PERTEMUAN terakhir Kumpulan A berdepan Afghanistan di Pestabola Merdeka kelmarin pasti menjadi kenangan indah buat pemain negara, Ashaari Samsuddin yang menjaringkan dua gol pertamanya buat skuad kebangsaan.
Pemain berusia 23 tahun dari Bukit Payung, Terengganu itu mengakui sedikit gementar apabila diturunkan dalam kesebelasan utama buat kali pertama, namun sokongan rakan sepasukan yang lebih senior membolehkannya beraksi tanpa tekanan.
"Sebelum perlawanan bermula memang saya berasa sedikit risau kerana ini adalah perlawanan pertama saya dalam kesebelasan utama. Tetapi saya sedar saya tidak boleh menghampakan kepercayaan yang diberi jurulatih (B Sathianathan).
"Mujur, beberapa pemain senior terus memberi galakan kepada saya untuk bermain seperti biasa dan selepas berjaya melakukan jaringan pertama, ia membantu saya untuk beraksi dengan lebih tenang.
"Saya gembira dapat membantu pasukan mencatat kemenangan pada malam ini (kelmarin) dan berharap dua gol itu hanya permulaan untuk lebih banyak lagi jaringan bagi skuad kebangsaan," kata Ashaari.
Pemain sayap itu turut berharap dapat diturunkan pada perlawanan separuh akhir berdepan Myanmar esok, serta terus mengukuhkan tempatnya dalam skuad kebangsaan yang bakal beraksi di Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Suzuki Disember ini.
Khamis, Oktober 23, 2008
Ashaari Tunjuk Taring
Label:
bola
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan