SATU Terengganu berpesta pada perlumbaan peringkat keempat Kejohanan Lumba Basikal Jelajah Malaysia (JM'09), semalam.
Kebanggaan peminat tempatan memuncak apabila menyaksikan pelumba sensasi negara kelahiran Kuala Ibai, Terengganu, Anuar Manan berada di puncak kemasyhuran.
Semalam, pelumba pasukan Azad University Continental Team itu menampilkan kayuhan penuh bertenaga apabila mengungguli saingan peringkat keempat itu, dan lebih membanggakan, ia dilakar di negeri kelahirannya.
"Apa lagi yang mahu saya katakan apabila berjaya memenangi perlumbaan di tempat sendiri. Sudah pasti saya sangat gembira apabila muncul juara di Kuala Terengganu.
"Saya mahu berkongsi kejayaan ini dengan seluruh peminat di sini yang sentiasa memberi sokongan kepada saya," jelas Anuar.
Pada perlumbaan dari Pasir Mas ke Kuala Terengganu sejauh 177.5 kilometer itu, Anuar berjaya melintasi garisan penamat dengan catatan masa 4 jam 09 minit 21 saat, sekali gus mengetepikan cabaran 107 pelumba lain.
Tempat kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik Rafai Chtioui daripada pasukan Doha Team dan Sergey Kudentsov (Polygon Sweetnice Team) yang turut mencatatkan masa 4'09:21s.
"Saya bersyukur kerana dapat menjuarai peringkat keempat JM'09. Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan kerana sejak daripada awal perlumbaan lagi mereka memberi komitmen yang tinggi untuk membantu kejayaan saya ini.
"Kunci utama kejayaan ini lebih kepada kerja berpasukan dan ternyata strategi yang kami gunakan pada perlumbaan hari ini (semalam) benar-benar menjadi.
"Memang agak kecewa kerana gagal mengutip mata di zon pecutan tetapi saya gembira kerana menjuarai perlumbaan ini" tambah Anuar yang membuat penampilan sulung bersama Azad University Continental Team pada JM tahun ini.
Khamis, April 23, 2009
Satu Terengganu julang Anuar
Label:
sukan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan