Ahad, Jun 28, 2009

Kesah Ikan Naga

Ikan naga? Tidak ramai mengenalinya, namun ia menjadi bualan sejak kematian pekerja projek Taman Burung dan anggota bomba, baru-baru ini.

“Apa yang digelar ikan naga di Tasik Kenyir sebenarnya ikan Arapaima Gigas. Mungkin orang menggelarnya ikan naga sebab saiznya besar dan kulitnya bersisik besar seperti naga.“Namun, ikan itu tak makan orang dan saya yakin dua kes kematian yang berlaku baru-baru ini tak ada kena mengena dengan ikan itu.”

Demikian kata pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir, Mohd Bidin Ibrahim, 45, mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa kematian pekerja projek Taman Burung, Helmi Shukri Hashim, 28, dan anggota bomba, Aladi Hassan, 41, berpunca daripada serangan ikan naga yang menghuni tasik itu.Helmi mati lemas selepas didakwa terjatuh dari bot pada 14 Jun lalu ketika menghantar rakannya membuang air di sebuah pulau di tasik berkenaan.

Aladi yang melakukan misi mencari Helmi ditemui lemas sehari selepas kejadian di dasar tasik berkenaan dalam keadaan tersangkut pada ranting kayu balak.Mohd Bidin dari Kampung Langgar, di sini, yang 20 tahun mencari rezeki di tasik seluas 2,600 kilometer persegi itu berkata, kewujudan ikan bersaiz gergasi di dalam Tasik Kenyir bukan perkara aneh kerana dia pernah melihat seekor ikan sepanjang kira-kira tiga meter.

“Saya pernah melalui pengalaman diekori seekor ikan gergasi yang saiznya sama besar dengan bot gentian kaca yang saya naik. Kejadian itu berlaku tahun lalu dan ia antara peristiwa yang tak akan saya lupakan,” katanya.Menurutnya, pengalaman berkenaan turut dialami beberapa rakan yang mencari rezeki di tasik dipenuhi pelbagai spesies ikan sungai seperti Toman, Kelah, Lampam, Sebarau, Baung dan Tapah itu.

“Walaupun ramai nelayan tasik pernah terserempak atau dikejar ikan gergasi itu, sehingga kini belum ada yang mati disebabkannya,” katanya.Menjawab soalan bagaimana ikan Arapaima Gigas boleh turut menghuni Tasik Kenyir sedangkan hidupan itu sebelum ini dikatakan hanya mendiami Sungai Amazon di Brazil, Mohd Bidin mendakwa kejadian itu ada sejarahnya yang tersendiri.

Menurutnya, ikan Arapaima Gigas itu dipercayai terlepas dari kolam yang dibina di sebuah chalet berhampiran Tasik Kenyir.“Ikan itu pada mulanya milik seorang lelaki Cina yang juga pengusaha chalet. Disebabkan ia cepat membesar, pengusaha terbabit melepaskan hidupan itu di dalam sangkar yang dibina berhampiran chalet di Sungai Petuang.

“Malangnya sebanyak empat ekor ikan itu terlepas keluar, tapi seekor mati. Saya difahamkan, ikan ini boleh membawa tuah, ia hanya memakan anak ikan dan tidak menyerang dan mengancam manusia,” katanya.Mohd Bidin berkata, dalam kejadian terbaru 20 Jun lalu, seorang pekerja sebuah chalet di Sungai Tembat mendakwa ternampak kelibat ikan dipercayai Arapaima Gigas timbul di permukaan air.

Mengesahkan lagi kewujudan ikan Arapaima Gigas di dakam Tasik Kenyir, Mod Bidin membawa wartawan Metro Ahad berjumpa rakannya, Shamsuddin Abd Rahman, 45, yang dikatakan pernah menaikkan ikan gergasi berkenaan yang menyambar umpan pancingnya.

Shamsuddin dari Kampung Tajin, di sini, berkata kejadian berlaku sembilan tahun lalu ketika dia bekerja sebagai buruh projek Lebuhraya Simpang Pulai dan tidak menyangka memperoleh ikan berkenaan secara tidak sengaja.“Beratnya ketika itu 35 kilogram, manakala panjangnya mencecah dua meter. Ketika itu saya tidak tahu jenis ikan berkenaan kerana tidak pernah melihatnya dan terkejut apabila rakan sekerja memberitahu ia ikan Naga.

“Ikan itu memang cantik dan bentuknya tidak sama dengan ikan lain. Badannya berwarna warni, kepalanya seakan-akan kepala itik manakala ekornya merah.“Waktu itu saya tidak tahu ikan berkenaan harganya mahal dan menjual dagingnya yang agak liat kepada rakan pada harga antara RM10 hingga RM12 sekilogram, malah ramai bergambar dengannya ketika membawa pulang di Kuala Berang,” kata Shamsuddin.

Menurutnya, selepas berita penemuan ikan berkenaan tersebar luas, dia didatangi seorang lelaki dari Singapura dan menawarkannya RM10,000 untuk membeli ikan berkenaan.“Saya tepuk dahi ketika itu kerana ikan berkenaan sudah mati dan dagingnya dijual kepada orang ramai. Saya juga tidak tergamak menjamahnya kerana bentuknya pelik seperti naga, sisiknya tebal dan hujungnya seperti muncung itik,” katanya.

Shamsuddin berkata, selepas kejayaannya, ramai kaki pancing mencuba nasib untuk memperoleh ikan itu, namun sehingga kini tiada siapa berjaya menaikkannya.Dia berkata, jika sengaja mencari sama ada ingin melihat atau menangkap ikan berkenaan, ia sukar ditemui kerana ia sentiasa beralih sungai untuk mencari makanan.

Shamsuddin berkata, selain ikan Naga, keadaan tasiknya yang luas menyebabkan pelbagai hidupan air lain turut dikaitkan dengan misteri itu, antaranya dakwaan wujudnya ikan Tapah gergasi di tasik berkenaan.Penemuan ikan Tapah gergasi diakui Rosli Sulong, 34, yang pernah bekerja sebagai pemandu rumah bot sejak awal pembukaan tasik itu.

Sama seperti pengalaman dilalui Mohd Bidin, bot dinaikinya diekori seekor Tapah sebesar bot gentian kaca dan ikan itu berpatah balik apabila enjin botnya dimatikan.Katanya, kejadian berlaku di Sungai Lasir dan mendakwa ikan berkenaan ada di tepian sungai kerana mencari ikan bersaiz kecil dan anak monyet.

Dia berkata, selain mengalami peristiwa itu, beberapa rakannya turut menceritakan kejadian sama tetapi di sungai berlainan.“Ikan ini tidak mengganggu manusia, ia mungkin tertarik dengan buih hasil putaran kipas bot dan mengekorinya. Namun saya percaya ikan ini memang besar kerana saya pernah melihat kelibatnya,” katanya.

Sabtu, Jun 27, 2009

Nasib seorang Guru

Mereka datang dengan penuh rasa dendam dan marah.Setibanya di rumah guru itu, kumpulan tersebut mula membuat bising. Mereka semakin ganas dengan menjerit dan mencabar guru terbabit supaya keluar dari rumah.

Guru tersebut tidak berani untuk keluar melihat tindakan kurang ajar kumpulan itu yang masing-masing baru berusia 15 tahun.Dia hanya mengintai dari tingkap rumahnya - melihat tiga daripada mereka terbabit memanjat pagar rumahnya. Bagaikan dirasuk hantu, kumpulan itu mula menggegarkan pintu jeriji rumah guru berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, dua buah kereta milik guru tersebut, Proton Waja dan Proton Satria turut dirosakkan.Tindakan ganas ini bukanlah aksi filem atau perlakuan ah long - sebaliknya kumpulan pelajar sekolah yang tidak berpuas hati selepas salah seorang rakan mereka dirotan.

Salah seorang rakan mereka sebelum itu dirotan oleh guru disiplin terbabit, atas kesalahan ingkar arahan guru.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 petang, guru berusia 38 tahun itu berada di rumahnya di Kampung Paya Resak, Bukit Payong bersama isteri dan seorang anaknya.

Menurut beliau, ketika itulah pelajar tersebut datang secara berkumpulan dan menyerang rumahnya."Mereka mencabar guru tersebut, namun mangsa tidak memberikan sebarang reaksi menyebabkan pelajar itu naik berang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau menambah, guru itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Payong kira-kira pukul 7.40 petang selepas kesemua pelajar itu beredar.Bertindak atas laporan, katanya, polis menahan dua pelajar tingkatan tiga yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu pada hari sama untuk membantu siasatan.

Katanya, siasatan awal mendapati, pelajar tersebut mengaku mereka bertindak demikian kerana tidak berpuas hati setelah rakan mereka dirotan.Kes itu, kata Mohd. Fauzi, disiasat di bawah Seksyen 147, 427 dan 506 Kanun Keseksaan. Pihak polis kini sedang mengesan saki baki pelajar yang terlibat dalam kejadian itu.

Khamis, Jun 25, 2009

Terengganu Meningkat

Pasukan Terengganu menggunakan kelebihan di gelanggang sendiri untuk menewaskan Kuala Muda Naza 2-0 dalam perlawanan ulangan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, semalam.

Gol pertama Terengganu dijaringkan oleh penyerang muda, Abdul Manaf Mamat pada minit ke-19 sebelum giliran Md. Ashaari Shamsudin pula menyempurnakan gol kedua pasukan Penyu.

Separuh masa pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun tuan rumah lebih banyak mendapat peluang untuk menjaringkan gol.

Azlan Ismail mempersia-siakan hantaran lintang Abdul Manaf di hadapan pintu gol Kuala Muda Naza pada minit ke-30.

Percubaan terbaik Kuala Muda Naza muncul pada minit ke-42 apabila rembatan kencang Manzoor Azwira Wahid menyaksikan bola terkena tiang gol dan melantun ke luar padang.

Dengan kemenangan ini, Terengganu mengumpul 33 mata untuk menduduki tempat keenam carta liga berkenaan.

Rabu, Jun 24, 2009

Pemimpin Ibarat `Tong Sampah

Ahli politik boleh diumpamakan sebagai tong sampah yang menerima segala luahan dan masalah rakyat, termasuk celaan dilemparkan mereka apabila tidak berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan agensi kerajaan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata apa yang menyedihkan dan membimbangkan, ketidakpuasan hati akibat perkhidmatan segelintir kakitangan awam tidak memuaskan akan diterjemahkan ke peti undi setiap kali pilihan raya umum.

Beliau berkata, segala kelemahan yang ditunjukkan oleh kakitangan dan pekerja kerajaan terutama dalam menguruskan hal berkaitan rakyat akan terpalit kepada kerajaan terutama apabila setiap masalah yang timbul membangkitkan kemarahan mereka.

"Orang politik ini macam tong sampah.. kegagalan pegawai kerajaan menjalankan tugas dengan baik akan menimbulkan kemarahan rakyat dan mereka akan balas dendam di peti undi. Mereka tidak menyatakan kemarahan itu secara terus, tetapi mereka tunjuk pada pilihan raya.

"Sebagai orang politik, apa juga masalah berbangkit akan terpalit pada parti pemerintah. Apa saja masalah yang timbul, akhirnya orang politik yang jadi mangsa," katanya pada majlis perjumpaan dengan kakitangan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) di Wisma Darul Iman, semalam.

Beliau berkata, walau apa juga perlakuan atau pendekatan yang diambil terhadap sesuatu perkara, hati dan perasaan rakyat harus dijaga sebaik mungkin sekali pun terpaksa mengorbankan kepentingan diri sendiri kerana ia kunci utama dalam mengekalkan sokongan rakyat kepada kerajaan pemerintah."Walau apa juga tindakan kita, hati dan perasaan rakyat penting dan ia harus dijaga sebab mereka berada di kedudukan depan seiring dengan matlamat merakyatkan pembangunan," katanya.

Justeru, beliau berkata, semua penjawat awam di negeri ini termasuk kakitangan APMT perlu menunaikan amanah dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin sekali gus memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.

"Kita memang macam tong sampah, setiap yang tidak disukai rakyat akan dilemparkan kepada ahli politik dan oleh itu kita jangan bersikap sombong dan angkuh, harus sedar diri dalam berkhidmat kepada rakyat."Tidak ada gunanya kita laksanakan pelbagai projek pembangunan tapi rakyat tidak dapat sebarang faedah kerana akhirnya kita (Barisan Nasional) yang akan ditolak," katanya.

Selasa, Jun 23, 2009

Gugur Rosli, Roslan tiada kaitan kes SPRM

Badan Perhubungan UMNO Terengganu menolak tanggapan pengguguran setiausaha dan bendaharinya semalam mempunyai kaitan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun, pengerusinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Naib Presiden UMNO tidak menafikan wujud keadaan yang perlu dibendung. "Tidak ada (kaitan dengan siasatan SPRM). Ini bukan isu personaliti atau pemimpin tertentu. Yang penting ialah parti bukan individu atau puak.

"Kita perlu masa untuk mengikuti perkembangan dan tiada orang boleh nafi wujud keadaan yang perlu dibendung," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Semalam, Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan digugurkan sebagai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri dan digantikan dengan Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Turut digugurkan ialah bendahari badan perhubungan itu, Senator Datuk Roslan Awang Chik yang digantikan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Abdul Rahim Mohd. Said.

Hishammuddin berkata, beliau sudah berjumpa dengan pihak-pihak yang berkenaan berhubung perkembangan terbaru tersebut dan perkara itu diterima dengan baik.Beliau menambah, pertemuan akan diadakan dengan sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO negeri diikuti setiap UMNO Bahagian di negeri itu.

T Team Hampir Memintas Harimau Muda


T-Team kini mengurangkan perbezaan mata di tangga teratas kepada hanya lapan mata, apabila berjaya menewaskan PKNS Selangor 1-0.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, T-Team mengesahkan kemenangan menerusi jaringan bekas pemain UPB-MyTeam, Harris Safwan Kamal pada minit ke-49.

Walaupun mensia-siakan beberapa peluang untuk melebarkan jurang gol, jaringan bekas penyerang skuad bawah 23 tahun kebangsaan itu sudah cukup untuk memastikan kemenangan tuan rumah.

Isnin, Jun 22, 2009

Perlantikan Baru Satu Penyelesaian Konflik UMNO Terengganu

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam mengumumkan tiga pelantikan baru bagi mengisi tiga jawatan utama Badan Perhubungan Umno negeri ini yang sebelum ini dilanda pelbagai konflik dalaman.

Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Awang yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) dilantik sebagai Setiausaha Perhubungan Umno negeri yang baru menggantikan Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan yang digugurkan.
Tengku Putera sebelum ini adalah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dan digugurkan selepas kepemimpinan Umno Terengganu dirombak yang menyaksikan Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno mengetuainya manakala Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dilantik sebagai timbalan.

Menteri Belia dan Sukan yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Ahmad Shabery Cheek pula dilantik semula sebagai Ketua Penerangan Umno negeri menggantikan Datuk Mohd Zuber Embong yang digugurkan. Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan sama ketika bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh mengetuai Umno Terengganu.

Exco Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus pula dilantik sebagai Bendahari Perhubungan Umno Terengganu menggantikan Datuk Roslan Awang Chik yang turut digugurkan.

Pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat perhubungan Umno berkenaan, Hishammuddin berkata, pengumuman tiga jawatan utama perhubungan itu adalah titik permulaan kepemimpinannya di Terengganu.
Beliau berkata, pemilihan tiga individu itu dalam menjawat jawatan berkenaan juga jelas membuktikan bahawa beliau tidak terikat atau pro kepada mana-mana kumpulan kerana matlamat utama lantikan untuk memulihkan Umno Terengganu.

Ditanya sama ada pengguguran tiga pemimpin Umno negeri itu ada hubung kait dengan siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah sebagaimana dilaporkan media, Hishammuddin berkata perkara itu tidak berkaitan.

"Perubahan pimpinan tak ada kaitan.. bagi saya yang paling penting adalah usaha kita untuk memikul tanggungjawab. Bagi yang melepaskan jawatan atau tak diberikan jawatan tak semestinya tugas dan tanggungjawab mereka lebih mudah. Ini bermakna tanggungjawab atau tugasan lain yang perlu dipikul akan terus dipikul," katanya.

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH
Terengganu juara Sukma: KONTINJEN Terengganu bersorak riang selepas muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XII yang berakhir di Kuala Terengganu, malam tadi. Tuan rumah mencipta sejarah mengutip emas terbanyak dalam penyertaan Sukma selepas meraih 61 pingat emas 39 perak dan 47 gangsa meninggalkan Selangor yang muncul naib juara dengan 54-47-52 manakala Sarawak tempat ketiga, (52-52-42). Upacara penutup temasya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

MENAKJUBKAN

MENAKJUBKAN
TERENGGANU juara SUKMA, Juara Bola Sepak, Raja Pecut, Raja Ragbi, Raja Kenu, Raja Kayuh. Kemenangan Terengganu kebanyakkan diperolehi melalui sukan objektif seperti olahraga, basikal, kenu berbanding dari sukan subjektif.

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG
Skretariat SUKMA Terengganu mendapat pujian daripada Kontingen-kontingen negeri, Media massa, pegawai sukan & orang ramai tentang kecermlangan pengurusan & pentadbiran SUKMA. SUKMA di Terengganu di iktiraf sebagai pengurusan SUKMA terbaik, pengadilan yang paling bersih,penyertaan penonton paling ramai, kemudahan paling lengkap, rekod baru paling banyak dicipta & tanpa kontraversi. Paling hairan Jawatakuasa rayuan tidak mnerima apa-apa rayuan dari kontingen yang bertanding. TAHNIAH.

INDUSTRI TERNAK KAMBING

INDUSTRI TERNAK KAMBING
Cosmopal Sdn Bhd, anak syarikat Arus Zaman Sdn Bhd, melabur sebanyak RM2 juta dalam penternakan kambing di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Serating, dekat sini dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai pengeluar terbesar ternakan itu di negara ini pada masa depan. Pengarahnya, Zainudin Zakaria berkata setakat ini, syarikat mempunyai sebanyak 1,400 kambing baka Jamnapari, bernilai antara RM750 dan RM850 seekor, di ladang seluas kira-kira 30 hektar itu.

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN
DAS berkata kerajaan banyak menyediakan kemudahan untuk pelajar melonjakkan diri untuk mencapai kejayaan cemerlang. Kerajaan sanggup menyediakan peruntukkan besar untuk sektor pendidikan bagi menjadikan negeri terulung melahirkan pelajar yang cemerlang.

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI
DAS mengucap tahniah kepada Wan Ahmad Nizam, Ketua Kontingen SUKMA Terengganu kerana berjaya menjadi juara SUKMA ke 12. Di atas kemenangan itu, DAS memberi cuti kepada rakyat Terengganu.

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU
PM bersetuju untuk melulus pembinaan sekolah sukan seperti sekolah sukan di Bukit Jalil & Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor di Terengganu. Sekolah ini akan dibina di sebelah kompleks sukan negeri, Gong Badak.