Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dijangka menjadi hab penerbangan haji Pantai Timur sepenuhnya mulai tahun hadapan apabila semua jemaah haji dari Terengganu, Kelantan dan sebahagian daripada jemaah haji Pahang akan menaiki penerbangan haji terus ke Jeddah, Arab Saudi melalui LTSM sepenuhnya.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata bagi penerbangan haji musim ini hanya jemaah haji Terengganu dan sebilangan kecil jemaah dari Kelantan akan menaiki penerbangan terus ke Jeddah bermula 13 hingga 25 November ini membabitkan sembilan penerbangan menggunakan pesawat Boeing 747-400 milik Penerbangan Malaysia (MAS).
"Mulai tahun depan Tabung Haji akan memulakan pembinaan hotel dan Kompleks Haji di kawasan seluas 2.8 hektar berhampiran Kompleks Sukan Negeri yang akan menampung keperluan jemaah haji dari seluruh pantai timur.
"Ketika ini tabung Haji sedang dalam proses mereka bentuk dan kerja pembinaan difahamkan akan bermula pada tahun hadapan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Haji Perdana Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, di sini semalam.
Hadir sama, Pengurus Besar Penyelidikan Tabung Haji, Shaharuddin Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri; Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat.
Seramai 2,398 bakal jemaah haji mengikuti Kursus Haji Perdana selama dua hari di Kompleks Sukan Negeri yang menjadi kursus pelengkap sebelum berlepas ke Tanah Suci bermula 13 November ini.
Ahmad berkata, bagi memudahkan jemaah berurusan sepanjang musim haji, kerajaan negeri menyediakan pengangkutan untuk menghantar jemaah dari Kompleks Sukan Negeri yang menjadi kompleks haji sementara terus ke LTSM.
Sementara itu, Shaharuddin berkata, jemaah Terengganu sangat bertuah kerana mulai tahun ini, LTSM menyediakan penerbangan terus haji ke Jeddah tanpa perlu mendaftar di Kompleks Haji Kelana Jaya seperti tahun sebelumnya.
Katanya, apabila siap sepenuhnya hotel dan kompleks haji di Terengganu yang dijangka memulakan pembinaan tahun hadapan, lebih ramai jemaah haji terutama dari negeri Kelantan dan Terengganu turut mendapat manfaat dan memudahkan perjalanan tanpa perlu mengikuti penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Isnin, Oktober 20, 2008
Kompleks Haji Di Bina
Label:
haji
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan