Khamis, Mac 04, 2010

Tahun Depan Team Anak Terengganu Bersaing LTdL



Kerajaan Terengganu bercadang untuk mewujudkan satu pasukan sukan lumba basikal negeri bagi menyertai kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) pada tahun depan.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata bakat dan kebolehan yang ditunjukkan oleh pelumba tempatan begitu menyerlah dan mereka perlu diberi peluang untuk berada dalam satu pasukan yang mewakili negeri kelahiran mereka.

“Seperti perlumbaan tahun ini, lapan pelumba yang menyertai pasukan-pasukan profesional adalah anak Terengganu sendiri. Malah lima daripada enam pelumba dalam pasukan Malaysia adalah anak Terengganu,” katanya.

Dato’ Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pelepasan kepada pelumba-pelumba LTdL dari Kuala Terengganu ke Chukai, Kemaman di Taman Shah Bandar, Kuala Terengganu, hari ini (2 Mac).

“Saya bangga dengan pencapaian dan kemampuan yang ditunjukkan anak Terengganu, terutama Anuar Manan yang berjaya meraih gelaran berganda dalam perlumbaan dari Kota Baru ke Kuala Berang semalam,” katanya.

Sebelum perlumbaan bermula, Menteri Besar diberi penghormatan menyarung dua jersi utama selaku pelumba pecut dan pelumba Asia kepada Anuar Manan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Dato’ Mohid Mohamed berkata, terdapat enam pelumbaan Terengganu yang mewakili Pasukan Azad, University Iran , Mesir, Australia dan Maroco di China.

“Pelumba-pelumba Terengganu begitu hebat dan mampu memberi saingan kepada pelumba dari luar Negara dan ianya dapat dilihat kejayaan mereka semalam yang sentiasa berada dalam kelompok 10 pasukan teratas dalam perlumbaan semalam,” katanya.

Dalam saingan semalam Anuar Manan, 24, yang mewakili pasukan Geumsan Ginseng Asia yang berpengkalan di Korea berjaya menyarung dua jersi utama – hijau (pelumba pecut) dan biru (pelumba Asia), selepas tamat peringkat pertama dari Kota Bharu ke Kuala Berang, Terengganu.

Anuar anak kelahiran Kuala Ibai, Kuala Terengganu itu berazam untuk meneruskan kecemerlangan bersama pasukannya pada baki enam perlawanan selepas ini.
Pelumbaan LTdL akan meneruskan cabaran hari ini yang bermula di Taman Shah Bandar, Kuala Terengganu ke Kijal, Kemaman sejauh 182 kilometer.

Sementara itu, Presiden Persatuan Lumba Basikal Malaysia, Haji Abu Samah Wahab, melahirkan rasa gembira dengan hasrat kerajaan negeri ini untuk menubuhkan pasukannya sendiri dan berharap ianya ditangani secara bersungguh-sungguh.

“Saya harap hasrat ini menjadi kenyataan dan Terengganu perlulah mencari jurulatih professional bagi membimbing pasukannya nanti kerana telah pun dibarisi pelumba hebat,” katanya.

Lagak Hero



Kerajaan negeri kesal dengan sikap pemimpin politik parti pembangkang di negeri ini yang berlagak seperti `hero’ kononnya memperjuangkan nasib rakyat dengan menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas merobohkan rumah setinggan di Paya Bunga, Kuala Terengganu, pagi semalam (2 Mac).

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata sikap `hero’ berkenaan hanya mendatangkan masalah kepada dirinya sendiri kerana tindakannya itu boleh menyebabkan dia ditahan untuk tindakan lanjut.

“Sekarang ini kalau nak jadi hero payahlah. Sebab yang terlibat 12 orang sahaja tuan tanah (yang dipindahkan). Jadi, kita sudah beri rumah kepada mereka di Mengabang Lekor (Batu Rakit), selesai masalah mereka.

“Tuan rumah tiada masalah dan penyewa rumahg kita sediakan kenderaan untuk berpindah ke rumah (baru) masing-masing. Dia yang tunjuk hero dan bukan dia terlibat di situ seolah-olah dia memperjuangkan rakyat, itu tak betul. Kita yang lebih memperjuangkan rakyat,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (3 Mac).

Menteri Besar menjelaskan bahawa rumah yang didiami penduduk sejak berpuluh tahun lalu di kawasan itu merupakan tanah rezab kerajaan yang perlu dikosongkan untuk tujuan pembangunan di Bandar Raya Kuala Terengganu.

Katanya, penduduk sepatutnya lebih memahami perkara itu kerana status mereka membina rumah dan mendiami tanah adalah secara haram dan apabila sudah dikeluarkan notis berpindah dengan jangka masa yang mencukupi mereka perlu akur.

Dato’ Ahmad berkata, kerajaan sudah menggunakan cara yang diplomatik dan mengikut peraturan sebelum merobohkan rumah mereka. Malah, kerajaan juga tidak mengenakan sebarang denda kerana ingkar notis yang dikeluarkan kepada mereka walaupun kerajaan berhak bertindak demikian.

“Enam orang daripada jumlah penduduk di situ kita sudah beri rumah di Mengabang Lekor untuk mereka pindah dan tiada masalah. Rumah yang diroboh kelmarin, barang-barang semua dah tiada seperti almari, pakaian..semua dah dipindahkan.Ada tuan rumah memberontak? Cuma yang tunjuk hero dua orang sahaja,” katanya.
Harian Metro hari ini melaporkan kerja merobohkan rumah setinggan di Kampung Paya Bunga, di sini, pagi semalam kecoh apabila seorang pemilik rumah berkeras dan enggan keluar dari penempatan itu.

Lebih mengeruhkan keadaan, kehadiran seorang pemimpin politik menghalang jentera pihak berkuasa merobohkan rumah bukan sahaja dianggap mengambil kesempatan atas isu itu, malah menimbulkan tanda Tanya tujuan sebenar beliau berada di situ kerana majoriti penduduk di situ sudah berpindah.

Pemimpin berkenaan yang merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan negeri, Mohd Fariz Musa, 40, ditahan polis untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan sebelum melepaskan mereka dengan jaminan polis dalam masa terdekat.

Isnin, Mac 01, 2010

Terengganu Bollywood

Kerajaan negeri menyambut baik cadangan sebuah syarikat perfileman Bollywood menjadikan negeri itu sebahagian daripada lokasi penggambaran filem terbarunya.


Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata filem lakonan Rani Murkherjee itu dijangka memulakan penggambaran di beberapa tempat menarik seperti Tanjung Jara, Tasik Kenyir, Muzium Negeri, Pulau Redang dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud mulai Mei ini.

"Kita yakin apabila filem itu mengadakan penggambaran di negeri ini, ia memberi kelebihan kepada Terengganu apabila tempat-tempat menarik dalam filem itu akan ditonton oleh peminat filem Hindi di seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Primula Beach Hotel Sdn Bhd dan Taman Tamadun Islam (TTI) Management Sdn Bhd di sini petang ini.

Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan negeri menempah sebuah bot kaca berharga lebih RM3 juta bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan terutamanya di Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

Katanya, bot berkenaan berbentuk seperti tongkang dengan dinding diperbuat daripada kaca bagi membolehkan pelancong melihat kehidupan laut manakala bahagian atas pula terdapat ruang makan dan minum.

"Kita buat sebuah dulu untuk lihat sambutan pelancong terhadap bot berkenaan. Kalau ia memberi sambutan yang baik, kita akan tambah lagi," katanya. -

Persimpangan Bertingkat Di Bandaraya KT


Beberapa jalan bertingkat dirancang dibina di sekitar Kuala Terengganu dalam usaha meningkatkan kemudahan prasarana di bandar raya ini.

Datuk Bandar, Datuk Mohd. Adzlan Mohd. Dagang (gambar) berkata, jalan raya berkenaan dijangka dibina dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Menurut beliau, kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan pembinaan jalan raya bertingkat itu dalam pertemuan dengan kerajaan Pusat dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) baru-baru ini.

Katanya, antara jalan yang dicadangkan adalah Jalan Kamarudin dan Jalan Chabang Tiga, Simpang Tok Ku dan simpang empat berdekatan Jambatan Sultan Mahmud.

‘‘Dengan pembinaan jalan-jalan bertingkat ini, Kuala Terengganu akan dilihat sebagai sebuah bandar raya yang sebenar.

‘‘Pembinaan jalan raya bertingkat ini juga akan membantu kita menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di bandar raya ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) juga akan menjalankan kerja-kerja menaik taraf Pasar Besar Kedai Payang pada tahun ini.

‘‘Kerja-kerja menaik taraf ini telah lama dirancang dan penaiktarafan kali ini juga akan mempunyai nilai tambah bagi menambah tarikan pasar berkenaan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pihaknya juga akan melaksanakan projek menaik taraf Pasar Chabang Tiga di Chabang Tiga.

‘‘Apabila pasar ini siap kelak, ia akan menjadi alternatif kepada Pasar Besar Kedai Payang,” katanya.

Sabtu, Februari 27, 2010

Sambutan Maulidur Rasul Meriah


Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diadakan di Stadium Negeri dekat sini disambut meriah dengan kehadiran lebih 5,000 umat Islam dari seluruh negeri.

Sambutan tersebut turut dimeriahkan dengan acara perarakan yang dimulakan seawal pukul 8 pagi melibatkan 3,855 peserta.

Kesemua mereka terdiri daripada 109 kontinjen mewakili jabatan dan agensi kerajaan, sektor swasta, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), sekolah, pasukan beruniform, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan sukarela.

Perarakan sejauh kira-kira dua kilometer itu bermula dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini ke perkarangan Stadium Negeri yang diketuai oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu, Tengku Panglima Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Turut menyertai perarakan ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat; Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah dan barisan Exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.

Hadir sama ialah isteri Tengku Baderulzaman, Toh Puan Seri Wan Hidayah Wan Ismail.

Terdahulu, Khazan dalam ucapannya berkata, umat Islam masa kini berdepan dengan pelbagai masalah terutamanya lemah dalam bidang ilmu pengetahuan berbanding bangsa-bangsa lain.

Katanya, kelemahan tersebut menyebabkan umat Islam ketinggalan di belakang serta membawa kepada wujudnya kelemahan-kelemahan lain.

"Sekiranya umat Islam lemah dalam ilmu pengetahuan akan menyebabkan mereka lemah akidah, ekonomi dan sebagainya.

"Kelemahan tersebut akan menyebabkan umat Islam hilang kehebatan dan mudah untuk dipermainkan oleh orang bukan Islam," katanya.

Tambah beliau, tema sambutan Maulidur Rasul kali ini iaitu "Memantapkan Ukhuwah Memperkasakan Ummah" adalah tepat dan kena pada masanya.

"Ini kerana perbalahan dan berpuak-puak di kalangan umat Islam akan melemahkan umat sendiri selain memberi peluang kepada orang luar untuk mengambil kesempatan menangguk di air keruh," jelasnya.

Pada majlis tersebut, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud turut mencemar duli menyampaikan hadiah kepada beberapa pemenang yang menyertai pelbagai acara yang diadakan sempena sambutan itu.

Antara acara yang diadakan ialah pertandingan menulis, pidato, menulis khat dan perarakan.

Bagi pertandingan perarakan, antara kontinjen yang memenangi pertandingan tersebut ialah Jabatan Hal Ehwal Negeri Terengganu, Yayasan Islam Terengganu, Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Mizan Zainal Abidin, Taman Tamadun Islam dan Akademi Bomba Wakaf Tapai.

Selasa, Februari 23, 2010

T Team Mampu Kalahkan Terengganu


BAGI menghadapi perlawanan suku akhir Piala FA musim ini, skuad T-Team di bawah jurulatih Che Ku Marzuki Mohd Noor terpaksa memerah keringat memikir cara membuat persiapan mantap agar tidak kecundang kepada pasukan abang, Terengganu pada 9 Mac ini.

Ini kerana pertemuan kedua-dua pasukan itu sudah pasti dinanti-nanti peminat bola sepak Terengganu untuk melihat pasukan mana yang hebat dan mampu mara ke separuh akhir.

Begitupun, Pengurus T-Team, Datuk Abdul Rahin Mohd Said tidak merasa bimbang dengan pertemuan itu kerana yakin anak buahnya akan mampu menjinakkan pasukan utama negeri.

“Kita tidak gentar menghadapi perlawanan suku akhir itu kerana yakin dengan keupayaan pemain yang sebilangan besar sudah mempunyai pengalaman beraksi di peringkat lebih mencabar, sekali gus akan mampu mengalas tugas itu dengan baik,” katanya semalam.

Perhentian Bandaraya Di Bukit Besar


Hentian bas lama yang telah uzur kini digunakan oleh pengusaha teksi sebagai terminal di Kuala Terengganu. – utusan/AZLAN BAHRUM

Sebuah terminal pengangkutan awam bersepadu yang dikenali ‘KT Central’ berharga RM100 juta akan dibangunkan di satu kawasan seluas 15 hektar di Bukit Besar dekat sini dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Kompleks dua tingkat itu apabila siap bakal menempatkan terminal bas perjalanan jauh dan dekat, teksi dan pelbagai kemudahan asas lain.

Apabila siap KT Central akan menggantikan stesen teksi dan bas di Kuala Terengganu yang kini berada dalam keadaan uzur dan mencacatkan pandangan.

Pengarah Perancangan Pembangunan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Nawi Pa’ berkata, kerajaan negeri telah pun menyatakan persetujuan berhubung cadangan tersebut.

Katanya, kertas konsep dan reka bentuk terminal termoden itu telah diserahkan kepada kerajaan negeri dan jika tiada halangan kerja pembinaan akan dimulakan apabila peruntukan diterima.

‘‘Saya harap rakyat bersabar menunggu kerana usaha menempatkan stesen teksi dan bas di tempat selesa sebenarnya telah bermula,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemandu-Pemandu Teksi Melayu dan Tuan Punya Teksi Terengganu (PKPKTM-TPTT), Yunus Salleh dalam kenyataan akhbar hari ini meminta kerajaan negeri mewujudkan sebuah perhentian teksi yang lebih selesa di bandar raya ini.

Utusan Malaysia sebelum ini pernah menyiarkan laporan mengenai bangunan-bangunan usang dan uzur di bandar raya ini yang seolah-olah tidak dihiraukan oleh kerajaan.

Malah lebih menyakitkan mata memandang, bangunan-bangunan usang itu seolah-olah tidak dihiraukan pihak berkuasa tempatan dengan cat yang sudah lusuh dan premisnya pula tidak diselenggara dengan baik.

Tinjauan Utusan Malaysia ke sekitar bandar raya Kuala Terengganu ketika itu mendapati masih wujud beberapa buah bangunan usang di sekitar bandar berkenaan.

Misalnya, sebuah stesen teksi yang kelihatan uzur dan sudah tidak sesuai berada di sebuah bandar raya yang pesat membangun.

Selain stesen teksi, sebuah panggung wayang lama berdekatan Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kelihatan terbiar sejak lebih 10 tahun lalu.

Difahamkan, panggung wayang Rex itu menjadi pusat tumpuan ramai suatu ketika dahulu namun entah mengapa ia dibiarkan begitu sahaja, walaupun pernah dijadikan premis jualan barangan plastik.

Sebaik-baiknya, di samping mengekalkan bangunan panggung wayang lama itu sebagai warisan, biarlah ia diselenggara dengan baik dan dibaik pulih semula, bukan seperti sekarang umpama rumah hantu.

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH
Terengganu juara Sukma: KONTINJEN Terengganu bersorak riang selepas muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XII yang berakhir di Kuala Terengganu, malam tadi. Tuan rumah mencipta sejarah mengutip emas terbanyak dalam penyertaan Sukma selepas meraih 61 pingat emas 39 perak dan 47 gangsa meninggalkan Selangor yang muncul naib juara dengan 54-47-52 manakala Sarawak tempat ketiga, (52-52-42). Upacara penutup temasya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

MENAKJUBKAN

MENAKJUBKAN
TERENGGANU juara SUKMA, Juara Bola Sepak, Raja Pecut, Raja Ragbi, Raja Kenu, Raja Kayuh. Kemenangan Terengganu kebanyakkan diperolehi melalui sukan objektif seperti olahraga, basikal, kenu berbanding dari sukan subjektif.

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG
Skretariat SUKMA Terengganu mendapat pujian daripada Kontingen-kontingen negeri, Media massa, pegawai sukan & orang ramai tentang kecermlangan pengurusan & pentadbiran SUKMA. SUKMA di Terengganu di iktiraf sebagai pengurusan SUKMA terbaik, pengadilan yang paling bersih,penyertaan penonton paling ramai, kemudahan paling lengkap, rekod baru paling banyak dicipta & tanpa kontraversi. Paling hairan Jawatakuasa rayuan tidak mnerima apa-apa rayuan dari kontingen yang bertanding. TAHNIAH.

INDUSTRI TERNAK KAMBING

INDUSTRI TERNAK KAMBING
Cosmopal Sdn Bhd, anak syarikat Arus Zaman Sdn Bhd, melabur sebanyak RM2 juta dalam penternakan kambing di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Serating, dekat sini dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai pengeluar terbesar ternakan itu di negara ini pada masa depan. Pengarahnya, Zainudin Zakaria berkata setakat ini, syarikat mempunyai sebanyak 1,400 kambing baka Jamnapari, bernilai antara RM750 dan RM850 seekor, di ladang seluas kira-kira 30 hektar itu.

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN
DAS berkata kerajaan banyak menyediakan kemudahan untuk pelajar melonjakkan diri untuk mencapai kejayaan cemerlang. Kerajaan sanggup menyediakan peruntukkan besar untuk sektor pendidikan bagi menjadikan negeri terulung melahirkan pelajar yang cemerlang.

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI
DAS mengucap tahniah kepada Wan Ahmad Nizam, Ketua Kontingen SUKMA Terengganu kerana berjaya menjadi juara SUKMA ke 12. Di atas kemenangan itu, DAS memberi cuti kepada rakyat Terengganu.

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU
PM bersetuju untuk melulus pembinaan sekolah sukan seperti sekolah sukan di Bukit Jalil & Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor di Terengganu. Sekolah ini akan dibina di sebelah kompleks sukan negeri, Gong Badak.