Hakisan pantai yang semakin buruk menyebabkan nelayan terpaksa menanggung kerugian apabila peralatan menangkap ikan termasuk jentera penarik bot yang diletakkan di tepi pantai dihanyutkan ombak besar terutama ketika musim tengkujuh sekarang.
Selain kehilangan peralatan menangkap ikan, nelayan dan penduduk juga bimbang kerana hakisan sudah merebak hingga ke pinggir jalan sekali gus menumbangkan pokok yang mengindahkan kawasan pantai itu.
Seorang nelayan, Zulkifli Manan, 35, berkata dalam kejadian ombak besar terbaru Isnin lalu, dia dan beberapa rakan yang sedang berada di pondok di tepi pantai itu terpaksa bertungkus lumus menyelamatkan diri apabila air laut naik mendadak diikuti ombak besar.
“Dalam tempoh sekejap saja air sudah menenggelami kawasan ini dan apabila menyedari pelantar dan pondok ini akan roboh, kami berhempas pulas menyelamatkan pelbagai peralatan terutama bot gentian kaca dan pukat.
![]() |
“Tetapi dalam keadaan getir itu, kami hanya sempat menyelamatkan bot gentian kaca dan terpaksa berputih mata apabila pukat dihanyutkan arus,” katanya ditemui di kawasan pantai itu, kelmarin.
Pengalaman menghadapi musim tengkujuh menyebabkan nelayan di kawasan itu lebih berhati-hati dan membuat persediaan termasuk membawa bot dan peralatan menangkap ikan ke darat walaupun keadaan itu tidak lagi dapat menghindarkan mereka daripada kerugian berikutan ombak ganas yang sudah menghakis sebahagian besar pantai itu, tambah Zulkiffli.
Kamal Hussin, 30, pula meminta kerajaan membina benteng pemecah ombak bagi mengelakkan hakisan bertambah teruk di kawasan pantai itu sekali gus memudahkan nelayan mencari rezeki tanpa dirundung kebimbangan peralatan menangkap ikan mereka akan dihanyutkan ombak.
“Setiap kali musim tengkujuh kami tidak dapat tidur lena kerana bimbang memikirkan ombak besar mungkin menghanyutkan bot kami di pantai,” katanya sambil menambah
Penduduk, Hasnordin Md Nor, 30, juga berharap kerja membina benteng pemecah ombak dan menambak pantai itu dapat disegerakan bagi mengelakkan hakisan lebih buruk hingga menghilangkan terus keindahan kawasan pantai itu yang sebelum ini menjadi antara destinasi riadah utama penduduk sekitar daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Nasir Ibrahim Fikri ketika dihubungi menjelaskan pihaknya maklum dengan kejadian itu dan sudah meminta kerajaan negeri mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan hakisan menghilangkan terus keindahan pantai Tok Jembal.
Katanya, kerajaan negeri perlu mengambil langkah segera untuk mengelakkan keadaan hakisan menjadi bertambah buruk hingga menjejaskan kehidupan nelayan serta merosakkan keindahan kawasan itu.
“Seperti yang dapat kita lihat semakin banyak pokok rhu yang mengindahkan kawasan ini menyembah bumi berikutan hakisan pantai yang semakin buruk. Jika keadaan ini tidak dibendung, jangan terkejut dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang tiada lagi pokok rhu dan padang menghijau di pinggir pantai ini sebaliknya bertukar menjadi kawasan berpasir,” katanya.