Kerajaan negeri sedang berusaha memartabatkan kembali limar iaitu kain tenun pilihan golongan bangsawan pada zaman dahulu termasuk mengkomersialkan kain itu sebagai pendedahan kepada masyarakat masa kini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohd. Adib berkata, tujuannya bagi memastikan kain limar turut dikenali seperti songket dan batik yang kini menjadi fabrik pilihan orang ramai. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pameran Keunikan dan Keanggunan Limar di Kompleks Muzium Negeri Terengganu di sini hari ini.
Sehubungan itu jelasnya, Sutera Semai Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat kerajaan negeri sudah memulakan usaha menghasilkan kain limar bagi tujuan dikomersialkan walaupun terpaksa melalui proses yang rumit.Beliau akui masyarakat sekarang kurang mengetahui mengenai kain limar kerana ia jarang digunakan pada masa ini berbanding pemakaian kain songket dan batik.''Kain limar dihasilkan melalui proses tenunan yang halus dan ia digunakan dalam abad ke-16 oleh golongan bangsawan sebagai pakaian istiadat.
''Bagaimanapun pada masa ini kain tersebut sudah tidak digunakan lagi dan hanya dijadikan sebagai bahan pameran sahaja kerana proses menghasilkannya agak rumit berbanding songket,'' ujarnya.Za'abar berharap pameran kain limar yang julung kali diadakan itu dapat memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai tahap keupayaan serta kehebatan masyarakat silam.
Selain itu katanya, ia juga bertujuan mendidik masyarakat menghargai seni warisan bangsa di samping menghidupkan kembali warisan yang semakin pupus dan dilupai masyarakat masa kini. Menurutnya, melalui pameran seumpama itu dapat membantu kerajaan negeri menarik pelancong untuk melihat kehebatan masyarakat zaman dahulu dalam menghasilkan fabrik yang bermutu tinggi.
Pameran yang diadakan secara percuma itu berlangsung sehingga 31 Disember ini dan sebanyak 50 helai kain limar dari seluruh negara termasuk dari Indonesia dipamerkan dan sebahagian daripada fabrik itu telah berusia lebih 100 tahun.
Khamis, Oktober 23, 2008
Terengganu martabatkan kembali kain limar
Label:
tradisional
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan