Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said menganggap kereta nasional Perdana V6 Executive hanya sebuah kenderaan yang sesuai digunakan bagi perjalanan ulang-alik ke lapangan terbang sahaja oleh seseorang pemimpin.
Menurutnya, ia sama sekali tidak sesuai digunakan untuk perjalanan jauh dan memenatkan seperti yang perlu dihadapi oleh pemimpin seperti dirinya.
''Contohnya, saya berulang-alik dari Kemaman ke Kuala Terengganu kadangkala sampai dua kali sehari, keperluan menggunakan kenderaan yang lebih selesa adalah penting,'' katanya.
Beliau berkata demikian sebelum mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Terengganu di Hotel Le Meridian, di sini hari ini. Ahmad ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal yang terletak di daerah Kemaman.
Tambah Ahmad, ramai pemimpin lebih gemar menggunakan kenderaan jenama barat dan ia punca mengapa tiada ahli Parlimen yang membeli kenderaan jenis Proton apabila menerima permit import (AP).
''Saya jenis cakap terus terang, saya bukan hipokrit, saya tidak mahu sorokkan sampah di bawah permaidani,'' katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri Terengganu akan terus menggunakan Mercedes sebagai kereta rasmi menggantikan Perdana V6 Executive kerana tindakan itu sejajar dengan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II).
Ahmad berkata, jika kerajaan atau Kabinet beranggapan langkah itu tidak tepat, maka pekeliling berkenaan juga perlu ditarik balik dengan segera.
Beliau mempertahankan tindakan menggunakan Mercedes sebagai satu langkah tepat dan bertujuan menyelamatkan wang rakyat serta sudah dibincangkan selama dua tahun sebelum diputuskan.
''Saya yakin saya yang betul, tunggulah dan akan terbukti bahawa saya betul,'' katanya.
Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II) menetapkan bahawa penggunaan kenderaan rasmi hanya terdiri daripada kenderaan buatan tempatan atau dipasang dalam negara (CKD).
Kerajaan Terengganu mempertahankan bahawa penggunaan Mercedes E200 Kompressor yang dibeli itu memenuhi syarat berkenaan kerana model CKD itu dipasang di Pekan, Pahang.
Kerajaan Terengganu baru-baru ini telah membeli 14 buah kereta mewah tersebut dengan kos RM3.43 juta bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive yang dibeli pada tahun 2004.
Tindakan itu mengundang rasa kurang senang banyak pihak terutamanya anggota masyarakat yang melihatnya sebagai satu pembaziran semasa kerajaan sendiri menasihatkan rakyat supaya berjimat cermat.
Pembelian itu dipertahankan Ahmad yang menjadikan kualiti dan kos penyenggaraan Proton sebagai alasan.
Ahmad ketika ditanya apakah akan dibuat dengan kenderaan Mercedes itu jika Kabinet menetapkan bahawa pembeliannya tidak wajar, berkata, ia akan dijual dengan harga murah dan yakin ramai yang mahu membelinya.
Mengenai kos penyenggaraan yang terlalu tinggi dan mungkin ada unsur penyelewengan, beliau meminta pihak media bertanya sendiri dengan pihak Proton atau mekanik sama ada harga yang dinyatakan sebagai tepat atau tidak.
Ahmad menambah, kerajaan negeri telah membelanjakan RM1.175 juta sejak 2004 hingga 2008 untuk 16 buah Perdana V6 Executive.
Beliau kemudian meminta kerajaan Pusat mendedahkan jumlah perbelanjaan untuk urusan pembaikan kenderaan-kenderaan kerajaan.
Jelasnya, Perdana V6 Executive milik kerajaan negeri akan dijadikan kenderaan kegunaan ramai di beberapa jabatan, manakala yang sudah terlalu teruk akan dijual.
Ahmad turut meminta pihak Proton agar menerima dengan terbuka apa yang dinyatakannya itu dan melakukan tindakan menambah baik.
Beliau berkata, punca Perdana V6 Executive sering rosak adalah kerana panjang kenderaan tersebut ditambah 10 inci, tetapi spesifikasi enjin dan komponen lain dikekalkan sebagaimana yang terdapat pada Perdana versi biasa.
Ahmad juga memberitahu, Perdana V6 Executive membakar lebih banyak minyak untuk setiap kilometer berbanding Mercedes E200 Kompressor.
Beliau yang mempunyai kereta Mercedes yang sudah berusia 18 tahun berkata, kenderaan itu jauh lebih baik.
Ahmad bagaimanapun menafikan dirinya tidak bersemangat nasionalisme apabila menolak kenderaan tempatan sambil memberitahu, dirinya akan menjadi orang pertama 'masuk hutan' memegang senjata jika berlaku perang.'
Beliau juga tidak menolak dirinya hendak 'dijatuhkan' oleh musuh politik melalui isu penggunaan kenderaan Mercedes itu.
''Dalam politik, semua ini biasa tetapi saya tidak takut. Saya tidak rasuah dan menyeleweng,'' katanya.
Khamis, Julai 24, 2008
NYATA YANG BENAR - MB TERENGGANU
Label:
kenderaan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan