Kerajaan negeri Terengganu menyediakan peruntukan segera RM50,000 khusus bagi membantu dalam membaiki rumah di kawasan Kampung Banggol, Menggabang Telipot di sini, yang rosak akibat dilanda ribut pada 12 Jun lalu.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata selain itu peruntukan RM150,000 lagi akan disalurkan menerusi Anggota Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri khusus untuk membaiki rumah yang uzur, termasuk membaiki atap rumah yang bocor di kawasan berkenaan.
Beliau berkata bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di Terengganu pula, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM200,000, khusus untuk membantu dalam membaiki rumah yang daif.
“Dalam tempoh lima tahun ini kita tidak mahu lihat lagi (atap) rumah di Terengganu yang bocor,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke rumah yang dilanda ribut di Kampung Banggol di sini hari ini.
Dalam kejadian 12 Jun lalu, 22 buah rumah di kampung itu mengalami kerosakan, kebanyakkannya membabitkan atap rumah yang diterbangkan angin kencang akibat dilanda ribut dalam kejadian pada kira-kira jam 7 petang.
Ahmad seterusnya meminta orang ramai yang ditimpa musibah akibat bencana alam supaya berjumpa dengan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan kampung atau Ketua Cawangan Umno di kawasan masing-masing bagi mendapatkan bantuan membaik pulih rumah mereka tanpa mengira fahaman politik, kerana kerajaan negeri tidak pernah mengamalkan dasar pilih kasih dalam memberikan bantuan. - Bernama
Isnin, Jun 23, 2008
MANGSA RIBUT DIBANTU
Label:
bantuan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan