Isnin, Februari 01, 2010

Jambatan Baru di Sungai Nerus


ABDUL Rahin Mohd. Said. (empat dari kiri) bersama penduduk kampung menunjukkan isyarat bagus sewaktu meninjau lokasi pembinaan jambatan konkrit bakal dibina menghubungkan 14 kampung dengan bandar Kuala Terengganu di Kampung Jeram, Kuala Terengganu, kelmarin.

Penantian lebih 50,000 penduduk dari 14 kampung di mukim Kuala Nerus dekat sini, bakal berakhir apabila sebuah jambatan konkrit siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Pasu, Datuk Abdul Rahin Datuk Mohd. Said berkata, jambatan itu akan menghubungkan kawasan berkenaan dengan bandar Kuala Terengganu.

Menurut beliau, Jambatan Kampung Jeram itu juga akan menjadi jalan alternatif ke Kota Bharu, Kelantan dengan penjimatan 10 kilometer berbanding jalan biasa ketika ini.

"Kerja-kerja pembinaan jambatan sepanjang 120 meter itu telah dimulakan sejak dua minggu lalu dan ia dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun.

"Saya amat berterima kasih kepada penduduk di sini kerana membenarkan kerja-kerja pembinaan dijalankan walaupun proses pengambilan tanah masih belum diselesaikan," katanya ketika ditemui pada majlis solat hajat di tapak pembinaan jambatan di Kampung Jeram di sini semalam.

Pada majlis tersebut dihadiri oleh kira-kira 100 penduduk kampung berkenaan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahin berkata, sebanyak RM229 juta diperuntukkan bagi membina jambatan tersebut di samping pembinaan jalan alternatif sepanjang sembilan kilometer.

Ujarnya, jika sebelum ini penduduk mengambil masa kira-kira 30 minit, dengan adanya jambatan itu nanti, mereka hanya mengambil masa 10 minit sahaja untuk ke bandar Kuala Terengganu apabila ia bakal dihubungkan dengan projek Jambatan Sekati berdekatan Muzium Negeri.

"Jika 20 tahun dulu mereka terpaksa menggunakan bot untuk menyeberang tapi kini kemudahan jambatan dan jalan alternatif yang akan siap bakal memberi keselesaan kepada mereka,'' ujarnya.

Ahad, Januari 31, 2010

Main 10 Orang Pun Boleh Menang


PEMAIN Terengganu, Firdaus Mohd. Faudzi (kanan) diasak pemain Kuala Lumpur, Ahmad Dashila Tajudin pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi. Terengganu menang 2-0.


SEKALIPUN beraksi dengan 10 pemain, Terengganu berjaya mempamerkan semangat juang tinggi untuk menewaskan Kuala Lumpur 2-0 pada aksi Liga Super malam tadi.

Tiga mata penuh yang diraih itu menyaksikan Terengganu terus melebarkan rekod bersih di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Pada aksi malam tadi, rentak bergaya mula disajikan skuad Penyu seawal minit kedua apabila Zairo Anuar Zailani meletakkan tuan rumah di hadapan menerusi satu sepakan percuma dari luar kotak penalti.

Pada minit ke-30, pasukan pelawat hampir menyamakan kedudukan, namun rembatan jarak jauh daripada Yong Kuang Yong sekadar melewati palang gol.

Babak kedua bersambung, aksi keras dipamerkan kedua-dua pasukan yang menyaksikan Terengganu terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Mohd. Muhaimin Omar dilayangkan kad merah.

Muhaimin diperintah keluar padang oleh pengadil, Abdul Jalil Khalid pada minit ke-54 selepas pertahanan tuan rumah itu melakukan terjahan keras ke atas Kuang Yong.

Bagaimanapun, kekurangan itu tidak menjejaskan rentak Terengganu apabila Ashaari Shamsudin berjaya menjaringkan gol kedua pada lewat perlawanan.

Jaguh Basikal Kawin

JAGUH lumba basikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang, 22, selamat diijabkabul dengan pasangannya, Athiah Ilyana Abd. Samat, 24, di kediaman pengantin perempuan di Meru Height, Ipoh semalam.

Pasangan itu dinikahkan oleh Imam Masjid Al-Muttaqin, Taman Meru, Zaini Bakri dengan disaksikan keluarga kedua-dua belah pihak pada kira-kira 11.30 pagi.

Terdahulu, majlis pertunangan dilangsungkan pada pukul 11 pagi tadi.

Azizulhasni sah bergelar suami selepas lafaz akad yang ketiga dengan membawa 11 dulang hantaran termasuk pingat emas yang dimenanginya pada Kejohanan Piala Dunia Klasik di Beijing, China minggu lepas manakala pengantin perempuan membalas dengan 13 dulang hantaran.

Athiah Ilyana turut menerima wang hantaran RM8,000 dan mas kahwin RM2,000 beserta seutas rantai emas.

“Pernikahan ini telah menyemarakkan lagi semangat saya untuk merangkul lebih banyak kejayaan termasuk kejohanan terdekat, Piala Dunia di Copenhagen, Denmark, Mac depan.

“Saya akan pulang semula ke Melbourne, Australia pada 7 Februari ini bagi menjalani persiapan akhir untuk menyertai kejohanan tersebut,” kata Azizulhasni.

Azizulhasni berkata, dia mengenali isterinya menerusi laman web rangkaian sosial, Friendster sebelum mereka menjalin hubungan serius selepas Sukan SEA di Korat, Thailand pada 2007.

Dia yang mendapat jolokan The Pocketrocket Man memberitahu semenjak itu, Athiah Ilyana telah menjadi sumber inspirasi baginya untuk meraih kejayaan di pentas antarabangsa.

Menurutnya, majlis resepsi mereka akan diadakan pada Disember depan, iaitu selepas temasya Sukan Komanwel di New Delhi, India.

Ketika ini, Azizulhasni melanjutkan pengajian ijazah pertama dalam jurusan Perdagangan di Universiti Deakin, Melbourne manakala Athiah Ilyana pula menyambung pengajian peringkat sarjana jurusan Arkitek di Universiti Deakin, Geelong, Australia.

Sabtu, Januari 30, 2010

Kuala Lumpur Mangsa Terengganu


KEKALAHAN 1-2 kepada Negeri Sembilan di Paroi Selasa lalu tidak menjejaskan semangat pemain-pemain Terengganu dalam misi menguasai saingan Liga Super musim ini.

Jurulatih, Irfan Bakti melahirkan keyakinan bahawa skuad kendaliannya itu akan bangkit bagi menebus kekecewaan lalu apabila melayan kunjungan Kuala Lumpur malam ini.

Terengganu yang masih mengekalkan rekod bersih di gelanggang sendiri akan menghadapi skuad Ibu Kota itu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dengan misi memburu kemenangan keempat.

"Kami perlu kembali fokus kepada perlawanan ini (menentang Kuala Lumpur) dan segera melupakan kekalahan di Paroi Selasa lalu.

"Lagipun, kekalahan kami kepada Negeri Sembilan itu bukan disebabkan kelemahan kami, tetapi dua gol yang dihasilkan pasukan lawan berpunca daripada kesilapan pemain kami sendiri," jelas Irfan semalam.

Justeru, bekas jurulatih Perlis itu mahu pemainnya lebih kimited serta dan tidak melakukan sebarang kesilapan yang boleh membawa padah kepada pasukan.

Katanya, tiga mata amat penting buat Terengganu lebih-lebih lagi persaingan yang semakin sengit dalam kedudukan liga ketika ini.

"Kami bukannya mahu menang besar, yang penting tiga mata penuh tidak tercicir. Kemenangan amat penting bagi mengukuhkan kedudukan pasukan dalam saingan liga," jelasnya.

Selepas melalui enam perlawanan, Terengganu kini mengumpul 11 mata untuk berada di tangga kedua, iaitu empat mata di belakang pendahulu, Selangor.

Bagaimanapun, dua pasukan dari utara, Kedah dan Perlis mengekori rapat di tangga ketiga dan keempat, dibezakan dengan satu mata di belakang Terengganu.

"Kalau kita lihat, Kuala Lumpur bukanlah pasukan belasahan dan seperti biasa, saya sentiasa mengingatkan pemain agar tidak terlalu mengambil mudah perlawanan esok (malam ini)," ujarnya.

Mengenai barisan pemain, Irfan bakal menurunkan kembali Helmi Rameli untuk bergandingan dengan kapten, Marzuki Yusof dan Rooney Harun di bahagian pertahanan.

Penyerang prolifik, Abd. Manaf Mamat pula sekali lagi menjadi taruhan di bahagian serangan bersama-sama Mohd. Ashaari Shamsuddin dan Firdaus Faudzi.

Jumaat, Januari 29, 2010

RM14.4b bangunkan Terengganu

Terengganu memerlukan peruntukan kira-kira RM14.4 bilion untuk membangunkan negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, peruntukan itu diperlukan untuk melaksanakan projek yang dirangka di bawah perancangan Hala Tuju Pembangunan Negeri Terengganu 2009-2013.


Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri hanya mampu menyediakan RM8 bilion dalam tempoh itu berdasarkan anggaran hasil negeri hanya sekitar RM1.6 bilion setahun.

‘‘Ini bermakna perancangan yang dibuat masih lagi kekurangan peruntukan kira-kira RM6.4 billion.

‘‘Kerajaan negeri merasakan bahawa kekurangan peruntukan ini akan ditampung melalui peruntukan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Dialog Rancangan Malaysia Ke-10 dengan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Ahmad berkata, setakat ini, hampir RM3.7 billion diperuntukkan bagi bajet keseluruhan Terengganu untuk 2009 dan 2010.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri meletakkan empat teras pembangunan yang akan mempengaruhi pembangunan ekonomi negeri.

‘‘Ia adalah pendidikan dan pembangunan sumber manusia, pertanian dan asas tani, pelancongan, dan industri, perdagangan, perkhidmatan dan ICT.” katanya.

Beliau memberitahu, pemfokusan kepada aktiviti di dalam sektor berkenaan tidak bermakna kerajaan negeri akan mengabaikan pembangunan sektor lain.

‘‘Sektor-sektor pembangunan lain turut dijangka menyumbang dalam pembangunan ekonomi negeri melalui peranan mereka sebagai penyokong, penghubung dan pemangkin dalam pembangunan ekonomi,” jelasnya.

Khamis, Januari 28, 2010

Kemenangan Pertama T Team


KEGEMBIRAAN jelas terpancar pada wajah jurulatih skuad T-Team, Che Ku Marzuki Mohd Nor apabila anak buahnya berhasil mengutip mata penuh berbekal kemenangan 1-0 ke atas Perlis di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Tetapi keadaan sebaliknya tergambar pada jurulatih Perlis, Mohd Nidzam Adzha kerana anak buahnya mempamerkan persembahan buruk berikutan keadaan padang yang tidak rata hingga menyukarkan mereka untuk mengikut rentak yang dilakar pasukan tuan rumah.

Che Ku Marzuki berkata, kemenangan itu disandarkan kepada kemantapan barisan serangannya diketuai Mohd Haris Safwan Mohd Kamal yang bertindak bijak menggunakan peluang terbaik menjaringkan gol kemenangan seawal tiupan wisel pada babak kedua bermula.

“Walaupun menang tipis tetapi sudah cukup bermakna bagi T-Team kerana mampu menewaskan sebuah pasukan hebat seperti Perlis,” katanya.

Kallang Menjaring Dua Gol


HILANG fokus pada saat terakhir perlawanan ditakrif sebagai punca kekalahan Terengganu kepada Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam kelmarin.

Kekalahan Terengganu Berpunca gol sendiri oleh Joseph Kallang apabila bola tandukannya masuk ke jaring sendiri pada minit-minit akhir.

Terengganu mendahulu jaringan apabila Joseph Kallang menendang kencang diluar kotak penalti terus menerjah ke jaring Negeri Sembilan.

Ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim mengakui terkilan dengan kekalahan 1-2 itu ketika yakin Terengganu mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

“Pemain saya hilang tumpuan pada saat-saat akhir perlawanan hingga membolehkan pihak lawan mengambil kesempatan menghukum kesilapan kami.

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan persembahan mereka kerana ini baru perlawanan keenam dan kita ada 20 perlawanan lagi. Apa yang penting usaha ditingkatkan lagi memastikan misi berada dalam kelompok tiga teratas liga tercapai,” katanya.

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH
Terengganu juara Sukma: KONTINJEN Terengganu bersorak riang selepas muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XII yang berakhir di Kuala Terengganu, malam tadi. Tuan rumah mencipta sejarah mengutip emas terbanyak dalam penyertaan Sukma selepas meraih 61 pingat emas 39 perak dan 47 gangsa meninggalkan Selangor yang muncul naib juara dengan 54-47-52 manakala Sarawak tempat ketiga, (52-52-42). Upacara penutup temasya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

MENAKJUBKAN

MENAKJUBKAN
TERENGGANU juara SUKMA, Juara Bola Sepak, Raja Pecut, Raja Ragbi, Raja Kenu, Raja Kayuh. Kemenangan Terengganu kebanyakkan diperolehi melalui sukan objektif seperti olahraga, basikal, kenu berbanding dari sukan subjektif.

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG
Skretariat SUKMA Terengganu mendapat pujian daripada Kontingen-kontingen negeri, Media massa, pegawai sukan & orang ramai tentang kecermlangan pengurusan & pentadbiran SUKMA. SUKMA di Terengganu di iktiraf sebagai pengurusan SUKMA terbaik, pengadilan yang paling bersih,penyertaan penonton paling ramai, kemudahan paling lengkap, rekod baru paling banyak dicipta & tanpa kontraversi. Paling hairan Jawatakuasa rayuan tidak mnerima apa-apa rayuan dari kontingen yang bertanding. TAHNIAH.

INDUSTRI TERNAK KAMBING

INDUSTRI TERNAK KAMBING
Cosmopal Sdn Bhd, anak syarikat Arus Zaman Sdn Bhd, melabur sebanyak RM2 juta dalam penternakan kambing di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Serating, dekat sini dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai pengeluar terbesar ternakan itu di negara ini pada masa depan. Pengarahnya, Zainudin Zakaria berkata setakat ini, syarikat mempunyai sebanyak 1,400 kambing baka Jamnapari, bernilai antara RM750 dan RM850 seekor, di ladang seluas kira-kira 30 hektar itu.

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN
DAS berkata kerajaan banyak menyediakan kemudahan untuk pelajar melonjakkan diri untuk mencapai kejayaan cemerlang. Kerajaan sanggup menyediakan peruntukkan besar untuk sektor pendidikan bagi menjadikan negeri terulung melahirkan pelajar yang cemerlang.

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI
DAS mengucap tahniah kepada Wan Ahmad Nizam, Ketua Kontingen SUKMA Terengganu kerana berjaya menjadi juara SUKMA ke 12. Di atas kemenangan itu, DAS memberi cuti kepada rakyat Terengganu.

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU
PM bersetuju untuk melulus pembinaan sekolah sukan seperti sekolah sukan di Bukit Jalil & Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor di Terengganu. Sekolah ini akan dibina di sebelah kompleks sukan negeri, Gong Badak.