Ahad, Januari 31, 2010

Main 10 Orang Pun Boleh Menang


PEMAIN Terengganu, Firdaus Mohd. Faudzi (kanan) diasak pemain Kuala Lumpur, Ahmad Dashila Tajudin pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi. Terengganu menang 2-0.


SEKALIPUN beraksi dengan 10 pemain, Terengganu berjaya mempamerkan semangat juang tinggi untuk menewaskan Kuala Lumpur 2-0 pada aksi Liga Super malam tadi.

Tiga mata penuh yang diraih itu menyaksikan Terengganu terus melebarkan rekod bersih di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Pada aksi malam tadi, rentak bergaya mula disajikan skuad Penyu seawal minit kedua apabila Zairo Anuar Zailani meletakkan tuan rumah di hadapan menerusi satu sepakan percuma dari luar kotak penalti.

Pada minit ke-30, pasukan pelawat hampir menyamakan kedudukan, namun rembatan jarak jauh daripada Yong Kuang Yong sekadar melewati palang gol.

Babak kedua bersambung, aksi keras dipamerkan kedua-dua pasukan yang menyaksikan Terengganu terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Mohd. Muhaimin Omar dilayangkan kad merah.

Muhaimin diperintah keluar padang oleh pengadil, Abdul Jalil Khalid pada minit ke-54 selepas pertahanan tuan rumah itu melakukan terjahan keras ke atas Kuang Yong.

Bagaimanapun, kekurangan itu tidak menjejaskan rentak Terengganu apabila Ashaari Shamsudin berjaya menjaringkan gol kedua pada lewat perlawanan.

Jaguh Basikal Kawin

JAGUH lumba basikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang, 22, selamat diijabkabul dengan pasangannya, Athiah Ilyana Abd. Samat, 24, di kediaman pengantin perempuan di Meru Height, Ipoh semalam.

Pasangan itu dinikahkan oleh Imam Masjid Al-Muttaqin, Taman Meru, Zaini Bakri dengan disaksikan keluarga kedua-dua belah pihak pada kira-kira 11.30 pagi.

Terdahulu, majlis pertunangan dilangsungkan pada pukul 11 pagi tadi.

Azizulhasni sah bergelar suami selepas lafaz akad yang ketiga dengan membawa 11 dulang hantaran termasuk pingat emas yang dimenanginya pada Kejohanan Piala Dunia Klasik di Beijing, China minggu lepas manakala pengantin perempuan membalas dengan 13 dulang hantaran.

Athiah Ilyana turut menerima wang hantaran RM8,000 dan mas kahwin RM2,000 beserta seutas rantai emas.

“Pernikahan ini telah menyemarakkan lagi semangat saya untuk merangkul lebih banyak kejayaan termasuk kejohanan terdekat, Piala Dunia di Copenhagen, Denmark, Mac depan.

“Saya akan pulang semula ke Melbourne, Australia pada 7 Februari ini bagi menjalani persiapan akhir untuk menyertai kejohanan tersebut,” kata Azizulhasni.

Azizulhasni berkata, dia mengenali isterinya menerusi laman web rangkaian sosial, Friendster sebelum mereka menjalin hubungan serius selepas Sukan SEA di Korat, Thailand pada 2007.

Dia yang mendapat jolokan The Pocketrocket Man memberitahu semenjak itu, Athiah Ilyana telah menjadi sumber inspirasi baginya untuk meraih kejayaan di pentas antarabangsa.

Menurutnya, majlis resepsi mereka akan diadakan pada Disember depan, iaitu selepas temasya Sukan Komanwel di New Delhi, India.

Ketika ini, Azizulhasni melanjutkan pengajian ijazah pertama dalam jurusan Perdagangan di Universiti Deakin, Melbourne manakala Athiah Ilyana pula menyambung pengajian peringkat sarjana jurusan Arkitek di Universiti Deakin, Geelong, Australia.

Sabtu, Januari 30, 2010

Kuala Lumpur Mangsa Terengganu


KEKALAHAN 1-2 kepada Negeri Sembilan di Paroi Selasa lalu tidak menjejaskan semangat pemain-pemain Terengganu dalam misi menguasai saingan Liga Super musim ini.

Jurulatih, Irfan Bakti melahirkan keyakinan bahawa skuad kendaliannya itu akan bangkit bagi menebus kekecewaan lalu apabila melayan kunjungan Kuala Lumpur malam ini.

Terengganu yang masih mengekalkan rekod bersih di gelanggang sendiri akan menghadapi skuad Ibu Kota itu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dengan misi memburu kemenangan keempat.

"Kami perlu kembali fokus kepada perlawanan ini (menentang Kuala Lumpur) dan segera melupakan kekalahan di Paroi Selasa lalu.

"Lagipun, kekalahan kami kepada Negeri Sembilan itu bukan disebabkan kelemahan kami, tetapi dua gol yang dihasilkan pasukan lawan berpunca daripada kesilapan pemain kami sendiri," jelas Irfan semalam.

Justeru, bekas jurulatih Perlis itu mahu pemainnya lebih kimited serta dan tidak melakukan sebarang kesilapan yang boleh membawa padah kepada pasukan.

Katanya, tiga mata amat penting buat Terengganu lebih-lebih lagi persaingan yang semakin sengit dalam kedudukan liga ketika ini.

"Kami bukannya mahu menang besar, yang penting tiga mata penuh tidak tercicir. Kemenangan amat penting bagi mengukuhkan kedudukan pasukan dalam saingan liga," jelasnya.

Selepas melalui enam perlawanan, Terengganu kini mengumpul 11 mata untuk berada di tangga kedua, iaitu empat mata di belakang pendahulu, Selangor.

Bagaimanapun, dua pasukan dari utara, Kedah dan Perlis mengekori rapat di tangga ketiga dan keempat, dibezakan dengan satu mata di belakang Terengganu.

"Kalau kita lihat, Kuala Lumpur bukanlah pasukan belasahan dan seperti biasa, saya sentiasa mengingatkan pemain agar tidak terlalu mengambil mudah perlawanan esok (malam ini)," ujarnya.

Mengenai barisan pemain, Irfan bakal menurunkan kembali Helmi Rameli untuk bergandingan dengan kapten, Marzuki Yusof dan Rooney Harun di bahagian pertahanan.

Penyerang prolifik, Abd. Manaf Mamat pula sekali lagi menjadi taruhan di bahagian serangan bersama-sama Mohd. Ashaari Shamsuddin dan Firdaus Faudzi.

Jumaat, Januari 29, 2010

RM14.4b bangunkan Terengganu

Terengganu memerlukan peruntukan kira-kira RM14.4 bilion untuk membangunkan negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, peruntukan itu diperlukan untuk melaksanakan projek yang dirangka di bawah perancangan Hala Tuju Pembangunan Negeri Terengganu 2009-2013.


Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri hanya mampu menyediakan RM8 bilion dalam tempoh itu berdasarkan anggaran hasil negeri hanya sekitar RM1.6 bilion setahun.

‘‘Ini bermakna perancangan yang dibuat masih lagi kekurangan peruntukan kira-kira RM6.4 billion.

‘‘Kerajaan negeri merasakan bahawa kekurangan peruntukan ini akan ditampung melalui peruntukan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Dialog Rancangan Malaysia Ke-10 dengan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Ahmad berkata, setakat ini, hampir RM3.7 billion diperuntukkan bagi bajet keseluruhan Terengganu untuk 2009 dan 2010.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri meletakkan empat teras pembangunan yang akan mempengaruhi pembangunan ekonomi negeri.

‘‘Ia adalah pendidikan dan pembangunan sumber manusia, pertanian dan asas tani, pelancongan, dan industri, perdagangan, perkhidmatan dan ICT.” katanya.

Beliau memberitahu, pemfokusan kepada aktiviti di dalam sektor berkenaan tidak bermakna kerajaan negeri akan mengabaikan pembangunan sektor lain.

‘‘Sektor-sektor pembangunan lain turut dijangka menyumbang dalam pembangunan ekonomi negeri melalui peranan mereka sebagai penyokong, penghubung dan pemangkin dalam pembangunan ekonomi,” jelasnya.

Khamis, Januari 28, 2010

Kemenangan Pertama T Team


KEGEMBIRAAN jelas terpancar pada wajah jurulatih skuad T-Team, Che Ku Marzuki Mohd Nor apabila anak buahnya berhasil mengutip mata penuh berbekal kemenangan 1-0 ke atas Perlis di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Tetapi keadaan sebaliknya tergambar pada jurulatih Perlis, Mohd Nidzam Adzha kerana anak buahnya mempamerkan persembahan buruk berikutan keadaan padang yang tidak rata hingga menyukarkan mereka untuk mengikut rentak yang dilakar pasukan tuan rumah.

Che Ku Marzuki berkata, kemenangan itu disandarkan kepada kemantapan barisan serangannya diketuai Mohd Haris Safwan Mohd Kamal yang bertindak bijak menggunakan peluang terbaik menjaringkan gol kemenangan seawal tiupan wisel pada babak kedua bermula.

“Walaupun menang tipis tetapi sudah cukup bermakna bagi T-Team kerana mampu menewaskan sebuah pasukan hebat seperti Perlis,” katanya.

Kallang Menjaring Dua Gol


HILANG fokus pada saat terakhir perlawanan ditakrif sebagai punca kekalahan Terengganu kepada Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam kelmarin.

Kekalahan Terengganu Berpunca gol sendiri oleh Joseph Kallang apabila bola tandukannya masuk ke jaring sendiri pada minit-minit akhir.

Terengganu mendahulu jaringan apabila Joseph Kallang menendang kencang diluar kotak penalti terus menerjah ke jaring Negeri Sembilan.

Ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim mengakui terkilan dengan kekalahan 1-2 itu ketika yakin Terengganu mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

“Pemain saya hilang tumpuan pada saat-saat akhir perlawanan hingga membolehkan pihak lawan mengambil kesempatan menghukum kesilapan kami.

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan persembahan mereka kerana ini baru perlawanan keenam dan kita ada 20 perlawanan lagi. Apa yang penting usaha ditingkatkan lagi memastikan misi berada dalam kelompok tiga teratas liga tercapai,” katanya.

Isnin, Januari 25, 2010

Selangor Terpegun Kehebatan Terengganu

KEKEBALAN benteng pertahanan Terengganu menjadi faktor utama, tuan rumah mampu meranapkan rekod bersih pendahulu Liga Super, Selangor dengan kemenangan besar 4-0 di Kuala Terengganu, kelmarin.

Bagi jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, benteng yang diterajui ketua pasukan, Marzuki Yusof, Helmi Remli, Ronny Harun dan Mohd Muhaimin Omar berjaya menyerap asakan lawan dengan baik sehingga penyerang skuad Merah Kuning sukar mencari ruang.

Selain itu, katanya, pemain-pemain lain turut bijak mengambil peluang khususnya jentera penggempur sehingga berjaya menekan lawan.Pemain saya mempamerkan mutu persembahan hebat sehingga lawan terpaksa berputih mata.

Saya sedikit pun tidak menduga kami mampu menjaringkan empat gol kerana Selangor mempunyai ramai pemain berpengalaman.

Namun penyerang kami, Manaf Mamat bertindak bijak menjaringkan gol pertama pada minit ke-10 untuk menaikkan semangat juang rakan sepasukan sebelum sepakan penalti Ashaari Shamsuddin menyebabkan lawan hilang punca dan barisan pertahanan mereka mula goyah," katanya.

Sementara itu, jurulatih Selangor, K Devan berkata penyerangnya yang diketuai Mohd Safee Sali, Mohd Amri Yahyah, Mohd Amirulhadi Zainal dan Mohd Hardi Jaafar gagal memikul tugas dengan berkesan dalam melakukan percubaan ke gawang tuan rumah.

Barisan pertahanan saya juga gagal beraksi cemerlang sehingga tuan rumah mudah membolosi dan menjaringkan gol, katanya.

Ahad, Januari 24, 2010

Terengganu Bagi 4 Biji Telur Penyu Kepada Selangor

Rekod Selangor lebur


ASHARI tampil cemerlang untuk membantu Terengganu memusnahkan rekod cemerlang Selangor dalam Liga Super malam tadi.


TERENGGANU menjadi pasukan pertama memusnahkan rekod cemerlang Selangor dalam saingan Liga Super musim ini.

Ia berlaku di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam yang menyaksikan pasukan yang mendapat jolokan Gergasi Pantai Timur itu membenam Selangor 4-0.

Pada perlawanan tersebut, Terengganu tidak menunggu lama apabila penyerang Abdul Manaf Mamat membuka tirai jaringan seawal minit kesepuluh.

Selangor yang dilihat terdesak mencari gol penyamaan terpaksa akur apabila Terengganu dihadiahkan sepakan penalti dan Ashari Shamsudin mudah menyempurnakan sepakan tersebut untuk selesa mendahului 2-0 pada minit ke-33.

Kedudukan tersebut kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Sebaik babak kedua bersambung, Selangor dilihat melancarkan serangan bertali arus ke kubu Terengganu untuk mencari gol pertama mereka.

Namun, kelalaian tonggak pertahanan Selangor telah memberi peluang kepada pemain Terengganu, Joseph Kalang Tee menjaringkan gol ketiga pasukannya pada minit ke-75 sebelum Ashari sekali lagi menyumpurnakan sepakan penalti yang diperoleh pada minit ke-92 bagi melengkapkan malam gemilang Terengganu dengan kemenangan 4-0.

Khamis, Januari 21, 2010

Pertukaran Pegawai Tadbir Negeri


Kerajaan negeri hari ini mengumumkan rombakan secara besar-besaran dalam pentadbirannya yang melibatkan pertukaran dan kenaikan pangkat 48 pegawai tadbir kanan negeri berkuatkuasa 1 Februari ini.

Menurut sumber, mereka pulang daripada mengadap Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong menyembah senarai pertukaran Pegawai Tadbir bagi mendapat perkenan. Pada lewat petang, senarai pertukaran siap ditangatangani oleh Mazlan dan telah diedarkan.

Rombakan itu dibuat berikut persaraan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUK), Datuk Mokhtar Nong pada minggu lalu.

Pegawai Kewangan negeri, Datuk Mazlan Ngah sebelum ini telah dilantik sebagai Pemangku SUK manakala Pengarah Tanah dan Galian negeri (PTG), Datuk Abdul Razak Ismail pula dilantik sebagai Pegawai Kewangan negeri yang baru.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, pertukaran dan rombakan tersebut adalah perkara biasa dan dibuat berikutan persaraan Mokhtar.

''Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim akan memegang jawatan Timbalan SUK (Pembangunan) dan tempatnya pula diisi oleh Datuk Azlan Mohd. Dagang yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan SUK (Pembangunan),'' katanya selepas mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Mustofa Abd. Rahman dilantik sebagai Pegawai Daerah Dungun manakala tempatnya diisi oleh Husain Embong yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan SUK (Pengurusan).

''Setiausaha Sulit Kanan Kepada Menteri Besar, Wan Ahamad Wan Muda akan menggantikan Husain manakala Tuan Mamat Tuan Ngah daripada pejabat SUK dilantik sebagai Pegawai Daerah Besut," ujarnya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Datuk Alim Muda dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Skills Development Center (Tesdec) manakala tempatnya diganti Pegawai Daerah Setiu, Wan Nawawi Wan Ismail.

Katanya, tempat Wan Nawawi digantikan dengan Pengarah Institut Integriti negeri, Mohd. Akil Mat manakala Pegawai Daerah Dungun, Zulkifli Mohamad, dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER).

Timbalan Pegawai Kewangan Negeri, Osman Muda akan memegang jawatan Pengarah PTG manakala tempat beliau digantikan oleh Timbalan Pengarah (Makro) Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Mustafar Khalid.

Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Aziz Mat, dilantik sebagai Pengarah Yayasan Terengganu dan tempatnya diganti oleh Pegawai Daerah Besut, Wan Mohd. Wan Ibrahim.

Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Mohd. Zulkifli Abu Bakar dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Makro) UPEN dan tempatnya diganti oleh Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Md. Kamaru Al-Amin Ismail.

Pengarah Bahagian Pengurusan Kompleks Sukan, Arpin Draman dilantik sebagai Pengarah Integriti Negeri manakala Ketua Penolong Pentadbir Tanah Dungun, Rosman Ismail akan menyandang jawatan Timbalan Pengarah (Pentadbiran dan Kewangan) Jabatan Kerja Raya Negeri.

Setiausaha Majlis Daerah Setiu, Anuar Nik Mohamad Noor pula dilantik sebagai Ketua Penolong SUK (Perumahan) dan Setiausaha Majlis Perbandaran Dungun, Mohd. Sophian Abu Bakar memegang jawatan Pengarah Bahagian Pentadbiran dan Sumber Manusia Majlis Perbandaran Kemaman.

Rabu, Januari 20, 2010

Kes SMS ugut tiga Adun 9 Februari


Mahkamah Sesyen di sini, semalam menetapkan 9 hingga 11 Februari depan perbicaraan Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, yang berdepan empat pertuduhan melakukan ugutan jenayah menerusi SMS tahun lalu.

Hakim, Mohd Khalid Ab Karim menangguhkan perbicaraan yang sepatutnya berlangsung semalam berikutan tertuduh tidak dapat hadir

kerana dirawat di

Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) akibat menghidap tonsil dan demam panas sejak Jumaat lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Ahmad Ramzi dituduh melakukan ugutan jenayah dengan mengancam mendatangkan kematian kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka, Mohd Ariffin Abdullah dengan niat menyebabkan kegentaran kepadanya di Kampung Kubang Parit, di sini, jam 11.20 malam, pada 13 April lalu.

Tertuduh juga didakwa melakukan perbuatan sama terhadap Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid dan Adun Permaisuri, Abd Halim Jusoh di tempat dan tarikh sama.

Dia juga dituduh memfitnah Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Wan Ahamad Wan Muda dengan menghantar SMS yang mengandungi ugutan jenayah.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda.

Selasa, Januari 19, 2010

Rumah Kedai Berusia 100 tahun Roboh


Deretan kedai lama dua tingkat di Jalan Bandar, Kuala Terengganu yang berusia 100 tahun mula dirobohkan, kelmarin.

Kini semuanya hanya tinggal kenangan.

Begitulah nasib yang menimpa deretan kedai lama dua tingkat di Jalan Bandar di sini.

Kedai-kedai yang berusia lebih 100 tahun itu akhirnya hilang daripada pandangan apabila ia mula dirobohkan beberapa hari lalu.

Rumah kedai yang sinonim dengan kegiatan perniagaan satu masa dahulu itu diroboh bagi memberi laluan kepada pembangunan semula bangunan perniagaan dan pejabat yang lebih sempurna.

Kesemua peniaga diarah mengosongkan bangunan tersebut oleh Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) pada 13 Ogos lalu.

Difahamkan 35 kedai di bangunan dua tingkat itu dirobohkan walaupun mendapat bantahan ramai peniaga di kawasan tersebut.

Dakwa mereka, bangunan tersebut seharusnya dipelihara memandangkan ia menyimpan nilai-nilai sejarah seiring pembangunan Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, mereka terpaksa akur apabila bermula minggu lalu operasi meroboh bangunan tersebut mula dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dalam kenyataan akhbar sebelum ini berkata, tindakan meroboh bangunan tersebut penting agar bangunan usang dan uzur tidak lagi mengisi pemandangan di Kuala Terengganu.

Katanya, tidak timbul kerajaan negeri mengabaikan kepentingan peniaga asal di kedai tersebut dengan meroboh bangunan berkenaan.

"Kita telah memberi notis yang secukupnya kepada peniaga tersebut, maka tidak timbul soal kerajaan tidak realistik dalam arahan mengosongkan kawasan itu dalam masa yang telah ditetapkan," katanya.

Isnin, Januari 18, 2010

Terengganu Tangga Kedua Liga Super


PEMAIN Terengganu, Ashaari Shamsuddin (kiri) dihalang oleh dua pertahanan Pulau Pinang pada aksi di Kuala Terengganu kelmarin.

PERCATURAN jurulatih Terengganu, Irfan Bakti dengan memasukkan pemain kelahiran Sarawak, Joseph Kalang Tie bagi menggantikan K. Rajan di penghujung babak pertama telah membawa hasil.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu, Terengganu berjaya mengutip tiga mata penuh selepas membelasah Pulau Pinang 4-0 dalam saingan Liga Super.

Menariknya, semua empat gol yang dijaringkan Terengganu itu hadir pada babak k

edua masing-masing menerusi Firdaus Faudzi pada minit ke-59, Mohd. Ashaari Shamsudin (62), Joseph (82) dan Abd. Manaf Mamat minit ke-90.

Bagi Irfan, dia mengakui pemainnya gagal memberikan aksi terbaik pada babak pertama sebelum bangkit mengatur beberapa peluang untuk mencari gol pada babak kedua.

"Saya terpaksa mengeluarkan K. Rajan bagi memasukkan Joseph selepas melihat rentak permainan kami yang agak perlahan. Pemain kami terlalu terikut-ikutkan rentak permainan Pulau Pinang dan lebih banyak berkampung di kawasan sendiri.

"Namun, pada babak kedua, permainan lebih pantas disajikan pemain saya dan ia jelas memberi kesan apabila kami berjaya menjaringkan empat gol walaupun pada dasarnya kami berpeluang menjaringkan sehingga tujuh gol," jelas Irfan.

Mengulas mengenai prestasi Joseph, Irfan menyifatkan pemain yang dibeli dari Sarawak itu sebagai pemain yang berkualiti dan mampu memberi impak besar kepada persembahan Terengganu musim ini.

"Seperti yang saya cakap sebelum ini, semua pemain baru yang ada dalam skuad ini adalah pemain-pemain yang berkualiti.

"Kehadiran mereka di sini bukan hanya untuk memanaskan bangku simpanan kerana mereka adalah tonggak utama dan nadi pasukan ini.

"Sebagai contohnya, pasukan ini mempunyai penyerang baru dari Perlis, Firdaus yang kini telah menjaringkan dua gol. Kami juga diperkuatkan dengan kehadiran pemain kelahiran Sabah, Ronny Harun yang berperanan besar di jentera pertahanan.

"Bagaimanapun, secara keseluruhannya semua pemain dalam pasukan ini telah memberikan aksi terbaik mereka dan saya cukup bangga dengan semangat yang dipamerkan mereka," tambahnya.

Dalam pada itu, kemenangan yang dilakar di laman sendiri kelmarin membolehkan Terengganu melonjak ke tangga kedua liga dengan tujuh mata, dua mata di belakang Selangor.

Pada perlawanan pertama sebelum ini, Terengganu sekadar seri tanpa jaringan dengan Kelantan sebelum menang 3-1 ke atas Perak di Ipoh.


Ahad, Januari 17, 2010

Terengganu Menang, T Team Kalah

Terengganu berada di tempat kedua di atas Johor FC berdasarkan perbezaan gol selepas meraih kemenangan 4-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Tuan rumah mendahului pada minit ke-59 menerusi Md Firdaus Md Faudzi yang memanfaatkan kesilapan penjaga gol Pulau Pinang, Amir Omar Khata yang cuba menghalang Joseph Kalang Tie, namun bola akhirnya singgah ke kaki Md Firdaus yang bijak melakukan penyudah.

Selang tiga minit kemudian, Ashaari Shamsuddin menggandakan kedudukan dengan Joseph meletakkan nama pada senarai penjaring pada minit ke-82. Abdul Manaf Mamat melengkapkan kemenangan pasukannya dengan gol pada lewat permainan.


Di Stadium Darulmakmur, Pahang meraih kemenangan keduanya apabila bangkit menewaskan T-Team 2-1 dengan dua jaringan lewat. T-Team mendahului pada minit ke-19 menerusi Azrul Hazran Amiludin Baki tetapi Pahang mencuri tiga mata dengan dua gol Shahrizan Md Salleh pada minit ke-85 dan 90.

Sabtu, Januari 16, 2010

Harun Taib Sakit


Tolak tepi politik. Sebagai rakan jika ada yang sakit, biarpun perbezaan politik begitu ketara, mereka tetap mesra.

Lihatlah gambar ini bagaimana Datuk Harun Taib, Ketua pembangkang di DUN Terengganu tetap berjenaka dengan Menteri Besar walaupun uzur dan sedang dirawat.

Datuk Ahmad Said, beberapa hari lalu meluangkan masa menziarahi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir itu yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, baru-baru ini.

Beliau meluangkan masa hampir setengah jam di wad kenamaan hospital tersebut, bagi bertanyakan khabar ADUN PAS berkenaan.

Menteri Besar meminta ADUN berkenaan supaya berehat dan menjaga kesihatan agar cepat sembuh.

Harun dimasukkan ke hospital berkenaan pada 7 Januari lalu kerana menghidap penyakit darah tinggi dan keadaannya semakin stabil selepas mendapat rawatan.

Menteri Besar kemudiannya turut mengambil kesempatan melawat dua kakitangan hospital berkenaan yang turut dirawat di wad yang sama.

Khamis, Januari 14, 2010

Berakhirnya SUK Terengganu Yang Dedikasi



MOKHTAR Nong (kiri) bersalaman dengan kakitangan awam kerajaan negeri sempena majlis persaraannya di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mokhtar Nong, hanya mampu berucap kira-kira tiga minit sewaktu menyampaikan amanat terakhir kepada kakitangan kerajaan negeri sebelum cuti bersara mulai esok.

'Pesanan keramat ibunya' yang cuba disampaikan sebagai peringatan kepada pegawai kanan dan kakitangan awam berbunyi: "Setinggi mana pangkat yang kamu sandang, jangan lupa orang di bawah kamu kerana mereka juga perlu diberikan perhatian", menyebabkan beliau sebak dan gagal meneruskan ucapan.

Mokhtar yang diraikan dalam majlis khas sempena majlis persaraannya di Wisma Darul Iman hari ini, menasihatkan pegawai kanan kerajaan dan kakitangannya supaya tidak berbangga dengan jawatan masingmasing sebaliknya perlu menjaga kebajikan kakitangan bawahan.

Beliau lalu mengaitkan perkara itu dengan pesanan ibunya yang masih diingati hingga saat ini.

Bagaimanapun, sebaik saja Mokhtar mula mengingati pesanan arwah ibunya, beliau tidak mampu menyebutnya hingga habis dan mengambil masa beberapa minit kerana menahan sebak.

Beliau bagaimanapun cuba menggagahkan dirinya dan dalam keadaan teresak-esak sambil mengelap air mata dengan sapu tangan, Mokhtar akhirnya menghabiskan pesanan ibunya itu.

Selepas itu, beliau sekali lagi sebak dan memohon maaf kepada hadirin kerana tidak dapat meneruskan ucapannya.

Walaupun pesanan tersebut hanya sebaris ayat, ia menyentuh hati pegawai kanan dan kakitangan awam yang memenuhi Dewan Besar Wisma Darul Iman.

Sebahagian besar daripada mereka didapati turut menangis bersama-sama Mokhtar yang tidak mampu meneruskan ucapannya.

Beliau kelihatan begitu terharu apabila mengenangkan pesanan berkenaan serta pilu meninggalkan rakan-rakan lama yang masih dalam perkhidmatan serta kakitangan bawahannya.

Mokhtar yang mula berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Negeri pada 1978, mula bercuti esok sebelum bersara 15 April depan.

Sepanjang ketiadaan beliau, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mazlan Ngah akan memangku jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Mokhtar menjalankan tugas terakhirnya selepas berkhidmat sebagai SUK selama dua tahun, dengan menghadiri mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini.

Sebelum itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Husain Embong menyifatkan persaraan Mokhtar merupakan satu kehilangan besar kepada kerajaan negeri kerana beliau sentiasa komited dalam kerja.

Katanya, Mokhtar seorang pentadbir negeri yang mudah didekati semua pihak, bukan sahaja pegawai atasan malah kakitangan bawahan.

''Sepanjang perkhidmatannya, Mokhtar melakukan pelbagai pendekatan bagi menaikkan imej dan produktiviti pentadbiran negeri ini.

''Mokhtar telah berjaya menjalankan tugas dengan sempurna dan kerajaan percaya penggantinya selepas ini akan melaksanakan tugas dengan lebih cemerlang," katanya.


Rabu, Januari 13, 2010

ECER Menambah Peluang Pekerjaan Di Terengganu


Ahmad Said menyampaikan sijil penghargaan kepada Abu Bakar Abdullah sambil diperhatikan Jebasingam Issace John di Kuala Terengganu, semalam.


Kadar pengangguran di negeri ini dijangka dikurangkan dengan pelaksanaan beberapa program penempatan pekerjaan dan kemahiran di bawah projek pembangunan insan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, setakat ini, lebih 1,600 penganggur mendaftar untuk mengikuti program Kerjaya ECER.

Katanya, mereka dibantu melalui Program Penempatan Graduan Terengganu dan Program Penempatan Pekerja yang menyediakan pekerjaan di 19 buah syarikat di negeri ini.

''Kedua-dua program itu merupakan antara komponen program Kerjaya ECER bagi menangani masalah pengangguran akibat krisis kewangan dunia," katanya.

Ahmad berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program Pembangunan Modal Insan ECER Peringkat Negeri Terengganu di Primula Beach Hotel di sini hari ini.

Turut hadir di majlis itu, Pengarah Urusan Pakatan Usaha Teknik Sdn. Bhd, Abu Bakar Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER, Datuk Jebasingam Issace John .

Mengulas lanjut Ahmad berkata, di bawah Program Penempatan Graduan selama dua tahun, para peserta akan diberi latihan di tempat kerja selama sembilan bulan pertama dan menerima gaji minimum RM1,200.

''Mereka berpeluang diserapkan sebagai pekerja tetap pada akhir tempoh dua tahun itu. Sehingga kini, sebanyak 304 orang telah mendaftar untuk mengikuti program ini," ujarnya.

Di bawah Program Penempatan Pekerja pula katanya, syarikat-syarikat di negeri ini dibantu untuk mencari pekerja tetap dan sambilan dari kalangan pekerja yang diberhentikan kerja akibat krisis ekonomi baru-baru ini.

''Setakat ini, 448 orang telah mendaftar untuk mengikuti program ini," tambahnya.

Beliau berkata, satu lagi komponen di bawah Kerjaya ECER adalah Program Latihan Kemahiran untuk graduan dan pelajar lepasan sekolah.

''Sehingga kini, seramai 909 orang telah mendaftar untuk mengikuti pelbagai program latihan kemahiran dalam bidang mekanikal, elektronik dan komputer dan pelancongan serta kursus berteknologi tinggi termasuk robotik dan automasi," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, enam projek pembangunan impak tinggi baru di bawah ECER akan mula dilaksanakan di negeri ini, tahun ini.

''Ia adalah pembangunan Pelabuhan Kemaman, International Digital Business Exchange (IDBX), Pusat Animasi Global, kerja kawalan hakisan di Pantai Teluk Lipat, Dungun serta program pembangunan Industri Kraftangan Terengganu dan Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC)," katanya.

Isnin, Januari 11, 2010

Kehebatan Sharbinee


DUA jurulatih - B Sathianathan (Kelantan) dan Irfan Bakti (Terengganu) jelas berundur dari gelanggang, kelmarin dengan komen sama - iaitu menghambur pujian ke atas kelibat penjaga gol kebangsaan, Sharbinee Allawee yang menjadi faktor penentu keputusan saingan Liga Super di Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Tidak dinafikan ketangkasan penjaga gol Terengganu itu menjadi punca buat menafikan kemenangan kedua-dua pasukan tetangga itu yang sekadar berakhir dengan keputusan seri 0-0.

Irfan yang gembira dengan pencapaian itu menyuarakan betapa kelibat Sharbinee yang bermain cemerlang dan menyelamatkan beberapa percubaan bahaya oleh pasukan Kelantan yang nyaris pulang dengan mata penuh.

“Saya puas hati dengan mutu persembahan Sharbinee yang dapat mematahkan serangan pihak lawan sehingga gawang Terengganu terselamat daripada dibolosi Kelantan,” katanya.

Irfan berkata, Sharbinee membuktikan kehebatannya sebagai penjaga gawang kebangsaan dan mengekalkan prestasinya untuk membantu Terengganu daripada dimalukan pasukan lawan.

Sementara itu, Sathianathan akur akan kehebatan Sharbinee yang kebal mengawal gawang sehingga beberapa percubaan barisan serangannya tidak menjadi.

Beliau berkata, anak buahnya menguasai separuh masa kedua dengan serangan bertali arus tetapi setiap percubaan itu dapat dihalang oleh ketangkasan Sharbinee.

“Serangan kami diketuai Hairuddin Omar) dan Indra Putra (Mahayuddin) serta Norshahrul (Adlan Talaha) kerap dihalang Sharbinee,” katanya.

Sabtu, Januari 09, 2010

Protes Pengunaan Kalimah Allah oleh Bukan Islam




Memo Bantahan pengunaan Kalimah Allah oleh bukan islam disampai kepada wakil Yang DiPertuan Majlis Penasihat Pemangku Raja untuk disalur kepada Yang Di Pertuan Agong.

Jumaat, Januari 08, 2010

Protes Pengunaan Kalimah Allah oleh Bukan Islam









Lebih kurang 5000 orang telah menghadiri ke pehimpunan tersebut. Pehimpunan secara aman tanpa berlaku apa-apa kekecohan .Pehimpunan ini diadakan di Pantai Batu Buruk.

Selepas pehimpunan AJK GERTAK telah menyerah memorandum kepada Yang Di Pertua Majlis Penasihat Raja untuk di salur kepada Yang Di Pertuan Agung. Di antara isi memorandum ialah mengesa campurtangan Raja-raja Melayu & meminda perlembagaan Malaysia supaya kalimah Allah hanya eksklusif untuk orang islam sahaja.

Protes Pengunaan Kalimah Allah oleh Bukan Islam






Banner yang di pasang di Pantai Batu Buruk tempat pehimpunan protes pengunaan Kalimah Allah oleh bukan Islam

Khamis, Januari 07, 2010

Sharbine Mampu Menggagalkan Serangan Kelantan

SELEPAS hanya dapat berlatih sehari bersama skuad Terengganu, penjaga gol kebangsaan, Mohd Sharbinie Alawi sedar tugas berat menantinya dalam perlawanan pertama skuad itu menentang Kelantan dalam aksi Liga Super, Sabtu ini.

Mengakui menggalas dua tanggungjawab dalam pasukan kebangsaan dan negeri bukan satu tugas mudah, Sharbinie tidak sesekali menjadikannya sebagai alasan malah dia memiliki hasrat yang tinggi untuk melihat kecemerlangan Terengganu musim ini.

“Tugas saya pastinya begitu mencabar nanti. Kelantan yang memiliki beberapa penyerang hebat seperti Norshahrul Idlan Talaha, Che Hishamudin Husin dan pemain senior Indra Putra Mahyuddin mampu mencipta serangan bertali arus.

“Apa lagi kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan pertama bagi menyuntik keyakinan untuk perlawanan seterusnya,” katanya.

Ketika ditanya peluang Terengganu musim ini, Sharbinie optimis pasukan pantai timur itu memiliki peluang cerah untuk mencipta kejutan menerusi bimbingan jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim.

“Bagi saya, Irfan Bakti memiliki percaturan yang bagus. Dia tahu apa yang perlu dilakukan dalam apa juga situasi, selain mudah didekati pemain untuk berbincang,” katanya.

Rabu, Januari 06, 2010

Pakai Baju Merah : Kemuncak Bantahan Pengunaan Kalimah Allah oleh Bukan Islam.

Di jangka 10,000 rakyat Terengganu akan berkumpul di Pantai Batu Buruk untuk menyuara perasaan tidak puas hati pengunaan kalimah Allah oleh Bukan Islam. Mereka ini akan berarak dari masjid ladang, Masjid Terapung, Masjid Batu Buruk menuju ke pantai batu buruk. Semua umat Islam yang ke majlis itu di galak pakai baju merah.


D

Terengganu akan bina institut jantung


AHMAD Said (kanan) melihat ujian penggunaan imbasan pada pesakit menggunakan peralatan "Multislice Ct Scan" di Kompleks Rawatan Harian, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, semalam.

Terengganu bakal mempunyai institut jantungnya sendiri setanding dengan Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara apabila kerja-kerja pembinaan kompleks yang dianggarkan berharga RM27 juta akan dimulakan dalam tempoh terdekat.

Dalam masa yang sama, Terengganu melakar satu lagi sejarah apabila menjadi negeri pertama di negara ini dan Asia Tenggara yang menggunakan peralatan Tomografi Berkomputer Multislice (MSCT) yang berharga RM5.2 juta bagi menghasilkan imej radiografi digital struktur dalaman badan pesakit dengan pantas dan tepat.

Peralatan tersebut mampu menghasilkan 64 imej pada setiap imbasan dan dapat ditingkatkan keupayaannya sehingga 128 imej.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, MSCT juga berupaya melakukan pemeriksaan CT Kardiak, CT Colonografi, CT Angiografi, imej 3D dan fluoroscopi semasa bagi kes-kes intervensi radiologi.

Katanya, mesin MSCT mempunyai banyak kelebihan berbanding mesin CT scan biasa terutamanya bagi imejan isotropic bagi tujuan rekonstruksi multiplana (MPR) yang dapat mengesan sebarang penyakit dengan lebih terperinci dan tepat.

''Kemudahan peralatan tersebut bakal memberi faedah kepada seluruh rakyat negeri ini apabila ia mula digunakan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dalam tempoh terdekat," katanya selepas majlis penyerahan Peralatan MultiSlide CT Scan di HSNZ di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, dengan kemudahan peralatan tersebut, rakyat Terengganu tidak perlu lagi ke hospital lain untuk mendapatkan rawatan menggunakan mesin berkenaan.

Katanya, kemudahan MSCT bakal memberi imej yang lebih baik kepada hospital di negeri ini selain menyediakan kemudahan terbaik kepada pesakit.

Ahmad berkata, institut itu bakal dibina di Strawberry Park, Teluk Senggajang, Kijal.

Katanya, setakat ini kerajaan negeri belum memulakan sebarang pembinaan memandangkan peruntukan masih belum diperolehi.

"Kos yang dianggarkan termasuk sebuah resort khas yang dibina untuk pesakit berehat selain penyediaan peralatan di institut tersebut yang bakal memberi kemudahan kepada pesakit jantung," jelasnya.

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH
Terengganu juara Sukma: KONTINJEN Terengganu bersorak riang selepas muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XII yang berakhir di Kuala Terengganu, malam tadi. Tuan rumah mencipta sejarah mengutip emas terbanyak dalam penyertaan Sukma selepas meraih 61 pingat emas 39 perak dan 47 gangsa meninggalkan Selangor yang muncul naib juara dengan 54-47-52 manakala Sarawak tempat ketiga, (52-52-42). Upacara penutup temasya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

MENAKJUBKAN

MENAKJUBKAN
TERENGGANU juara SUKMA, Juara Bola Sepak, Raja Pecut, Raja Ragbi, Raja Kenu, Raja Kayuh. Kemenangan Terengganu kebanyakkan diperolehi melalui sukan objektif seperti olahraga, basikal, kenu berbanding dari sukan subjektif.

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG
Skretariat SUKMA Terengganu mendapat pujian daripada Kontingen-kontingen negeri, Media massa, pegawai sukan & orang ramai tentang kecermlangan pengurusan & pentadbiran SUKMA. SUKMA di Terengganu di iktiraf sebagai pengurusan SUKMA terbaik, pengadilan yang paling bersih,penyertaan penonton paling ramai, kemudahan paling lengkap, rekod baru paling banyak dicipta & tanpa kontraversi. Paling hairan Jawatakuasa rayuan tidak mnerima apa-apa rayuan dari kontingen yang bertanding. TAHNIAH.

INDUSTRI TERNAK KAMBING

INDUSTRI TERNAK KAMBING
Cosmopal Sdn Bhd, anak syarikat Arus Zaman Sdn Bhd, melabur sebanyak RM2 juta dalam penternakan kambing di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Serating, dekat sini dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai pengeluar terbesar ternakan itu di negara ini pada masa depan. Pengarahnya, Zainudin Zakaria berkata setakat ini, syarikat mempunyai sebanyak 1,400 kambing baka Jamnapari, bernilai antara RM750 dan RM850 seekor, di ladang seluas kira-kira 30 hektar itu.

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN
DAS berkata kerajaan banyak menyediakan kemudahan untuk pelajar melonjakkan diri untuk mencapai kejayaan cemerlang. Kerajaan sanggup menyediakan peruntukkan besar untuk sektor pendidikan bagi menjadikan negeri terulung melahirkan pelajar yang cemerlang.

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI
DAS mengucap tahniah kepada Wan Ahmad Nizam, Ketua Kontingen SUKMA Terengganu kerana berjaya menjadi juara SUKMA ke 12. Di atas kemenangan itu, DAS memberi cuti kepada rakyat Terengganu.

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU
PM bersetuju untuk melulus pembinaan sekolah sukan seperti sekolah sukan di Bukit Jalil & Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor di Terengganu. Sekolah ini akan dibina di sebelah kompleks sukan negeri, Gong Badak.