Walaupun kerajaan negeri mengagihkan kurma dan air zam-zam secara percuma dua tahun lalu, ramai anak negeri ini yang mendakwa tidak pernah menerima sumbangan itu dan mereka tidak pasti sama ada masalah berkenaan disebabkan keciciran atau terlepas pandang Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dipertanggungjawabkan dengan tugas pengagihan.
Seorang penduduk, Abdul Rahman Embong, 60, dari Kampung Serdang Baru, Bukit Tunggal, di sini menjelaskan mereka kesal dan mempertikaikan sikap tidak amanah pemimpin kampung yang diberi tanggungjawab mengagihkan sumbangan berkenaan kepada setiap rumah di Terengganu.
Dia dan anaknya, Amir Ismail yang mendakwa mewakili ratusan penduduk kampung yang senasib tetapi tidak berani bersuara berkata, bukan saja pemberian kurma dan air zam-zam tidak pernah diterimanya, malah wang dana khas diperuntukkan kerajaan negeri kepada penduduk kurang berkemampuan juga tidak pernah diterimanya sejak dua tahun lalu.
"Saya dan sembilan anak adalah pengundi Barisan Nasional (BN), jadi apabila berlaku ketirisan dalam agihan bantuan seperti ini pastinya kami kecewa. Apatah lagi saya dan ahli keluarga lain tidak pernah ketinggalan menunaikan tanggungjawab mengundi setiap kali tiba pilihan raya.
"Saya bukan bekerja makan gaji. Pendapatan bekerja sebagai nelayan kais pagi, makan pagi dan memang layak untuk menerima sumbangan kurma dan air zam-zam serta bantuan dana khas pada setiap kali menjelangnya Hari Raya seperti diperuntukkan kerajaan negeri," katanya yang ditemui di sini.
Dia berkata, aduan mengenai penyelewengan itu sudah diajukan kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Ahmad Nizam Wan Abd Ghani dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, Ismail Nik untuk diambil tindakan lanjut.
Sementara itu, Ismail yang ditemui mengaku sudah menerima beberapa aduan daripada penduduk dari tiga kampung mengenai masalah sama di kawasan DUN Bukit Tunggal, tetapi memberi jaminan akan menyelesaikan perkara itu dengan segera melalui program pemutihan untuk mengenal pasti golongan yang tercicir daripada menerima bantuan.
"Saya akui daripada aduan terima setakat ini, ada lebih 12 keluarga tercicir daripada menerima sumbangan air zam-zam dan kurma ini. Bagaimanapun, saya berjanji kepada mereka akan menyelesaikan masalah ini dalam tempoh seminggu lagi selepas melengkapkan senarai nama yang tercicir daripada menerima sumbangan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan