Selasa, Februari 16, 2010

Makanan Melayu Di Tahun Baru Cina


Lazimnya nasi minyak, sate, ayam masak merah merupakan hidangan yang sinonim dengan masyarakat Melayu, namun di Terengganu hidangan berkenaan merupakan juadah utama menjadi pilihan masyarakat Cina untuk dihidangkan kepada tetamu dalam majlis rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina.

Hidup dengan dikelilingi masyarakat Melayu menjadikan lebih 3,000 kaum Cina daripada lebih 1.1 juta rakyat Terengganu telah sebati dengan masakan Melayu dalam kehidupan seharian mereka.

Bagi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bandar, Toh Chin Yaw (gambar), rata-rata kaum Cina di negeri ini telah biasa dengan masakan Melayu sehinggakan setiap kali musim perayaan juadah sedemikian turut menjadi pilihan selain juadah seperti kuih bulan, kuih kapit dan limau mandarin.

"Sudah menjadi kebiasaan kami menyediakan banyak makanan tradisional Melayu seperti nasi dagang dan nasi minyak. Kalau kami sedia makanan lain, mereka rasa macam ada sesuatu yang kurang lengkap," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru anjuran MCA di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah, Anggota Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri dan ADUN Tepoh, Muhamad Ramli Nuh.

Bagi Lew I Ling, 28, dari Jalan Tok Lam dekat sini, walaupun masyarakat Cina di Terengganu tidaklah ramai berbanding negeri lain, namun sambutan perayaan tetap meriah dengan tradisi kunjung mengunjung antara saudara mara dan sahabat handai yang kebanyakannya dari kalangan kaum Melayu.

"Kebiasaannya jika kami membuat majlis rumah terbuka, juadah masakan Melayu akan menjadi pilihan seperti nasi minyak serta nasi dagang yang ditempah kerana kami faham dengan masyarakat Melayu perlu menjaga soal halal dalam pemakanan mereka," katanya.

Malah katanya, air yang dihidang juga akan menggunakan cawan kertas ataupun air kotak dan tidak menggunakan bekas yang ada di rumahnya.

Beliau berpendapat semenjak kerajaan memperkenalkan konsep kongsi raya beberapa tahun lepas dan konsep 1Malaysia, hubungan antara kaum di negeri ini dilihat lebih muhibah dengan masing-masing cuba memahami tradisi kaum lain.

Dari segi kemeriahan sambutan pula, katanya, ia agak jauh berbeza dengan masa dahulu yang mana setiap kali Tahun Baru Cina menjelang, kaum keluarga pasti berkumpul untuk membuat kuih raya seperti kuih kapit sekali gus merapatkan hubungan sesama mereka.

"Tetapi sekarang, semua telah berubah, biskut raya sudah boleh dibeli di pasar raya, malah jika malas masak untuk makan besar, banyak restoran yang menyediakan pakej-pakej berkenaan.

"Kalau dahulu, memang rasa seronok setiap kali posmen datang membawa kad raya, tetapi sekarang hanya email dan SMS sebagai pengganti kad ucapan...sudah tidak semeriah dulu," katanya.

Bagi Leong Zeuk Suen, 73, dari Kampung Ayer Jernih, Kemaman pula, sesuai dengan semangat 1Malaysia masyarakat Hainan di kampung ini menyambut Tahun Baru Cina dengan tradisi kunjung mengunjung di antara rumah kaum keluarga, jiran serta sahabat handai.

"Saya mempunyai ramai sahabat di kalangan kaum Melayu dan mereka juga biasanya tidak ketinggalan mengunjungi rumah kami setiap kali Tahun Baru Cina dan apabila tiba Hari Raya Aidilfitri, kami pula yang mengunjungi rumah mereka," katanya

Rabu, Februari 10, 2010

Kes SMS ugut tiga Adun 9 Februari


Mahkamah Sesyen di sini, semalam memanggil Koperal Zulbahari Abdul Manan sebagai saksi pertama kes perbicaraan Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir yang juga bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu, yang menghadapi empat pertuduhan melakukan ugutan jenayah menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) tahun lalu.

Anggota polis Cawangan Jenayah, Stor Barang Kes Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu itu hadir memberi keterangan berhubung 37 barang kes diterimanya daripada pegawai penyiasat Asisten Superintendan Mohd Hadzwan Zulkefle pada 30 April tahun lalu.

Dalam keterangannya di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid, Zulbahari berkata, dia diarahkan pegawai penyiasat untuk mendaftar barang kes iaitu telefon bimbit dan peralatan komputer.

Beliau berkata, empat daripada 37 barang kes terbabit sudah dikembalikan kepada pemiliknya mengikut Seksyen 413 Kanun Tatacara Jenayah.

Pihak pendakwaan diwakili Shahidani Abd Aziz, Norazimon Azumi dan Ooi Choo Geok, manakala pembelaan diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman.

Perbicaraan bersambung semula hari ini dengan Zulbahari selaku saksi pertama daripada keseluruhan 22 saksi menyambung keterangannya.

Ahmad Ramzi yang bertanding kerusi Parlimen Marang pada pilihan raya umum ke-12 Mac 2008, sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan melakukan ugutan jenayah pada 4 Jun tahun lalu dan diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin.

Mengikut kertas pertuduhan, Ahmad Ramzi dituduh melakukan ugutan jenayah dengan mengancam mendatangkan kematian kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka, Mohd Ariffin Abdullah dengan niat menyebabkan kegentaran kepadanya di Kampung Kubang Parit, di sini, jam 11.20 malam, pada 13 April lalu.

Tertuduh juga didakwa melakukan perbuatan sama terhadap Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid dan Adun Permaisuri, Abd Halim Jusoh di tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda.

Tertuduh juga dituduh memfitnah bekas Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Wan Ahamad Wan Muda apabila menghantar SMS mengandungi ugutan jenayah dengan mengancam mahu mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin, Abd Halim dan Rosol melalui laman web.

Ia dilakukan menggunakan nombor telefon bimbit Wan Ahamad antara jam 11.21 malam dan 11.25 malam pada tarikh dan tempat sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun.

Isnin, Februari 08, 2010

Hanya Pemain Simpanan ...

MEMANG sudah diduga sedari awal oleh jurulatih Terengganu, Irfan Bakti bahawa anak buahnya tidak berdepan masalah menewaskan USM FC dalam perlawanan di gelanggang sendiri, malam kelmarin bagi membolehkan pasukannya mara ke pusingan kedua Piala FA, musim ini.

Berdasarkan kemenangan di tempat lawan 4-1, ia sudah tentu memberi kelebihan kepada Terengganu untuk mencipta kemenangan sekali lagi supaya matlamat meneruskan cabaran menjadi milik pasukan dari Pantai Timur.

Walaupun menurunkan ramai pemain simpanan, Terengganu masih mampu mencapai kemenangan besar ke atas PP USM FC dengan 3-0 di tempat sendiri bagi memberi laluan mudah mara ke pusingan kedua, Piala FA, malam kelmarin.

Dengan kemenangan itu, Terengganu sudah layak ke pusingan kedua dan akan bertemu Sarawak pada 16 Februari ini di tempat lawan.

Irfan Bakti berkata, dalam perlawanan malam kelmarin dia memberi ruang kepada pemain simpanan beraksi dan menunjukkan kemahiran menghadapi lawan.

“Saya terpaksa merehatkan ketua pasukan Marzuki Yusof, Zairo Anuar Zalani, Muhamad Muhaimini Omar dan Sharbinee Allawee dalam perlawanan dengan PP USM FC dan ternyata pasukan ini masih mampu mencapai kemenangan,”

Velodrom Di Terengganu


Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek menyambut baik hasrat Kerajaan Negeri Terengganu merealisasikan pembinaan velodrom di Dungun sebagai menghargai jasa pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang.

Beliau berkata, pihaknya menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk memilih kawasan yang sesuai dan pembinaaan velodrom itu kelak akan turut dilengkapkan dengan kemudahan sukan lain seperti gelanggang pelbagai guna.

''Saya gembira mereka dapat kenal pasti tempat yang lain dan kalau boleh di Dungun. Bagaimanapun, saya tidak dimaklumkan lagi dan saya serahkan kepada pihak berkuasa di sana,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Gelanggang Rakyat dan Karnival Belia dan Sukan Parlimen Hulu Langat di sini, semalam.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Terengganu, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said berkata, pembinaan velodrom itu kekal di Dungun kerana kerajaan kini mempunyai tapak alternatif iaitu tanah seluas lapan hektar di Kampung Che Lijah.

Sebelum ini, cadangan kerajaan untuk membina velodrom di kawasan lapang di Sura, Dungun mendapat bantahan penduduk setempat kerana menganggap ia akan mengambil tanah dan mengganggu tempat anak muda beriadah.

Cadangan membina velodrom di Dungun itu diumum Shabery tahun lepas sebagai menghargai jasa Azizulhasni yang mengharumkan nama negara di peringkat dunia dalam sukan lumba basikal.

Menurut Shabery, pihaknya memilih untuk membina velodrom di Dungun adalah sebagai menghargai penduduk di daerah itu yang melahirkan jaguh basikal negara sehebat Azizulhasni.

''Kalau boleh kita hendak melahirkan lebih ramai jaguh yang hebat seperti Azizul dan di Dungun sahaja sudah terdapat beberapa kumpulan basikal yang semakin meningkat naik.

''Malah ada di kalangan anak-anak Terengganu ini telah berjaya melonjakkan kemampuan mereka sehingga ke peringkat kebangsaan seperti Fateha Mustafa dan Anuar Manan,'' ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai gelanggang rakyat, beliau memberitahu, kerajaan telah pun berjaya membina lebih 900 gelanggang pelbagai guna daripada 1,200 jumlah

Ahad, Februari 07, 2010

Terengganu Menemui Rangka Remaja Berusia 8,000 tahun


Satu penemuan rangka manusia yang disemadikan dalam keadaan meringkuk seperti bayi di dalam kandungan dipercayai berusia antara 8,000 hingga 11,000 tahun ditemui di Gua Bewah, Tasik Kenyir, November tahun lalu.

Dengan penemuan rangka manusia zaman prasejarah itu, ia membuktikan wujudnya kawasan penempatan manusia zaman Mesolitik di kawasan tersebut.

Semasa ditemui, rangka berada dalam posisi yang dipercayai merupakan cara masyarakat zaman tersebut mengkebumikan mayat.

Pakar Arkeologi daripada Institut Tamadun dan Alam Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Nik Hasan Shuhaimi Nik Abdul Rahman berkata, pihaknya percaya rangka tersebut milik manusia berdasarkan ciri-ciri lengkap tulang yang ditemui sama dengan rangka manusia.

Bagaimanapun, katanya, jantina dan usia rangka manusia itu belum dikenal pasti.

"Rangka tersebut ditemui pada kedalaman 75 sentimeter dan ia merupakan penemuan terbesar selepas rangka pertama yang ditemui pada tahun 1975 di Gua Batu Tok Bidan berdekatan gua tersebut.

"Kesemua rangka yang hampir lengkap dari kepala hingga kaki itu ditemui dalam keadaan tulang telah patah dan pecah, oleh itu kita telah membawa rangka tersebut untuk analisis saintifik pada bulan lalu," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan bersama media di Tasik Kenyir di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said bersama isterinya, Toh Puan Norliza Mahmud dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Mohd. Yusof Abdullah.

Mengulas lanjut, Nik Suhaimi yang bertindak sebagai penyelia kerja-kerja cari gali berkata, gua tersebut telah ditutup untuk sebarang lawatan dan kunjungan orang ramai bagi membenarkan kerja-kerja cari gali disambung semula bermula tiga minggu lagi.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Ahmad berkata, Taman Burung yang terletak di Island Hopping dekat sini bakal dibuka pada bulan April ini.

Katanya, ia bakal menempatkan 40 spesies burung dan itik termasuk dari Belanda yang telah dibiak di Pengkalan Gawi dekat sini.

"Kerja-kerja pembinaan taman tersebut telah siap 80 peratus dan hanya menunggu masa untuk proses pelepasan burung-burung berkenaan.

"Kita yakin burung-burung tersebut sesuai hidup di taman berkenaan memandangkan kita telah berjaya membiakkan sebanyak 15 ekor anak itik Belanda di kawasan tersebut," jelasnya

Sabtu, Februari 06, 2010

Terus Cemerlang Walaupun Dah Kawin


JAGUH lumba basikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang, 22, sanggup menangguhkan hasrat memiliki cahaya mata untuk beberapa tahun lagi bagi memastikan dia terus cemerlang dalam kariernya, lapor MANIRAH OTHMAN.

Selain itu, dia juga mahu memastikan isterinya, Athiah Ilyana Abd. Samat, 24, benar-benar bersedia. Lagipun kedua-duanya masih lagi belum menghabiskan pengajian.

Ketika ini, Azizulhasni mengikuti pengajian ijazah pertama dalam jurusan Perdagangan di Universiti Dea- kin, Melbourne manakala Athiah Ilyana pula menyambung pengajian peringkat sarjana jurusan Arkitek di universiti yang sama.

Biarpun tidak sabar untuk menjalani kehidupan berkeluarga yang sempurna, namun Azizulhasni menjelaskan, tumpuan utamanya kini adalah untuk mene- ruskan latihan bagi memantapkan prestasi.

Jelasnya, selepas seminggu bergelar suami, dia yakin untuk berusaha lebih gigih kerana ia dianggap memberi motivasi kepadanya untuk berlatih dengan lebih serius demi masa depan mereka.

Pelumba yang mendapat jolokan 'The Pocketrocket Man' turut memberitahu, hasrat untuk berbulan madu juga terpaksa ditangguhkan kerana tidak mahu latihannya terjejas dan ia mungkin hanya dilakukan pada hujung tahun ini.

"Saya akan bertolak ke Australia dengan isteri Isnin ini bagi meneruskan latihan," katanya ketika ditemui pada majlis sambut menantu di rumah keluarganya di Jalan Nibong Stesen, Dungun semalam.

Menurut Azizulhasni, majlis resepsi mereka akan diadakan pada Disember depan selepas temasya Sukan Komanwel di New Delhi, India tetapi tarikhnya belum diputuskan lagi.

Jumaat, Februari 05, 2010

Dato Bandar Di Lantik


AZLAN MOHD. DAGANG


Semua Yang Dipertua (YDP) dan Ahli Majlis berkuasa tempatan (PBT) digesa ‘turun padang’ bagi meninjau dan menyelami segala masalah yang dialami rakyat.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, mereka perlu komited dalam memikul amanah serta tanggungjawab bagi membantu memenuhi keperluan rakyat selain memastikan nasib rakyat terus mendapat pembelaan sewajarnya.

“Semua Ahli Majlis dan juga Yang Dipertua PBT kena ada sikap untuk ‘turun padang’, mereka kena sanggup bersusah payah dengan memantau keadaan rakyat di kawasan masing-masing.

“Mereka kena periksa masalah rakyat, kalau mereka tak lakukan tugas dengan amanah, saya tak dapat pertahankan mereka, rakyat harus mendapat pembelaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengakuan Menerima Jawatan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan YDP Majlis Daerah Marang (MDM) di sini hari ini.

Menurut Ahmad, segala masalah rakyat antaranya meliputi aspek kebersihan dan kemudahan asas perlu disedia dan ditingkatkan sejajar dengan usaha kerajaan negeri mengubah wajah pembangunan di Terengganu pada masa depan.

“Kerajaan negeri merancang pelbagai pembangunan fizikal untuk Terengganu termasuk menyusun semula pelan pembangunan di kawasan bandar dengan membina rumah-rumah kedai dan kediaman,” ujarnya.

Beliau juga menarik perhatian dengan cadangan pembinaan bangunan baru MBKT setinggi 18 tingkat berhampiran Pantai Batu Burok di sini yang dijangka mula dilaksanakan tahun ini.

Terdahulu itu, Ahmad menyaksikan majlis Pengakuan Menerima Jawatan Datuk Bandar MBKT yang baru, Datuk Azlan Mohd. Dagang bagi menggantikan Datuk Mat Razali Kasim yang kini sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan).

Azlan sebelum ini pernah menerajui beberapa jabatan dan agensi kerajaan negeri ini termasuk sebagai Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) sebelum ke jawatan terakhirnya sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan).

Pada majlis itu juga, Ibrahim Mohamad turut membuat pengakuan menerima jawatan sebagai YDP MDM yang baru menggantikan Mohd. Elias Nik yang kini menjadi Pengarah Institut Pembangunan Terengganu (TDI). Ibrahim sebelum ini merupakan bekas Ketua Penolong Pentadbir Tanah Hulu Terengganu.

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH
Terengganu juara Sukma: KONTINJEN Terengganu bersorak riang selepas muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XII yang berakhir di Kuala Terengganu, malam tadi. Tuan rumah mencipta sejarah mengutip emas terbanyak dalam penyertaan Sukma selepas meraih 61 pingat emas 39 perak dan 47 gangsa meninggalkan Selangor yang muncul naib juara dengan 54-47-52 manakala Sarawak tempat ketiga, (52-52-42). Upacara penutup temasya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

MENAKJUBKAN

MENAKJUBKAN
TERENGGANU juara SUKMA, Juara Bola Sepak, Raja Pecut, Raja Ragbi, Raja Kenu, Raja Kayuh. Kemenangan Terengganu kebanyakkan diperolehi melalui sukan objektif seperti olahraga, basikal, kenu berbanding dari sukan subjektif.

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG
Skretariat SUKMA Terengganu mendapat pujian daripada Kontingen-kontingen negeri, Media massa, pegawai sukan & orang ramai tentang kecermlangan pengurusan & pentadbiran SUKMA. SUKMA di Terengganu di iktiraf sebagai pengurusan SUKMA terbaik, pengadilan yang paling bersih,penyertaan penonton paling ramai, kemudahan paling lengkap, rekod baru paling banyak dicipta & tanpa kontraversi. Paling hairan Jawatakuasa rayuan tidak mnerima apa-apa rayuan dari kontingen yang bertanding. TAHNIAH.

INDUSTRI TERNAK KAMBING

INDUSTRI TERNAK KAMBING
Cosmopal Sdn Bhd, anak syarikat Arus Zaman Sdn Bhd, melabur sebanyak RM2 juta dalam penternakan kambing di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Serating, dekat sini dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai pengeluar terbesar ternakan itu di negara ini pada masa depan. Pengarahnya, Zainudin Zakaria berkata setakat ini, syarikat mempunyai sebanyak 1,400 kambing baka Jamnapari, bernilai antara RM750 dan RM850 seekor, di ladang seluas kira-kira 30 hektar itu.

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN
DAS berkata kerajaan banyak menyediakan kemudahan untuk pelajar melonjakkan diri untuk mencapai kejayaan cemerlang. Kerajaan sanggup menyediakan peruntukkan besar untuk sektor pendidikan bagi menjadikan negeri terulung melahirkan pelajar yang cemerlang.

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI
DAS mengucap tahniah kepada Wan Ahmad Nizam, Ketua Kontingen SUKMA Terengganu kerana berjaya menjadi juara SUKMA ke 12. Di atas kemenangan itu, DAS memberi cuti kepada rakyat Terengganu.

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU
PM bersetuju untuk melulus pembinaan sekolah sukan seperti sekolah sukan di Bukit Jalil & Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor di Terengganu. Sekolah ini akan dibina di sebelah kompleks sukan negeri, Gong Badak.