“Jika tidak kerana Jibam, mungkin saya dan pemain T-Team menerima kecelakaan pagi ini,” kata setiausaha kerja pasukan Liga Perdana T-Team, Ziani Abu Bakar, 39, selepas melihat runtuhan bumbung Stadium Sultan Zainal Abidin di Gong Badak, pagi semalam.
Jibam yang dimaksudkannya itu ialah ketua jurulatih pasukan, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Noor, yang menukar fikiran di saat akhir dengan mengarahkan pemain untuk tidak turun berlatih di padang stadium pada jam 9 pagi.
Sebaliknya, pemain yang dikatakan kurang bertenaga kebelakangan ini, dikerahkan ke gimnasium Majlis Sukan Negeri di bangunan berdekatan dan tidak berada dalam stadium ketika sebahagian besar bumbung runtuh pada jam 9.30 pagi.
“Kalau tidak, kemungkinan besar pemain sedang berlari di trek larian ataupun di atas padang ketika struktur bumbung runtuh dan menghempas hampir keseluruhan bahagian ‘grand stand’ dan trek larian.
“Daripada apa yang saya lihat pemain yang berada di tengah padang mungkin terselamat, namun saya dan beberapa pegawai lain yang berkemungkinan besar akan berada di ‘grand stand’ ketika itu mungkin mengalami nasib berbeza,” katanya ketika ditemui di luar stadium, semalam.
Katanya, sebelum ini ada desas-desus stadium di Kompleks Sukan Gong Badak itu mengalami kerosakan bumbung, namun tidak menghiraukannya kerana yakin dengan pihak pengurusan stadium yang memberi jaminan keselamatan.
“Tambahan pula stadium ini baru saja berusia setahun dan sebelum ini digunakan untuk Sukan Malaysia edisi ke-12.“Saya juga pernah membaca berita mengenai kebocoran atap stadium dan kerosakan gelanggang skuasy tetapi saya anggap itu semua kerosakan kecil yang senang dibaiki.
“Namun selepas menyaksikan tahap kerosakan yang berlaku selepas runtuhnya bumbung stadium, saya sedar yang kejadian sebegini boleh meragut nyawa yang besar,” katanya.
Ziani berkata, beliau tidak dapat membayangkan jumlah mangsa yang terkorban sekiranya kejadian bumbung runtuh itu berlaku ketika berlangsungnya perlawanan bola sepak ataupun acara sukan yang lain.“Kapasiti stadium melepasi 50,000 penonton dan saya yakin hampir separuh daripada jumlah itu akan mengalami kecederaan dan kemungkinan jumlah yang agak besar juga akan terkorban.
“Saya masih terkejut dengan kejadian ini namun saya bersyukur kerana terselamat daripada malapetaka,” katanya.
Rabu, Jun 03, 2009
T Team Terselamat Dari Kecelakaan
Label:
kemalangan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan