Terengganu berjaya mengalahkan Sarawak 2 - 0 tapi T Team hanya seri 1 -1 dengan Perak dalam Perebutan Piala FA.
JURULATIH T-Team, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd. Nor menegur sikap sambil lewa beberapa pemainnya sehingga membolehkan Perak menjaringkan satu gol pada perlawanan pertama pusingan kedua Piala FA kelmarin.
Pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu, Mohd. Haris Safwan menyelamatkan maruah T-Team apabila jaringannya pada pada minit ke-80 berjaya mengikat pasukan pelawat dengan keputusan seri 1-1.
Terdahulu, Perak memperoleh gol pertama menerusi pemain gantian, Azmeer Yusof pada minit ke-75.
Berdasarkan aksi 90 minit itu, Che Ku Marzuki berkata, anak-anak buahnya layak memenangi perlawanan tersebut dengan jumlah jaringan yang selesa.
"Kalau kita tengok, pemain kami berjaya menguasai permainan dan memperoleh banyak peluang untuk menjaringkan. Sedangkan Perak jarang-jarang memperoleh peluang.
"Namun, mereka (Perak) mendapat peluang terbaik pada minit ke-75 dan menghukum kesilapan pemain kami pada ketika itu.
"Sepatutnya, ada pemain yang mengekang pergerakkan Azmeer, tetapi sebaliknya pula berlaku. Inilah yang sedikit mengecewakan saya," jelas Che Ku Marzuki.
Menambahkan lagi kekecewaan pengendali T-Team itu apabila penyerang prolifiknya, Haris disahkan tidak akan beraksi pada perlawanan kedua di Ipoh Sabtu ini selepas menerima kad kuning kedua pada aksi kelmarin.
Menurut Che Ku Marzuki, ketiadaan Haris bakal memberi kesan kepada persembahan pasukan terutamanya di jentera serangan.
"Memang jelas ketiadaan Haris nanti sedikit menjejaskan rentak kita, tetapi saya tetap percaya kepada kemampuan pemain lain.
"Pasukan ini masih memiliki Ismail Faruqi dan Norhisham Hassan yang mampu bergandingan dengan baik bersama Abdul Hadi Yahaya," katanya.
Mengenai peluang T-Team di Ipoh Sabtu ini, Che Ku Marzuki merasakan peluang kedua-dua pasukan adalah seimbang dengan kelebihan kini memihak kepada Perak.
"Perak berjaya menjaringkan satu gol di sini (Terengganu) dan ia adalah kelebihan buat mereka. Jadi, kita akan bermain matian-matian untuk memburu gol di Ipoh untuk mencerahkan peluang pasukan ini ke suku akhir," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan