JURULATIH Terengganu, Irfan Bakti terpaksa menelan hakikat di sebalik kekalahan memalukan anak buahnya 1-3 kepada 'adik', T-Team pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA kelmarin.
Menurut Irfan, kekalahan itu adalah sesuatu yang sukar diterima lebih-lebih lagi ia berlaku di gelanggang keramat mereka iaitu Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Pada perlawanan itu, Abdul Hadi Yahya menjaringkan dua gol dan Haris Safwan Kamal menambah satu gol untuk memberi bekalan selesa kepada T-Team menjelang aksi kedua di gelanggang yang sama 20 Mac ini.
"Saya tidak tahu apa yang berlaku hari ini (semalam). Semua yang direncanakan tidak menjadi dan amat jelas bahagian pertahanan kami sangat longgar.
"Marzuki Yusof dan Ronny Harun gagal mengawal pemain lawan dengan baik dan ia sedikit sebanyak telah memberi peluang kepada lawan untuk menjaringkan gol," jelas Irfan.
Begitupun, perkara paling mengecewakan yang dirasai bekas jurulatih Perlis itu adalah jumlah gol yang dijaringkan oleh lawan.
Katanya, jumlah itu cukup besar dan amat memalukan apabila dibolosi dengan tiga gol di gelanggang sendiri.
"Ini bukanlah kekalahan pertama kami musim ini, tetapi ini merupakan kekalahan terbesar yang pernah kami alami. Memang sukar untuk diterima apabila kami kalah dengan jumlah jaringan sebegini," tambahnya.
Namun, Irfan tetap optimis dengan kemampuan anak buahnya untuk mara ke separuh akhir apabila turun sebagai tuan rumah pada aksi kedua 20 Mac ini.
"Secara keseluruhannya saya tetap berpuas hati kerana satu gol yang kami peroleh pada minit-minit terakhir merupakan gol yang cukup penting buat kami.
"Harus diingat, kami adalah pasukan pelawat pada perlawanan ini dan menjaringkan satu gol merupakan sesuatu yang cukup penting," jelasnya merujuk kepada jaringan sagu hati oleh Abdul Manaf Mamat itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan