|
Kompleks dua tingkat itu apabila siap bakal menempatkan terminal bas perjalanan jauh dan dekat, teksi dan pelbagai kemudahan asas lain.
Apabila siap KT Central akan menggantikan stesen teksi dan bas di Kuala Terengganu yang kini berada dalam keadaan uzur dan mencacatkan pandangan.
Pengarah Perancangan Pembangunan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Nawi Pa’ berkata, kerajaan negeri telah pun menyatakan persetujuan berhubung cadangan tersebut.
Katanya, kertas konsep dan reka bentuk terminal termoden itu telah diserahkan kepada kerajaan negeri dan jika tiada halangan kerja pembinaan akan dimulakan apabila peruntukan diterima.
‘‘Saya harap rakyat bersabar menunggu kerana usaha menempatkan stesen teksi dan bas di tempat selesa sebenarnya telah bermula,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemandu-Pemandu Teksi Melayu dan Tuan Punya Teksi Terengganu (PKPKTM-TPTT), Yunus Salleh dalam kenyataan akhbar hari ini meminta kerajaan negeri mewujudkan sebuah perhentian teksi yang lebih selesa di bandar raya ini.
Utusan Malaysia sebelum ini pernah menyiarkan laporan mengenai bangunan-bangunan usang dan uzur di bandar raya ini yang seolah-olah tidak dihiraukan oleh kerajaan.
Malah lebih menyakitkan mata memandang, bangunan-bangunan usang itu seolah-olah tidak dihiraukan pihak berkuasa tempatan dengan cat yang sudah lusuh dan premisnya pula tidak diselenggara dengan baik.
Tinjauan Utusan Malaysia ke sekitar bandar raya Kuala Terengganu ketika itu mendapati masih wujud beberapa buah bangunan usang di sekitar bandar berkenaan.
Misalnya, sebuah stesen teksi yang kelihatan uzur dan sudah tidak sesuai berada di sebuah bandar raya yang pesat membangun.
Selain stesen teksi, sebuah panggung wayang lama berdekatan Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kelihatan terbiar sejak lebih 10 tahun lalu.
Difahamkan, panggung wayang Rex itu menjadi pusat tumpuan ramai suatu ketika dahulu namun entah mengapa ia dibiarkan begitu sahaja, walaupun pernah dijadikan premis jualan barangan plastik.
Sebaik-baiknya, di samping mengekalkan bangunan panggung wayang lama itu sebagai warisan, biarlah ia diselenggara dengan baik dan dibaik pulih semula, bukan seperti sekarang umpama rumah hantu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan