Bagi Abu Bakar Embong, 49, Ramadan menjadi waktu paling seronok untuk menghabiskan masa bersama empat isteri dan 25 anak kerana ketika itu kemeriahan berbuka bersama-sama ditambah dengan aktiviti bergotong royong dalam menyediakan juadah berbuka, mengharmonikan lagi hubungan antara mereka. "Lazimnya kami sekeluarga akan berkumpul sejak petang Khamis dan berterusan ke hari Jumaat dan Sabtu dengan mengadakan jamuan makan secara bergotong-royong yang sudah menjadi sebahagian daripada tradisi wajib yang mesti diikuti semua ahli keluarga.
"Dengan makan bersama-sama bergotong-royong menyediakan juadah dan bertanya khabar anak isteri ketika berkumpul, ia dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan sedia ada lagi pun kita tak tahu mungkin ada antara isteri dan anak-anak yang berbalah atau menghadapi masalah, ketika itulah mereka boleh bertemu dan melupakan segala yang berlaku, maklumlah bila dah ramai macam-macam boleh terjadi," katanya ketika ditemui di kediamannya semalam.
Abu Bakar yang juga seorang broker tanah dari Kampung Teluk Menara, Manir, mendapat liputan meluas akhbar selepas permohonannya untuk berkahwin isteri keempatnya, Suhaili Alias, 25, mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, 9 Jun lalu dan keterangannya disokong ketiga-tiga isterinya iaitu Asnah Jusoh, 46; Mazumi Ismail, 45; dan Norazlina Ariffin, 25. Ketika ditemui Berita Minggu di rumahnya semalam, keempat-empat isteri Abu Bakar kebetulan sedang menyediakan juadah berbuka puasa dengan dibantu oleh semua anak serta menantu dalam suasana yang cukup harmoni dan meriah.
Abu Bakar berkata, walaupun perhimpunan keluarga berlangsung setiap minggu terutama hari Jumaat dan Sabtu, namun ketika Ramadan, suasananya sedikit berbeza kerana keseronokan menanti waktu berbuka dan berkumpul seisi keluarga. "Ialah macam-macam hendak disediakan, ada yang menyediakan kuih-muih, ada yang memasak lauk-pauk dan disebabkan anggota keluarga yang ramai, masing-masing ada cita rasa dan lauk kegemaran masing-masing. Suasana meriah itu seolah-olah seperti rasa mengadakan kenduri setiap minggu.
"Walaupun begitu, pada hari biasa pun kalau tidak berkumpul beramai-ramai, semua isteri saya turut bertukar-tukar juadah berbuka sesama sendiri kerana kedudukan rumah yang berdekatan antara satu sama lain dan pada hari selain Khamis, Jumaat dan Sabtu, saya akan berbuka mengikut giliran rumah keempat-empat isteri mengikut turutan," katanya.
Abu Bakar membina rumah untuk semua isterinya dalam satu kawasan seluas kira-kira satu hektar yang turut menempatkan kediaman sanak-saudaranya yang lain bagi memudahkan urusan antara satu sama lain. Ditanya persediaan menyambut Aidilfitri dan giliran beraya, Abu Bakar berkata, kebiasaannya seperti tahun sebelumnya, beliau akan membawa semua isteri dan anak-anak beraya di rumah ibunya berhampiran, bagaimanapun katanya sambutan tahun ini mungkin sedikit berbeza kerana ibunya baru meninggal dunia awal tahun ini.
Katanya, kalau mengikut perancangan tahun ini, sambutan di rumah utama yang menjadi rumah berhimpun seluruh ahli keluarga lazimnya diadakan pada hari raya kedua. "Pada hari raya pertama saya akan bersama seluruh ahli keluarga mengunjungi dan bertandang ke rumah ibu bapa semua isteri kerana semua berasal dari Kuala Terengganu. Selepas menziarahi ibu dan bapa mentua semua isteri, pada hari raya kedua barulah saya pulang ke rumah utama bagi meraikan sahabat dan sanak saudara yang berkunjung," katanya.
Bercerita mengenai persediaan kelengkapan pakaian hari raya anak-anaknya, Abu Bakar berkata, dia menyerahkan semua persiapan termasuk pakaian dan perkara berkaitan kepada setiap isteri mengikut rumah. "Biarlah mereka memilih sendiri apa yang mereka mahu, yang penting tiada pembaziran dan tidak berlebih-lebih," katanya yang dikurniakan 11 lelaki dan 14 perempuan berusia antara empat bulan dan 25 tahun serta tiga cucu hasil perkongsian hidup dengan ketiga-tiga isterinya.
Ahad, September 14, 2008
Indahnya Bermadu
Label:
kahwin
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan