![]() |
PEMAIN Terengganu, Firdaus Mohd. Faudzi (kanan) diasak pemain Kuala Lumpur, Ahmad Dashila Tajudin pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi. Terengganu menang 2-0. |
SEKALIPUN beraksi dengan 10 pemain, Terengganu berjaya mempamerkan semangat juang tinggi untuk menewaskan Kuala Lumpur 2-0 pada aksi Liga Super malam tadi.
Tiga mata penuh yang diraih itu menyaksikan Terengganu terus melebarkan rekod bersih di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Pada aksi malam tadi, rentak bergaya mula disajikan skuad Penyu seawal minit kedua apabila Zairo Anuar Zailani meletakkan tuan rumah di hadapan menerusi satu sepakan percuma dari luar kotak penalti.
Pada minit ke-30, pasukan pelawat hampir menyamakan kedudukan, namun rembatan jarak jauh daripada Yong Kuang Yong sekadar melewati palang gol.
Babak kedua bersambung, aksi keras dipamerkan kedua-dua pasukan yang menyaksikan Terengganu terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Mohd. Muhaimin Omar dilayangkan kad merah.
Muhaimin diperintah keluar padang oleh pengadil, Abdul Jalil Khalid pada minit ke-54 selepas pertahanan tuan rumah itu melakukan terjahan keras ke atas Kuang Yong.
Bagaimanapun, kekurangan itu tidak menjejaskan rentak Terengganu apabila Ashaari Shamsudin berjaya menjaringkan gol kedua pada lewat perlawanan.