Seorang ibu tunggal bimbang mengenai masa depan anak bongsunya berusia sembilan tahun yang mengalami kerosakan saraf akibat demam panas setahun lalu.Ini kerana Muhammad Amirul Fatehi Mukmine Shaari, 9, tidak menyedari keadaan sekeliling dan memerlukan perhatian sepenuh masa sejak menghidap demam panas April tahun lepas.Malah, satu tiub makanan dipasang melalui hidung untuk membolehkan kanak-kanak tersebut diberikan susu khas yang merupakan makanan utamanya.
Munah Kassin, 47, berkata, bagaimanapun beberapa hari lalu dia terpaksa memberi anak kelimanya itu makan bubur nasi kerana dia mengalami alahan terhadap susu tersebut.Wanita itu yang bekerja sebagai peraih kelapa sawit di sebuah ladang kelapa sawit di Ajil itu berkata, dia membawa Amirul ke Hospital Hulu Terengganu, di sini, tetapi doktor tidak mengetahui punca keadaannya.''Doktor terakhir yang saya jumpa menyatakan Amirul mungkin menghidap penyakit keturunan selepas anak sulung dan keempat saya meninggal dunia akibat barah kira-kira 10 tahun lalu.
''Namun, anak kedua dan ketiga yang masing-masing berumur 22 dan 19 tahun sihat serta tidak menghidap sebarang penyakit. Mereka kini masing-masing bekerja sebagai pembantu kedai di Kuala Lumpur dan di Kuala Berang di sini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Machang di sini semalam.Munah yang kematian suaminya, Shaari Ismail, kira-kira lima tahun lalu berkata, dia ingin membawa anaknya itu bertemu doktor pakar tetapi tidak berkemampuan kerana gajinya hanya RM17 sehari jika dia dapat bekerja.
''Amirul kini dijaga oleh ibu saya, Bunga Kassih yang berumur 70 tahun ketika saya bekerja," katanya.Munah berharap supaya ada pihak yang tampil membantu Amirul bagi mendapatkan kos rawatan penyakitnya itu. ''Saya berharap Amirul dapat pulih daripada penyakit ini dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain," katanya.Mereka yang ingin menghulurkan bantuan kepada Amirul boleh menghubungi Munah di talian 013-9537526.
Jumaat, September 12, 2008
Bantu Amirul
Label:
bantuan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan