Jumaat, Oktober 17, 2008

Kuda Naik Airbus, Turun Di LTSM

TERENGGANU International Endurance Park (TIEP) di Lembah Bidong, Terengganu dijangka menerima kumpulan pertama 16 ekor kuda dari Oman dan Australia hari ini menjelang Kejohanan Endurance Dunia (WEC) dari 5 hingga 9 November depan.

Pengarah acara, Azrin Zuhdi berkata, kuda-kuda itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pagi ini dengan Airbus A300, diikuti kumpulan kedua 12 ekor kuda dari Amerika Selatan menerusi C-130 pada sebelah petang.

"Pada hari Sabtu, satu peristiwa bersejarah apabila pesawat B747 membawa 30 ekor kuda dari Eropah tiba di lapangan terbang yang baru dinaik taraf itu."Ia adalah permulaan kepada kemuncak yang dirancang dan diselaraskan hampir tiga tahun melibatkan pelbagai pihak sejak Malaysia memenangi hak penganjuran acara berprestij itu pada 2005," kata Azrin dalam satu kenyataan semalam.

Azrin berkata, pihak penganjur melakukan kerja-kerja akhir terhadap TIEP yang direkabentuk untuk menyediakan suasana yang kondusif bagi kejohanan bersejarah itu.
Beliau berkata, ketibaan kumpulan pertama kuda terbabit menandakan peringkat akhir persediaan bagi pihak penganjur menjelang edisi ke-12 WEC.

"Peringkat akhir persediaan bermula dengan pemindahan kuda-kuda dari lapangan terbang dengan selamat ke kandang yang direka khas di TIEP."Kandang kuda dan pekerja serta kawasan menunggu, semuanya telah bersedia."Ada juga tempat khas untuk media bagi membolehkan media tempatan dan luar negara bertugas dengan selesa," katanya.

Pada kejohanan ini, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin akan mengetuai 12 penunggang negara.Kejohanan dwitahunan itu yang dianggap ujian utama bagi penggemar sukan kuda lasak di seluruh dunia akan menjadi gelanggang bagi 142 penunggang dari 34 negara termasuk penunggang handalan dari Perancis, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Brazil, Bahrain dan Sepanyol.

Laluan saingan melibatkan tujuh pusingan dengan keseluruhan jarak 160 kilometer yang bermula dan berakhir di TIEP

Peringatan Raja-Raja Melayu

KUALA TERENGGANU 16 Okt. — Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 yang berlangsung di Istana Maziah di sini hari ini mengeluarkan satu kenyataan akhbar khas berhubung beberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat menghadiri mesyuarat itu dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.Mesyuarat dua hari itu yang berakhir hari ini dipengerusikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Berikut adalah salinan penuh kenyataan akhbar khas berkenaan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah hari ini.

Keistimewaan

“Kenyataan Akhbar Yang Dikeluarkan Oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Mengenai Peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagan Persekutuan.

“Raja-raja Melayu yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah berunding mengeluarkan kenyataan akhbar khas bersama pada hari ini.

“Raja-raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi Agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

“Tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat.

Sebagai tindakbalas, beberapa pihak terutama pemimpin-pemimpin Melayu sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan.

“Antara sebab-sebab yang dikenalpasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini.

“Gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.

“Justeru, adalah perlu Majlis Raja-Raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak tentang peruntukan-peruntukan perlembagaan tersebut di samping memberi penekanan tentang jaminan perlindungan hak-hak sah kaum lain. Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan, pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai Kontrak Sosial.

Kontrak Sosial ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Untuk itu Raja-raja Melayu wajar memperingatkan supaya isu berkaitan Kontrak Sosial tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.

“Sesungguhnya, angkatan pemimpin di era prakemerdekaan, berfikiran dalam - berpandangan jauh. Raja-raja Melayu telah dibawa bersama semasa rundingan menuntut kemerdekaan. Institusi raja dikekalkan dan dimaktubkan secara perundangan dalam Perlembagaan Malaysia Merdeka. Institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlakunya kesaksamaan di kalangan warga. Institusi raja berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku.

“Raja-raja Melayu juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu-padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok.

“Kaum bukan Melayu tidak perlu merasa khuatir dan bimbang tentang hak-hak sah mereka kerana hak-hak tersebut telah dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Adalah diharapkan dengan penegasan tersebut, segala kekeliruan berhubung dengan perkara ini di kalangan rakyat jelata dapat dibendung dan suatu suasana yang harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara.”

Menghormati

Kesemua Sultan dan Yang Dipertua Negeri menghadiri mesyuarat itu kecuali Pahang, Johor, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan.Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Johor diwakili Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dan Sultan Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Negeri Sembilan diwakili Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Jaafar dan Perlis diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Turut hadir menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri kecuali Sarawak yang diwakili Menteri II Perancangan dan Pengurusan Sumber, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah berkata, perkara-perkara berkaitan pertahanan, keselamatan, kedudukan ekonomi negara, Biasiswa Yang di-Pertuan Agong termasuk cadangan pelantikan Ketua Hakim Negara Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya telah dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Khamis, Oktober 16, 2008

Raja-Raja Melayu Terpegun Keindahan Taman Tamadun Islam


Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah hari ini melakukan lawatan ke Taman Tamadun Islam yang terletak di Pulau Wan Man di sini.

Turut berangkat dalam lawatan itu ialah raja-raja Melayu yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 di sini.
Rombongan diraja itu yang turut diiringi oleh menteri besar negeri masing-masing melawat Masjid Kristal dan Taman Monumen yang menjadi mercu tanda baru Terengganu.

Dalam lawatan sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215, Tuanku Mizan diberi penerangan mengenai keunikan Masjid Kristal dan juga taman monumen tersebut yang menempatkan 21 replika monumen terkenal di seluruh dunia yang menawarkan keindahan, keunikan dan kehalusan seni bina Islam.

Taman seluas 22 hektar yang dibina dengan belanja RM249.3 juta itu menempatkan replika monumen tersohor dunia seperti Taj Mahal (India), Al-Hambra (Sepanyol), Menara Kaylan (Uzbekistan) dan Kudus Minar (Indonesia).

Persidangan Raja-Raja Melayu Bermula

Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 berlangsung di Istana Maziah di sini hari ini dipengerusikan oleh Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah. Kesemua Sultan dan Yang Dipertua Negeri menghadiri mesyuarat itu kecuali Pahang, Johor, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan.
Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Johor diwakili Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dan Sultan Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Negeri Sembilan diwakili Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Laksamana Tunku Naqui yuddin Ibni Tuanku Ja’afar dan Perlis diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Jamalullail.Turut hadir menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri kecuali Sabah yang diwakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin dijadual menghadiri mesyuarat hari kedua di Istana Maziah, esok dengan diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Petang ini, Yang di-Pertuan Agong bersama Sultan dan Yang Dipertua Negeri, serta permaisuri-permaisuri dijadual melawat Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man dan pada sebelah malam pula akan berlangsung Majlis Santapan Negeri di Wisma Darul Iman.

Rabu, Oktober 15, 2008

Raja-Raja Melayu Di Terengganu


Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Mesyuarat Pre-Council Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-215, di Kelab Teluk Warisan, Kuala Terengganu, hari ini (14 Oktober).

Turut berangkat, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah; Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Yahya Petra; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.
Manakala Negeri Sembilan diwakili Pemangku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Laksamana Tunku Dato’ Seri Utama Naquiyuddin Tuanku Jaafar; Johor diwakili
Tengku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar.

Pahang diwakili Pemangku Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja akan berlangsung selama dua hari bermula esok di Istana Maziah, Kuala Terengganu yang dipengerusikan oleh Sultan Kedah Sultan Abdul Halim.

LTSM Pemangkin Ekonomi Terengganu

Lapangan Terbang Sultan Mahmud yang baru siap diubahsuai akan menjadi lapangan terbang bertaraf antarabangsa secara tidak rasmi pada 18 November ini apabila rombongan pertama untuk mengerjakan Haji akan berlepas dari negeri Terengganu secara terus ke Mekah.

Pesawat Boeing 747-400F adalah pesawat pertama yang akan membawa muatan kuda yang bernilai jutaan ringgit. Kuda-kuda ini dibawa oleh Malaysian Airlines Cargo Sdn Bhd (MASKargo) secara berperingkat untuk Kejohanan Sukan Kuda Lasak Antarabangsa yang akan berlangsung di Lenbah Bidong, Setiu pada 5 hingga 9 November ini.

Kedua-dua acara ini amat bererti kerana menjadi perintis kepada kemajuan pengangkutan udara kepada Malaysia dan negeri Terengganu khasnya. Daripada pengfiktirafan ini, Lapangan Terbang Sultan Mahmud akan menjadi hab ekonomi baru yang akan memberi impak positif kepada pembangunan Terengganu.

Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) melihat pengiktirafan ini akan memberi pertumbuhan ekonomi kepada Terengganu daripada pelbagai sudut. “ Ia menyumbang kepada sektor pelancongan. Selain itu, ianya juga memberi kebaikan kepada peluang kerja di industri perkhidmatan yang sememangnya perlu ditingkatkan,” kata Menteri Besar.
“ Ianya turut memberi kesan kepada sektor Pertanian dan Industri Asas Tani, harta benda dan sektor pembuatan. “ Terengganu akan menjadi hab ekonomi baru dan dijangka akan memberi peningkatan taraf hidup mahupun gaya hidup rakyat,”katanya. Beliau berkata, untuk sektor Pertanian dan Industri Asas Tani di kawasan pedalaman akan diusahakan dengan perusahaan tanaman jagung, penternakan biri-biri dan juga seladang serta hidupan lain yang akan dibincangkan pada mesyuarat akan datang.

“ Sektor Pertanian dan Industri Asas Tani di Terengganu akan membawa keuntungan yang besar melalui pasaran luar negara. “ Kita juga sedang menimbang akan memasarkan buah-buahan tempatan ke luar negara. Buat masa sekarang, kita sudah mengeksport buah-buahan di Jepun, Hong Kong dan Taiwan.

“ Saya yakin kita mempunyai insentif -insentif untuk pelabur awal dan sudah tentu kita akan cuba sedaya upaya untuk menarik para pelabur dan juga akan mengurangkan kerenah birokrasi. Untuk perancangan masa depan, Dato’ Ahmad menjangkakan Terengganu akan membangun pesat 10 hingga 15 tahun akan datang dengan adanya bangunan pencakar langit dan pusat membeli belah.

“ Dengan peluang-peluang yang akan hadir, saya ingin rakyat mengambil peluang dengan situasi sekarang.“ Jika anda datang ke Terengganu pada 15 tahun dahulu, perjalanan melalui jalan raya amat cepat dan mudah, tetapi sekarang kita sudah mendengan rungutan tentang kesesakan lalu lintas yang menyamai sebagaimana ibu kota negara.

“ Saya percaya, dengan perancangan pada masa akan datang, negeri ini akan membangun dalam menjadikan Kuala Terengganu dan daerah-daerah lain sebagai tempat tinggal yang selesa,” tambahnya.

Selasa, Oktober 14, 2008

Tiga Abad Kesultanan Terengganu


Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin hadir merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Tiga Abad Kesultanan Terengganu (1708-2008) di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, semalam (13 Oktober).

Sambutan Tiga Abad Kesultanan Terengganu (TAKT) diadakan bermula hari ini (14 Oktober) hingga 31 Disember bertempat di Muzium Negeri, Bukit Losong, Kuala Terengganu.Manakala Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) mengambil inisiatif mengelolakan Persidangan Antarabangsa TAKT selama tiga hari berakhir 19 Oktober.

Sempena sambutan TAKT pelbagai program akan dianjurkan termasuk pameran, kuiz, seminar dan pelancaran buku `Digahayu Tuanku’.

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH
Terengganu juara Sukma: KONTINJEN Terengganu bersorak riang selepas muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XII yang berakhir di Kuala Terengganu, malam tadi. Tuan rumah mencipta sejarah mengutip emas terbanyak dalam penyertaan Sukma selepas meraih 61 pingat emas 39 perak dan 47 gangsa meninggalkan Selangor yang muncul naib juara dengan 54-47-52 manakala Sarawak tempat ketiga, (52-52-42). Upacara penutup temasya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

MENAKJUBKAN

MENAKJUBKAN
TERENGGANU juara SUKMA, Juara Bola Sepak, Raja Pecut, Raja Ragbi, Raja Kenu, Raja Kayuh. Kemenangan Terengganu kebanyakkan diperolehi melalui sukan objektif seperti olahraga, basikal, kenu berbanding dari sukan subjektif.

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG
Skretariat SUKMA Terengganu mendapat pujian daripada Kontingen-kontingen negeri, Media massa, pegawai sukan & orang ramai tentang kecermlangan pengurusan & pentadbiran SUKMA. SUKMA di Terengganu di iktiraf sebagai pengurusan SUKMA terbaik, pengadilan yang paling bersih,penyertaan penonton paling ramai, kemudahan paling lengkap, rekod baru paling banyak dicipta & tanpa kontraversi. Paling hairan Jawatakuasa rayuan tidak mnerima apa-apa rayuan dari kontingen yang bertanding. TAHNIAH.

INDUSTRI TERNAK KAMBING

INDUSTRI TERNAK KAMBING
Cosmopal Sdn Bhd, anak syarikat Arus Zaman Sdn Bhd, melabur sebanyak RM2 juta dalam penternakan kambing di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Serating, dekat sini dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai pengeluar terbesar ternakan itu di negara ini pada masa depan. Pengarahnya, Zainudin Zakaria berkata setakat ini, syarikat mempunyai sebanyak 1,400 kambing baka Jamnapari, bernilai antara RM750 dan RM850 seekor, di ladang seluas kira-kira 30 hektar itu.

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN
DAS berkata kerajaan banyak menyediakan kemudahan untuk pelajar melonjakkan diri untuk mencapai kejayaan cemerlang. Kerajaan sanggup menyediakan peruntukkan besar untuk sektor pendidikan bagi menjadikan negeri terulung melahirkan pelajar yang cemerlang.

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI
DAS mengucap tahniah kepada Wan Ahmad Nizam, Ketua Kontingen SUKMA Terengganu kerana berjaya menjadi juara SUKMA ke 12. Di atas kemenangan itu, DAS memberi cuti kepada rakyat Terengganu.

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU
PM bersetuju untuk melulus pembinaan sekolah sukan seperti sekolah sukan di Bukit Jalil & Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor di Terengganu. Sekolah ini akan dibina di sebelah kompleks sukan negeri, Gong Badak.