demonstrasi anyaman, tembaga, seni ukiran kayu, batik dan songket serta produk makanan tradisional termasuklah sata, keropok lekor, nasi dagang dan ketupat sotong. Menariknya, selain 4,000 pengunjung terutamanya pelancong asing direkodkan pada hari pertama, dijangka kira-kira 15 ribu pengunjung akan membanjiri festival itu sepanjang empat hari yang berakhir pada hari ini (Ahad).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib, berkata Kerajaan Negeri sentiasa mempelbagaikan program promosi dalam usaha menjayakan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2008.
Kita bermula pada awal 2007 lagi dalam mempromosikan Terengganu di dalam dan luar Negara dan kita jangka program promosi tidak akan terhenti dalam tahun ini malahan akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Karnival Terengganu serta `Soft Launch’ Festival Gamelan Antarabangsa (Peringkat Kebangsaan) di Menara Kuala Lumpur, semalam (15 Ogos).
Tambahnya, melalui program ini Kerajaan Negeri turut berhasrat untuk memperkukuhkan imej dan penjenamaan produk Terengganu bagi lebih berdaya saing di peringkat serantau.