Kerajaan negeri mulai tahun depan akan memperkenalkan program 'satu rumah seorang graduan' dalam usaha melahirkan masyarakat berilmu dan berketerampilan menjelang tahun 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah diminta mengenal pasti setiap rumah di kawasan masing-masing yang berpotensi melahirkan graduan untuk tumpuan kempen.
Menurutnya, dengan adanya kempen seumpama itu diharap akan menjadi perangsang kepada setiap keluarga memastikan anak mereka berjaya dalam pelajaran.''Jika tidak beberapa orang anak, paling sedikit sebuah rumah mempunyai seorang graduan pun sudah cukup bagi menjayakan program ini," katanya ketika berucap merasmikan Hari Terbuka dan Karnival Kerjaya Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu di Gong Badak di sini hari ini.
Mengenai pelajar tingkatan enam dan lima yang bermasalah, Ahmad Razif yang juga ADUN Seberang Takir mengarahkan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) merangka program khusus bagi memastikan mereka berjaya dipulihkan.
Katanya, mereka yang bermasalah akan diberi bimbingan atau tunjuk ajar bagi memastikan proses pembelajaran yang dijalani tidak menghadapi sebarang masalah.
''Saya sendiri akan sentiasa turun padang dengan mendampingi pelajar terbabit tanpa mengira waktu bagi memastikan mereka dipulihkan seperti sediakala," katanya.
Mengenai karnival itu, beliau menyeru ibu bapa dan belia lepasan sekolah hadir beramai-ramai bagi mencari peluang pekerjaan sepanjang program diadakan dua hari itu.
Katanya, mereka bertuah kerana tidak perlu bersusah payah mencari pekerjaan kerana pihak syarikat sendiri mengadakan temuduga terbuka untuk mencari pekerja.
Rabu, Julai 30, 2008
SATU GRADUAN SATU RUMAH
Label:
pendidikan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan