Khamis, Oktober 23, 2008

Terengganu martabatkan kembali kain limar

Kerajaan negeri sedang berusaha memartabatkan kembali limar iaitu kain tenun pilihan golongan bangsawan pada zaman dahulu termasuk mengkomersialkan kain itu sebagai pendedahan kepada masyarakat masa kini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohd. Adib berkata, tujuannya bagi memastikan kain limar turut dikenali seperti songket dan batik yang kini menjadi fabrik pilihan orang ramai. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pameran Keunikan dan Keanggunan Limar di Kompleks Muzium Negeri Terengganu di sini hari ini.

Sehubungan itu jelasnya, Sutera Semai Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat kerajaan negeri sudah memulakan usaha menghasilkan kain limar bagi tujuan dikomersialkan walaupun terpaksa melalui proses yang rumit.Beliau akui masyarakat sekarang kurang mengetahui mengenai kain limar kerana ia jarang digunakan pada masa ini berbanding pemakaian kain songket dan batik.''Kain limar dihasilkan melalui proses tenunan yang halus dan ia digunakan dalam abad ke-16 oleh golongan bangsawan sebagai pakaian istiadat.

''Bagaimanapun pada masa ini kain tersebut sudah tidak digunakan lagi dan hanya dijadikan sebagai bahan pameran sahaja kerana proses menghasilkannya agak rumit berbanding songket,'' ujarnya.Za'abar berharap pameran kain limar yang julung kali diadakan itu dapat memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai tahap keupayaan serta kehebatan masyarakat silam.

Selain itu katanya, ia juga bertujuan mendidik masyarakat menghargai seni warisan bangsa di samping menghidupkan kembali warisan yang semakin pupus dan dilupai masyarakat masa kini. Menurutnya, melalui pameran seumpama itu dapat membantu kerajaan negeri menarik pelancong untuk melihat kehebatan masyarakat zaman dahulu dalam menghasilkan fabrik yang bermutu tinggi.

Pameran yang diadakan secara percuma itu berlangsung sehingga 31 Disember ini dan sebanyak 50 helai kain limar dari seluruh negara termasuk dari Indonesia dipamerkan dan sebahagian daripada fabrik itu telah berusia lebih 100 tahun.

Ashaari Tunjuk Taring

PERTEMUAN terakhir Kumpulan A berdepan Afghanistan di Pestabola Merdeka kelmarin pasti menjadi kenangan indah buat pemain negara, Ashaari Samsuddin yang menjaringkan dua gol pertamanya buat skuad kebangsaan.

Pemain berusia 23 tahun dari Bukit Payung, Terengganu itu mengakui sedikit gementar apabila diturunkan dalam kesebelasan utama buat kali pertama, namun sokongan rakan sepasukan yang lebih senior membolehkannya beraksi tanpa tekanan.

"Sebelum perlawanan bermula memang saya berasa sedikit risau kerana ini adalah perlawanan pertama saya dalam kesebelasan utama. Tetapi saya sedar saya tidak boleh menghampakan kepercayaan yang diberi jurulatih (B Sathianathan).

"Mujur, beberapa pemain senior terus memberi galakan kepada saya untuk bermain seperti biasa dan selepas berjaya melakukan jaringan pertama, ia membantu saya untuk beraksi dengan lebih tenang.

"Saya gembira dapat membantu pasukan mencatat kemenangan pada malam ini (kelmarin) dan berharap dua gol itu hanya permulaan untuk lebih banyak lagi jaringan bagi skuad kebangsaan," kata Ashaari.

Pemain sayap itu turut berharap dapat diturunkan pada perlawanan separuh akhir berdepan Myanmar esok, serta terus mengukuhkan tempatnya dalam skuad kebangsaan yang bakal beraksi di Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Suzuki Disember ini.

Rabu, Oktober 22, 2008

Pok Li Utamakan Perpaduan

Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Dungun diminta melupakan sengketa selepas pemilihan pucuk pimpinan parti dan perlu berganding bahu demi memperkuatkan jentera Barisan Nasional (BN).

Ketua Umno Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan, berkata berganding bahu serta bersatu di kalangan ahli Umno sangat penting terutama dalam keadaan rakyat sudah kurang 'mesra' dengan parti itu.
Beliau berkata, pada pilihan raya umum ke-12, meskipun Terengganu memenangi dua pertiga dan BN berjaya memerintah tetapi ada beberapa kawasan masih lemah dan mengalami kekalahan.

Kita tahu semua ahli Umno dan BN memainkan peranan setimpal ketika pilihan raya umum lalu, tetapi ada beberapa kawasan di negeri ini seperti Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura nampak lemah dan kalah kepada calon Pas.

“Oleh itu saya menyeru semua ahli terutama pucuk pimpinan yang dipilih pada persidangan perwakilan memainkan peranan yang utuh dan melupakan sengketa demi melihat Umno terus megah pada mata rakyat,” katanya.

Rosli yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri berkata, kekalahan calon BN Kawasan Sura bukan didorong faktor kekuatan Pas, tetapi ada segelintir penyokong BN memberi undi kepada calon Pas.
Bagaimanapun, beliau memuji ahli Wanita, Pemuda dan Puteri Umno termasuk MCA dan Gerakan yang bekerja keras menjalankan kempen bagi memastikan calon Parlimen BN, Rantau Abang serta Paka menang pada pilihan raya umum lalu.

Kerana Elektrik ... Mamat Sengsara

Jika ditakdirkan perlu mengosongkan rumah, Mamat Abdullah, 61, sanggup berbuat demikian tetapi meletakkan beberapa 'syarat' yang perlu dipenuhi iaitu status permohonan tanahnya benar-benar telah diluluskan.

Katanya, sehingga kini beliau tidak dimaklumkan mengenai status permohonan tanah di Gemuruh dekat sini seperti dilaporkan sebelum ini.Malah, jika benar tanah itu telah diberikan kepadanya, beliau sanggup berpindah ke tempat baru itu asalkan mendapat bekalan elektrik dan beberapa syarat lain.

"Saya sanggup pindah kalau kena dengan tempatnya," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.Jelas Mamat, sebelum berbuat demikian, beliau juga perlu melihat dahulu tanah yang didakwa miliknya dan jika ia bersesuaian, perkara tersebut boleh dirunding.

Beliau juga memikirkan sekiranya perlu berpindah, bagaimana mahu membina rumah barunya itu sedangkan beliau tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi."Paling kurang kalau hendak pindah dan buat rumah baru kena ada RM5,000 tetapi jika saya diberikan bantuan rumah, lainlah mungkin boleh pindah terus," ujarnya.

Kosmo! semalam melaporkan rumah Mamat boleh diroboh memandangkan beliau mendirikannya di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran dan ia menyebabkannya tidak mendapat bekalan elektrik.
Namun bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Muhamad Ramli Nuh, pihaknya tidak akan berbuat demikian dan sebaliknya mahu mencari jalan penyelesaian terbaik.

Dalam pada itu Mamat berkata, pada Selasa minggu hadapan satu majlis pertunangan dijangka berlangsung melibatkan cucunya yang dijangka berkahwin Mac nanti.

Selasa, Oktober 21, 2008

Pengantin 'lilin' 2009

Biarpun terpaksa bergelap kerana tiada bekalan elektrik, Mamat Abdullah, 61, nekad untuk meneruskan majlis persandingan anak dan cucu di rumahnya di Kampung Banggol Nyamuk, Kuala Nerus di sini, Mac tahun depan.

Katanya, ia bukan permintaan beliau tetapi kehendak anak dan cucunya sendiri bagi mengadakan majlis di rumah sendiri dan bukan menumpang di rumah sanak-saudara yang lain."Biarpun saya terpaksa menggunakan lilin pada sebelah malam pada hari perkahwinan itu nanti untuk menerangi rumah, ia tetap akan dilangsungkan.

"Mahu tidak mahu majlis tetap jalan, soal ada atau tidak elektrik itu perkara lain," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.Katanya, mereka tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menyalakan lilin bagi menerangi rumah untuk kemudahan bakal pengantin nanti.

"Kalau tiada juga bekalan pada masa itu nanti, terpaksalah guna lilin berkotak-kotak," katanya yang terpaksa menggunakan kira-kira 36 batang lilin pada malam sebelum pertunangan anaknya kelmarin.

Semalam Kosmo! melaporkan, rombongan meminang anaknya Azapah, 31, terpaksa berpeluh dan berpanas gara-gara rumah Mamat tiada bekalan elektrik.Malah, rombongan yang datang dari Negeri Sembilan juga terpaksa makan di luar rumah di atas beranda kerana ruang tamu di dalam rumah gelap dan panas.

Bollywood Pilih Terengganu

Terengganu dijangka dipromosi ke seluruh dunia apabila sebuah syarikat Bollywood berhasrat membuat penggambaran filem di negeri itu, Mac tahun depan.Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, penerbit dan pengarah syarikat filem berkenaan berkunjung ke Terengganu baru-baru ini untuk meninjau lokasi menarik seperti Tasik Kenyir, Tanjung Jara, Pulau Redang, Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dan Pulau Duyong.

"Syarikat filem berkenaan ingin mendapat kerjasama daripada kerajaan Terengganu bagi membuat penggambaran di tempat-tempat menarik di negeri ini."Kita harap filem yang akan dibuat antara 200 hingga 400 salinan itu apabila ditayangkan kelak, dapat memperkenalkan Terengganu di seluruh dunia," katanya selepas merasmikan resort lima bintang, Ri-Yaz Heritage Resort and Spa di Pulau Duyong di sini hari ini.

Resort yang mempunyai 97 buah bilik dan 13 calet itu adalah milik kerajaan Terengganu dan diuruskan oleh Ri-Yaz iaitu anak syarikat kumpulan Ri-Yaz Hotels & Resort, mulai 1 Ogos lepas.

Ahmad berkata, filem yang masih belum mempunyai judul dan memakan masa penggambaran antara 40 dan 60 hari itu, mengisahkan mengenai pasangan kekasih yang berbulan madu di Terengganu dan dilakonkan oleh Rani Mukarjee manakala heronya masih belum diputuskan.

Tahun lepas, sebuah syarikat filem dari China turut membuat penggambaran siri drama di Pulau Perhentian, yang merupakan antara pulau yang terindah di dunia.

Isnin, Oktober 20, 2008

Kompleks Haji Di Bina

Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dijangka menjadi hab penerbangan haji Pantai Timur sepenuhnya mulai tahun hadapan apabila semua jemaah haji dari Terengganu, Kelantan dan sebahagian daripada jemaah haji Pahang akan menaiki penerbangan haji terus ke Jeddah, Arab Saudi melalui LTSM sepenuhnya.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata bagi penerbangan haji musim ini hanya jemaah haji Terengganu dan sebilangan kecil jemaah dari Kelantan akan menaiki penerbangan terus ke Jeddah bermula 13 hingga 25 November ini membabitkan sembilan penerbangan menggunakan pesawat Boeing 747-400 milik Penerbangan Malaysia (MAS).

"Mulai tahun depan Tabung Haji akan memulakan pembinaan hotel dan Kompleks Haji di kawasan seluas 2.8 hektar berhampiran Kompleks Sukan Negeri yang akan menampung keperluan jemaah haji dari seluruh pantai timur.

"Ketika ini tabung Haji sedang dalam proses mereka bentuk dan kerja pembinaan difahamkan akan bermula pada tahun hadapan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Haji Perdana Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, di sini semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar Penyelidikan Tabung Haji, Shaharuddin Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri; Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat.

Seramai 2,398 bakal jemaah haji mengikuti Kursus Haji Perdana selama dua hari di Kompleks Sukan Negeri yang menjadi kursus pelengkap sebelum berlepas ke Tanah Suci bermula 13 November ini.

Ahmad berkata, bagi memudahkan jemaah berurusan sepanjang musim haji, kerajaan negeri menyediakan pengangkutan untuk menghantar jemaah dari Kompleks Sukan Negeri yang menjadi kompleks haji sementara terus ke LTSM.

Sementara itu, Shaharuddin berkata, jemaah Terengganu sangat bertuah kerana mulai tahun ini, LTSM menyediakan penerbangan terus haji ke Jeddah tanpa perlu mendaftar di Kompleks Haji Kelana Jaya seperti tahun sebelumnya.

Katanya, apabila siap sepenuhnya hotel dan kompleks haji di Terengganu yang dijangka memulakan pembinaan tahun hadapan, lebih ramai jemaah haji terutama dari negeri Kelantan dan Terengganu turut mendapat manfaat dan memudahkan perjalanan tanpa perlu mengikuti penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH
Terengganu juara Sukma: KONTINJEN Terengganu bersorak riang selepas muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XII yang berakhir di Kuala Terengganu, malam tadi. Tuan rumah mencipta sejarah mengutip emas terbanyak dalam penyertaan Sukma selepas meraih 61 pingat emas 39 perak dan 47 gangsa meninggalkan Selangor yang muncul naib juara dengan 54-47-52 manakala Sarawak tempat ketiga, (52-52-42). Upacara penutup temasya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

MENAKJUBKAN

MENAKJUBKAN
TERENGGANU juara SUKMA, Juara Bola Sepak, Raja Pecut, Raja Ragbi, Raja Kenu, Raja Kayuh. Kemenangan Terengganu kebanyakkan diperolehi melalui sukan objektif seperti olahraga, basikal, kenu berbanding dari sukan subjektif.

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG
Skretariat SUKMA Terengganu mendapat pujian daripada Kontingen-kontingen negeri, Media massa, pegawai sukan & orang ramai tentang kecermlangan pengurusan & pentadbiran SUKMA. SUKMA di Terengganu di iktiraf sebagai pengurusan SUKMA terbaik, pengadilan yang paling bersih,penyertaan penonton paling ramai, kemudahan paling lengkap, rekod baru paling banyak dicipta & tanpa kontraversi. Paling hairan Jawatakuasa rayuan tidak mnerima apa-apa rayuan dari kontingen yang bertanding. TAHNIAH.

INDUSTRI TERNAK KAMBING

INDUSTRI TERNAK KAMBING
Cosmopal Sdn Bhd, anak syarikat Arus Zaman Sdn Bhd, melabur sebanyak RM2 juta dalam penternakan kambing di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Serating, dekat sini dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai pengeluar terbesar ternakan itu di negara ini pada masa depan. Pengarahnya, Zainudin Zakaria berkata setakat ini, syarikat mempunyai sebanyak 1,400 kambing baka Jamnapari, bernilai antara RM750 dan RM850 seekor, di ladang seluas kira-kira 30 hektar itu.

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN
DAS berkata kerajaan banyak menyediakan kemudahan untuk pelajar melonjakkan diri untuk mencapai kejayaan cemerlang. Kerajaan sanggup menyediakan peruntukkan besar untuk sektor pendidikan bagi menjadikan negeri terulung melahirkan pelajar yang cemerlang.

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI
DAS mengucap tahniah kepada Wan Ahmad Nizam, Ketua Kontingen SUKMA Terengganu kerana berjaya menjadi juara SUKMA ke 12. Di atas kemenangan itu, DAS memberi cuti kepada rakyat Terengganu.

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU
PM bersetuju untuk melulus pembinaan sekolah sukan seperti sekolah sukan di Bukit Jalil & Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor di Terengganu. Sekolah ini akan dibina di sebelah kompleks sukan negeri, Gong Badak.