Seorang kerani syarikat swasta yang ditahan berhubung penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan bunuh kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu, baru-baru ini, dibebaskan kira-kira jam 6 petang kelmarin.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata lelaki berusia 31 tahun yang ditahan di Bandar Baru Bangi, Selangor pada 20 April lalu, dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman selama tujuh hari.
"Suspek yang berasal dari Johor dibebaskan selepas keterangannya diambil bagi membantu siasatan kes ini," katanya, di sini, semalam.
Manoharan berkata, suspek sebelum ini direman selama empat hari dan dilanjutkan tiga hari lagi bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
"Buat masa sekarang, siasatan terhadap suspek dianggap selesai," katanya sambil menjelaskan polis akan meneruskan siasatan hingga kes itu selesai.
Mengulas lanjut, Manoharan turut meminta kerjasama pelbagai pihak termasuk orang ramai dan media agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.
Pada pada 14 April lalu, Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid; Adun Paka, Zakaria Abdullah dan Adun Permaisuri, Abdul Halim Jusoh membuat laporan polis selepas menerima SMS ugutan berkenaan.
Tujuh Adun lain yang bersimpati dengan mereka kemudian bersepakat tidak hadir pada hari kedua sidang DUN pada hari itu.
Mereka bagaimanapun hadir semula sidang DUN pada hari berikutnya selepas diarahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, selain mendapat jaminan keselamatan polis.
Dalam perkembangan berkaitan, Manoharan sekali lagi menafikan laporan bahawa polis sedang mencari Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohammad Zubir, Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.
Katanya, polis negeri kesal dengan tindakan beberapa akhbar yang menyiarkan laporan itu.
Isnin, April 27, 2009
Siasatan dianggap selesai, polis nafi cari Setiausaha Politik bekas MB - Suspek hantar SMS ugut bunuh tiga Adun dibebas
Label:
ugut
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan