Isnin, Ogos 31, 2009

Marzuki Mungkin Kekal T Team


KHIDMAT jurulatih, Che Ku Mar- zuki Che Ku Mohd. Nor masih diperlukan untuk membimbing pasukan T-Team mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Meskipun kontraknya masih belum ditandatangani secara rasmi, beliau sudah mendapat 'lampu hijau' daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).

Menurut Che Ku Marzuki, kontraknya yang akan tamat bulan depan dijangka disambung setahun lagi selepas berjaya membawa pasukan berstatus kelab itu itu ke kempen Liga Super musim depan.

"Setakat ini saya masih belum menandatangani kontrak tetapi pihak pengurusan ada memberitahu yang kontrak saya akan disambung setahun lagi.

"Ini penting untuk membolehkan saya membuat persiapan awal bagi membantu pasukan menghadapi kempen Liga Super tahun depan," katanya semalam.

Menurutnya, ketika ini pemain-pemain sedang berehat dan hanya akan memulakan sesi latihan pada 1 Okto- ber depan.

Sementara itu, pengurus T-Team, Datuk Rahin Mohd. Said berkata, persiapan termasuk mencari pemain-pemain baru sedang giat dijalankan.

"T-Team tidak mempunyai masa- lah untuk mendapatkan pemain baru.

"Pasukan ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri (Terengganu), jadi masalah pembayaran gaji pemain tidak timbul," katanya.

T-Team yang muncul naib juara Liga Perdana musim ini bakal mengerjakan umrah hasil wang RM100,000 yang dimenangi mereka.

"Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) sedang menguruskan hal tersebut dan mereka dijangka mengerjakan umrah selewat-lewatnya akhir tahun ini," katanya.

Rabu, Ogos 26, 2009

Mangsa Mercun

Seorang kanak-kanak, Muhammad Nur Sufyan, 6, dari Kampung Chabang Tiga, di sini, hilang tiga jari tangan kiri selepas terkena mercun pada hari pertama umat Islam berpuasa, Sabtu lalu.

Bapa mangsa yang hanya mahu dikenali Pak Zuki, 46, berkata beliau tidak tahu sama ada mercun yang meletup kira-kira jam 8.25 malam itu dibakar oleh anaknya atau kanak-kanak lain yang bermain di halaman rumahnya.

Katanya, selepas berbuka puasa beliau melihat anaknya keluar bersama sebatang lilin untuk bermain dengan beberapa rakannya di halaman rumah.

"Tidak lama kemudian saya terdengar letupan kuat dan melihat anak saya naik ke rumah dalam berlumuran darah dan saya bergegas membawanya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapat rawatan lanjut.

"Saya tak tahu sama ada dia bermain mercun atau terkena mercun sesat. ..Yang pastinya, saya tidak akan salahkah mana-mana pihak lain hingga anak saya ini kehilangan tiga jari," katanya ditemui di HSNZ di sini, semalam.

Muhammad Nur Sufyan kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan merawat luka selepas kehilangan ibu jari, jari telunjuk dan hantu serta luka ringan di muka dan badan.

Dam Aji Semakin Dilupakan

'Hoy hoy hoy
bangun ke laut eeh...
Takak ikang di Kuala Kemamang
Petang-petang wat kerpok gete

Ramai orang, atah gere
Main dam dua tiga papang
Dok sedor sampai ke malang
Kedai payang jual budu belacang
Batek tembaga dan macang-macang...'
Begitulah antara ungkapan lirik lagu Blues Terengganu dipopularkan oleh Saleem dari kumpulan Iklim yang sering meniti di bibir rakyat Terengganu malah turut popular sehingga ke serata negeri.

Lagu tersebut amat bermakna bagi rakyat Terengganu kerana liriknya banyak mempromosikan kawasan pelancongan serta budaya di negeri itu, termasuk permainan dam yang menguji kecekapan minda menakluk lawan.

Justeru budaya serta aktiviti rakyat Terengganu turut diperkenalkan dalam lagu tersebut yang suatu ketika dahulu amat popular menjadikan permainan dam di atas 'gere' (sebuah pondok rehat diperbuat dari kayu) di negeri Pantai Timur meliputi Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Namun masihkah anda ingat pada permainan dam itu yang satu ketika dahulu amat popular di kalangan penduduk kampung?

Mungkin ada yang sudah lupa memandangkan ia semakin jauh ditinggalkan dek zaman yang semakin moden.

Tambahan pula banyak permainan-permainan baru yang menggunakan teknologi terkini yang lebih menarik minat generasi baru kini.

Seperti yang kita maklum, permainan dam sering dikaitkan dengan aktiviti yang membuang masa.

Bagi si isteri, permainan dam mungkin menjadi musuhnya kerana akibat leka bermain permainan itu si suami sering pulang lewat ke rumah, malah kadang-kadang tidak pulang langsung kerana terlalu asyik bermain tanpa mengira pertukaran malam dan siang.

Ada yang lebih dahsyat kerana tidak pulang terus ke rumah dan sanggup tidur di 'gere' hingga ke pagi.

Namun bagi peminat dam, bermain bersama-sama rakan setelah penat ke laut atau ke bendang, pastinya dapat menghilangkan penat lelah bekerja seharian.

Sambil bertemankan cetong (sejenis bekas air) yang penuh berisi kopi bersama-sama biskut kering sudah cukup untuk menemani mereka bermain selama berjam-jam tanpa jemu.

Wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia berkesempatan menemui peminat permainan dam ini bagi mendapatkan dengan lebih jelas tentang kisah di sebalik permainan rakyat ini.

Bagi mereka yang tidak mengetahui tentang permainan dam ia merupakan sebuah permainan tradisional dan sering dimainkan oleh penduduk tempatan.

Difahamkan, permainan dam tersebut berasal daripada satu permainan lama yang dipanggil Alquerque yang asalnya dimainkan pada papan permainan lain pada sekitar abad ke-12.

Namun ada juga yang mengatakan bahawa ia telah dibawa oleh pedagang China yang datang belayar ke Tanah Melayu ketika itu.

Terdapat dua jenis dam yang popular masa kini iaitu Dam Aji dan Dam Malaysia dan ia hanya berbeza daripada jumlah buah dan syarat permainan.

Dam Aji mempunyai 12 buah manakala Dam Malaysia mempunyai 30 buah buah.

Permainan ini memerlukan sebuah papan yang bercorak kotak-kotak yang mempunyai dua warna mewakili dua pemain.

Lazimnya pada zaman dulu buah dam hanya menggunakan penutup botol atau kepingan kayu yang dicat berbentuk bulat dan pipih.

Dalam permainan tersebut, anda boleh mengambil kepingan pemain lawan dengan 'melompat' ke atas buah mereka dan bergerak secara bergilir-gilir mengikut pepenjuru dari satu petak ke petak yang lain.

Biasanya papan yang digunakan bersaiz 10x10 petak namun papan bersaiz 8x8 (papan catur) turut popular.

Menurut Pengerusi Persatuan Dam Aji Terengganu (Padat), Muhamad Azmi Ngah, 47, permainan dam amat popular di negeri Pantai Timur.

Katanya, setakat ini seramai 400 orang peminat dam telah menyertai persatuan tersebut dan sering terlibat dengan pertandingan yang diadakan.

Bagaimanapun jelasnya, ahli-ahli persatuan hanya terdiri daripada golongan tua sahaja.

''Permainan dam ini merupakan permainan rakyat yang semakin dilupakan justeru itu tidak ramai anak-anak muda yang berminat untuk bermain permainan berkenaan.

''Jadi Padat berusaha untuk mempopularkan kembali permainan ini ke peringkat yang lebih jauh selain memberi imej yang baik kepada aktiviti permainan dam yang sering dipandang serong oleh masyarakat," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada pertandingan dam di Stadium Negeri di sini, baru-baru ini.

Bagi Ibrahim Mohamad, 65, seorang pesara guru, dia mengakui bahawa bermain dam memberi keseronokan kepadanya.

Katanya, aktiviti bermain dam dijadikan sebagai hobi sejak dia masih remaja lagi.

''Dulu lazimnya selepas penat bekerja saya bersama rakan-rakan akan bermain dam beramai-ramai sehingga suasana jadi kecoh akibat hilai-tawa apabila masing-masing dapat 'makan' buah lawan.

"Ada satu ketika, papan dam yang digunakan menjadi lekuk akibat sering digunakan. Begitulah hebatnya penangan permainan dam ini," jelasnya.

Seorang lagi peminat permainan dam, Yaacub Mamat, 50, mengakui kemahiran permainan dam ini seperti kemahiran berperang.

Katanya, ini kerana pihak lawan perlu mempunyai kemahiran untuk menghalang daripada pihak lawan sampai ke kubu mereka.

''Permainan dam ini memerlukan kemahiran dan ketangkasan minda untuk berfikir selain bertindak bijak bagi mendapatkan buah lawan.

Selasa, Ogos 25, 2009

Sanggup Belasah Ibu sendiri

Berang selepas isterinya dituduh mencuri dua gelang emas, seorang lelaki sanggup menderhaka kepada emak kandungnya sendiri apabila tergamak membelasah warga emas itu hingga patah tangan kanan dan bengkak seluruh badan.

Pada mulanya, suri rumah malang berusia 62 tahun itu memanggil menantunya selepas mendapati dua gelang emas yang disimpan dalam sebuah beg di ruang tamu rumahnya hilang pada 15 Ogos lalu.

Dia bertanyakan menantunya yang berusia 20-an itu sama ada ternampak gelang yang disimpan dalam beg, tetapi isteri anak lelakinya itu menafikan pernah melihatnya.

Mangsa yang resah dengan kehilangan itu kemudian bertanyakan hal sama kepada anak lelakinya, tetapi dia kerap kali mengelak apabila diajukan pertanyaan mengenai barang kemas berkenaan.

Bagaimanapun, pada jam 6 petang Selasa lalu, anak lelaki wanita itu yang tinggal kira-kira 100 meter dari rumahnya, datang berjumpa ibunya yang sedang mengikat sayuran seorang diri di depan rumah di Kampung Tengkawang, dekat sini.

Lelaki itu terus menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap ibunya yang didakwa menuduh isterinya mencuri dua gelang emas yang hilang.

Berikutan itu, berlaku pertengkaran antara mereka menyebabkan si ibu menuduh anaknya mencuri barang kemas itu dan bukan menantunya kerana perkara sama pernah berlaku di rumah itu sebelum ini.

Berang dengan tuduhan ibunya, lelaki itu mencapai sebuah basikal di halaman rumah berkenaan dan melontarnya ke dinding rumah sebelum menghilangkan diri.

Dia muncul semula 10 minit kemudian dengan membawa sebatang kayu dan terus menyerang ibunya dengan membelasah badan dan tangan kanan mangsa sebelum meninggalkan warga emas berkenaan kesakitan di halaman rumahnya.

Mangsa yang bengkak badan dan cedera di lengan kanan kemudian menemui seorang tukang urut untuk mengurut sebelum diberitahu lengannya patah berikutan kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Tengku Hamzah Tengku Abdullah, berkata berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Berang di sini, Sabtu lalu.

Mangsa dihantar untuk rawatan di Hospital Hulu Terengganu, disahkan patah tangan kanan berikutan kejadian itu.

Tengku Hamzah berkata, polis sedang memburu anak lelaki mangsa dan isterinya, masing-masing berusia 20-an yang menghilangkan diri selepas kejadian dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja.

PASTIKAN JUADAH RAMADAN BERSIH


DALAM usaha menjamin kebersihan makanan di bazar-bazar Ramadan, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said melakukan pemeriksaan mengejut di beberapa kawasan jualan juadah berbuka puasa itu di sekitar Kuala Terengganu, kelmarin.

Dalam pemeriksaan tersebut, Ahmad turut menasihat para peniaga supaya mengikut garis panduan ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan negeri bagi memastikan keselamatan makanan terjaga.

Beliau berharap agar para peniaga juadah Ramadan tersebut tidak hanya mengejar keuntungan, sebaliknya turut mementingkan kesihatan dan keselamatan para pengguna dari semasa ke semasa.

Ahmad yang ditemani isteri, Toh Puan Norliza Mahmud juga mengambil peluang berkenaan untuk membeli beberapa jenis juadah berbuka puasa berupa kuih-muih tempatan di bazar berkenaan.

Isnin, Ogos 24, 2009

Berterawih Bersama Iman Makkah

Lima imam dari Makkah bimbing solat Terawih

Ramadan di Terengganu tahun ini dijangka lebih bermakna apabila Kerajaan Negeri membawa lima orang imam dari Makkah untuk membimbing solat Terawih di masjid terpilih seluruh negeri.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, semua imam terbabit telah tiba di Terengganu, seorang ditempatkan di Masjid Sultan Zainal Abidin, sementara tiga lagi akan diagihkan ke masjid di setiap daerah secara bergilir-gilir.

“Seorang imam akan ikut saya ke masjid yang saya kunjungi dan semua daerah berkesempatan solat Terawih bersama imam ini,” katanya selepas merasmikan Galeri Suteramas dan Karnival Jualan Mega Permint Sutera Semai, Chendering.

:Menurut Ahmad, usaha itu dilakukan bagi menarik minat orang ramai pergi ke masjid menunaikan solat Terawih kerana berdasarkan pengalaman solat Terawih kurang mendapat sambutan hingga ada masjid yang mempunyai dua baris makmum sahaja.

:“Saya harap kehadiran imam ini akan menceriakan minat untuk berterawih kerana pada tahun lepas ketika kita bawa imam luar masjid sentiasa penuh dan tahun ini akan menjadi satu kejayaan jika kita dapat penuhkan masjid,” katanya.

Ahad, Ogos 23, 2009

Bubur Lambuk Untuk Rakyat Terengganu

Kerajaan negeri akan mengadakan gotong-royong menyediakan bubur lambuk di seluruh negeri ini sebagai usaha merapatkan hubungan antara pelbagai peringkat masyarakat Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, ia merupakan antara program kemasyarakatan yang dirancang kerajaan negeri sepanjang bulan Ramadan.

Katanya, bahan-bahan masakan dan peruntukan yang akan digunakan untuk gotong-royong itu disumbangkan anak-anak syarikat dan agensi kerajaan negeri.

"Kita akan mengadakan gotong-royong ini mengikut permintaan penduduk. Hari ini kita adakan gotong-royong di Masjid Abidin di sini.

"Sebanyak 3,000 bubur lambuk diedarkan untuk penduduk Kuala Terengganu," katanya ketika ditemui di Masjid Abidin yang lebih dikenali sebagai Masjid Putih di sini hari ini.

Sabtu, Ogos 22, 2009

Terengganu Agih Kurma & Air Zam Zam Percuma

Kerajaan Negeri membelanjakan RM8.3 juta untuk membeli kurma dan air zam-zam untuk diagih kepada umat Islam di Terengganu pada bulan Ramadan ini.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata kerajaan merancang untuk mengagihkan 300,000 bungkus buah kurma dan air zam-zam itu kepada 300,000 buah rumah di seluruh negeri.


"Program agihan air zam-zam dan kurma ini akan dibuat pada minggu pertama atau kedua bulan puasa ini, dan semua umat Islam di negeri Terengganu akan menerimanya tanpa mengira fahaman politik mereka," katanya.



Beliau berkata pengagihan akan dilaksanakan oleh pihak Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) serta pejabat-pejabat Dewan Undangan Negeri.
Ahmad berkata kerajaan negeri sudah mengarahkan Pejabat Setiausaha Kerajaan supaya dapatkan senarai rumah-rumah termasuk taman-taman perumahan daripada JKKK bagi tujuan itu.

Khamis, Ogos 20, 2009

Perokok Terengganu meningkat

Jumlah perokok di Terengganu semakin membimbangkan apabila seramai 167,100 penduduk di negeri ini dikesan mengamal perbuatan yang boleh membawa maut itu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, jumlah tersebut menunjukkan sebanyak 15 peratus daripada 1.1 juta penduduk negeri ini merupakan perokok.

Katanya, kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan juga menunjukkan golongan berumur 13 hingga 18 tahun dan golongan wanita semakin membimbangkan.

''Untuk itu, kerajaan negeri akan bekerjasama Jabatan Kesihatan dalam mengadakan aktiviti Kempen Nafas Baru bagi menggalakkan perokok berhenti merokok," katanya ketika ditemui di selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Nordiyanah Hassan.

Ahmad berkata, dalam memperhebatkan kempen berhenti merokok itu, ceramah agama di radio bertajuk Merokok dari Perspektif Islam dan Kesan Merokok Kepada Kesihatan akan disiarkan dari semasa ke semasa di saluran Terengganu.fm.

Katanya, Jabatan Kesihatan negeri juga akan membuka gerai bergerak Tak Nak Merokok, setiap Ahad dan Rabu setiap minggu di bazar-bazar Ramadan berlainan.

Di gerai bergerak ini, ceramah 'Tak Nak Merokok dan kuiz akan diadakan. Selain itu, risalah dan poster cara-cara berhenti merokok juga akan diedarkan," katanya.

Beliau menambah, para perokok yang ingin mendapatkan maklumat mengenai kaedah untuk berhenti merokok juga boleh melawat klinik-klinik kesihatan berdekatan.

''Rakyat Terengganu perlu menggunakan peluang pada bulan Ramadan untuk memulakan langkah berhenti merokok," katanya.

Rabu, Ogos 19, 2009

Terengganu di jangka Juara Piala Presiden


Malam ini skuad Piala Presdien Terengganu akan menentang Johor FC bagi menentukan siapa juara Piala Presiden 2009. Perlawanan ini akan berlangsung di Pasir Gudang.

Terengganu mara ke akhir setelah mengalah Kuala Lumpur dan Johor Fc berjaya mengalah T Team di peringkat separuh Akhir.


Kelab Penyokongan Bola sepak Terengganu ( PETEH ) telah bertolak ke Johor malam tadi untuk memberi sokongan padu kepada skuad Terengganu.

Selasa, Ogos 18, 2009

T Team Laris Bak Goreng Pisang Panas

PASUKAN-PASUKAN yang akan beraksi pada saingan Piala Malaysia 2009 kini mempunyai masa 11 hari sebelum tarikh tutup untuk mendaftar maksimum tiga pemain berstatus pinjaman ditetapkan pada 27 Ogos ini, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.

Mereka bagaimanapun hanya dibenarkan untuk meminjam pemain-pemain dari pasukan yang tidak beraksi pada saingan Piala Malaysia yang akan bermula pada 26 September depan.

Ini bermakna, pemain-pemain yang boleh dipinjam hanyalah di kalangan pemain daripada pasukan T-Team, Proton FC, Felda United, PKNS, Shahzan Muda dan SDM Kepala Batas.

Namun, pemain-pemain yang paling laris diburu oleh 20 pasukan yang beraksi dalam Piala Malaysia sudah tentu daripada pasukan T-Team, naib juara Liga Perdana musim ini.

Tiga pemain T-Team iaitu penjaring terbanyak Liga Perdana, Haris Safwan Kamal; bekas kapten kebangsaan, Rosdi Talib dan pemain yang mengisi slot B-20 tahun, Fakhrurazi Musa sudah pun memilih untuk beraksi sebagai pemain pinjaman bersama pasukan KL Plus.

"Sejak dari awal musim KL Plus menyatakan minat untuk mendapatkan beberapa pemain T-Team jika kami tidak dapat beraksi dalam Piala Malaysia musim ini.
"Pengurusan mereka juga berurusan secara profesional dan berterusan menunjukkan minat untuk meminjam kami. Lagipun saya sendiri sudah biasa dengan Mat Zan Mat Aris (jurulatih KL Plus) dan beberapa pemain mereka," kata Rosdi, 33, ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selain itu, kapten T-Team, Hairuddin Omar juga menjadi buruan banyak pasukan untuk meminjamnya termasuk Perlis, Johor, Negeri Sembilan dan Kelantan tetapi pemain yang berasal dari Setiu itu masih belum membuat keputusan muktamad pasukan pilihannya.

Dua lagi pemain T-Team, Azrul Hazran Amiludin Baki dan Shafuan Adli Shaari pula dikhabarkan bakal dipinjam oleh skuad Perak.

Isnin, Ogos 17, 2009

Duku Terengganu Murah

Sehingga lima tahun lalu, musim duku adalah tempoh yang dinanti-nantikan pekebun kerana buah yang sinonim dengan Terengganu itu dapat dijual dengan harga antara RM3 hingga RM7 sekilogram, sekali gus menjanjikan pulangan baik untuk menampung sara hidup mereka sebagai petani.

Bagaimanapun, musim lumayan itu tidak kekal lama lantaran semakin banyak pokok duku yang ditanam menyebabkan lambakan di pasaran dan akibatnya, pekebun mula terasa perit apabila harga borong buah keluaran mereka kini dijual tidak lebih 50 sen sekilogram, tidak setimpal dengan penat lelah mereka.

Dengan harga itulah pekebun perlu mengagihkan untuk upah memetik dan menggred buah. Akan tetapi, pekebun tiada daya upaya untuk mengubah keadaan kerana bagi mengelakkan pembaziran mereka terpaksa juga menjual buah duku walaupun pada harga yang sangat rendah.

Bagi seorang pekebun duku, Fauzi Ilham, 32, dari Kampung Durian Bador, di sini, lambakan yang berlaku di pasaran adalah disebabkan kemasukan buah yang sama dari Thailand dan Palembang, Indonesia serta kawasan pasaran duku Terengganu yang terhad.

Selain kemasukan daripada negara asing, duku kini bukan lagi eksklusif di Terengganu malah ia turut subur di Kelantan dan Johor hasil program perkongsian benih diperkenalkan kerajaan sejak beberapa tahun lalu, sekali gus menyebabkan duku negeri ini tidak lagi dapat menembusi pasaran besar di negeri berkenaan.

"Bukan saja duku Terengganu tidak dapat menembusi pasaran berkenaan, malah pasaran di negeri ini sendiri turut 'diganggu' dengan kemasukan duku daripada negeri berkenaan, sementara yang diimport dari negara luar membanjiri pasaran utama di Lembah Klang," katanya.

Mohd Hilmi Jaafar, 25, yang turut mengeluh kerana harga duku yang terlalu murah berkata pengeluaran serentak di Johor dan Kelantan menyebabkan lambakan serius hinggakan pemborong hanya dapat membeli pada harga 50 sekilogram daripada kebunnya dan dijual kepada peruncit antara 80 sen hingga RM1 sekilogram yang kemudian menjual kepada orang ramai pada harga antara RM1.50 hingga RM2 sekilogram.

"Harga duku Terengganu beberapa tahun lalu dijual dengan harga antara RM3 hingga RM7 sekilogram," katanya.

Ngah Embong, 65, dari Kampung Beladau Kolam, Kuala Terengganu pula berpendapat lambakan ini akan dapat diatasi jika agensi kerajaan seperti Fama dan Mardi dapat membuat kajian bagi membolehkan musim berbunga dan berbuah yang tidak serentak di kalangan negeri pengeluarnya.

Masalah harga duku atau nama saintifiknya, lansium domesticum menyebabkan pekebun terpaksa meminta campur tangan agensi kerajaan. Rungutan pekebun sebelum ini menyebabkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) membeli terus buah daripada pekebun untuk dipasarkan ke seluruh negara.

Sabtu, Ogos 15, 2009

T’Shoppe Saluran Runcit Usahawan Melayu

Pembukaan rangkaian kedai serbaneka T’Shoppe nyata melegakan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di mana sebelum ini sukar untuk memasuki pasar raya ternama di negeri ini.

T’Shoppe dikelola anak syarikat Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) iaitu Cakna Sdn Bhd, menyediakan hampir 200 jenis produk tempatan seperti minyak urut berasaskan herba, cuka nipah; keropok lekor serta karipap segera dan jus rossele dengan melibatkan 95 usahawan dan syarikat.

Sehingga kini, tiga T’ Shoppe sedang beroperasi iaitu di Jalan Gong Kapas, Kuala Berang dan Dataran Shahbandar dan empat bakal dibuka dalam tempoh terdekat di Kelulut, Marang; Geliga, Kemaman; Paka, Dungun dan Gong Kemuntung, Besut.

Bagi memperkenalkan T’ Shoppe di mata masyarakat, YPU turut memperluaskan rangkaiannya di luar Terengganu, termasuk Johor menempatkan empat rangkaian, Selangor (3 buah) dan satu T’ Shoppe di Melaka.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata T`Shoppe merupakan alternatif terbaik yang dilaksanakan YPU bagi membantu golongan usahawan yang sebelum ini sukar mendapat tempat di pasar raya terkenal di negeri ini.

Katanya, pihaknya yakin usaha ini akan memberi persaingan hebat antara rangkaian kedai lain yang memberi perkhidmatan hampir sama.

“Oleh itu, bagi memperhebatkan rangkaian itu, YPU mensasarkan 90 T`Shoppe bakal dibuka di seluruh negara, sama ada diuruskan Cakna atau perkongsian pintar (Joint Venture Company).

“Sebagai pelengkap kepada jaringan T’Shoppe, YPU mewujudkan Pusat Pengumpulan, Pembungkusan dan Pemasaran (TP3) semata-mata bagi menjalankan aktiviti berkaitan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan T’Shoppe, di Gong Kapas, Kuala Terenganu.

Khamis, Ogos 13, 2009

Duku Tertua

Buah duku atau nama saintifiknya, Lansium Domesticum merupakan sejenis buah daripada spesies yang sama dengan langsat, dokong dan duku langsat.

Namun yang membezakannya ialah ada sejarah di sebalik kewujudan buah duku ini di negeri Terengganu.

Percayakah anda, sebatang pokok buah duku yang berusia 250 tahun masih lagi berbuah dan isinya masih manis dan lazat?

Ini bukan cerita karut atau dongeng semata-mata kerana jika anda berkunjung ke negeri Terengganu jangan lupa untuk ke Kampung Cerana kerana terdapat sebatang pokok buah duku yang telah wujud sejak 250 tahun dahulu.

Apa yang menghairankan, pokok duku tersebut masih mengeluarkan buah yang lebat, namun bezanya ia tinggi dan saiznya besar seperti pokok kayu balak yang mana berbeza dengan pokok duku yang biasa bersaiz kecil dan rendang.

Menurut legenda cerita rakyat, pokok duku merupakan sejenis pokok liar telah ditemui oleh seorang penduduk di kampung tersebut.

Kemudian, penduduk berkenaan mempersembahkan buah itu kepada sultan kerana mendapati rasanya sangat manis dan lazat.

Selain itu, ada cerita yang menyatakan pokok duku berusia 250 tahun itu merupakan baka generasi kedua daripada pokok induk yang telah musnah akibat kebakaran hutan yang berlaku ketika perang Jepun dahulu.

Jadi, pokok itu dipercayai merupakan pokok duku yang tertua di negeri ini.

Begitulah asal-usul buah duku yang terdapat di Terengganu, maka tidak hairanlah mengapa buah duku amat terkenal di sini.

Salah sebuah kawasan yang amat terkenal dengan pengeluaran buah duku ialah di sekitar Kampung Beladau, Kepong dan Kampung Serada yang mana kampung itu berdekatan dengan pokok duku tertua itu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati hampir 50 buah gerai buah duku ditemui di sepanjang jalan perkampungan tersebut.

Bagaikan berada di kebun buah duku apabila melalui kawasan berkenaan apabila dapat melihat deretan pokok duku hampir di setiap rumah penduduk kampung.

Bagi penulis yang baru tiga minggu berpindah ke Terengganu, pemandangan tersebut amat menyeronokkan apabila dapat melihat gugusan buah duku bergantungan di dahan-dahan sepanjang menyusuri jalan tersebut. Pastinya di Kuala Lumpur kempunan melihat pemandangan begini.

Hampir semua ruang tanah kosong tidak kelihatan di kawasan ini kerana ia dipenuhi dengan lautan pokok duku yang sedang berbuah lebat dan masak ranum.

Seorang peniaga yang ditemui, Esah Embun, 55, berkata, dia yang telah menjalankan perniagaan menjual duku sejak 10 tahun lalu mengakui duku sekitar kawasan itu berbeza daripada tempat lain.

Jelas beliau, isinya yang jernih dan manis sering menjadi tumpuan pembekal duku untuk mendapatkan duku dari kawasan itu.

Katanya, setiap tahun, pada musim buah duku iaitu bulan Julai, Ogos, September dan Oktober, kawasan itu seperti ada keramaian kerana ramai peminat buah berkenaan dari seluruh negeri akan mengunjungi kampung tersebut.

"Lagipun, harga yang dijual hanya RM1 atau RM2 sekilo menyebabkan peminat buah ini tidak berfikir panjang untuk membeli sebagai buah tangan jika singgah ke sini.

"Selain berniaga di sini setiap hari, bekalan duku turut dihantar ke bandar-bandar lain untuk memenuhi permintaan luar," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kampung Beladau, Kepong baru-baru ini.

Bagi Mohd. Yatim A. Rahman, 55, musim buah duku membantu keluarganya menambah pendapatan.

Ujarnya, walaupun dia tidak mempunyai kebun buah duku, namun dia lebih selesa memajak kebun orang lain untuk menjual hasilnya.

"Kebanyakan orang di sini mempunyai kebun duku yang luas, jadi saya mengambil kesempatan memajak kebun mereka dengan mengupah individu yang berminat mengutip buah itu dengan bayaran RM10 untuk sebakul buah duku.

"Sehari kebiasaannya dapat memperoleh lebih tiga hingga lima tan buah duku untuk pasaran luar Terengganu," jelasnya.

Seorang penggemar buah duku berasal dari Kampung Binjai Berambu, Ahmad Sabri Awang, 52, mengakui dia amat menggemari buah duku dari sekitar ini.

"Jika saya melalui kawasan ini pastinya saya akan singgah untuk menikmati keenakan buah ini yang masih segar dan baru dikutip oleh peniaga," ujarnya.

Rabu, Ogos 12, 2009

Pampasan Telah Dibayar

Semua 35 pemilik rumah kedai berusia lebih 100 tahun di Jalan Bandar berdekatan Pasar Besar Kedai Payang di Kuala Terengganu yang akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada rancangan pembangunan semula pusat bandar raya sudah diberikan pampasan masing-masing.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata semua peniaga berkenaan sudah dibayar pampasan sejak 1990-an kerana rancangan pembangunan semula itu sudah lama diputuskan tetapi tidak dilaksanakan berikutan menghadapi beberapa masalah.

"Isu ini sudah lama, (sejak) tahun 1990-an lagi mereka sudah terima bayaran. Cuma projek itu tertangguh kerana ada sedikit masalah, setengah itu dah menyewa tempat perniagaan lain.

"Jadi tak betullah kalau mereka tak nak keluar. Mereka bukan diberi notis sehari dua... dah bertahun. Apa yang kita nak buat sekarang ialah membangunkan bandar dan membesarkan jalan," katanya selepas merasmikan Kursus Dana Bakti Remaja peringkat Parlimen Kemaman di Dewan Orang Ramai Bukit Kuang di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas bantahan lebih 30 peniaga dan penyewa premis di Jalan Bandar dan Jalan Banggol yang diberikan notis untuk mengosongkan premis mereka sebelum esok oleh Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu bagi membolehkan kerja-kerja pembangunan dilakukan.

Akhbar ini baru-baru ini mendedahkan bantahan peniaga terbabit yang mahu kerajaan negeri menyediakan kos perpindahan selain pampasan pengambilalihan tanah di kawasan itu.

Mengulas mengenai program Dana Bakti itu, Ahmad berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM30 juta tahun ini untuk diagihkan kepada lebih 10,000 anak Terengganu berusia 21 tahun ke atas.

"Menerusi program ini juga kita akan memperkenalkan satu lagi kursus khas selama tiga hari dua malam untuk remaja terpilih bagi membolehkan mereka membina jati diri dan semangat cintakan negara.

"Mereka yang terpilih akan diberikan elaun sebanyak RM300 sebagai insentif menyertai kursus itu," katanya.

Selasa, Ogos 11, 2009

Terengganu guna MySMS 15888

Terengganu memperkenalkan perkhidmatan baru menerusi Gerbang Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) Kerajaan Negeri, MySMS 15888 bermula hari ini dalam usahanya meningkatkan jentera pentadbiran negeri secara lebih efisien.

Sistem itu dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sekali gus menjadikan Terengganu negeri kedua selepas Perak yang memperkenalkan kaedah tersebut sehingga kini.

Ahmad berkata, perkhidmatan seumpama itu membolehkan rakyat di negeri ini mendapat lebih banyak pilihan dalam meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kerajaan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, pelaksanaan itu bukan bermakna sistem atau perkhidmatan sedia ada tidak lagi berkesan.

"Khidmat SMS ini diharap dapat memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat menggunakan SMS secara selaras dengan menggunakan nombor 15888.

"Tak semestinya sistem sedia ada tidak bagus, lebih banyak saluran lebih bagus," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUK), Datuk Mokhtar Nong dan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Normah Yusof.

Khidmat SMS itu dikendalikan sepenuhnya oleh MAMPU yang berpusat di ibu negara manakala urusan perkhidmatannya pula oleh agensi-agensi terlibat.

Sementara itu, Normah pula berkata, sistem tersebut sudah setahun diperkenalkan di peringkat Pusat sebelum diperluaskan ke negeri-negeri.

"Selepas setahun diperkenalkan, sudah 85 agensi menggunakannya dan sekarang ada 1,326 jenis perkhidmatan yang menggunakan nombor rasmi kerajaan 15888," ujarnya.

Isnin, Ogos 10, 2009

34 rumah kedai tetap dikosongkan

Sebanyak 34 premis rumah kedai di Jalan Bandar dan Jalan Banggol di Kuala Terengganu tetap akan dikosongkan walaupun terdapat segelintir peniaga yang membantah tindakan tersebut.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, tindakan tersebut perlu bagi memenuhi tuntutan pembangunan semula yang telah dirancang sebelum ini dapat dilaksanakan seperti yang dijadualkan.

Katanya, langkah itu juga penting agar pemandangan bangunan usang dan uzur tidak lagi kelihatan di bandar raya Kuala Terengganu.



"Tidak dapat tidak, arahan pengosongan itu perlu dipatuhi oleh peniaga tersebut. Jika mereka gagal berbuat demikian, mereka akan menanggung kerugian apabila ia dirobohkan kelak.

"Tidak timbul soal kerajaan tidak realistik tentang pemberitahuan notis pengosongan yang didakwa peniaga lambat diberitahu. Masa yang diberikan kepada mereka telah mencukupi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Dana Bakti Remaja Parlimen Kemaman 2009 di Kampung Bukit Kuang di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang laporan akhbar mengenai rungutan 34 peniaga di Jalan Bandar dan Jalan Banggol yang terpaksa mengosongkan premis rumah kedai tersebut untuk memberi laluan kepada pembangunan semula.

Bagaimanapun, peniaga mendakwa mereka dizalimi kerana notis pemberitahuan yang diberikan lambat dimaklumkan selain kerajaan tidak menyediakan lokasi baru untuk menjalankan perniagaan.

Sabtu, Ogos 01, 2009

Dua Kasut Emas Bakal Milik Terengganu?

DUA pemain Terengganu berpeluang untuk membawa pulang anugerah Kasut Emas yang menjadi rebutan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Berdasarkan kedudukan semasa, pemain tengah Terengganu, Mohd. Ashaari Shamsu- din dan penyerang sensasi T-Team, Mohd. Haris Safwan Kamal berpeluang untuk meme- nangi anugerah itu.

Ini kerana kedua-dua pemain itu kini memimpin carta teratas dalam senarai penjaring terbanyak, masing-masing dalam kempen Liga Super dan Liga Perdana.

Bagaimanapun, nasib Mohd. Ashaari akan ditentukan pada perlawanan terakhir Liga Super menentang Negeri Sembilan di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi malam ini.

Selain perlu menambah jaringan, dia juga berharap pencabar terdekat, Nizaruddin Yusof (Perlis) dan Indra Putra Mahayuddin (Kelantan) tidak menambah jaringan mereka.

Setakat ini, Mohd. Ashaari dan Nizaruddin berkongsi kedudukan teratas dengan 16 gol manakala Indra Putra mengekori rapat di belakang dengan 14 gol.

HARIS (kiri) telah merekodkan 23 gol dalam kempen Liga Perdana musim ini.

Namun pemain Perak, Razali Umar Kandasamy dan Amri Yahyah dari Selangor yang telah menjaringkan 13 gol juga berpeluang untuk memintas kedudukan itu.


Bagaimanapun, trofi Kasut Emas dalam kempen Liga Perdana hampir pasti menjadi milik Mohd. Haris Safwan.

Bekas penyerang kebangsaan yang memakai jersi No. 23 untuk pasukan T-Team ini telah menjaringkan 23 gol, lapan gol di hadapan pencabar terdekat, Ahmad Shakir Mohd Ali.

Ketika saingan liga cuma berbaki satu perlawanan, adalah mustahil untuk penyerang Harimau Muda itu menjaringkan lapan gol, sekali gus memintas kedudukan Mohd. Haris Safwan.

Jurulatih T-Team, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd. Nor berkata, Mohd. Haris Safwan yang tidak diturunkan ketika membelasah Sabah 4-1, Rabu lalu sudah pulih daripada kecederaan.

Katanya, dia akan memikul tugas penting pada perlawanan terakhir liga bertemu Shah- zan Muda di Stadium Darul Makmur, Kuantan esok.

"Mohd. Haris Safwan akan mengetuai jentera serangan pasukan pada perlawanan menentang Shahzan Muda esok.

"Pertemuan itu dianggap penting kerana selain ingin memastikan dia membawa pulang trofi Kasut Emas, kami juga berazam untuk menjadi juara liga," katanya.

Namun, T-Team hanya akan dinobatkan sebagai juara liga sekiranya mereka berjaya menewaskan Shahzan Muda dan Harimau Muda tumbang kepada Kuala Lumpur di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Musim lalu, kedua-dua trofi Kasut Emas ini dimenangi pemain import iaitu penyerang Kedah, Marlon Alex James (Liga Super) dan Mouhamadou Moustapha dari Kelantan (Liga Perdana).

T Team Pasti Kaut Habuan Juara Walaupun Kalah

MALAM esok, Harimau Muda bakal bergelar juara Liga Perdana 2009 jika mengalahkan Kuala Lumpur tetapi mereka terpaksa menerima hakikat tidak akan mendapat sebarang habuan sebaliknya pasukan di tangga kedua, T-Team akan tersenyum lebar apabila imbuhan juara akan masuk ke kantung mereka. akan melengkapkan jadual Liga Perdana 2009 dengan menentang Kuala Lumpur dan kemenangan akan menobatkan skuad bimbingan jurulatih Ong Kim Swee itu sebagai juara musim ini.

Mungkin kedengaran agak aneh apabila skuad bergelar juara tidak akan mendapat sebarang imbuhan yang ditawarkan kepada pasukan yang memenangi Liga Perdana tapi itulah hakikat yang terpaksa ditelan Harimau Muda.

Kalaupun di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok menyaksikan Harimau Muda menang sekali gus bergelar juara, mereka hanya boleh berbangga dengan gelaran semata-mata dan pasukan yang bakal tersenyum lebar ialah T-Team kerana walaupun menduduki tangga kedua, semua keistimewaan termasuk imbuhan selaku juara akan masuk ke kantung mereka.

Enggan perkara itu menimbulkan sebarang reaksi yang tidak diingini, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Che Mat Jusoh bingkas melerai semua persoalan yang dirasanya mungkin ditimbulkan banyak pihak.

Antara persoalan yang dijangka hangat ialah FAM pastinya dianggap bertindak tidak adil kepada Harimau Muda sedangkan barisan pelapis negara itu sudah berhempas pulas sepanjang musim dan usaha itu langsung tidak diberi ganjaran.


“Harimau Muda dibawa masuk ke Liga Perdana dengan tujuan pendedahan. Justeru, mereka tidak boleh diberikan hadiah imbuhan yang menjadi rebutan semua pasukan. Bukan kita mahu menganiaya Harimau Muda tapi semua syarat kemasukan mereka ke dalam Liga Perdana sudah diterangkan terlebih dulu.

“Harimau Muda mendapat keistimewaan yang tidak dikecapi pemain lain. Mereka tidak perlu mengharungi saingan liga bawahan seperti Piala FAM dan sebagainya sebelum layak ke Liga Perdana. Harimau Muda terus dibawa masuk ke Liga Perdana tanpa perlu bersusah payah seperti pasukan lain.

“Saya tidak begitu ingat akan butiran terperinci mengenai keistimewaan lain yang dimiliki Harimau Muda tapi apabila bercakap soal hadiah kemenangan selaku juara, saya mengesahkan bahawa mereka tidak akan menerima imbuhan berkenaan walaupun mengungguli liga musim ini.

“Mereka semua dibayar gaji oleh FAM dan saya berpendapat, apa yang dihulur FAM kepada mereka selama ini adalah sesuatu yang wajar. Mereka tidak boleh membantah sekiranya tidak diberikan imbuhan selaku juara,” kata Che Mat.

Masa depan Harimau Muda di dalam kancah bola sepak negara juga masih belum dapat diputuskan walaupun secara logiknya, setiap pasukan yang memenangi Liga Perdana akan mendapat tempat beraksi di Liga Super musim depan.

Jika FAM berhasrat untuk memberi pendedahan, Harimau Muda sepatutnya perlu diberikan peluang untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman dan Liga Super adalah tempat terbaik untuk mereka.

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH
Terengganu juara Sukma: KONTINJEN Terengganu bersorak riang selepas muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XII yang berakhir di Kuala Terengganu, malam tadi. Tuan rumah mencipta sejarah mengutip emas terbanyak dalam penyertaan Sukma selepas meraih 61 pingat emas 39 perak dan 47 gangsa meninggalkan Selangor yang muncul naib juara dengan 54-47-52 manakala Sarawak tempat ketiga, (52-52-42). Upacara penutup temasya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

MENAKJUBKAN

MENAKJUBKAN
TERENGGANU juara SUKMA, Juara Bola Sepak, Raja Pecut, Raja Ragbi, Raja Kenu, Raja Kayuh. Kemenangan Terengganu kebanyakkan diperolehi melalui sukan objektif seperti olahraga, basikal, kenu berbanding dari sukan subjektif.

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG
Skretariat SUKMA Terengganu mendapat pujian daripada Kontingen-kontingen negeri, Media massa, pegawai sukan & orang ramai tentang kecermlangan pengurusan & pentadbiran SUKMA. SUKMA di Terengganu di iktiraf sebagai pengurusan SUKMA terbaik, pengadilan yang paling bersih,penyertaan penonton paling ramai, kemudahan paling lengkap, rekod baru paling banyak dicipta & tanpa kontraversi. Paling hairan Jawatakuasa rayuan tidak mnerima apa-apa rayuan dari kontingen yang bertanding. TAHNIAH.

INDUSTRI TERNAK KAMBING

INDUSTRI TERNAK KAMBING
Cosmopal Sdn Bhd, anak syarikat Arus Zaman Sdn Bhd, melabur sebanyak RM2 juta dalam penternakan kambing di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Serating, dekat sini dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai pengeluar terbesar ternakan itu di negara ini pada masa depan. Pengarahnya, Zainudin Zakaria berkata setakat ini, syarikat mempunyai sebanyak 1,400 kambing baka Jamnapari, bernilai antara RM750 dan RM850 seekor, di ladang seluas kira-kira 30 hektar itu.

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN
DAS berkata kerajaan banyak menyediakan kemudahan untuk pelajar melonjakkan diri untuk mencapai kejayaan cemerlang. Kerajaan sanggup menyediakan peruntukkan besar untuk sektor pendidikan bagi menjadikan negeri terulung melahirkan pelajar yang cemerlang.

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI
DAS mengucap tahniah kepada Wan Ahmad Nizam, Ketua Kontingen SUKMA Terengganu kerana berjaya menjadi juara SUKMA ke 12. Di atas kemenangan itu, DAS memberi cuti kepada rakyat Terengganu.

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU
PM bersetuju untuk melulus pembinaan sekolah sukan seperti sekolah sukan di Bukit Jalil & Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor di Terengganu. Sekolah ini akan dibina di sebelah kompleks sukan negeri, Gong Badak.