Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata beliau tidak akan memujuk 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) yang tidak hadir pada hari kedua persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
"Tak apalah... tak payah saya beritahu lah... 'no comment', saya tak payah buat apa-apa (menghubungi mereka)," katanya ketika ditanya apakah usaha akan diambilnya untuk memastikan semua Adun berkenaan hadir pada hari terakhir persidangan DUN hari ini.
Beliau yang mengakui tidak mengetahui mengenai SMS berbau ugutan bunuh yang didakwa diterima 10 Adun berkenaan, hanya menyerahkan sepenuhnya perkara itu untuk disiasat pihak polis.
Ahmad yang kelihatan agak tegang juga enggan mengulas ketika ditanya mengenai pembabitan pegawai kanannya yang dipercayai menghantar SMS ugutan terbabit kepada Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid; Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Abdullah (Paka).
"Saya tak berani komen apa-apa sebab tak tau cerita. Saya balik pagi tadi jam 2.30 pagi dari Kemaman, jadi pagi ini saya tak tahu apa-apa. Saya tak berani nak komen... setakat ini tidak ada Adun cerita pada saya mengenai hal ini. Laporan polis pun saya tidak tahu.
"Pagi tadi masa minum pagi (di) dewan berehat saya baru tahu. Jika dah lapor polis, saya serahkan pada polis lah. Kita tak boleh campur tangan apa-apa. Itu tugas polis lah," katanya.
Ditanya sama ada beliau terkejut dengan tindakan Adun berkenaan 'menghilangkan diri' daripada sidang DUN, Ahmad berkata, beliau tidak berasa apa-apa kerana sudah melalui situasi lebih teruk ketika kontroversi pelantikannya sebagai Menteri Besar pada 23 Mac tahun lalu.
"Terkejut apa? Biasalah orang politik... saya biasa saja. Masa dulu lagi teruk... ini tak ada benda bagi saya," katanya.
Rabu, April 15, 2009
Ahmad enggan pujuk ahli dewan tak hadir mesyuarat
Label:
politik
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan