Ahad, Jun 06, 2010

Ganjaran Lumayan Untuk Atlet Terengganu


AHMAD Said (tengah) menerima replika sasaran 66 pingat emas kontinjen Sukma Terengganu dari Mat Razali Kassim (kiri) sambil diperhatikan Abdul Rahin Mohd. Said pada majlis penyerahan bendera Terengganu di Kuala Terengganu, semalam. – Mingguan/Fauzi Baharudin

Ganjaran lumayan bakal menanti atlet Terengganu jika berjaya mempertahankan kejuaraan keseluruhan pada Sukan Malaysia (Sukma) XIII di Melaka, yang bermula minggu depan.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said, semalam mengumumkan kerajaan negeri itu akan memberi RM5,000 bagi setiap pingat emas, RM3,000 untuk perak dan RM2,000 (gangsa) bagi menyuntik semangat atlet.

Bagaimanapun sekiranya Terengganu gagal muncul juara keseluruhan, pemenang pingat tetap diberikan habuan iaitu RM3,000 bagi emas, perak RM2,000 dan gangsa RM1,000.

Ahmad mengumumkan perkara itu selepas majlis penyerahan bendera kontinjen Terengganu, semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Rahin Mohd. Said.

Terengganu akan menghantar 457 atlet dan pegawai bagi menyertai 32 jenis sukan dengan sasaran membawa pulang 66 pingat emas.

Selasa, Jun 01, 2010

Parkir Yang Tak Mencukupi


Lebih 500 peniaga di Pasar Besar Kedai Payang di sini mengeluh dan bimbang dengan masa depan kerana masalah tempat meletak kereta yang terhad dikenal pasti menjadi antara punca menyebabkan perniagaan mereka kini semakin merosot.

Peniaga mendakwa keadaan menjadi bertambah buruk sejak beberapa tahun lalu apabila banyak pembinaan bangunan baru di sekitar kompleks beli-belah itu menyebabkan pengunjung kehilangan tempat meletak kereta, mengelak daripada mengunjungi pasar besar itu.
Ketiadaan tempat meletak kereta menyebabkan ramai pelanggan membatalkan hasrat mengunjungi pasar besar itu kerana tidak sanggup berjalan jauh bersama barangan yang dibeli.

Seorang peniaga, Ara Sidek, 42, berkata keadaan bertambah buruk ketika hujung minggu, cuti sekolah dan musim perayaan apabila kawasan sekitar pasar sesak dengan trafik hingga menyebabkan pengunjung beredar membeli-belah di kawasan lain.

“Ramai pengunjung terpaksa meletak kenderaan di bahu jalan dan tempat tidak dibenarkan hingga menyebabkan kesesakan trafik,” katanya sambil menambah kehadiran peniaga buah pada waktu petang yang berniaga di ruang letak kereta memburukkan lagi keadaan.

Ara yang sudah lapan tahun berniaga di situ berkata, sebelum ini dia mempunyai pelanggan antara 250 hingga 350 sehari, tetapi sejak masalah tempat letak kereta yang semakin meruncing empat tahun lalu, bilangan pelanggan berkurang kepada antara 80 hingga 100 orang saja.
Peniaga barangan runcit, Shima Mohammad, 35, berkata ruang tempat letak kereta di tingkat tiga dan empat di kompleks itu sudah dipenuhi kenderaan milik peniaga dan pekerja, sekali gus tiada ruang lagi untuk pengunjung mahu membeli-belah di pasar itu.

“Masalah tempat letak kereta di sini memang kritikal sejak beberapa tahun lalu berikutan pembangunan di sekeliling kawasan ini hingga menghapuskan semua kawasan letak kereta terbuka dan jika masalah itu tidak ditangani segera, kami bimbang pasar ini tidak lagi menjadi pilihan pengunjung,” katanya yang sudah 10 tahun berniaga di situ.

Katanya, tindakan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menjadikan kawasan sekitar kompleks itu sebagai lot niaga makanan terutama pada Ramadan menyebabkan pelanggan terus menjauhi pasar itu.

Pengunjung, Mazita Mad Din, 47, berkata setiap kali ke pasar itu dia terpaksa menunggu lebih sejam untuk meletak kereta kerana ruang yang ada sangat terhad selepas beberapa medan letak kereta terbuka di sekitar kawasan itu dibina bangunan.

Beliau berkata, jika terpaksa datang ke pasar itu, dia perlu membawa rakan untuk menunggu di kereta bagi mengelak disaman pihak berkuasa kerana meletak kereta di tempat tidak dibenarkan.

“Kesukaran mencari tempat letak kereta menyebabkan saya serta ramai lagi pelanggan serik ke Pasar Besar Kedai Payang, sebaliknya kami lebih senang membeli barangan keperluan dapur di pasar raya besar lain sekitar bandar raya ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha MBKT, Samiun Salleh, berkata pihaknya menyediakan ruang meletak kenderaan mencukupi di kompleks itu tetapi sebahagian besar pengunjung tidak mahu menggunakan tempat letak kereta berbayar, sebaliknya meletak kereta di tepi jalan

Isnin, Mei 31, 2010

Terengganu Hebat


Blog terbaru yang memapar keindahan negeri Terengganu dan sesuai sebagai panduan untuk melancong.

Blog ini di update setiap hari akan menyiarkan gambar & info yang lengkap untuk dikunjungi. Jika anda mengunjungi blog ini jangan lupa untuk menjadi pengikut blog & jika anda ingin berkongsi cerita sila tulis dalam ruang ulasan setiap entri.

http://terengganuhebat.blogspot.com/

Terengganu Tidak Menaruh Harapan


Terengganu mengakui sukar untuk mempertahankan pingat emas acara bola sepak pada Sukan Malaysia (Sukma) XIII di Melaka, kerana kesuntukkan masa untuk membentuk pasukan yang mantap.

Jurulatihnya, Khalid Mohd. Dahan berkata, pihaknya menghadapi kesulitan untuk mengumpul pemain yang kebanyakannya beraksi dalam Liga Super dan Piala Presiden.

''Kita akan hanya dapat membuat pemilihan pada 2 dan 3 Jun ini selepas pertandingan Liga Super berhenti rehat.

''Kita hanya mempunyai masa kurang seminggu untuk mengadakan latihan," katanya.

Khalid berkata, kebanyakan pemain edisi lepas, sudah bersara ataupun mewakili pasukan remaja kebangsaan pada kejohanan liga di Slovakia seperti Abdul Shukor Jusoh, Izzaq Faris Ramlan, Mohd. Faizal Mohd., Mohd. Hafizi Faisal, Mohd. Muslim Ahmad dan Muhd. Fakhrurazi Musa.

Katanya, Terengganu juga kehilangan penyerang lincah Abdul Manaf Mamat, yang dikenakan denda atas kesalahan semasa perlawanan Piala FA antara Terengganu dan Kedah pada 3 April lalu.

Abdul Manaf digantung 10 perlawanan dan didenda RM6,500 oleh Lembaga Disiplin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana melakukan tiga kesalahan kepada pengadil, Subkhiddin Mohd Salleh, pada perlawanan tersebut.

Khalid berkata, Terengganu akan cuba membawa dua pemain baru dari skuad Liga Super Terengganu.

Katanya, mereka ialah Joseph Kalang Tie dan Mohd Firdaus Mohd Faudzi yang diharap dapat membantu pasukan.

Terengganu akan memulakan kempen bola sepak Sukma pada 7 Jun dengan menentang musuh tradisinya Kelantan

Khamis, Mei 20, 2010

Tanah Untuk Anuar


Ahmad Said (kanan) menyampaikan replika cek bernilai RM10,000 kepada Anuar Manan sambil diperhatikan oleh ibu bapanya, Azizah Ariffin (kiri) dan Manan Muda pada majlis penyerahan cek dan geran tanah di Wisma Darul Iman, Terengganu, semalam.

Kerajaan negeri semalam mengotakan janjinya memberi ganjaran kepada jaguh pelumba basikal negara, Anuar Manan berupa sebidang tanah bernilai RM36,000 sebagai membalas jasanya mengharumkan nama negara dan negeri.

Pelumba berumur 24 tahun itu turut menerima cek bernilai RM10,000 daripada kerajaan negeri yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said pada majlis penyerahan geran tanah itu di Wisma Darul Iman di sini, semalam.

Majlis penyerahan itu turut disaksikan oleh kedua-dua ibu bapa Anuar, Manan Muda dan Azizah Arifin.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said.

Pada majlis itu, Ahmad berkata, tanah lot banglo seluas 449 meter persegi yang terletak di Kampung Tok Adis, Kuala Ibai dekat sini itu sebagai tanda pengiktirafan kerajaan negeri atas kecemerlangan Anuar dalam sukan lumba basikal sekali gus melonjakkan nama Terengganu.

"Kita ucapkan tahniah dan syabas kepada Anuar yang telah berjaya menjadi raja pecut dalam kejohanan lumba basikal Le Tour De Langkawi tempoh hari," katanya kepada pemberita pada majlis tersebut.

Ahmad berkata, kerajaan negeri juga akan mengiktiraf mana-mana anak Terengganu yang berjaya dalam semua bidang termasuk sukan dan pendidikan sebagai suntikan semangat kepada mereka untuk terus melakar kejayaan ke peringkat lebih gemilang.

Beliau turut menarik perhatian bahawa kerajaan negeri sedang dalam proses menubuhkan pasukan Terengganu yang akan menyertai Le Tour De Langkawi pada masa akan datang memandangkan kebanyakan pelumba basikal negara adalah berasal dari negeri ini, termasuk Anuar.

"Untuk tubuhkan pasukan ini, kita memerlukan kos antara RM1.5 hingga RM2 juta termasuk menghantar mereka menjalani latihan di luar negara selain kos elaun yang mencukupi," ujarnya.

Sementara itu, Anuar ketika ditemui berkata, beliau bersyukur dan mengucapkan setinggi terima kasih kepada kerajaan negeri atas ganjaran yang diterimanya itu.

Menurutnya, beliau bercadang untuk mendirikan rumah di atas tanah tersebut bagi keperluan keluarganya.

"Saya nak bantu keluarga saya, kami dari keluarga yang sederhana saja. Kami akan bina rumah untuk dijadikan kediaman kami sekeluarga," ujarnya sambil menambah bahawa beliau tidak akan lupa pesanan ibunya, Azizah agar jangan mudah lupa diri walaupun sudah berjaya.

Khamis, April 22, 2010

Kebangkitan Ashaari


JURULATIH Terengganu, Irfan Bakti memuji persembahan bertenaga yang dipamerkan Ashaari Samsudin selepas pemain kebangsaan itu meledak empat gol untuk membantu kemenangan besar 6-3 skuad Penyu ke atas Johor kelmarin.

Pada perlawanan Liga Super di Larkin itu, Ashaari meledak empat gol masing-masing pada minit ke-4, 28, 55 dan 68 sementara dua lagi gol disumbangkan oleh Hariri Safi dan Wan Aliff Wan Jasmi.

Kemenangan di tempat lawan itu kembali melonjakkan Terengganu ke tangga kedua liga dengan 23 mata dan hanya dipisahkan tiga mata dengan pendahulu, Selangor.

"Ashaari adalah seorang penjaring, tetapi dia gagal melakukannya dalam beberapa perlawanan terdahulu.

"Kali ini, sentuhan pemain itu telah menjadi dan dia telah tunjukkan belangnya. Apa yang penting, kebangkitan yang dipamerkan Ashaari ini tiba tepat pada masanya," jelas Irfan mengulas mengenai empat gol yang dijaringkan Ashaari.

Bagi Ashaari sendiri, kejayaan meledak empat gol kelmarin meletakkannya kini sebagai penjaring terbanyak dalam Liga Super dengan sepuluh gol.

Dia kini diekori rapat oleh dua penyerang Selangor, R. Surendran dan Safee Sali dan bintang Kedah, Azlan Ismail yang masing-masing telah meledak tujuh gol.

"Selepas kalah kepada Johor FC Sabtu lalu, saya rasa kemenangan ini sebagai sesuatu yang penting buat kami.

"Saya percaya pemain juga telah mula sedar akan kemampuan mereka dan inilah yang saya harapkan daripada semua pemain.

"Saya tidak mahu mereka menganggap sesuatu itu sebagai sukar kerana ia hanya memberi risiko kepada kami," tambahnya.

Mengulas mengenai peluang Terengganu untuk memintas Selangor musim ini, Irfan menganggap ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan.

"Apa pun, persaingan masih panjang dan kami hanya perlu fokus kepada setiap perlawanan yang bakal kami lalui selepas ini," jelasnya.

Sabtu, April 17, 2010

Terengganu Perlu Menang


Terengganu mahu melupakan kekecewaan tersingkir pada separuh akhir Piala FA, dengan mengalih tumpuan untuk menjuarai Liga Super.

Pertembungan dengan Johor FC di Stadium JCorp, Pasir Gudang hari ini, disifatkan sebagai 'langkah pertama' dalam usaha tersebut.

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti berkata, pemainnya akan turun beraksi di padang lawan dengan semangat baru, setelah semakin melupakan kegagalan dalam Piala FA.

''Kami perlu memburu tiga mata dalam pertemuan dengan Johor FC bagi meletakkan Terengganu dalam landasan yang betul," ujarnya.

Bagaimanapun, jurulatih skuad Penyu itu melahirkan kebimbangan, kerana dua pemain utama, Abdul Manaf Mamat dan Firdaus Faudzi, digantung.

''Ini merupakan ujian besar buat Terengganu, apabila bakal turun tanpa khidmat Manaf dan Firdaus pada perlawanan yang saya anggap cukup penting ini.

"Johor FC bukan pasukan yang mudah dijinakkan, apatah lagi mereka kini hanya satu mata di belakang kami dalam kedudukan liga," ujar Irfan.

Bagaimanapun, Irfan enggan menjadikan ketiadaan dua pemain utama itu sebagai alasan untuk mereka pulang dengan tangan kosong.

Bagi memperkukuhkan barisan pemain, Irfan bersedia membariskan beberapa pemain muda, selain meletakkan harapan kepada pemain berpengalaman, Ashaari Samsudin dan Marzuki Yusof.

"Pasukan ini memiliki ramai pemain berbakat dan saya tidak perlu bimbang untuk menentukan kesebelasan utama.

"Apa yang penting adalah kami berjaya membawa pulang tiga mata penting bagi membuka peluang kepada kami bergelar juara liga," jelas Irfan.

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH
Terengganu juara Sukma: KONTINJEN Terengganu bersorak riang selepas muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XII yang berakhir di Kuala Terengganu, malam tadi. Tuan rumah mencipta sejarah mengutip emas terbanyak dalam penyertaan Sukma selepas meraih 61 pingat emas 39 perak dan 47 gangsa meninggalkan Selangor yang muncul naib juara dengan 54-47-52 manakala Sarawak tempat ketiga, (52-52-42). Upacara penutup temasya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

MENAKJUBKAN

MENAKJUBKAN
TERENGGANU juara SUKMA, Juara Bola Sepak, Raja Pecut, Raja Ragbi, Raja Kenu, Raja Kayuh. Kemenangan Terengganu kebanyakkan diperolehi melalui sukan objektif seperti olahraga, basikal, kenu berbanding dari sukan subjektif.

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG
Skretariat SUKMA Terengganu mendapat pujian daripada Kontingen-kontingen negeri, Media massa, pegawai sukan & orang ramai tentang kecermlangan pengurusan & pentadbiran SUKMA. SUKMA di Terengganu di iktiraf sebagai pengurusan SUKMA terbaik, pengadilan yang paling bersih,penyertaan penonton paling ramai, kemudahan paling lengkap, rekod baru paling banyak dicipta & tanpa kontraversi. Paling hairan Jawatakuasa rayuan tidak mnerima apa-apa rayuan dari kontingen yang bertanding. TAHNIAH.

INDUSTRI TERNAK KAMBING

INDUSTRI TERNAK KAMBING
Cosmopal Sdn Bhd, anak syarikat Arus Zaman Sdn Bhd, melabur sebanyak RM2 juta dalam penternakan kambing di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Serating, dekat sini dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai pengeluar terbesar ternakan itu di negara ini pada masa depan. Pengarahnya, Zainudin Zakaria berkata setakat ini, syarikat mempunyai sebanyak 1,400 kambing baka Jamnapari, bernilai antara RM750 dan RM850 seekor, di ladang seluas kira-kira 30 hektar itu.

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN
DAS berkata kerajaan banyak menyediakan kemudahan untuk pelajar melonjakkan diri untuk mencapai kejayaan cemerlang. Kerajaan sanggup menyediakan peruntukkan besar untuk sektor pendidikan bagi menjadikan negeri terulung melahirkan pelajar yang cemerlang.

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI
DAS mengucap tahniah kepada Wan Ahmad Nizam, Ketua Kontingen SUKMA Terengganu kerana berjaya menjadi juara SUKMA ke 12. Di atas kemenangan itu, DAS memberi cuti kepada rakyat Terengganu.

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU
PM bersetuju untuk melulus pembinaan sekolah sukan seperti sekolah sukan di Bukit Jalil & Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor di Terengganu. Sekolah ini akan dibina di sebelah kompleks sukan negeri, Gong Badak.