Khamis, Julai 30, 2009

T Team Terus Berbisa

PENCABAR terdekat, T-Team terus menekan pendahulu Liga Perdana, Harimau Muda selepas mencatat kemenangan bergaya, 2-0 ke atas Sabah di Kuala Terengganu, malam tadi.

Kemenangan ke-17 naib juara Piala FAM musim lalu itu meletakkan kelab berpangkalan di Pantai Timur cuma ketinggalan tiga mata dengan aksi sebenar liga masih berbaki satu perlawanan.

T-Team yang amat memerlukan kemenangan pada baki akhir perlawanan bagi membolehkan mereka menjulang gelaran liga pertama, berada di depan m-35 menerusi tandukan Mohd Kamal Rodiarjat Md Ali.

Sebelum jaringan itu, bekas penyerang kebangsaan, penyerang Hairuddin Omar hampir menyumbat gol pertama T-Team tetapi tandukannya berjaya ditepis penjaga gawang Sabah, Harold John.

Bagaimanapun, T-Team yang kelihatan menguasai sepenuhnya perlawanan, gagal menambah jaringan sehinggalah terpaksa menunggu m-85 apabila Mohd Kamal Rodiarjat sekali lagi bertindak cemerlang untuk gol kedua.

Terengganu rebut RM200,000

KEJAYAAN Terengganu membelasah Pulau Pinang 4-1 pada aksi Liga Super malam kelmarin telah menghidupkan peluang mereka untuk mencuri kedudukan tempat ketiga keseluruhan musim ini.

Terengganu kini menghuni tangga keempat dengan 46 mata manakala Kedah di tangga ketiga dengan 48 mata dan Johor FC pula di tangga kelima dengan 45 mata.

Mereka masing-masingnya akan menghadapi perlawanan terakhir pada Sabtu ini.

Hanya tiga pasukan ini masih berpeluang untuk meraih tempat ketiga Liga Super sekali gus merangkul hadiah wang tunai RM200,000 kerana pasukan di tangga keenam, Kelantan kini hanya memiliki 44 mata dan terkeluar daripada persaingan.

Juara Liga Super dengan hadiah wang tunai RM500,000 telah sah milik Selangor manakala naib juara dengan hadiah wang tunai RM300,000 menjadi milik Perlis.

Antara Kedah, Terengganu dan Johor FC, kelebihan untuk muncul pemenang tempat ketiga berpihak kepada juara Liga Super 2007 dan 2008 iaitu Kedah.

Ini kerana, jika Kedah berjaya mencatat kemenangan ketika melayan kunjungan Pulau Pinang di Alor Setar Sabtu ini, mereka tidak mampu lagi dipintas oleh Terengganu mahu pun Johor FC.

Namun jika Kedah tewas mengejut, Terengganu mampu muncul pemenang tempat ketiga jika mereka berjaya menewaskan Negeri Sembilan di Paroi.

Bagi Johor FC, mereka seakan mengharapkan keajaiban supaya Kedah dan Terengganu tewas dalam perlawanan terakhir sambil mereka pula mencatat tiga mata penuh ke atas Kelantan di Pasir Gudang untuk menduduki tangga ketiga.

Sementara itu, jaringan hatrik oleh Ashaari Shamsudin ketika Terengganu menewaskan Pulau Pinang 4-1 malam kelmarin memungkinkan dia berpeluang memenangi anugerah Kasut Emas selaku penjaring terbanyak.

Ashaari, 24, kini berkongsi 16 gol bersama penyerang Perlis, Nizaruddin Yussof dan mana-mana pemain yang berjaya menjaringkan lebih banyak gol Sabtu ini akan muncul pemenang Kasut Emas.

Rabu, Julai 29, 2009

Terengganu Memburu Tempat Ke 3 & Penjaring Terbanyak

Terengganu mencerahkan peluang untuk menamatkan kempen bola sepak Liga Super pada kedudukan tiga terbaik selepas menundukkan Pulau Pinang 4-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam, untuk melonjak ke tangga keempat.

Pada ketika saingan musim 2009 hanya tinggal satu perlawanan, Terengganu kini mengumpul 46 mata, dua mata di belakang pasukan tempat ketiga, Kedah.

Selangor dan Perlis, masing-masing sudahpun ditabal sebagai juara dan naib juara Liga Super dengan mengutip 63 dan 53 mata.

Terengganu dan Kedah akan bersaing untuk merebut tempat ketiga liga apabila turun pada perlawanan terakhir musim, Sabtu ini.

Dalam perlawanan semalam, Pulau Pinang terlebih dulu mengejutkan tuan rumah dengan membuka jaringan seawal minit kelima, menerusi rembatan kencang Failee Md. Ghazali.

Bagaimanapun Terengganu tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Mohd. Shazlan Alias merembat bola dari kotak penalti pada minit ke-25.

Hanya lima minit selepas babak kedua bermula, Terengganu mendahului 2-1 hasil jaringan Ashaari Shamsuddin.

Terengganu ditimpa malang apabila terpaksa meneruskan permainan dengan 10 pemain pada minit ke-61 selepas Hari Mohd. Saffi dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua.
Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan semangat Terengganu untuk menambah dua lagi gol, sekali lagi menerusi Md. Ashaari pada minit ke-73, sebelum dia melengkapkan hatrik dengan menyempurnakan penalti di minit ke-77.

Terengganu juga memburu penjaring terbanyak melalui pemain Sensasi Terengganu Mohd Ashaari Samsuddin telah menambah koleksi gol ke 16.

Siling Airport Tertanggal lagi

Selepas sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh dan Pusat Akuatik di sini ditutup, masalah siling tanggal di beberapa bahagian Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) menjejaskan imej satu lagi projek mega negeri ini yang baru hampir setahun digunakan.

Pengurus Malaysia Airports Bhd (MAB) LTSM, Ahmad Ramli Mahmood, berkata pihaknya sudah mengesan masalah siling tanggal di beberapa bahagian lapangan terbang itu terutama di bahagian kiri dan kanan bumbung utama sejak lapan bulan lalu, dan dalam tempoh itu sudah tiga kali kejadian itu berulang.

Katanya, setiap kali MAB mengesan masalah itu, kontraktor akan membaikinya tetapi tidak berapa lama kemudian kejadian sama akan berulang. Ahmad Ramli berkata, siling di bahagian bumbung utama berhampiran Kompleks Menara Kawalan itu mungkin tertanggal disebabkan angin kuat dari pantai dan ini sudah tentu menjejaskan pemandangan terminal berharga RM123 juta itu.

"Kami sudah melaporkan masalah ini kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kami berharap agensi itu akan tampil dengan penyelesaian jangka panjang yang mungkin membabitkan rekaan semula bumbung itu," katanya.

Selasa, Julai 28, 2009

'Dengar suara rakyat'

Semua wakil rakyat diingatkan supaya mendengar suara rakyat setempat terutama pandangan mereka terhadap setiap projek pembangunan dirancang kerajaan negeri, bagi memastikan semua perancangan dilaksanakan memberi manfaat dan dapat dinikmati semua golongan.


Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Tengku Putera Awang, berkata suara rakyat penting dalam memastikan pembangunan yang dijalankan bukan saja mendatangkan hasil kepada ekonomi kerajaan negeri, tetapi dapat dinikmati dan dimanfaatkan rakyat untuk jangka masa panjang.

Beliau berkata, pengalaman sebagai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Exco) banyak memberi pengajaran kerana ada kalanya pendapat disuarakan masyarakat di peringkat akar umbi lebih bernas berbanding pendapat pakar dalam sesuatu bidang.

"Saya masih ingat, pembinaan benteng pemecah ombak di Merang, Setiu dulu mendapat bantahan daripada penduduk setempat kerana ia dikhuatiri hanya mampu bertahan beberapa ketika.

"Bagaimanapun, pembinaan tetap diteruskan dan terbukti walaupun sudah melalui kajian dan nasihat dari pakar berkaitan, ia roboh dan tetap tidak boleh pakai.


"Daripada pengalaman ini kita boleh lihat bahawa pendapat dan suara rakyat sangat bernilai untuk membantu kerajaan negeri membangunkan negeri seiring dengan pendekatan merakyatkan pembangunan yang dilaungkan kerajaan negeri," katanya pada sidang media sempena Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun DUN Terengganu di sini, semalam.

Sempena sambutan itu, sebanyak RM700,000 diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi menjayakan pelbagai program yang akan berlangsung selama hampir lima bulan bermula semalam.

Beliau berkata, sempena sambutan itu pelbagai program membabitkan semua golongan termasuk pihak istana, pemimpin negeri, bekas wakil rakyat, ahli akademik, pegawai kerajaan, pelajar dan masyarakat setempat sudah diatur.

Tengku Putera berkata, wakil rakyat pada kini amat bertuah kerana mempunyai banyak saluran untuk mendapatkan maklumat dan maklum balas berhubung suara rakyat.

"Sekarang ini banyak cara untuk wakil rakyat dapat mendengar suara rakyat termasuk melalui SMS dan e-mel. Walaupun tidak lagi berborak di kedai kopi macam dulu-dulu, pelbagai maklum balas boleh didengar untuk kebaikan rakyat," katanya.

Isnin, Julai 27, 2009

Ashaari Intai Penjaring Terbanyak

Di kala liga super di penghujung, pemain Perlis Nizaruddin mendahului pemain lain untuk menjadi penjaring terbanyak sebanyak 16 gol, di ikuti oleh pemain Kelantan Indra Putra sebanyak 14 gol dan tempat ketiga pemain kita iaitu Ashaari Samsuddin sebanyak 13 gol berkongsi tempat dengan pemain Perak.
Dua pemain Terengganu yang berada di kelompok 10 penjaring terbanyak iaitu Azlan Isamil 12 gol dan Manaf Mamat 10 gol.

Terengganu mempunyai dua perlawanan lagi iaitu menentang Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Di jangka Pemain Terengganu iaitu Md Ashaari mampu memintas penjaring terbanyak.

Ahad, Julai 26, 2009

Hairuddin teruja julang kejuaraan

KAPTEN T-Team, Hairuddin Omar mengakui begitu teruja bagi memastikan Piala Liga Perdana musim ini menjadi milik pasukannya sekali gus menyekat penguasaan Harimau Muda.

Berbaki dua perlawanan menentang Sabah 29 Julai ini dan Shahzan Muda (2 Ogos depan) diharap membawa enam mata buat mereka menjulang kejuaraan buat kali pertama.

“Ini kerana harapan besar T-Team adalah layak beraksi dalam saingan Liga Super musim 2010 dan kemenangan terus menjadi matlamat utama kami.

“Daripada segi komitmen rakan sepasukan, saya perhatikan mereka sudah cukup bersedia memberikan komitmen 100 peratus terhadap pasukan dan setakat ini, ia berhasil,” katanya.

Selepas 22 perlawanan, T-Team memungut 53 mata hasil daripada 15 kemenangan dan lima seri di belakang Harimau Muda (59 mata) dan ketiga, Johor (48 mata).
Begitupun, kelebihan masih memihak kepada Harimau Muda yang hanya memerlukan seri pada perlawanan terakhir menentang Kuala Lumpur, 2 Ogos depan untuk bergelar juara.

Sabtu, Julai 25, 2009

Salah Guna e-book

Sekumpulan murid Tahun Lima sebuah sekolah di Terengganu membuktikan mereka telah 'celik IT' apabila menggunakan komputer mini atau e-Book yang diedarkan oleh kerajaan negeri untuk menyimpan dan menonton bahan lucah.



Setakat ini 12 murid dari sebuah sekolah kebangsaan di Gong Badak telah dikesan menyalahgunakan komputer tersebut yang pada asalnya bertujuan menjadi pengganti kepada buku teks sekolah.

Ada di antara murid itu cuba mengelak daripada dikenakan tindakan dengan mendakwa ia perbuatan abang mereka.

Namun, kesannya bukan sahaja komputer itu dirampas tetapi lebih teruk mereka berhadapan dengan kemungkinan dibuang sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman mengesahkan perkara itu dengan berkata, e-Book milik kesemua murid itu telah dirampas hasil pemeriksaan mengejut guru sekolah berkenaan baru-baru ini.

"Ini masalah yang serius kerana perbuatan membawa bahan lucah ke sekolah boleh mengakibatkan murid-murid itu dibuang sekolah,'' katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Rabu, Julai 22, 2009

Pemburu coli anak dara

Beberapa anak gadis di beberapa buah kampung sekitar Binjai di sini, 'bingung' kerana seluar dalam dan coli mereka yang dijemur di ampaian kerap hilang sejak seminggu lalu.

Kejadian pelik itu dipercayai dilakukan suspek yang dikatakan seorang yang gila seks serta kemaruk pakaian dalam anak dara atau untuk tujuan ilmu hitam.

Bagaimanapun, kehilangan 'barangan peribadi' itu berjaya dikesan ekoran penemuan beberapa coli dan seluar dalam pelbagai saiz dan warna di Bukit Mak Samah di sini semalam.

Penemuan itu dimaklumkan oleh seorang penduduk, Mohd. Yusuf Yasa', 43, yang terkejut melihat pakaian dalam diikat pada sebatang ranting kayu yang dipacak di kawasan terpencil itu semalam.

Menurut beliau, ketika bersiar-siar di bukit itu, dia ternampak objek yang pada mulanya disangka bendera kecil.

Kampung Ladang Di majukan

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata bagi tujuan tersebut kerajaan negeri akan mengambil balik tanah milik persendirian dan membayar pampasan kepada penduduk terbabit.

“Kita akan membelanjakan berjuta-juta ringgit bagi membayar pampasan kepada pemilik tanah yang terlibat dengan pengambilan balik tanah di kawasan yang dirancang,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Alor Limbat, 19 Julai lalu.

Beliau berkata, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) dalam mesyuaratnya baru-baru ini memutuskan untuk mengambil balik sebahagian kawasan di Kampung Ladang untuk dibangunkan dengan projek perkedaian dan kediaman.

“Cadangan ini merupakan sebahagian daripada proses untuk menyusun semula kawasan bandar Kuala Terengganu,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri akan menimbang pelbagai projek yang dicadang dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (Adun), Alor Limbat.Beliau berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan mengikut keperluan dan kemampuan kewangan kerajaan, agar rakyat mendapat faedah hasil perancangan projek berkenaan.Senarai projek yang dicadangkan di kawasan itu, termasuk pembinaan beberapa batang jalan baru, diserahkan Adun Alor Limbat, Haji Alias Abdullah, kepada Menteri Besar.

Dato’ Ahmad berkata, pihaknya akan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap projek yang dicadang di kawasan itu bagi memastikan penduduk di kawasan itu tidak terpinggir.

Isnin, Julai 20, 2009

Sebutan Kes Ramzi

Peguam bekas Setiausaha Politik bekas Menteri Besar, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohd Zubir, 37, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan bunuh memohon dokumen tambahan daripada pendakwaan.

Dalam sebutan semula kes terbabit di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Mohammad Khalid Ab Karim itu, tiga peguam mewakili Dr Ahmad Ramzi iaitu Datuk Hazman Ahmad, Rosli Abd Rahman dan Mohamed Noor Mahmod memberitahu mereka sudah dibekalkan sebahagian besar dokumen.

Bagaimanapun, ia tidak mencukupi dan memohon dokumen lain di pihak pendakwaan termasuk keterangan mengikut Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah dan semua seksyen terbabit.

Timbalan Pendakwa Raya, Shahidani Abd Aziz @ Junid memberitahu dokumen bertulis belum siap dan hanya boleh memberikan maklumat lisan.

Dalam pada itu, mahkamah membenarkan permohonan Wan Zainuddin Wan Muda menjadi peguam pemerhati kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar, Wan Ahmad Wan Musa yang digunakan nombor telefon bimbitnya dalam penghantaran SMS terbabit dan menetapkan 27 September depan tarikh sebutan semula.

Asal Usul Keropok Lekor

Setiap nama pasti ada sejarah dan asal usulnya.

Tidak kira nama tempat, orang, produk ataupun nama sesetengah makanan yang turut menjadi perkara biasa dikaitkan dengan sejarah permulaan penghasilannya.Contohnya, mi udang Sungai Dua, laksa Kuala Perlis dan bubur lambuk Kampung Baru hanyalah antara beberapa nama yang pastinya tidak perlu diperkenalkan lagi sekiranya anda mengunjungi negeri tersebut.

Sebut sahaja menu tersebut pastinya lokasi yang sama juga akan diberitahu oleh teman-teman anda yang pastinya pernah mengunjungi lokasi makanan itu yang dikatakan amat popular dengan kelazatan makanan yang dihidangkan.Turut popular ialah keropok lekor Losong yang menjadi buah mulut sesiapa sahaja sekiranya singgah di negeri yang dikenali sebagai negeri warisan pesisir pantai itu.

Bagi yang tidak mengetahui, keropok lekor atau lebih dikenali sebagai 'kepok gote' di kalangan penduduk tempatan, diperbuat daripada ikan dan sagu dan diadun menjadi satu adunan lembut lembut yang kemudian digentel menjadi seperti bentuk sosej dan boleh dimakan sama ada digoreng atau direbus.

Seperti menu-menu popular yang disebutkan sebelum ini, keropok lekor amat sinonim dengan Losong.Namun tahukah anda bagaimana asal panggilan tersebut bermula sehingga begitu terkenal kini?

Wartawan Utusan Malaysia sempat menjengah ke lokasi pembuatan keropok lekor popular itu baru-baru ini untuk melihat sendiri bagaimana penghasilan juadah tersebut dibuat selain mengetahui asal-usul makanan itu.

Tidak sukar untuk mencari lokasi popular tempat penghasilan makanan itu memandangkan setiap sudut mempunyai papan arah ke lokasi tersebut.Mana tidaknya, sebut sahaja Losong pastinya ramai yang boleh menunjukkan arah memandangkan ia hanya 10 minit dari bandar raya Kuala Terengganu.

Kampong Losong atau nama asal kampung tersebut ialah Kampung Losong Haji Su yang diambil sempena nama seorang penduduk asal di kampung tersebut.Malangnya penulis tidak dapat menemuinya kerana dia telah lama meninggal dan tiada saudara-maranya yang boleh ditemui.

Namun, dengan menemubual beberapa penduduk asal yang turut mengusahakan produk keropok lekor tersebut, asal usul keropok lekor Losong itu berjaya disingkap.

Menurut seorang pembuat keropok lekor yang telah bergiat aktif selama 40 tahun lalu mewarisi perniagaan keluarganya, Fatimah Salmah Long, 60, berkata keropok lekor Losong pada asalnya telah mula dihasilkan di sini dan dia bersama keluarganya adalah orang pertama yang memulakan perniagaan tersebut.

Katanya, keropok lekor lebih dikenali di Losong memandangkan rasanya yang enak serta lebih lembut berbeza daripada tempat lain.Jelasnya, ia juga hanya dijual dengan harga 20 sen untuk satu batang (saiz kecil) dan RM1 sebatang( saiz besar) sejak dahulu sehingga kini.

''Pada peringkat awal hanya beberapa keluarga yang menjalankan perniagaan ini dan ia diwarisi turun-temurun dan rasanya masih tetap sama seperti dulu.''Namun kini telah banyak gerai yang turut menjual keropok lekor dan ia mudah didapati di mana-mana namun saya tidak pasti rasanya masih sama atau tidak," katanya ketika ditemui di gerainya, Adik-beradik Enterprise, Kampung Losong Haji Su.

Bagi pengusaha keropok lekor Losong sejak 40 tahun lalu, Mariam Ngah Awang, 65, memberitahu gelaran keropok lekor Losong diperoleh bukan sekadar dari nama kampung tempat penghasilan makanan tersebut.Jelasnya, bentuknya yang kecil serta panjang seperti bentuk sosej menyebabkan ia popular satu masa dahulu.'

''Pada waktu dahulu di Losong, pengusaha-pengusaha keropok lekor menghasilkan keropok lekor bersaiz kecik iaitu hanya sepanjang lima hingga enam inci sahaja yang rasanya juga lebih enak daripada keropok lekor di tempat lain yang saiznya lebih besar dan kurang enak.
''Justeru itu, apabila penggemar makanan ini ingin mendapatkan keropok jenis ini, mereka sering memberitahu bahawa hanya di Kampung Losong sahaja boleh diperolehi, jadi begitulah asal nama keropok lekor Losong ini terjadi," ujarnya.

Begitulah asal-usul nama keropok lekor Losong yang sering menjadi sebut-sebutan itu.

Sama ada ia benar-benar enak ataupun sekadar obses dan mentaliti orang kita terhadap sesuatu yang telah popular, hanya penggemar makanan itu sahaja yang boleh menjawabnya.

Bagi penulis, singgah ke Kampung Losong Haji Su bagai satu kemestian jika ke Negeri Terengganu.

Sabtu, Julai 18, 2009

T Team Menang Lagi

Dua jaringan gol berjaya diperolehi didalam masa 10 minit terakhir baki perlawanan untuk memberi kemenangan penting kepada pasukan pelawat dalam usaha mengejar kejuaraan liga perdana yang kini mengasak hebat pendahulu liga iaitu pasukan Harimau Muda. Proton Fc yang terlebih dahulu memecah kebuntuan gol diseparuh masa pertama dan kekal hinggalah pada minit ke 80 selepas T-Team mengeluarkan Azrul Azran dan memasukkan Mohd Kamal Rohaijat dan Fakrurazi telah merubah corak perlawanan dan seterusnya menghasilkan gol melalui pemain senior iaitu Rosdi Talib yang menanduk tajam didalam kotak penalti lawan meskipun cuba dihalang penjaga gol Proton Fc namun bola tetap mencecah jaring gol lawan.

Gol penyamaan tersebut telah membangkitkan semangat T-Team yang agak kecewakan sepanjang perlawanan kerana gagal menggunakan kesempatan untuk menjaringkan gol walapun mempunyai banyak peluang yang terhidang. Norhisham muncul sebagai wira pasukan dan seterusnya memberi kemenangan berharga pada m84 hasil kelam kabut dalam kotak penalti dan beliau mencuri kesempatan tersebut untuk meledak kencang kearah pintu gol seterusnya menghasil gol kedua buat pasukan dan kemenangan penting buat

Terengganu Pengeluar Utama Madu

Terengganu berpotensi muncul sebagai hab pengeluar madu lebah terbaik negara ini apabila kegiatan mengumpul madu lebah paling berkualiti yang dikesan dari Hutan Simpan Merchang, Marang akan dikawal selia oleh satu badan khas.



Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin. Baginda selaku Pengerusi YDSM diberi penerangan mengenai projek madu lebah berkenaan oleh Dato’ Prof Dr Makhdzir sebelum baginda berangkat bersama tetamu kenamaan untuk menyaksikan demontrasi pengambilan itu.Turut hadir, Tengku Sri Temenggung Raja; Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, YB Rozi Mamat.

Jika sebelum ini lebih 120 pemungut madu lebah tualang menjalankan kegiatan tradsional itu secara bebas dan tanpa kawalan, kini mereka didaftar serta dikawal selia menerusi Koperasi Pemungut Madu Lebah Terengganu (Kopemat) Berhad sejak Mei lalu.


Kopemat menjalankan aktiviti dan menyelaras kegiatan ahlinya melalui pembiayaan dan kerjasama dengan Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM). YDSM berperanan menyumbang ke arah usaha peningkatan taraf sosio ekonomi masyarakat tempatan.

Khamis, Julai 16, 2009

Tiada Rombakan EXCO Terengganu

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menafikan dakwaan beliau akan merombak barisan Exco bagi memperkuatkan jentera pentadbiran, selain menyingkirkan anak buah yang tidak 'sebulu' dengannya.

Sambil menegaskan perkara itu tidak pernah berbangkit, Ahmad berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan barisan Exco sedia ada dan tidak pernah merancang untuk membuat rombakan.

"Siapa kata? (rombakan Exco). Setakat ini semuanya (pelaksanaan tugas Exco) berjalan dengan sempurna. Kita berilah peluang pada mereka (Exco) sekurang-kurangnya pegang jawatan satu penggal. Kalau satu setengah tahun nak tengok prestasi memanglah tak dapat.

"Tidak adillah jika (baru) setengah jalan kita tukar (barisan Exco). Buat masa ini, saya berpuas hati dengan kerjasama serta prestasi mereka (Exco) dan tidak ada perancangan untuk membuat perubahan barisan Exco," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di sini, semalam.

Khabar mengenai kemungkinan Ahmad merombak barisan Exco tersebar luas dan menjadi buah mulut orang ramai di negeri ini sejak kebelakangan ini.

Ahmad dikatakan merancang merombak kepemimpinan beberapa Exco sedia ada bagi memperkukuhkan barisan pentadbirannya untuk mengurus dan merencana agenda pembangunan negeri.

Wujud juga dakwaan mengatakan Ahmad mahu menyingkirkan Exco tertentu yang tidak sealiran dan tidak boleh bekerjasama baik untuk membantunya memacu pembangunan Terengganu.

"Saya tidak tahu dari mana anda dengar berita ini. Setakat ini, saya berpuas hati dengan barisan Exco yang ada dan tidak pernah merancang untuk membuat rombakan. Kata orang, tahun pertama tahun bulan madu, tahun kedua baru nak laksana perancangan, jadi kita bagi masa pada mereka buktikan kemampuan," katanya.

Pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui Ahmad dikatakan agak goyah kerana tidak mendapat kepercayaan dan sokongan sebahagian besar wakil rakyat di negeri ini, terutamanya golongan yang sebelum ini menjadi penyokong kuat bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.

Kemelut politik di negeri ini yang bermula sejak Ahmad dilantik menggantikan Idris pada Mac 2008 memuncak pada April lalu apabila sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dikatakan mahu mengemukakan usul undi tidak percaya kerana tidak puas hati dengan corak pentadbiran Ahmad yang dikatakan tidak telus dan membuatkan wakil rakyat berasa mereka dipinggirkan.

Rabu, Julai 15, 2009

Janda Aziz M. Osman Dapat Diploma

Duka Nor Radhiah Ramli, 23, bekas isteri pengarah dan pelakon, Aziz M. Osman selepas perceraiannya sedikit terubat apabila penantiannya selama dua tahun untuk menggenggam sekeping diploma, akhirnya tercapai semalam.

Dia berjaya mendapat Diploma Pengajian Islam dengan Teknologi Maklumat pada majlis Konvokesyen Pertama Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), di sini selepas menamatkan pengajiannya pada 2007.
Biarpun hasrat Nor Radhiah ingin meraikan hari bersejarah dengan bekas suaminya itu tidak tercapai, dia tetap gembira kerana hari yang ditunggu-tunggu selama ini sudah menjelma.

"Seolah-olah macam mimpi dan saya rasa sangat teruja datang ke majlis ini tapi agak sedih juga sebab ramai kawan-kawan lain tak dapat datang. Masa dengan Abang Aziz dulu kami ada berbincang untuk hadir bersama-sama ke konvokesyen tetapi nampaknya niat tu tidak kesampaian," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Siasatan Hampir Siap

Siasatan kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan di Gong Badak runtuh pada 2 Jun lalu kini 90 peratus siap.

Pengarah (Bahagian Perisikan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd. Jamidan Abdullah berkata, laporan siasatan itu dijangka diketahui dalam tempoh terdekat.

Beliau memberitahu, siasatan itu dibuat secara menyeluruh dan beberapa saksi termasuk kontraktor projek berkenaan serta individu tertentu telah dipanggil bagi membantu siasatan.

Mohd. Jamidan bagaimanapun tidak menjelaskan jumlah mereka yang dipanggil untuk siasatan serta siapa individu terbabit.

"Kita lakukan siasatan secara menyeluruh membabitkan semua pihak," katanya selepas menyempurnakan majlis penutupan Seminar Integriti Dalam Pengurusan Alam Sekitar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Peringkat Zon Timur 2009 di sini hari ini.

Beliau ditanya hasil siasatan SPRM berhubung kejadian sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang runtuh kira-kira pukul 9.30 pagi pada 2 Jun lalu.

Runtuhan melibatkan bumbung di bahagian timur stadium bernilai RM292 juta itu yang menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam serta bumbung tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan.

Bumbung yang runtuh itu menimpa sebuah kereta Perodua Kancil dan tiga buah motosikal, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Minggu lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, hasil siasatan awal kejadian itu dijangka diketahui tidak lama lagi.

Menurut beliau, siasatan masih dijalankan oleh jawatankuasa penyiasatan di peringkat pusat.

Terengganu Penganjur Bertaraf Internasional


Terengganu yang memiliki prasarana sukan kelas pertama mampu menjadi pusat sehenti sukan bertaraf antarabangsa, khususnya dalam menyediakan lokasi untuk atlit luar negara menjalani latihan terutama bagi sebarang sukan yang dianjurkan di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata kewibawaan Terengganu dalam penganjuran pelbagai acara sukan bertaraf antarabangsa sudah terbukti, malah kecemerlangan atlit negeri dalam kejohanan sukan tempatan dan luar negara patut dijadikan kesinambungan untuk merealisasikan hasrat Terengganu sebagai pusat sehenti sukan.

"Terengganu sudah banyak menganjurkan sukan peringkat dunia antaranya Kejohanan Sepak Takraw Antarabangsa; Kejohanan Endurance Sedunia dan Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun dan berjaya membuktikan kemampuan Terengganu menjadi tuan rumah acara sukan antarabangsa.

"Sebagai legasi kepada kecemerlangan sukan Terengganu, kita sediakan prasarana sukan yang baik dan ia boleh dimanfaatkan untuk menjadikan negeri ini sebagai pusat latihan sukan untuk atlit negara luar menjalani latihan di sini, sebagai persiapan menghadapi sebarang kejohanan sukan dianjurkan di Malaysia.

"Langkah ini bukan saja dapat memperkenalkan Terengganu sebagai pusat sehenti sukan khususnya kepada negara jiran, tetapi juga memberi ruang dan peluang untuk atlit tempatan terutama dari Terengganu untuk menimba pengalaman dan mempelajari teknik sukan yang boleh memanfaatkan mereka," katanya.

Selasa, Julai 14, 2009

T Team Menang Besar


SKUAD Harimau Muda terus ditekan pencabar terdekat, T-Team selepas kedua-dua pasukan meraih kemenangan malam tadi, tatkala saingan liga masih berbaki tiga perlawanan.

Harimau Muda nyaris berkongsi mata selepas terikat 1-1 sebelum menyumbat gol kemenangan, 2-1 ke atas PKNS sementara T-Team berpesta gol dengan membelasah pasukan tercorot, Sinar Dimaja Mai Sarah, 6-0.

Pesta gol T-Team menyaksikan penyerang, Mohd Haris Safwan Kamal bertindak cemerlang apabila melakukan hatrik pada minit ke-7, m-47 dan m-61. Turut tersenarai sebagai penjaring ialah Muhd Fakhrurazi Musa pada m-39 menerusi rembatan dari jarak 30 meter.

Jaringan kelima T-Team diperoleh menerusi Mohd Kamal Rodiarjat yang menyempurnakan tendangan penalti pada m-82. Lokman Mat Salleh melengkapkan malam gemilang T-Team ketika perlawanan berbaki lima minit.

Ahad, Julai 12, 2009

Agong Ketuai Cabaran

SERAMAI 50 penunggang memulakan cabaran pada Kejohanan Kuda Lasak, Fun & Easy Ride 2009 di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong semalam.

Bagaimanapun tumpuan pasti terarah kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang mengetuai cabaran tersebut.

Tuanku Mizan berentap dengan 17 penunggang lain bagi kategori 80 kilometer pada kejohanan anjuran Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) dan kerajaan negeri itu.

Turut memberi cabaran adalah dua anakanda baginda, Tengku Nadhirah dan Tengku Muhammad Ismail yang bersaing dalam kategori 40km.

Tengku Muhammad Ismail menunggang kuda bernama Harmere Cairo manakala Tengku Nadhirah menunggang kuda bernama Jakim Zane.

Dalam saingan kategori 40km itu, para penunggang dibenarkan meneruskan perlumbaan sehingga 80km selepas memenuhi semua syarat yang ditetapkan.

Perlumbaan tersebut dilepaskan oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud kira-kira 5 petang.

Sekolah Ren Sultan Sulaiman 1 TUTUP


PENGAWAL keselamatan Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 menutup pintu pagar sekolah yang ditutup selama lima hari selepas dua orang muridnya dijangkiti Influenza A (H1N1) di Kuala Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. Sekolah itu ditutup pada 10 Julai lalu selepas dua orang murid tersebut diuji positif Influenza A (H1N1)

Sabtu, Julai 11, 2009

Harimau Muda Tersungkur Di Kaki T Team

PASUKAN T-Team memastikan kemenangan berharga menewaskan pendahulu Liga Perdana, Harimau Muda 3-2 di Stadium Nasional, malam tadi, menyaksikan pelawat hanya dipisahkan dua mata dari puncak liga.

Harimau Muda yang turun dengan tekad melebarkan jurang pendahuluan di tampuk liga ketika saingan berbaki lima perlawanan, terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi jaringan Irfan Faizal seawal minit ke-10.

Namun anak buah Che Ku Marzuki Mohd Noor, bangkit untuk merapatkan kedudukan 10 minit kemudian menerusi jaringan Haris Safuan Kamal sebelum Rosdi Talib meletakkan pelawat di depan apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-24.

Gol penyamaan skuad Harimau hadir menerusi jaringan A Tamil Arasu pada minit ke-43, sebelum Hairudin Omar menjadi pemusnah dengan jaringannya pada minit ke-68 untuk pelawat pulang dengan tiga mata.

Kemenangan itu menyaksikan T-Team kini mengumpul 47 mata, dua mata memisahkannya dengan Harimau Muda yang kekal di puncak selepas mengumpul 49 mata daripada 19 perlawanan.

Kesah Natrah



Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Bertha Hertogh atau nama Islamnya Natrah pernah menyuarakan kerinduan kepada seluruh ahli keluarga angkatnya di Malaysia.

Kerinduan itu mendorong Natrah yang meninggal dunia akibat leukemia pada Khamis lalu meminta keluarga angkatnya di sini menziarahinya di Belanda.



Saudara angkatnya, Rokayah Mohd. Dahan, 63, berkata, Natrah telah menyatakan hasrat untuk bertemu semula mereka menerusi telefon dan e-mel.

Rokayah yang merupakan cucu kepada ibu angkat Natrah, Che Aminah Mohamed memberitahu, Natrah juga menghubungi adiknya di Kemaman dan juga anaknya yang tinggal di Kuantan.
“Sedih mengenangkan banyak kenangan manis bersama dengannya,’’ kata Rokayah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mak Chili Paya dekat sini semalam.

Antara peristiwa yang sukar beliau lupakan ialah bila Natrah masih petah bercakap Bahasa Melayu loghat Indonesia sewaktu datang ke Kemaman pada 1997 lalu walaupun sesudah 46 tahun meninggalkan Malaysia.

Sementara itu di Shah Alam, bekas penulis dan penyelidik majalah Dewan Masyarakat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datin Fatini Yaacob, 50, terkilan kerana Natrah meninggal dunia sebelum beliau sempat menyiapkan biografi wanita tersebut.

Fatini pernah menjejaki Natrah sehingga ke Belanda dan Amerika Syarikat (AS) kira-kira 20 tahun lalu.

Khamis, Julai 09, 2009

Hati Ku Hiba & Rindu

Walaupun kini hidup berseorangan tanpa suami, Wook Kundur, 107, tetap mahu tinggal di rumahnya di Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang di sini.

Baginya, rumah kayu miliknya itu banyak meninggalkan kenangan selepas tiga tahun hidup bersama suaminya, Mohd. Nor Musa, 38.

Malah, Wook menolak mentah-mentah tawaran pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mahu menempatkannya di rumah orang tua di Taman Bahagia Bukit Payong, Marang.

"Memang saya takut tinggal seorang tapi saya tetap akan tinggal di rumah saya kerana saya masih sayangkan rumah ini. Ada terbayang-bayangkan kelibat suami tetapi apa boleh buat, dia terpaksa hilangkan ketagih dadah terlebih dulu," katanya ketika ditemui di rumah anak saudaranya di Rumah Rakyat Kos Rendah Sungai Petai di sini semalam.

Wook terpaksa hidup sendirian selepas Mohd. Nor yang ditahan kerana mengambil dadah jenis heroin dihantar ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik di Sungai Besi, Kuala Lumpur kelmarin.

Rabu, Julai 08, 2009

Kerana Dadah


Cinta Wook Kundur, 107, terhadap Mohd. Nor Musa, 38, mungkin benar-benar buta kerana dia bukan sahaja sanggup mengambil lelaki itu sebagai suaminya walaupun perbezaan umur mereka hampir 69 tahun.

Wook juga tetap mempersuamikan Mohd. Nor walaupun dia mengetahui lelaki itu adalah seorang penagih dadah.

Bagaimanapun, pergorbanan cinta Wook itu akhirnya menjerat diri sendiri apabila bukan sahaja hartanya dijual oleh lelaki itu, malah dia bakal ‘kesepian’ apabila suaminya ditahan pihak berkuasa kerana mengambil dadah semalam.

Sambil mengakui dia sebelum ini sudah mengetahui bahawa suaminya pernah ditahan di Pusat Serenti Tampin kerana menagih dadah, Wook masih menaruh harapan Mohd. Nor dapat memulihkan diri sepenuhnya dan sentiasa mengingati Tuhan.

Bagaimanapun, menurut warga emas itu, dia tidak sedar bila suami melakukan perbuatan tersebut kerana dia tidak tahu mengesan gerak-geri orang yang mengambil dadah.

“Saya harap dia berubah dan bertaubat. Dulu memang dia (suami) kerap keluar malam jumpa kawan-kawan. Dia juga jual kereta dan cincin saya, tapi saya tak syak apa-apa. Tapi hari ini (semalam) ada orang datang beritahu dia kena tangkap, kena gari.

“Saya memang sedih tapi nak buat macam mana, eloklah dia berubat dulu,” katanya ketika ditemui di pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Ajil di sini semalam.

Selasa, Julai 07, 2009

Terengganu Pilihan Kaki Judi

RENTAK permainan pasukan Terengganu di persada Liga Super menjadikan mereka antara pasukan digemari ‘bookie’.

Sudah bermusim, fenomena menang ke atas pasukan kuat dan tewas kepada yang lemah menjadi resipi keuntungan berjuta ringgit kepada ‘bookie’ bola sepak di dalam dan luar negara.

Menurut bekas ‘bookie’ yang hanya mahu dikenali sebagai Mr T, kaki judi senang terpengaruh dengan kegagahan Terengganu apabila bertemu pasukan kuat yang mengakibatkan mereka hilang wang pertaruhan.

“Musim ini juga sama apabila Terengganu bertindak cemerlang dengan menundukkan pasukan seperti Selangor, Perlis dan Kelantan tapi kecundang apabila berdepan dengan KL Plus, Kuala Muda Naza dan Johor FC.
“Baru-baru ini, Terengganu menang 2-0 ke atas Kelantan yang bertandang sebagai pilihan, tapi mereka cuma mampu seri 1-1 dengan Perak apabila Terengganu menjadi pasukan pilihan untuk menang,” kata Mr T yang kini seorang ahli perniagaan sah di Kuala Terengganu.

Katanya lagi, situasi sebegitu yang disukai ‘bookie’ kerana kebanyakan kaki judi suka memihak kepada pasukan kuat walaupun terpaksa memberi kelebihan (handicap) kepada pasukan pilihan.

“Saya kurang pasti jika ada pemain Terengganu sekarang yang terbabit dengan mengatur perlawanan walaupun sebelum ini, saya tahu ada pemain yang menerima imbuhan daripada ‘bookie’.

“Mungkin segala-galanya sudah berubah, namun saya kurang yakin, memandangkan masih banyak lagi peluang untuk kaki judi bertaruh keputusan perlawanan liga tempatan,” katanya.

Mr T berkata jika Liga Perdana Malaysia ada ditawarkan ‘hang cheng’ (pasaran pertaruhan), sudah tentu lebih ramai lagi kaki judi yang berminat untuk meletakkan wang pertaruhan untuk perlawanan Liga Super.

“Jika tidak ada ‘bookie’ yang menjalankan operasi di mana-mana bandar, kaki judi cuma perlu melayari laman web perjudian bola sepak yang semakin banyak muncul sekarang ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh, berkata beliau menyedari beberapa usaha yang dilakukan ‘bookie’ untuk membabitkan pemain Terengganu dalam menentukan hala tuju keputusan perlawanan.
Dalam ucapannya ketika pelancaran Liga Darul Iman di Permai Inn baru-baru ini, Che Mat menyeru pemain supaya mengekalkan etika sukan dengan menjauhi diri daripada gejala seperti rasuah dan mengatur perlawanan.

“Pihak ‘bookie’ akan terus mencuba untuk memberi habuan lumayan kepada pemain, namun semua itu dapat dielakkan sekiranya pemain jujur dengan diri mereka sendiri.“Setakat ini, saya berpuas hati dengan sikap pemain yang cepat memberitahu pihak pengurusan apabila ada wakil ‘bookie’ yang cuba berhubung dengan mereka,” katanya.Katanya, buat masa ini, pihak pengurusan juga yakin tidak ada pemain yang terbabit dengan gejala menerima rasuah dan menjual perlawanan.

Isnin, Julai 06, 2009

Operasi Mencari Ikan Naga bermula

Tertarik dengan ganjaran RM10,000 yang ditawarkan, Tasik Kenyir mula dibanjiri kaki pancing yang mahu mencuba nasib menaikkan ikan naga atau Arapaima gigas.

Kehadiran kaki pancing menyebabkan Jabatan Perikanan negeri memulakan operasi pemantauan penangkapan ikan naga itu hari ini bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.Bagaimanapun sehingga pukul 6 petang, ikan naga yang dipercayai hidup di tasik itu gagal ditangkap, malah kelibatnya juga tidak kelihatan.

Tinjauan di Tasik Kenyir hari ini mendapati, kaki pancing berkenaan ada yang datang dari luar Terengganu.Seorang pemandu bot pelancong, Azman Mohd, 30, ketika ditemui berkata, dia pernah cuba menangkap ikan naga itu baru-baru ini.

Katanya, dia nampak kelibat ikan sebesar pemeluk dan sepanjang kira-kira 2.4 meter itu ketika bersama seorang rakan pergi memancing di Sungai Beruas.''Saya menggunakan tali setebal 22 milimeter dan dawai elektrik sebagai mata kail serta anak ikan haruan sebagai umpan bagi menangkap dan mengikatnya di sebatang pokok.

''Bagaimanapun, ikan itu berjaya melarikan diri selepas pokok itu patah," katanya. yang ditinggal di Kampung Basung di sini.Azman berkata, ikan naga mudah dilihat di kawasan air jernih di sungai berkenaan kerana ia tidak menyukai keadaan air yang keruh.

''Saya pernah melihat ikan ini bermain-main di kawasan air cetek yang jernih ketika air sungai menjadi keruh.''Ikan ini juga saya rasa ikan jenis jinak kerana ia sering mengikut bunyi enjin bot," ujarnya.

Ahad, Julai 05, 2009

Tawaran RM10,000 Tangkap Ikan Naga

Jabatan Perikanan negeri akan mengerah beberapa anggotanya dalam tempoh terdekat ini untuk menangkap ikan naga atau Arapaima gigas di Tasik Kenyir.Pengarahnya, Munir Mohd. Nawi berkata, pihaknya akan menangkap hidup-hidup ikan naga itu sekiranya ia benar-benar wujud di tasik berkenaan.

Katanya, jabatan akan menggunakan tiga bot yang sedia ada di Tasik Kenyir untuk membuat pemantauan dan seterusnya menangkap ikan tersebut."Usaha secara berterusan akan dilakukan selaras dengan tawaran yang dibuat oleh kerajaan negeri," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi hari ini.


Munir mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said semalam yang menawarkan RM10,000 kepada sesiapa yang berjaya menangkap ikan naga di Tasik Kenyir.Ahmad berkata, tawaran itu dibuat bagi mengelak spesies ikan kecil lain di tasik berkenaan pupus akibat di makan ikan naga tersebut.

Mengulas lanjut, Munir berkata, ikan naga mempunyai tarikan unik dengan saiznya mampu menyamai panjang sebuah kereta Perodua Kancil.Malah, katanya, ikan yang berasal dari Sungai Amazon itu boleh mencecah berat antara 50 sehingga 100 kilogram seekor.
Ikan naga sebesar itu pernah wujud di Sungai Kulai, Johor suatu ketika dahulu. Jelasnya, ketika ini pula seekor ikan jenis itu dengan saiz yang sama terdapat di Ladang Ikan Hiasan Xian Leng di Batu Pahat, Johor.

"Ikan Arapaima gigas yang panjangnya menyamai kereta Perodua Kancil diternak di ladang tersebut di Batu Pahat untuk tarikan pengunjung kerana saiznya yang unik," katanya.Ditanya bagaimana ikan tersebut wujud di tasik berkenaan, Munir menjelaskan, ia berkemungkinan besar dibawa masuk oleh pengusaha atau individu tertentu untuk dijadikan ikan hiasan di negeri ini.

Bumbung Runtuh Disiasat Oleh Konsultan UK

Kerajaan Terengganu melantik sebuah perunding dari United Kingdom (UK) bagi menyiasat punca sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Negeri, di Gong Badak, runtuh pada 2 Jun lalu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata perunding itu yang mempunyai cawangan di Kuala Lumpur dijangka menyerahkan hasil siasatan dalam tempoh tiga bulan.

"Kita bersetuju melantik sebuah firma dari United Kingdom untuk mengendalikan kerja siasatan runtuhan bumbung stadium itu," katanya ketika ditemui, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi pada 2 Jun lalu, bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin hampir musnah apabila kira-kira 60 peratus struktur bumbung yang dibina tanpa tiang runtuh.

Stadium berharga RM292 juta itu baru siap kira-kira setahun lalu dan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata stadium itu ditutup sehingga kerja-kerja membaikpulih dilakukan sepenuhnya dan ia akan dibuka setelah mendapat jaminan keselamatan daripada kontraktor yang dilantik.

Katanya, kerajaan Terengganu bersetuju melantik perunding swasta itu kerana berpendapat perlunya dua pihak yang menjalankan siasatan iaitu bagi kerajaan Pusat dan negeri.

Beliau berkata, segala perbelanjaan untuk khidmat perunding dari UK itu akan dibiayai sendiri oleh kerajaan negeri.

Berikutan kejadian itu, beliau berkata beberapa gelanggang yang ada di stadium itu seperti gelanggang skuasy dan bola sepak terpaksa ditutup dan kejohanan yang sepatutnya diadakan di situ, dipindahkan ke tempat lain.

Sabtu, Julai 04, 2009

Sejadah Berdiri Di Masjid Kristal


Seorang wanita yang singgah di Taman Tamadun Islam di sini sebelum menunaikan solat di Masjid Kristal dikejutkan dengan pengalaman aneh apabila mendapati dua helai sejadah tiba-tiba bercantum sebelum 'bangkit berdiri' di sisinya.


Kakitangan kerajaan berasal dari Dungun berusia 35 tahun itu menyangka objek tersebut hanya bayang jemaah lain yang mendirikan solat di sebelah kirinya.Namun setelah selesai solat, wanita itu terkejut apabila melihat dua helai sejadah bercantum dalam keadaan menegak seolah-olah berdiri.

"Masa itu saya beristighfar beberapa kali dan terus mengambil telefon bimbit lalu merakamkan gambar sejadah berkenaan," katanya yang enggan dikenali ketika ditemui dekat sini. Menurutnya, pengalaman pelik kira-kira pukul 11 pagi beberapa hari lalu amat luar biasa dan bersyukur kerana 'terpilih' menyaksikannya.

"Pengalaman ini tidak menyebabkan saya takut untuk datang ke sini kerana saya percaya ia bukan benda yang tidak baik," katanya.Sementara itu, seorang pengawal keselamatan di taman tema tersebut yang juga enggan dikenali mengakui dia seringkali terserempak dengan pelbagai kejadian aneh di situ.

"Malah ada penduduk sekitar kawasan ini bercerita, pulau ini memang agak 'keras' dan menjadi kawasan tempat orang membuang benda-benda tak elok sebelum ia dibangunkan," katanya.

Dalam pada itu, seorang petugas di Masjid Kristal pula menjelaskan, kejadian tersebut mungkin ada kaitan dengan jin Islam kerana sebelum ini seorang wanita mengadu mengenai kejadian yang hampir sama."Waktu itu dia baru selesai solat asar berseorangan sebelum tiba-tiba melihat kejadian serupa," katanya yang enggan namanya disiarkan.

Beliau juga berharap umat Islam yang singgah untuk mendirikan solat di masjid itu tidak bimbang dan takut sebaliknya menganggap kejadian aneh itu sebagai satu petunjuk kebesaran Allah SWT.

Khamis, Julai 02, 2009

Jangan Salahkan Padang

Jika Tak Pandai Main Bola Jangan Salahkan Padang. Kenapa KL PLUS boleh menang dipadang yang sama?.

PADANG di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, cuma sesuai dijadikan padang ragut lembu dan bukannya pentas perlawanan bola sepak Liga Super.

Demikian pandangan jurulatih Kelantan, Peter Butler, yang kecewa dengan keadaan padang yang menurutnya, tidak rata dan mempunyai tompokan tidak berumput.Selepas menyaksikan pasukan kendaliannya tewas 0-2 di tangan Terengganu, jurulatih Inggeris itu berkata, padang di stadium itu tidak sepatutnya digunakan untuk perlawanan bola sepak.

“Ia lebih sesuai digunakan sebagai padang ragut untuk lembu dan bukannya tempat pemain profesional berlari dan menunjukkan kebolehan dan kemahiran mereka.“Saya belum pernah melihat keadaan padang seburuk ini sejak berada di negara ini dan sepatutnya tidak dijadikan medan perlawanan bola sepak,” katanya apabila ditemui selepas perlawanan.

Kata Butler lagi, beliau berani bersemuka dengan sesiapa saja yang berpendapat padang stadium itu layak diluluskan sebagai memenuhi syarat pertandingan.“Keadaan padang menyukarkan pemain Kelantan untuk mempamerkan permainan biasa dan ia seperti pasukan Arsenal cuba bermain bola sepak dengan Stoke City di atas padang kampung.

“Jika itu tidak cukup sukar, beberapa keputusan pengadil juga meragukan, terutama sekali apabila penyerang Indra Putra Mahayuddin dilayangkan kad merah pada minit ke-79,” katanya.Butler berkata, rayuan akan dibuat ke atas kad merah yang diterima Indra kerana dia tidak menyentuh pemain tengah Terengganu, Tengku Hazman Raja Hassan, yang tiba-tiba jatuh sambil meraung kesakitan.
“Sepatutnya, perlawanan di antara Terengganu dan Kelantan diadakan di padang lain walaupun pihak tuan rumah tidak mempunyai banyak pilihan selepas bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh.“Kami juga tidak mempunyai pilihan sebelum ini apabila FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) melarang penggunaan Stadium Sultan Mohamad (IV) dan kami terpaksa akur dengan arahan untuk bermain permainan tempat sendiri di Stadium Nasional Bukit Jalil,” katanya.

Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh, apabila ditemui selepas perlawanan, berkata sudah menjadi adat pasukan yang kalah akan mencari pelbagai alasan untuk menyedapkan hati mereka.“Pasukan lain juga bermain di padang yang sama, namun kita tidak mendengar komen negatif seperti itu.

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH

11 JUN 2008 - MEMAHAT SEJARAH
Terengganu juara Sukma: KONTINJEN Terengganu bersorak riang selepas muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XII yang berakhir di Kuala Terengganu, malam tadi. Tuan rumah mencipta sejarah mengutip emas terbanyak dalam penyertaan Sukma selepas meraih 61 pingat emas 39 perak dan 47 gangsa meninggalkan Selangor yang muncul naib juara dengan 54-47-52 manakala Sarawak tempat ketiga, (52-52-42). Upacara penutup temasya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

MENAKJUBKAN

MENAKJUBKAN
TERENGGANU juara SUKMA, Juara Bola Sepak, Raja Pecut, Raja Ragbi, Raja Kenu, Raja Kayuh. Kemenangan Terengganu kebanyakkan diperolehi melalui sukan objektif seperti olahraga, basikal, kenu berbanding dari sukan subjektif.

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG

PENGANJURAN SUKMA YANG CEMERLANG
Skretariat SUKMA Terengganu mendapat pujian daripada Kontingen-kontingen negeri, Media massa, pegawai sukan & orang ramai tentang kecermlangan pengurusan & pentadbiran SUKMA. SUKMA di Terengganu di iktiraf sebagai pengurusan SUKMA terbaik, pengadilan yang paling bersih,penyertaan penonton paling ramai, kemudahan paling lengkap, rekod baru paling banyak dicipta & tanpa kontraversi. Paling hairan Jawatakuasa rayuan tidak mnerima apa-apa rayuan dari kontingen yang bertanding. TAHNIAH.

INDUSTRI TERNAK KAMBING

INDUSTRI TERNAK KAMBING
Cosmopal Sdn Bhd, anak syarikat Arus Zaman Sdn Bhd, melabur sebanyak RM2 juta dalam penternakan kambing di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Serating, dekat sini dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai pengeluar terbesar ternakan itu di negara ini pada masa depan. Pengarahnya, Zainudin Zakaria berkata setakat ini, syarikat mempunyai sebanyak 1,400 kambing baka Jamnapari, bernilai antara RM750 dan RM850 seekor, di ladang seluas kira-kira 30 hektar itu.

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN

BIJAK MENGGUNAKAN PELUANG YANG DISEDIAKAN
DAS berkata kerajaan banyak menyediakan kemudahan untuk pelajar melonjakkan diri untuk mencapai kejayaan cemerlang. Kerajaan sanggup menyediakan peruntukkan besar untuk sektor pendidikan bagi menjadikan negeri terulung melahirkan pelajar yang cemerlang.

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI

10 JUN 2008 - HARINI TERENGGANU CUTI
DAS mengucap tahniah kepada Wan Ahmad Nizam, Ketua Kontingen SUKMA Terengganu kerana berjaya menjadi juara SUKMA ke 12. Di atas kemenangan itu, DAS memberi cuti kepada rakyat Terengganu.

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU

SEKOLAH SUKAN UNTUK TERENGGANU
PM bersetuju untuk melulus pembinaan sekolah sukan seperti sekolah sukan di Bukit Jalil & Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor di Terengganu. Sekolah ini akan dibina di sebelah kompleks sukan negeri, Gong Badak.